Tuesday, July 22, 2014

Siri Dua Puluh Lima: Mengingat Yang Lama




Fokusnya bukan cucu Haji Abas yang di atas basikal tetapi basikal lama yang ditunggangnya. Basikal ini dibeli pada tahun 1966. Sudah 48 tahun lamanya. Tuan punya badan sudah berusia 64 tahun sekarang. Basikal ini dibeli menggunakan wang Biasiswa Kecil Persekutuan. Digunakan untuk berulang-alik ke sekolah  yang jauhnya kira-kita empat kilometer. Haji Abas menggunakan basikal tersebut sejak dari tahun 1968 hingga sekarang. Masih berfungsi lagi. Basikal ini menjadi lambang sejarah keluarga.




Setiap orang ada masa lalunya. Yang lama bertingkat dan bertatah dengan lembaran-lembaran bersilang antara indah dan tidak. Alahai! Ruginya masa yang lama jika tidak disejarahkan. Catatan yang kosong seolah-olah tidak ada apa yang signifikan dalam hidup. Penuh dengan rutin biasa seorang insan biasa sahaja. Apabila dibalik-balik dan dibelek-belek tidak ditemui suatu titik masa dan tempat yang boleh disinggahi untuk melihat semula perjalanan waktu yang telah ditinggalkan. Tidak bagi Haji Abas. Orang kampung sepertinya masih berupaya membina sejarah. Duduk di luar bandar bukan bermakna berada di luar pembikinan sejarah. Malah dia turut sama membakar semangat dirinya. Dengan mata dan telinga didengar dan dilihat perjalanan waktu. Dengan perasaan dan nafasnya dihirup nikmat merdeka yang berbagai. Kini dia tenang dalam sisi dan sisa usianya yang sudahpun melalui zaman yang panjang.

Haji Abas memiliki banyak koleksi barang-barang lama. Tetapi tanpa sedar banyak yang terlepas dari tangannya. Keadaan kadang-kadang tidak mengizinkannya menyimpan lama semua yang dimilikinya. Momento yang masih kekal terlalu sedikit. Basikal tua yang ada itu dikira baru. Gelas merdeka dan gelas Sultan Johor agak lebih lama. Haji Abas memiliki pedang samurai. Dengan pedang itu digunakan untuk mencari komunis pada tahun 1945 dahulu. Bersamanya dipakai selempang merah Penghulu Salleh Mukim 4. Paling sayang ialah wang siling zaman British yang diserahkan kepada orang lain tanpa usul dan periksa yang memanjangkan fikir. Segenggam wang satu sen atau setengah sen tentu ribuan ringgat nilainya sekarang. Masa sudah berlalu begitu sahaja. Koleksi piring hitam Haji Abas juga sudah tidak diketahui di mana adanya. Peti nyanyinya yang berserombong juga sudah tiada. Lagu-lagu kelasik Melayu tahun-tahun 40an dan 50an meriangkan rumah dan keluarganya pada zaman itu. Hanya tinggal kenangan belaka.

Demikianlah perjalanan waktu. Jika dicatat berlakulah seajarah. Jika tidak hanya kenangan yang berbaur tanpa ada turutan waktu yang boleh disusur usulnya. Kita kadang-kadang lupa sejarah diri sendiri. Leka dan alpa dengan mengejar yang belum tentu. Khazanah sejarah kecil tetapi signifikan kepada diri sendiri jarang yang diambilkira. Mungkin kita tidak sedar bahawa sejarah bermula dari orang-orang seperti kita. Membina sejarah budaya. Membina sejarah ekonomi. Membina sejarah sosial. Membina sejarah politik. Membina sejarah itu sendiri. Membina sejarah seni. Sejarah budaya. Membina tamadun. Cebisan-cebisan kecil sejarah individu itulah yang bergabung menjadi sejarah besar sebuah bangsa. Dari keluarga yang kecil kepada etnik dan bangsa yang lebih besar dan gah. Menjadi sejarah negara.

Kita jarang membuat catatan. Kadang-kadang tidak tahu untuk apa sejarah keluarga. Yang lebih parah ialah apabila anak-cucu bertanya apa yang keluarga kita telah sejarahkan. Apakah jalur sejarah yang kita turut memainkan peranan. Haji Abas bukan kepalang orangnya. Dia berperanan meneroka Simpang Kiri, Batu Pahat. Mukim 4, Parit Sulung. Perang Dunia II yang perit telah dilaluinya. Kependudukan Jepun yang tidak banyak manfaatnya kepada bangsa Melayu selain dari mencetuskan semangat merdeka secara tidak sengaja. Jepun yang kerdil berjaya menghambat British yang besar dan agam. Lalu orang Melayu mendapat inspirasi untuk mencontohi Jepun dari segi semangat dan perjuangan. Orang Melayu tidak mencontohi Jepun dari segi akhlak buruk mereka. Zalim dan karut. Hingga sekarang kita tidak mewarsi sifat dan watak Jepun. Haji Abas terlibat dengan memerangi pengganas komunis yang ingin menguasai Tanah Melayu. Disambut pula dengan perjuangan menuntut kemerdekaan.

Pada diri Haji Abas ada darah pejuang. Pada semangatnya ada nada kebebasan. Pada fikirnya ada jangkauan masa indah untuk anak cucunya. Begitu kecil peranannya pada waktu itu. Tetapi dari sekecil-kecil sumbangan itulah gemanya melantun Padang Merbuk, Bandar Hilir, Melaka. Disambut dengan gema merdeka di Stadium Merdeka. Istilah baru. Nama baru. Orang Melayu kenal stadium ketika menyambut merdeka yang pertama. Ketika diisytiharkan bahawa Tanah Melayu sudah merdeka. Ketika Jalur Gemilang mengangkasa tingginya. Ketika Negaraku bergema di seluruh jiwa raga anak watan. Ketika  seluruh pegawai Inggeris tunduk haru kerana tamat sudah zaman memerah ekonomi tanahair tercinta. Meragut kesemua nilai kesenangan. Haji Abas tegak berdiri antara rakya banyak yang rindukan kemerdekaan itu sendiri. Dari kampung yang terpencil di luar bandar Haji Abas keluar menerjah dunia bahawa hatinya besar untuk merdeka. Untuk mencintai negara tercinta dengan sepenuh upaya diri dan perasaannya.

Apabila usianya telah lanjut dia melihat sesuatu yang jauh dari yang difahaminya. Jauh dari akrab fahamnya sewaktu Tunku bersamanya di dalam sampan pada tahun 1955 dahulu. Kita merdeka untuk bebas. Untuk menikmati apa yang telah dirampas oleh British. Nilai faham itu berubah dari realiti. Benarkah merdeka memberi nikmat? Manifestasi yang jauh dari rindukan kemerdekaan itu sendiri. Setelah 57 tahun ramai lagi orang kita yang di bawah paras kemiskinan. Malah ramai yang fakir dan papa kedana. Di bandaraya seperti Kuala Lumpur mereka yang bergelandangan cukup ramai. Benar kita merdeka tetapi kita tidak merdeka pada hakikat yang paling wajar. Yang berkalana tanpa destinasi cukup memeningkan kepala. Merdeka tidak dapat memberi kemerdekaan kepada mereka. Mungkin nafasnya sudah hilang. Mungkin semangatnya sudah tiada. Atau mungkin generasi mereka memang tidak tahu merdeka itu apa sebenarnya.

Bagi warisan Haji Abas kesemua fasa-fasa pasca merdeka itu telah dilalui dengan wajar. Banyak manfaat yang telah dinikmati. Yang telah diraih bersama berlalunya waktu. Hanya sedikit yang perlu diberikan kembali kepda Haji Abas. Kembalikan perjuangan seperti yang telah dimulakan oleh Haji Abas. Datukmu. Moyangmu. Haji Abas menjadi mercu tanda keluarga. Selalulah tatap wajahnya. Bahawa di sebalik dirinya itu tersirat segala kewajaran dari perjuangannya dahulu. Dalam setiap zuriatnya ada darahnya yang mengalir merah. DNAnya bersama zuriatnya hingga bila-bilapun berakhirnya zaman.



Setelah 58 tahun sejak kaki Haji Abas berjejak di Padang Merbuk, Bandar Hilir, Melaka pada tahun 2004 suatu majlis diadakan di Batu Pahat untuk mengingati veteran merdeka yang dahulunya serak suara melaungkan MERDEKA. Sijil, pen, koleh dan pin Dato Onn kenangan masa lalu yang telah berlalu. Memandang kesemua item tersebut tidak ada apa yang istimewa. Menyorot sejarah gemilang Haji Abas sebelum merdeka dahulu barulah ada sesuatu yang tersirat perlu difahami. Ia adalah lambang perjuangannya tanpa nama.



Gelas ini sangat besar maknanya kepada Haji Abas. Kenangan manis bersama Tunku. Live. In person. Ia terlibat memperjuangkan kemerdekaan. Sama-sama berjuang menentang komunis. Meredah susah untuk mendapatkan semula kemerdekaan negara. Koleksi gelas seperti ini tentu mahal harganya sekarang ini. Dua buah gelas yang lain adalah peringatan 60 tahun pemerintahan Sultan Sir Ibrahim bagi Negeri Johor. Koleksi seperti ini diminati oleh Haji Abas. Setelah berpuluh tahun barulah nampak impaknya kepada sejarah diri Haji Abas. Zaman yang dilaluinya. Peristiwa yang direntas dalam hidupnya.


Cantik gelas ini sempena kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957.  Bahasanya bercampur. Masih tebal dengan pengaruh Inggeris. Hidoplah Malaya Merdeka. 31 st August 1957. Jika kita lihat kembali, kesilapan itu rupanya berlarutan hingga sekarang, Orang Melayu bercampur bahasanya apabila bercakap. Malah mereka yang memegang tempuk pemerintahan kerap benar tidak fasih berbahasa Melayu. Permulaan yang silap berlarutan silapnya. Tiada kekuatan untuk memperbaiki keadaan.