Semalam dua ini entah kenapa mata sukar untuk lelap. Puas ke kanan dan ke kiri. Lama di kanan. Lama di kiri. Terlentang sudah banyak kali. Hendak tiarap senak pula perut. Mata oh mata. Segar juga. Kepala tidaklah berserabut. Tapi mungkin di bawah sadar ada gangguan pada saraf. Puas membujuk. Lelapnya tiada juga.
Kalau nak gugur, gugurlah nangka,
Jangan menimpa si dahan pauh;
Kalau nak tidur, tidurlah mata,
Jangan mengingat orang yang jauh.
Berulang-ulang pantun itu bermain di kepala. Namun tenangnya tidak jua. Pandang ke atas, kipas tetap berputar longlai. Seperti hatiku juga rupanya. Hendak dilajukan, terasa sejuk pula malam ini. Di luar tentulah sudah terlalu sunyi. Hanya sesekali cengkerik berbunyi. Dalam keheningan malam begini terasa pula kuatnya. Allah, kenapa pula basah bantal ini. Aku menangis ke? Tak mungkin. Aku rasa semangatku waja. Jiwaku kental. Tapi kesabaranku teruji juga sudahnya.
Namun jauh di sudut hati ada rasa yang tidak kena. Ada sendu yang tidak ketara. Ada kelompangan yang polos menembus dada. Mengakulah aku bahawa hatiku ini tersentuh jua. Ada rasa hiba yang datang tiba-tiba. Ada sendu yang merawan hati. Meruntun sayu minta dibelai. Siapalah, siapalah yang sudi. Siapalah yang ada. Siapalah yang boleh di sisi. Hidup ini kasih kosong minta diisi.
Bantal basah ini saksi bahawa hatiku lembut jua. Hatiku tersentuh jua. Hatiku lemah jua. Hati anak-anak yang untuk sekian kalinya akan didera rindu nantinya. Hati yang diminta bersabar saban waktu. Hati yang dinanti redanya. Malam-malam begini terusik sangat rasanya. Terpancar paparan-paparan yang entah apa-apa. Hati jadi libang libu. Lemah. Gundah gelana. Resah gelisah. Semakin dekat rupanya. Semakin datang saatnya. Semakin hampir sentuhannya.
Hari ini, pagi ini, saat ini tiba jua janjinya. Mak, cek nak pi dah ni mak. Mak jaga diri ya. Nanti cek telfon bila sampai. Ayah, cek pi dulu ayah. Ayah jaga makan ubat ya. Biasalah ayah banyak diam. Matanya tergenang air. Jenuh dia menahan rasa. Jenuh dia menahan air mata. Janganlah kau gugur wahai air mata. Biar kau ku genang di mata. Buah hatiku akan pergi. Anak kesayanganku ini akan meninggalkan aku. Kau lindungilah dia ya Allah. Peliharalah dia. Aku serahkan dia kepadamu. Selamatkahlah dia.
Emak, emak. Cek pi tak lama mak. Cuti nanti cek baliklah. Aku pujuk emak. Hati emak, mudah benar tersentuh hiba. Tersentuh sayu. Air matanya payah ditahan. Gugurnya deras membasah. Bengkak memerah dari malam. Lama pelukannya menyesak dadaku. Payah dirungkai kerana tidak ingin berpisah lama. Dulu aku selalu juga berpisah. Pergi jauh dan lama. Tidak pula semurah ini air matanya gugur. Ada lambai dan senyum tawa. Tetapi bukan saat ini. Bukan kali ini. Bukan suasana ini.
Hang bawak tak sejadah? Jangan lupa solat. InsyaAllah mak, cek tak lupa. Sedarlah aku bahawa pergiku kali ini adalah pergi yang sukar pulangnya. Pulangnya hanya berbilang hari. Jika dulu pulangkau berbulan di rumah, kali ini pulangku hanya beberapa hari sahaja. Tugasku tidak mungkin habis-habis. Cutiku pendek kerana banyak bertugas. Sebagai profesional, aku bertugas untuk negara. Negara menuntut kehadiranku sepanjang waktu. Tugas dan kerjaya yang nanti menapak dari tahap ke tahap. Tinggi dan semakin tinggi. Jauh dan semakin jauh. Berat dan semakin berat. Sulit dan semakin sulit. Masa luangku nanti semakin singkat. Saat inilah yang dimaklumi emak dan ayah. Pergiku kali ini menjadi pemisah lama. Pemisah rindu yang semakin payah.
Apakan daya. Aku pergi jua. Kehidupan yang mesti dilestarikan. Hidup yang mesti diteruskan. Tugasku adalah untuk diriku. Untuk mu emak dan ayah. Air mataku juga payah di tahan. Empangan kasih yang sudah lama pecahnya. Semalampun aku banyak menangis. Banyak menghambur titisan air bening yang sukar ditahan. Alirnya memanjang pipi, dagu, telekung dan dada baju. Rembesan demi rembesan. Derasnya bak tsunami. Datang dan pergi. Dilambung dan jatuh. Lenganku basah. Tanganku basah. Dalam ketar bibir kau katakan. Cek pi sayang. Nanti cek berkirim salam dan sms. Usahlah bimbang. Hati cek kuat. Cek akan setia menunggumu sayang. Nanti kita bina mahligai cita dan cinta.
Hari ini aku pergi jauh di rantau. Di negri orang. Di tempat orang. Nanti aku akan berada di tempat asing. Namun tugasku bukan memilih. Aku hanya yang menurut perintah. Di mana diarah ke situ aku tujui. Akan ku tunai janji dan tekad. Anak bangsa akan ku didik dengan semangat. Dengan kuat hati. Agar mereka kenal jatidiri. Membina negara bangsa yang kuat. Negara yang utuh. Warganya yang tahan bertahan. Teruji dan diuji.
Air mata ini hanyalah lumrah perpisahan. Ia tergenang dan mengalir. Ia membasahkan pipi kerana pipi sahaja yang mampu dialiri. Masakan ia tersembur keluar. Bukan fitrah namanya. Hari ini aku tinggalkan semua yang ku sayang. Emak dan ayah yang sudah lanjut usia. Yang banyak ubat dari makanan. Yang banyak jaga dari tidur. Yang banyak mengerang dari sihatnya. Yang banyak duduk dari berjalan. Tidak lagi berjalan jauh. Tidak mungkin pula untuk berlari. Duduk dan baring hanya melemahkan semangat tua.
Wahai isteriku, kita berpisah sementara. Senggang waktu aku akan pulang menjengukmu. Menatap wajahmu dan anak kita. Aku akan rindu selalu. Kau bertahta di hatiku selalu. Wahai suamiku, aku pergi dulu kerana tugas negara. Khidmatku ditagih untuk mengembalikan amanah dulu yang ku terima. Hutangku akan ku langsaikan. Budi yang mesti dibalas. Kekasih, malam ini aku tinggalkan kau di sini. Aku akan setia. Ku harap kau juga setia menungguku. Janjiku, janjimu dan janji kita termetrai sudah. Nantilah kita bersama bila saatnya tiba. Air mata juga yang deras sederasnya mengalir. Biarlah. Bebaskan hati dari rasa berpisah dan terpisah. Rasa di dalam yang sukar keluarnya. Kekasih ku relakan pemergianmu. Aku akan di sini. Dengan setiaku.
Intai kita antara nampak
Lewat waktu rindu-rinduan
Perlahan jejariku kau lepaskan. Tadi kau genggam seeratnya. Malam ini tak rela diakhiri perpisahan. Mataku tak tertatap matamu. Wajah yang nanti akan selalu ku rindu. Ingin kau ku dakap sayang. Maaf banyak keterbatasan yang harus dijaga. Tak banyak bicara. Hanya tatapan sayu dan pilu. Ku layan hati semaunya. Luluh juga rasanya. Esok lusa tidak lagi kelibatmu akan ku lihat. Tidak akan dapat ku tatap wajahmu. Hanya bayangmu mungkin yang abadi. Tinggallah sayang. Tinggallah hati. Izinkanku pergi dulu.
Kabare? Seseorang menyapa. Memecah khayalan. Di Selangor ke Johor ni? Bunyimya seperti orang Jawa. Benar ia orang Jawa. Apa khabar? Sapanya. Selamat datang ke Nogori Sembilan den ucapkan. Lamo dah den tunggu. Negeri Sembilan ke ni? Maghilah den belanjo kek kantin. Di Melaka lain pula ceritanya. Selamat datang ke Negeri Melake. Negeri ni kecik tak besau. Cukuplah untuk saya dan cikgu.
Sampai sudah di destinasi. Perhentian awal dalam hidup ku ini. Banyak lagi stesen-stesen lain yang akan aku kunjungi dan huni. Nanti pastinya bertukar sekolah. Nanti pasti bertukar daerah. Bertukar negeri. Di kememterian barangkali. Masa hadapan yang sukar diramal. Akau hanya boleh berharap doa. Memohon kepada Yang Maha Esa.