Sunday, December 7, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Firasat Seorang P Ramlee


Sudah lebih 40 tahun dia meninggalkan kita. Airmata di Kuala Lumpur lagu nyanyian Saloma, isterinya, menggambarkan kesedihan ramai warga Malaysia ketika itu. Hingga sekarang filem-filemnya tetap digemari. Merentasi generasi. Merentasi etnik warga Malaysia. Lagu-lagunya tetap diminati melalui Kelasik Nasional. Lagu Dendang Perantau umpamanya tetap berkumandang setiap menjelang Hari Raya. Dialah pelakon, penyanyi, pengarah, penulis skrip, penggubah, penyusun, pelawak, dramatis dan pemain sepak takraw di Kampung Siglap di Singapura. Mengimbau kembali filem-filemnya, penulis terpanggil untuk membuat suatu sorotan zaman. Adakah P Ramlee seorang genius? Atau adakah dia memiliki firasat zaman?

Pertama: Tikar Terbang

Penulis tidak dapat membayangkan bahawa lakonan P Ramlee dalam filem DoReMe menjadi realiti. Siapapun tidak pernah terfikir bahawa tikar terbang itu realiti sehinggalah Tragedi MH370 terjadi. Rasanya hampir keseluruhan rakyat Malaysia dan mungkin nusantara memahami lakonan P Ramlee dengan tikar terbangnya. Zam zam ala kazam. Sampailah mereka ke negara Pasir Berdengung. Rajanya bersemanyam di bawah sebatang pokok. Setelah hampir 40 tahun perginya P Ramlee, tikar cuba diterbangkan. Kenapa tidak kita ambil iktibar. Bahawa kita perlu mengangkat martabat bangsa dengan ilmunya. Dengan teknologinya. Mengapa tidak difikirkan pengangkutan yang senipis tikar boleh terbang. Melangkaui masalah kesesakan jalanraya, masalah parkir, masalah kos, masalah sosial, masalah alam sekitar dan masalah politikal.

Kita harus berfikir lebih jauh. Sultan boleh bersemanyam di bawah pokok. Yang penting bukan tempat. Bukan suasana. P Ramlee melambangkan bahawa yang penting ialah autoriti yang telus. Tanpa dinding dan tanpa bumbung. Tanpa tembok dan tanpa sekatan bilik-bilik yang memisahkan. Tanpa segrigasi dan tanpa segmentasi. Setiap orang boleh melihat dengan terus mata. Tidak perlu mencuri pandang. Tidak perlu membuat intaian. Sesiapa sahaja boleh melihat tanpa hadangan. Tanpa hijab buatan manusia. Pemerintah pula melaksanakan tanggungjawabnya seadanya. Dengan kapasiti yang tersedia. Tiada belanjawan defisit. Tiada belanjawan lebihan. Jalankan tanggungjawab seperti yang diperlukan. Malah realiti bawah pokok berlaku di Perak beberapa tahun yang lalu apabila sebuah kerajaan tumbang dan berlaku perebutan kuasa. Menteri Fasola sahaja yang bersembunyi di dalam gua. Menunggu buluh runcing menikam kakinya. Senjata yang paling dasar yang terdapat di sekeliling kita. Begitulah simplenya pemikiran P Ramlee.

Kedua: Orang Besar Yang Menjaga Kepentingan Diri Mereka Sahaja

Barangkali filem Musang Berjanggut melambangkan realiti masyarakat kita hari ini. Pertamanya, sukar mencari isteri sejati. Kedua, pembesar-pembesar negara yang lalai dan hanya mengejar kepentingan diri. Ketiga, penguasa yang menjaga kepentingan diri. Zaman banyak berubah. Mungkin musang berjanggut hanya dongengan. Tidak mungkin wujud dalam realiti. Yang mengusik jiwa kita ialah garapan P Ramlee memaparkannya di layar perak betapa lawak itu banyak mengenai realiti diri kita orang Melayu. Dari mereka yang berada di atas hingga mereka yang berada di aras yang paling bawah. Wanita yang bernama isteri sukar dicari. Kecerdasannya berfikir sangat luarbiasa. Bila dijumpai semua lelaki menjadi sasau silau terpukau melihat kecantikan rupa parasnya dan tingkah lakunya.

1                    Kecantikan datangnya dari dalam. Diserlahkan pada rupa wajah. Diwarnai dengan akhlak yang mulia.
2                    Ramai lelaki meminati milik orang lain sehingga lupa miliknya juga tidak banyak bezanya.
3                    Ramai orang ingin mendapatkan yang bukan hak dan tidak halal sedangkan dirinya berkecukupan dengan apa yang diperlukannya.

Dialog cantik ini sangat mengujakan:

Datuk nikah kahwin lupa siapa dirinya. Melanggar undang-undang dan larangan agama. Rasanya P Ramlee bukan menghina golongan agamawan tetapi yang cuba diketengahkan ialah sensitifnya kita tentang hukum-hakam agama. Namun kita masih tidak dapat menghindarkan diri dari maksiat dan melanggar perintah Allah. Pemegang kuasa tahu had kuasa yang ada pada mereka tetapi selalu melampaui batas itu. 

Puspawani: "Kanda-kanda, salah tak kalau lelaki masuk ke rumah perempuan ketika suaminya tiada di rumah?"
Datuk Nikah Kahwin: "Ooh! Salah besar tu." 
Puspawani: "Kalau gitu kanda ni salahlah?"
Datuk Nikah Kahwin: "Ya salah jugak. Tapi dinda jangan bimbang. Undang-undang kanda yang bikin. Kanda boleh ubah.” 

Bukan undang-undang yang diubah tetapi pelaksanaannya yang selalu diubah. Disesuaikan dengan siapa yang terlibat. Filem ini cukup tajam sindiriannya dalam lawak yang santai dan menghiburkan. Gula-gula yang bersalut pedas.


Ketiga: Hilangnya Sifat Usahawan

Dalam filem Tiga Abdul, Ismith Ulam Raja sangat kaya. Hartanya di dalam negara dan di luar negara. Sehingga waris-warisnya sendiripun tidak mengetahuinya. Pada waktu kritikal sahaja mereka diberi maklum tentang adanya harta itu. Itupun kepada yang berhak sahaja.

1                    Kekayaan perlulah diperolehi melalui usaha yang istiqamah. Tidak ada tipu muslihat dan menggunakan jalan-jalan pintas yang tidak wajar.
2                    Keadilan dalam faraid adalah untuk kesejahteraan dan kebahagian bersama semua ahli waris. Keadilan mesti ditegakkan walau dalam keadaan apa sekalipun.
3                    Semua keputusan mestilah dengan menggunakan ketenangan fikiran, berpandangan jauh dan memikirkan kesejahterana keluarga, keturunan dan ummah.

Keempat: Pentingnya Amanah

Hari ini kita banyak membicarakan tentang perlunya amanah dalam kehidupan. Dalam filem Anak Bapak diketengahkan konsep ini. Seorang anak suka berjoli tetapi dia tidak mengusik harta ibu dan bapanya. Amanah itu dijalankan dengan sempurna. Dia hanya berjoli dengan haknya sahaja. Masih ramaikah wujudnnya anak jenis ini. Masih ramaikah lagi anak bangsa yang bersedia menjaga hak negaranya. Hak watannya. Hak bangsanya. Apabila berkawan dia tidak mengambil kesempatan. Tidak mengkhianati rakan dan taulan. Malah pemurah dan adil kepada orang-orang bawahannya. Kita menjajakan amanah tetapi sifat amanah tidak dimanifestasikan dalam kehidupan bersosial atau kehidupan berorganiasi. Suatu realiti yang menjengkelkan.

Kelima: Kepentingan Pertanian

P Ramlee telah menunjukkan jalan bagaimana pertanian sangat penting dalam kehidupan. Semua kita boleh melakukannya kerana orang kita memiliki tanah. Dalam filem Ahmad Albab P Ramlee memberikan gambaran betapa pentingnya pertanian untuk kehidupan kita. Perindustrian sebagai tambahan. Pertanian adalah dasar. Sumber makanan dan ekonomi. Kaedahnya atau mekanismanya sahaja yang perlu difikirkan. Jadikan pertanian berdaya saing dan berdaya maju. Sayang, negara kita yang maju dan subur tanahnya membiarkan tanah kosong tanpa usaha. Kita terlalu selesa ke pasar untuk membeli sayur. Tidak ke sekeliling rumah untuk memetik sayur tanaman sendiri. Dari tangan kita sendiri. Tanpa racun yang membahayakan.

Keenam: Akhlak Melayu/Islam

Filem Seniman Bujang Lapok pula sangat memberi tamparan kuat kepada sikap prejudis sebahagian dari kita. Suka hasad. Suka memperlekehkan orang lain. Mereka yang baru berusaha diperkecil-kecilkan usahanya. Yang baru belajar diberi cemuhan. Seorang pengawal berbangsa Sikh mengajar kita untuk:

1                    Berbudi bahasa sesama kita. Menghormati orang lain tanpa mengira kedudukan mereka. Santuni mereka walaupun mereka kelihatan tiada apa-apa yang signifikan untuk mereka sumbangkan kepada kita.
2                    Bantu orang lain yang sedang giat berusaha untuk maju. Paling kurang berikan sokongan moral. Beri motivasi. Jika boleh berikan panduan mengikut  pengalaman orang terdahulu yang telah berjaya.

“Lu pu satu. Macam mana you punya bangsa mau maju. Belum apa-apa sudah cakap macam-macam.” Pedas dialog ini. Tapi itulah realiti di sekeliling kita. Yang negatif mengatasi yang positif. P Ramlee juga bijak psikologi. Sebelum berkomunikasi beri pujian dahulu. Lazimnya manusia teruja apabila dipuji. Boleh menundukkan egonya. Dia akan tenggelam dalam pujian itu. Dalam bahasa biasa kita katakan, lambung dahulu sebelum kita berikan nasihat yang wajar. Sebelum kritik yang mebina. 


Kita semua tertawa menonton gelagat lawak P Ramlee dan rakan-rakannya. Kita lupa bahawa yang kita tertawakan mungkin terkena kepada antara sesama kita. Diri penulis dan sebahagian dari diri pembaca. Yang menjadi bahan lawaknya adalah kita sendiri. Begitulah halusnya garapan P Ramlee sehingga kita tidak menyedari bahawa lakonan itu adalah imbasan realiti masyarakat. Kita lupa bahawa apabila kita mentertawakan orang lain sebenarnya kita mungkin mentertawakan diri kita sendiri. Lawak itu ditujukan kepada kita. Kita menjadi badut-badut zaman. Tiada siapa menyangka P Ramlee telah menyatakan firasatnya bahawa itulah wajah masyarakatnya setelah 40 tahun ditinggalkannya. Dia tidak membadutkan dirinya. Dia melihat bayangan badut itu dalam masyarakatnya lama sebelum ianya terjadi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Semoga kita terkeluar dari menjadi badut akhir zaman. Semoga Allah memberkati kita semua.