Pelita minyak tanah. Siapa lagi yang boleh ingat. Itulah pelita. Itulah lampu. Itulah cahaya yang menerangi hidup kecil dan remaja saya. Bila malam terpaksa diletakkan di tempat yang tidak mudah tumbang, tidak mudah tumpah minyaknya. Jika tidak alamat terbakarlah rumah. Tidak mungkin pelita itu tumbang dan tumpah sendiri. Kalau berlaku, pesalahnya ialah kucing atau tikus atau angin yang menerjah masuk dari rekahan dinding kulit kayu dan pelepah sagu. Itulah rumah dahulu yang terlalu daif, jauh dari segala kesempurnaan.
Bila melihat Taj Mahal saya, saya tidak dapat bayangkan bagaimana hidup saya dalulu boleh saya lalui dengan tanpa sebarang sungutan. Tanpa sebarang rungutan. Itulah fasa-fasa yang dilalui dalam hidup ini. Saya melalui zaman-zaman yang tidak menentu, yang tidak pernah menjanjikan apa-apa, yang hanya menjanjikan hidup tanpa berkira untuk apa hidup ini sebenarnya. Mana ada perancangan. Mana ada strategi. Terima sahaja ketentuan yang ada. Allah yang tentukan.
Dalam keadaan seperti itu apalah yang hendak disebut-sebut. Tidak ada unsur motivasi. Tidak ada contoh teladan yang harus diterap. Tidak ada lambang-lambang kejayaan yang boleh ditarbiahkan diri. Hidup seadanya. Hidup hanya kerana hidup sebab orang lain hidup, sebab Allah menghidupkan.
Hidup adalah perjalanan yang tidak dapat dijangka dan diramal di mana destinasinya, di mana arah tujunya dan di mana noktahnya. Makanya, banyak yang dilihat hanyalah fatamorgana. Ilusinya tidak ada kerana diri saya tidak pernah mengimpikan sesuatu yang tidak pernah wujud dalam minda. Mimpi-mimpi indah hanya untuk mereka yang tahu. Bagi yang naif seperti saya tidurnya tidak bermimpi. Jaganya memang jauh dari disapa mimpi. Mengigau jauh sekali. Bayangan masa hadapan tidak pernah dijamah.
Pelita minyak tanah yang menerangi malam saya dulu tidak pernah memberikan harapan. Saya tidak kenal apa itu harapan. Waktu saya tidak berkasut dahulu, kaki saya tidak pernah mengimpikan bahawa suatu waktu nanti saya akan menjelajah dunia. Waktu saya berjalan kaki saya tidak pernah bermimpi untuk terbang di angkasa merentas bumi. Waktu saya makan nasi sejuk yang berlaukkan sambal dan belacan goreng dahulu, saya tidak pernah mimpikan makan dihotel lima bintang. Waktu saya tidur di atas lantai batang pinang dahulu, saya tidak pernah mimpikan tilam empuk dan katil cantik bersama comforter gebu. Semuanya tidak ada dalam kosa kata saya.
Mana pernah mimpikan kapalterbang. Mana beefsteak dan lamb chopnya. Mana comforternya yang gebu di atas katil. Mana kenderaan yang digerak sesuka hati. Mana pakaian cantik yang diperaga untuk penampilan segak. Mana rumah besar untuk santai dan damai.
Rupanya pelita minyak tanah menjadi penyuluh masa hadapan saya yang menjauhi saat-saat payah yang saya lalui. Terangnya tidak seberapa. Bila ditiup angin kencang, malap dan mungkin mati. Jenuh juga menggesek macis kerana angin tidak mengizinkan nyalanya. Itu belum dikira jelaga yang menghitamkan atap, dinding dan segala. Malah telinga dan hidung juga hitam dek jelaga. Manalah anak-anak sekarang boleh melihat kembali susah payahnya zaman-zaman itu. Tiada rakaman waktu. Barangkali filem-filem Melayu tahun-tahun 50an dan 60an masih dapat memberikan gambaran daif itu. Kembalilah ke zaman susah payah orang tuamu. Mereka dulunya orang-orang yang tiada harapan.
Pelita minyak tanah berbagai-bagai fungsinya. Jika yang tinggi dinyalakan untuk menerangi rumah. Yang berdinding mungkum untuk tujuan penyuluh jalan bila berjalan malam. Yang berperisai untuk menyuluh pokok getah apabila menoreh malam. Menyuluh kata orang kampung saya. Bila menjelang Hari Raya terutamanya malam tujuh likur, pelita panjut pula dipasang. Entahlah apa yang diterangi. Mungkin menggembirakan perasaan. Kerdipan pelita-pelita itu hanya sekali dalam setahun. Menyediakannya suatu nikmat anak-anak seperti saya. Cuma bila tiba zaman remaja kebiasaan itu ditinggalkan, ada rasa kemalasan, ada rasa mahu meninggalkan kebiasaan. Sampai masanya lampu-lampu elektrik penggantinya. Hilanglah sesuatu yang menjadi milik, yang dimiliki, yang miliknya hanya kita sahaja. Walaupun masih ada di mana-mana tetapi keghairahannya sudah jauh menurun. Ia bukan lagi sesuatu yang mesti. Nostalgia sahaja.
Waktu di sekolah rendah dahulu saya tidak pernah berjaga malam. Sewaktu hendak mengambil peperiksaan memasuki sekolah menengah dahulu, seingat saya adalah sedikit-sedikit menjenguk buku. Yang lainnya hanyalah berserah kepada kecerdasan minda. Tidak ada tuisyen, tidak ada motivasi, tidak ada bimbingan, tidak ada kaunseling, tidak ada, tidak ada, tidak ada. Belajar mengikut arus. Ketika itu benarlah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tidak terbayang bahawa besi boleh terapung, besi boleh terbang. Tidak masuk akal yang gambar dan suara dibawa angin. Semuanya menjadi sesuatu yang sukar digambarkan oleh orang-orang sekarang. Hingga tahun-tahun 80an teknologi bukan secanggih sekarang. Orang tua seperti saya hanya mampu menjadi penonton. Tidak mungkin untuk mengikuti. Mengertipun sudah cukup membanggakan.
Sebab itulah kita harus menjalani fasa-fasa kehidupan dari bawah, dari tidak tahu, dari asas, dari daif, dari susah menyusah, dari pengalaman-pengalaman payah. Perlahan-lahan kita keluar dari kepompong diri yang terbelenggu masa dan keadaan. Kita keluar melihat besar dan fananya alam yang terbentang. Lalu kita menggarap seadanya apa yang dapat membahagiakan diri. Yang dapat membawa kita ke suatu aras dan arah yang punya rencana. Kita lalui hidup ini dengan penuh yakin bahawa di sana ada destinasi-destinasinya yang tersendiri. Kendatipun setesen-setesen di sepanjang perjalanan hidup kita tetap dihenti. Barangkali kita perlu menghimpun nafas semula sebelum meneruskan perjalanan yang entah bila hentinya.
Melalui perjalanan ini kita ingin membawa orang-orang yang kita kasihi berkongsi rasa, berkongsi bahagia. Membahagi nikmat dan keindahan hidup yang penuh kebersamaan dan keberadaan. No man is an island. Tiada siapa yang boleh hidup sendiri. Lalu semuanya mesti dikongsi, dikongsi supaya nikmatnya berganda. Perkongsian itulah yang melestarikan kehidupan. Kesinamnbungan hidup membina makmur yang selalu mengujakan. Harapan dan janji-janji indah kehidupan itu sendiri.
Cahaya pelita yang terangnya tidak seberapa mestilah dikongsi dengan persekitaran kita. Pelita itu memanglah membakar dirinya dan menerangi yang lain. Pendidikan dan teknologi telah mengubah paradigma itu. Kita tidak lagi mengambil kata-kata itu sebagai dogma. Bukan juga suatu prophecy. Kita keluar dari label itu untuk mencipta paradigma baru.
Sebagai guru, saya tidak mahu membakar diri walaupun ada niat suci dan syahdu untuk menerangi orang dan yang lain. Saya perlu menerangi diri saya dahulu, menjadi terang lalu saya berupaya menerangi orang lain dengan cahaya itu. Saya tidak perlu membakar diri. Saya tidak mahu menjadi sumbu yang dibakar dan terbakar. Saya adalah elemen lain yang tidak perlu dibakar. Saya sudah terbakar cukup lama. Masih terbakar dan masih ingin membakar lebih kuat diri ini. Ingin pula membakar semua orang yang ada di sekeliling saya. Yang dekat akan terasa terbakar. Yang jauh akan terasa bahangnya walaupun jauh dari api yang membakar. Yang tahu terkesima dengan panas dan yang tidak tahu tercari-cari cahaya yang membakar.
Sewaktu mengambil LCE (SRP sekarang) dan OSC (Oversea School Certificate: SPM sekaranag) dan MCE (Malaysian Certificate of Education: SPM juga bentuknya tetapi diambil serentak dengan OSC) pelita minyak tanah itulah yang setia menemani saya untuk nmenyuluh minda saya. Suatu rahmat besar apabila lulus dalam kedua-dua fasa pendidikan saya itu. Sebelum di tingkatan lima, belajar saya di atas lantai. Duduk, tertiarap dan tertungging beralaskan bantal. Allahu Akbar. Mana ada meja. Mana ada kerusi. Di lantai itulah saya terangi diri saya. Pelita itulah yang menyinari studi saya. Apalah daya kerana semuanya dalam serba kepayahan.
Saya teringat senikata lagu Allahyarham Sudirman:
Malam ku suram
Siang ku kelam
Ku kegelisahan
Mencari-mencari
Ke mana pergi
Harga diri ini
Derita Sudirman banyak bersebab mungkin kegagalan cintanya dan rumahtangganya. Derita saya kerana kemiskinan dan kepayahan yang diwarisi. Yang memang itu keadaannya. Tetapi bukan pula diminta atau dinanti. Ianya semulajadi. Lumrah zaman itu. Bukan fitrah. Barangkali pelita minyak tanah tidak cukup kuat untuk menerangi alam keliling yang lebih luas skopnya. Ia menerangi ruang lingkup yang kecil dan sempit. Pandangan kita jadi dekat dan juga sempit.
Tidak dapat dibayangkan lagi waktu payahnya saya berada di tingkatan lima. Tahun yang mendambakan kejayaan peperiksaan. Sekali lagi, mana ada tuisyen, mana ada motivasi, mana ada bimbingan, mana ada kaunseling. Jika guru boleh memberikan gambaran tentang light at the end of the tunnel sudah dikira sangat bagus. Nampaklah cahaya yang bersinar harapan, lebih terang dari pelita minyak tanah saya.
Akal bergerak. Mahu juga seperti orang lain. Entah melihat di mana. Entah belajar di mana. Entah pandai siapa. Saya cari kayu dan papan. Bagai orang buta, melukis di minda. Saya potong dan cantum sebuah meja berkaki empat dan panjangnya sekira dua meter. Bangunnya tidak kuat, papannya jarang dan tinggi rendah. Kerusinya juga goyang tidak menentu. Lalu duduklah saya setahun itu. Belajar menggunakan meja. Terasa dada tidak sesak dihimpit bantal. Terasa badan tidak sakit berlaga lantai. Bahu tidak tertekan kerana menongkat. Namun pelita minyak tanah tidak berubah. Tempatnya berubah. Dulunya pelita itu dilantai. Kini ia naik ke tahap tinggi. Duduknya di atas meja bersama saya. Lebih menerangi di tempat yang lebih tinggi. Naik sedikit statusnya.
Hingga saya sudah bekerja, masih saya abadikan meja itu. Saya kira sehingga arwah ibu saya meninggal pada tahun 2001, meja itu masih ada. Waktu saya bercinta, saya abadikan coretan MAZAYU - Maznah dan Yusof. Alhamdulillah kami abadi hingga sekarang. Coretan itu saya abadikan juga pada loket isteri saya. Saya ingat, dia juga ingat. Itu ingatan kami.
Pelita oh pelita. Zamanmu sudah lama berlalu. Terangmu sudah tidak diperlu kerana ada yang lebih terang. Setiamu sudah lama dilupakan. Liang liukmu yang dulunya merisaukan sudah tidak menggamit rasa lagi. Padammu yang mencipta kegelapan tidak lagi mengimbau bimbang. Terangmu yang sedikit itu rupanya berkekalan dalam minda. Ia membekalkan cahaya dan sinergi kehidupan yang terus diteroka. Dari zaman berzaman, pelita itu akan terus menyala dalam minda dan qalbu. Bukan lagi untuk membakar diri tetapi untuk menerang dan memberi terang. Namun bahayamu tetap ada. Kau menerang dan kau juga membakar. Jauhari jua yang mengerti akan erti terangmu.