Perbalahan selalu berlaku kerana ada sebab musababnya. Konflik selalu berlaku kerana hal-hal yang sukar diselesaikan. Apabila kita berhenti sejenak, kita lihat kembali ke dalam perkara, kita mungkin mendapati sebenarnya dalam banyak konflik penyebabnya terlalu remeh. Terlalu kecil. Terlalulah rendah nilainya. Dua buah negara berperang kerana ego kepala negaranya. Dua kumpulan berkelahi kerana ingin dominan ke atas kumpulan yang lain. Dua orang lelaki bergaduh hanya kerana seorang wanita. Dua orang wanita bercakaran kerana seorang lelaki. Pilihan kita banyak. Alternatifnya sangat boleh dipilih. Jika tiada keinsafan tentang kekerdilan diri maka manusia merasa dirinya besar. Jika tiada kesedaran untuk membina ukhwah maka manusia terlerai dari ikatan yang syumul. Keindahan berharmoni dengan siapa sahaja makhluk yang Allah ciptakan.
Hati kita selalu sukar didamaikan. Kalah dengan akal yang selalunya baik. Yang selalunya mencari kebaikan. Orang yang bijak pandai selalu memikirkan apa yang lebih baik. Apa yang lebih membahagiakan. Apa yang merangsang keindahan untuk hidup bersaudara. Hidup berjiran. Hidup bermasyarakat. Selalu orang kata no man is an island. Tidak ada yang hidup sendirian. Cukup dengan beersendirian. Damai dengan dirinya sahaja. Monolog sepanjang hidup. Cukup dengan apa yang dia ada. Tiada perkongsian. Tiada berhubungan. Tidak mungkin begitu. Terlalu banyak yang kita perlukan dari orang lain. Keperluan peribadi kita tidak mungkin kita penuhi sendiri. Makan minum mungkin dapat diusahakan sendiri. Itupun bagi yang berbudi dengan tanah. Berusaha dalam air. Orang lain langsung tidak dapat melakukannya. Perlukan sangat bantuan. Bantuan manusia lain yang selalu didambakan.
Malangnya kita selalu lupa pertolomng orang. Pertolongan besar pertolongan kecil. Kita selalu sepelekan hadiah sumbangan dalam bentuk apapun. Fikirkan sejenak. Mungkin benar nilai sesuatu bantuan itu sangat, sangat kecil. Tetapi, tetapi ketika bantuan itu datang kita sangat memerlukannya. Boleh bayangkan satu situasi di sebuah pondok tol. Kita kekurangan 5 sen untuk membayar tol. Kad kredit beribu ringgit. Mana ada tol menerima kad kredit. Kad bank juga empat atau lima. Mana ada tol menerima charge card. Kerana lambat pemandu di belakang datang membantu. Menghulurkan 5 sen. Ala 5 sen. Bukan besar kereta lembu. Kata orang dahulu. Namun jika kita menoleh ke belakang, deretan kereta mungkin sudah memanjang melebihi biasa. Ada yang kurang sabar mula membunyikan hon. Bayangkan jika pemandu di belakang tidak sudi menghulur 5 sen itu. Bukankah kita berada dalam situasi yang sangat gawat. Sangat memalukan. Sangat mengaibkan. Sangat memberatkan harga diri. Runtuh sebuah diri yang ego. Yang besar. Yang agung. Yang hebat. Hanya kerana 5 sen. Sebuah pondok tol yang menghalang kelancaran sebuah laluan. Ingat tadi di lebuhraya. Kita yang paling laju. Kita potong kenderaan lain sesuka hati. Serius untuk sampai ke destinasi. Seolah-olah orang lain tidak pergi ke mana. Mereka semua tidak sibuk seperti kita. Tetapi akhirnya kita tewas hanya kerana 5 sen. 5 sen yang selalu dibuang oleh kanak-kanak sekarang.
Mungkin kita tidak sempat untuk mengucapkan terima kasih kepada yang menolong 5 sen. Entah siapa namanya. Entah dari mana. Entah banyak mana wangnya. Ketika menerima bantuan itu kita mungkin tidak sedar. Menggelabah kerana malu. Kerana aib. Kerana terkesima sendiri. Pertolongan sudah tidak dilihat lagi. Selepas keluar dari tol kita berlepas diri. Ala 5 sen. No big deal. Terlalu cepat lupa tentang hal besar yang mencemar diri sebentar tadi. Kita tidak merasa suatu bantuan. Suatu pertolongan. Suatu situasi yang diselamatkan. Begitulah kita dengan mansia lain. Ada sahaja yang berkaitan. Tidak pernah terpencil. Apa yang kita perlukan ada pada orang lain. Besar atau kecil bukan isu. Tinggi atau rendah nilainya bukan isu. Orang lain melengkapkan diri kita. Cebisan-cebisan kecil yang selalunya membina sebuah jigsaw puzzle.
Perbalahan bukan sesuatu yang kita perlukan. Kita perlukan sahabat. Teman. Rakan. Kawan. Pembantu. Penasihat. Penunjuk segala kebaikan. Dalam setiap perkara ada rukun dan syaratnya. Bila rukun maka ada yang perlu pasti dilakukan. Jika tidak disempurnakan rukun maka sesuatu hal itu bukan yang hak. Makan tanpa makanan bukan makan namanya. Memandu tanpa kenderaan tentulah bukan memandu. Maka dalam setiap hal ada yang wajib. Ada yang sunat. Ada yang harus. Ada yang makruh. Ada yang haram. Untuk kebaikan utamakan yang wajib. Untuk menambah kebaikan lalukan yang sunat. Yang ada rukun-rukun sahihnya. Yang dilarang beratkan yang haram kerana jelasnya. Tetapi yang makruh usahakan juga untuk dijauhi kerana itu lebih baik. Tiada subhah langsung. Terhindar dari ragu-ragu. Hilang waham. Terhindar dari syak wasangka.
Namun dalam banyak perbalahan orang tidak melihat keutamaan. Dalam perselisihan pendapat tiada rukun yang diikut. Dalam memberi pendapat orang lupa yang mana hak. Seperkara lagi kita cepat melenting menerima berita. Menerima perkhabaran. Maka mulut cepat membidas walaupun belum tahu benar atau salahnya. Kita tidak bertanya rasionalnya. Tiada kewarasan langsung tentang berita itu. Tiada isu langsung. Kita banyak terpengaruh dengan hal-hal yang sangat kecil. Tersangat kecil. Malang sungguh kita tidak pandai memberi pertimbangan yang wajar. Saya teringat rakyat Amerika. Ada tiga kemahiran yang ditanam kepada mereka sejak sedari mereka kecil lagi. Sewaktu mereka di seklah rendah. Mereka dididik untuk memiliki tiga kemahiran kritikal. Thinking, reasoning and research skill. Percayalah jika kita amalkan ketiga-tiganya kita menjadi lebih rasional. Lebih waras. Bercakap ada bukti nyata. Signifikan. Penting. Ada kewajarannya. Bukan emosi. Isu yang selalu mesti diketepikan. Dihindar. Emosi tiada tempat dalam perbincangan. Dalam apa-apa perbezaan pendapat. Malah kadang-kadang bercinta hingga terlaku emosi juga menghalang kewarasan berfikir.
Alangkah indahnya jika manusia menjadi appreciative. Selalu mengenang yang baik. Teringat yang positif. Bila agaknya kita boleh menjadi rendah diri. Memandang orang lain juga mulia di sisi Allah. Kita menjadi rasional supaya tidak membebankan akal dan situasi. Tidak semua kita yang suka berbalah. Yang suka bertengkar. Yang suka menyindir. Yang suka sinis. Yang suka mendera perasaan orang lain. Yang suka membesar-besarkan perkara kecil yang tidak perlu menjadi isu. Tiada isupun. Tiada langsung. Mungkin itu keindahan berhubungan dengan manusia. Melayani kaernah yang tidak kita sukai. Wajib dihadapi. Jika kita selamat daripadanya kita mencapai kepuasan diri yang lebih tinggi. Martabat kita semakin bertambah. Darjat kita semakin besar. Kita tidak akan pernah rugi. Pada zahirnya mungkin terasa rendah di dunia. Di akhirat insyaAllah ada ganjarannya. Syaratnya pastilah ada. Untuk sesuatu yang pasti mesti ada syarat. Redha. Ikhlas. Tulus. Serahkan segalanya kepada Allah. Ketika sunyi Allahlah teman kita. Ketika kita ketandusan kasih manusia Allahlah kekasih kita. Serahkan kepadaNya. Minta pertolonganNya. Minta kebaikan dariNya. InsyaAllah doa yang ikhlas akan dimakbulkan Allah. Berdoalah kerana Allah sangat suka memenuhi doa hamba-hambanya. Ingatlah juga bahawa Allah sangat, sangat dekat dengan kita.