Sunday, May 8, 2016

Mahal dan Murahnya Ilmu



Dalam satu wacana ilmu, seorang peserta mengatakan bahawa bayarannya mahal. Berapa yang dikatakan mahal itu? Sekadar RM30 untuk berkursus sepanjang sehari. Dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 5.00 petang. Dalam wacana yang lain bayarannya RM130. Dianggap pula biasa dan menasabah. Malah ada yang mengatakannya murah. Di mana sebenarnya nilai ilmu? Di mana pula nilai mereka yang berilmu dan berkongsi ilmu?

Mereka yang mengatakan murah sebab mereka memahami bahawa ilmu itu sememangnya mahal.
1                    Perlukan masa yang panjang.
2                    Banyak susah dan payahnya.
3                    Banyak pahit dan maungnya.
4                    Banyak pedih dan raungan hati.
5                    Banyak memendam rasa.
6                    Perlukan istiqamah.
7                    Perlukan motivasi diri yang tinggi.
8                    Memaklumi bahawa hanya usaha yang gigih sahaja memungkin setiap diri dapat menguasai ilmi.

Kita tidak lupa bahawa tidak ada jalan pintas untuk menguasai sesuatu ilmu. Ia tidak datang bergolek. Tidak pipih melayang. Kebanyakan ilmu jauh letaknya. Perlu berpergian berjam-jam lamanya. Atau berhari-hari. Atau berminggu-minggu. Malah berbulan dan bertahun-tahun. Bukan lagi berkenderaan darat tetapi terbang melintasi gunung dan lautan. Dari sebuah negara ke negara yang lain. Perlu pula merentas budaya dan kebiasaan setempat untuk memahami sesuatu jalur ilmu. Sebelum dapat memahami sistemnya. Kerana itu ilmu adalah mahal sifatnya. Tinggi nilainya. Hanya mereka yang mengerti sahaja dapat memberi nilai itu. Bahawa di sebalik ilmu itu banyak mengalir air mata, banyak mengalir keringat, lenguh lutut dan kaki memanjat tangga dan berjalan jauh. Belum ongkos kewangan untuk tambang, makan, sewa rumah dan lain-lain tinggal di negara luar. Kesemua itu menambah nilai ilmu. Menambah mahal kosnya.

Maka harga itu perlu setimpal dengan kehendak hati. Selari dengan sikap posotif. Sesuai dengan stamina yang kita bina. Apabila kita berkongsi pengalaman maka ilmu itulah yang membezakan kita dengan orang lain. Tidak dapat dihindarkan perspekt if diri kita bersandarkan kepada pengalaman kerja. Pengalaman mengembara. Pengalaman menyelesaikan berbagai masalah. Dalam banyak hal yang sukar dilihat mudah. Yang rumit mudah usainya. Yang kusut mudah lerainya. Yang berserabut mudah susunnya.

Banyak perkara tidak dapat dilihat secara fizikal. Tidak dapat dipegang. Mata kita tidak dapat melihatnya wujud secara bungkah keras. Yang dilihat ialah kepelbagaian idea, penyelesaian masalah yang lebih mudah dan keputusan yang lebih relevan.  Mereka yang berpengalaman dilihat:
1                    Lebih santai hidupnya.
2                    Bijak mengawal emosi.
3                    Memberikan yang terbaik kepada orang lain.
4                    Memotivasi orang di sekelilingnya.
5                    Bersifat dinamik dan tidak jumud.
6                    Tetap terbuka untuk menerima input baru walaupun yang menyampaikannya berusia lebih muda dan kurang berpengalaman.
7                    Kekal meneroka bidang-bidang baru.

Mahalnya ilmu adalah relatif. Ilmu lama diperbaharui. Ilmu baru dicari. Yang lama dikongsi. Yang baru menyelimuti yang lama sehingga kelihatan tetap segar dan relevan. Dalam alam yang serba berubah, insan seperti kita dituntut supaya sentiasa berubah. Bukan reaktif tetapi proaktif. Setiap petunjuk dijangkakan natijahnya. Mungkin musibah dan mungkin juga keuntungan melimpah.  Tetapi yang pastinya semua ilmu memberi impak positif andainya digunakan sewajarnya. Tiada maksiat berkait. Tiada salahguna di mana-mana.

Adakah ilmu untuk mereka yang berusia muda sahaja? Atau perlu untuk yang sudah dewasa. Masih relevankah untuk mereka yang lanjut usia? Ilmu dalam bentuknya yang tersendiri adalah suatu entiti yang diperlukan setiap masa. Dalam lingkungan kehidupan kita, ada mereka yang memiliki ilmu yang diperlukan. Namun banyak lagi ilmu yang tidak dimiliki. Kerana itu banyak ketikanya kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila sesuatu terjadi. Khususnya musibah. Malah dalam keadadan santai banyak perkara yang perlu diketahui supaya hidup kita benar-benar bahagia. Sejahtera.


Maka dalam hidup ini kita tidak boleh diam-diam tetapi tidak berisi seperti ubi. Khuatir pula diamnya seperti besi. Berkarat dan akhirnya hancur begitu sahaja tanpa memberi apa-apa manfaat. Hanya besi yang disepuh sahaja banyak manfaatnya. Bukan sahaja berkilat tetapi tajam diasah dan bermanfaat setiap masa. Ada sahaja ketikanya berguna untuk tugasnya sebagai besi. Mungkin menjadi peralatan yang berbagai kegunaan. Begitulah minda yang diasah, tajam merentas banyak situasi. Mudah berfikir. Jalan fikirnya pula tajam. Alert and sharp. Luas dan merentas berbagai bidang.  Yang pastinya ilmu membariskan diri seseorang pada tahapnya yang sepadan dengan tahap ilmu itu sendiri.