Thursday, July 22, 2010

64 atau 66

Tidak kira dalam kiraan apa. Masehi atau Hijrah. Usia sudah melewati 64 tahun.

Hari ini saya merasa kembali kecil, menerima ucap selamat dari ramai orang. Paling memeranjatkan ialah ucapan melalui kad dari Naib Censelor. Bagai dibuai tubuh saya membacanya. Suatu kejutan yang sukar diungkapkan.

Saya merasa kembali kecil kerana lazimnya mereka yang kecil mendambakan ucap selamat hari jadi. Yang dewasa dan tua hanya menyempurnakan hasrat itu. Menggembirakan yang muda. Menyukakan mereka. Membahagiakan mereka dengan usapan. Dengan dakapan. Dengan kucupan di dahi. Dengan belaian jejari jemari. Kuntum-kuntum ungkapan yang manis. Muluk. Indah-indah belaka.

Setahun lagi usia bertambah. Setahun lagi ajal mendekat. Semakin jauh dunia ini harus ditinggalkan. Semakin berlari mengejar yang abadi. Siapapun akan tersedar dari lamunan-lamunan indah itu. Bahawa masanya sudah sekian hampir. Bahawa ikatan-ikatan dahulu itu harus dirungkai. Membina ikatan-ikatan baru untuk membiasakan diri dengan yang baru-baru belaka. Buka kegilaan untuk mencari yang baru tetapi bersedia untuk berada dengan bersama yang baru.

Sesungguhnya tua itu baru. Sakit itu baru. Maut itu baru. Alam barzah itu baru. Lama mana pun kita, akhirnya menemui semua yang baru itu. Akan ditinggalkan yang lama-lama, sama ada senang atau payah. Suka atau tidak.

Waktu-waktu itu semakin mendekat. Tetapi ucapan-ucapan happy birthday, sanah helwa, selamat hari jadi, selamat panjang umur akan ditinggalkan tahun demi tahun. Ucapan-ucapan itu datang dan pergi. Yang pastinya saya semakin berusia. Semakin kehilangan tenaga, stamina dan keghairahan orang muda. Yang masih ada barangkali tekad, azam, dan hasrat untuk mencanai usia supaya ada manfaatnya.

Mudah-mudahan Allah memberi barakah. Amin.