Sebagai manusia kita banyak membina tembok. Kebanyakan
tembok itu subjektif. Bukan fizikal. Lebih banyak tembok mental. Mungkin orang
Melayu tidak banyak tembok. Sekadar muka tembok. Tetapi apabila diteliti
orang kita banyak temboknya di sekeliling mereka. Semakin tinggi ego seseorang
maka semakin banyak tembok yang dibina di sekeliling mereka. Mungkin kerananya
semakin seseorang itu berjaya semakin sukar dihubungi. Semakin sukar didekati.
Semakin sukar membina jambatan perhubungan perasaan dengan mereka.
Tembok-tembok inilah yang kadang-kadang menjadikan seseorang itu terpisah dalam
dunia mereka sendiri. Terpisah dari arus perdana dalam banyak hal. Jalan fikir
jadi berbeza. Pandangan hidup berbeza. Mungkin akhirnya membina dunia tersendiri.
Jauh dari kebiasaan orang lain.
Tiada kewajaran untuk kita membina tembok pendinding kerana
ingin mengasingkan diri. Atau kita merasa kita berbeza dengan orang lain. Kita
anggap diri kita adalah istimewa. Dalam kehidupan kita membina tembok di sekeliling
kita dengan mudah. Untuk merobohkannya akan memerlukan kekuatan luar biasa
banyak dan darjahnya. Sebagai manusia yang wajar bersosial kita perlu
merobohkan banyak tembok di sekeliling kita. Proses meroboh tembom lebih rumit
dari membinanya. Pembinaan tembok dari kosong. Dari asas yang paling bawah
hingga ke setinggi yang dikehendaki. Seluas yang kita rancangkan. Mengikut
keselesaan kita. Pada dasarnya begitulah. Tembok-tembok ini tidak banyak
manfaatnya. Kerana tembok sebegitu maka banyak kesan negatifnya.
Tembok malu adalah antara tembok yang sukar difahami. Orang
kita umpamanya tembok malunya sangat tinggi. Terlalu besar. Terlalu tebal.
1
Malu bertanya. Sudah sesat
jalan sekalipun masih malu untuk bertanya.
2
Malu dilihat di
tempat-tempat yang baik. Masjid umpamanya. Atau surau. Atau di majlis-majlis
agama.
3
Malu duduk di hadapan.
Datang awal tetapi duduk di belakang. Jika di masjid duduk bersandar di dinding
belakang. Di kelas begitu juga. Bila ada orang ramai maka tempatnya hanya di
belakang.
4
Malu itu pula disertai rasa
gabrah. Gemuruh tidak menentu. Selalu hilang akal bila dalam public. Anak
Melayu paling kurang bertanya. Apa lagi untuk menyanggah sesuatu yang dilihat,
didengar dan dibaca.
Tembok malas mungkin masih banyak di kalangan kita. Paling
dahsyat ialah malas belajar. Akademik rendah. Kerja peringkat rendah. Maka
pendapatan tidak lumayan. Kitaran ini berulang dan berulang. Orang kita masih
jauh tertinggal di belakang. Dalam ekonomi jauh
sangat. Kebanyakan sumber untuk kaya ada di sekeliling. Tidak menjadi
sumber jika disewakan. Jika dipajak. Jika dijual. Atau digadaikan. Orang kita
sukar untuk mencuba atau mencari pengalaman dalam kerjaya yang kelihatan sukar.
Hanya kerana tidak memahami prosesnya maka kesemuanya dianggap sukar. Kerana itu
hal-hal yang dianggap sukar ini menjadi kerjaya orang lain. Kita pula tidak
senang apabila ianya milik orang lain. Kita sendiri tidak mempu untuk
memilikinya. Jadi bagaimana? Bagaimana dengan teknologi, Pendidikan, hartanah
dan industri yang lain. Kit ajarang memikirkannya.
Masyarakat kita berada dalam kelas yang berbagai. Kerana itu
tembok status kerap dibina oleh mereka yang berada di kelas atasan. Kelas di
atas tidak berapa berminat membangunkan mereka yang berada di kelas bawahan. Orang
kita tidak kaya-kaya. Tidak dapat menyaingi ras atau etnik lain yang lebih
bersungguh-sungguh. Benar ramai orang kita sukakan politik. Jadi ahli politik. Tetapi
menjadi bidk-bidak mainan mereka yang cerdik dalam politik. Yang lebih
pentingkan perut dan tembolok mereka sendiri. Bangsa Melayu terus layu dalam
percaturan politik yang dilihat kurang membina. Orang kita pula sukakan hal-hal
yang percuma. Diperolehi tanpa balasan produktiviti. Akhirnya modal pusingan
orang Melayu hanya tinggal air liur. Gah berpolitik. Tidak prolifik.
Peribahasa Melayu hangat-hangat tahi ayam tetap relevan. Dasar
banyak dibuat. Perancangan Ekonomi Malaysia sudah yang ke-11. Dasar dari atas
tidak mendasar di bawah. Mereka yang di bawah kekal di pelabuhan. Sepuluh jong
masuk, anjing bercawat ekor juga. Ledakan maklumat tidak dimanfaatkan oleh
orang kita. Ledakan teknologi bak angin lalu sahaja. Tembok ego terlalu besar
dan tinggi. Facebook dan media sosial yang lain hanya untuk hal-hal picisan. Hal-hal
tidak signifikan untuk membina agama. Untuk membina bangsa. Untuk membina
legasi orang Melayu. Sudah terlalu lama legasi kita dibina dengan hutang. Dengan
ketidakupayaan. Dengan bawang dan gossip. Dengan cantas mencantas. 61 years
down the drain. That is as I se it. Other people may see otherwise.
Kita perlu merobohkan tembok dan segala tembok yang telah kita
bina. Tembok itu menghalang kita dari melihat apa yang ada di luar. Tembok memenjarakan
pandangan dan minda kita. Kita jadi jumud. Jadi tepu. Tanpa melihat keluar kita
hilang arah. Kita hilang dalam khayalan yang dibina pada persepsi kita sendiri.
Pada hakikatnya kita dalam kepompong kecil yang menjadi sangat tidak signifikan
di mata orang lain. Bak buih seperti sabda Rasulullah saw. Luput apabila ditiup
angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa.