Hidup kita selalu penuh dengan kejutan. Sesimple mana sekalipun hidup kita ada kejutan yang setaraf dengan kita. Orang besar kejutanny abesar. Orang kecil kejutannya kecil. Orang yang bukan siapa-siapa masih ada kejutan yang Allah hadapkan kepadanya. Pukul 9.30 pagi hari Khamis 7 Mac 2013 saya didatangi oleh pengajar Bahasa Arab saya. Katanya saya diminta untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran pada majlis konvokesyen Universiti Zarqa tengahari itu. Terfana juga saya sebentar. Betulkah apa yang saya dengar ini? Spontan saya jawab setuju. Saya kira tentu ayat-ayat yang mudah sahaja. Saya dijemput pula ke kamar dekan Markaz al-Lughaat. Fakulti Bahasa. Saya diminta membaca surah al-‘Alaq. Nampaknya dia gembira dengan bacaan saya. Saya diminta menunggu untuk majlis yang akan diadakan. Acara hari itu saya teruskan dengan menghadiri kelas seperti biasa. Cuma saya bingung sebentar. Kenapa hanya pada pagi itu baru saya dimaklumkan. Saya tidak bersedia dari segi psikologi. Tiada persediaan dari segi pakaian. Aduhai! Macam mana ni. Simpang siur hati saya memikirkannya. Jika beberapa sekurang-kurangn adapat saya gayakan bacaan saya. Mungkin sedikit taranum mana yang saya tahu. Di Malaysia hal seperti ini tidak pernah terjadi. Orang yang terpilih untuk membuat persembahan sudah dikenalpasti berbulan-bulan lamanya. Diminta berlatih. Turut serta dalam raptai dan sebagainya.
Kadang-kadang banyak perkara yang berlaku dalam hidup kita tanpa kita tahu signifikannya. Atau sekuennya. Kita hanya melakukan sesuatu yang pada perasaan dan pandangan kita itulah suatu rutin sahaja. Kita jarang menyangka yang lain. Tidak juga menjangkakan yang lain. Suatu hari, dua minggu lalu guru bahasa Arab saya demam. Guru penggantinya Ustazah Ala membawa kami ke makmal bahasa. Kebetulan antara topik hari itu ialah membaca potongan ayat-ayat al-Quran. Kami semua membacanya mengikut kemahiran masing-masing. Ustazah Ala memuji semua orang kerana boleh membaca al-Quran. Saya tidak pula terasa apa-apa. Rupanya itu peristiwa yang membawa barakah kepada saya barangkali. Mungkin dia menceritakan kepada Dekan tentang saya. Atau kerana ada keperluan maka nama saya yang terlintas di mindanya. Memang terkejut besar saya menerima penghormatan sebegitu. Di sebuah universiti swasta yang ternama di Amman. Di Jordan. Di negara orang. Sudahlah begitu di negara Arab pula. Hampir seluruh audiennya orang Arab. Jika ada orang luar semuanya pelajar bahasa Arab. Saya tidak tahu apa penerimaan mereka. Saya baca mengikut kemahiran saya. Mengikut apa yang telah saya pelajari. Saya mewakili Malaysia ketika itu. Mewakili semua pelajar-pelajar asing. Saya tunaikan sesempurnanya.
Barangkali pengalaman di atas pentas membantu saya untuk memperkemas diri. Kebetulan minggu lalu saya berpakaian kemas sedikit. Hari-hari memakai kasut kulit hitam. Bersetokin hitam. Berseluar hitam. Baju kemeja disarung dengan baju tebal. Di bahagian luarnya saya memakai jaket berwarna cokelat. Segak jugalah agaknya. Perasan sendiri. Pada pukul 11.30 seorang pelajar Malaysia memanggil saya melalui telefon bimbit. Saya bergegas meninggalkan kelas kerana Ustazah Ala sudah menunggu. Di dewan konvokesyen sudah penuh dengan graduan, pelajar dan ibu bapa. Tetamu jemputan baru mula beransur-ansur memenuhi ruang duduk tamu. Saya cari kerusi dan duduk bersahaja. Kanak-kanak merenung saya mungkin kelainan pada raut wajah saya yang bukan Arab. Walaupun mirip-miripnya ada tetapi hidung saya tidak dapat menyembunyikan fakta yang benar. Melayu tetap Melayu. Alhamdulillah Islam menjadikan saya umat seperti orang Arab juga.
Dewan masih santai lagi kerana acara belum bermula. Tiba-tiba muzik dimainkan. Lagunya agak rancak sedikit. Itu rupanya isyarat bahawa sesuatu yang tidak dapat saya duga berlaku. Saya sangat terkejut. Graduan lelaki bangun menari-nari dan berbunyilah siaulan orang Arab apabila mereka bergembira santai menceriakan hati masing-masing. Susana seperti itu tidak pernah saya lihat di Malaysia. Baik di UM, UTM, UTHM, UTP, UiTM, UIA atau semasa saya di US dahulu. University of Pittsburgh yang gah itupun ada sopannya yang tersendiri semasa konvokesyennya. Di Universiti Zarqa budaya ilmu hilang tertiarap merata kerana rupanya disiplin itu tidak ada. Satu dewan berpesta dengan kebisingan yang mengatasi segala-galanya. Kali pertama saya melihat budaya Arab dari dekat. Di depan mata. Tidak mungkin ianya berlaku di Malaysia. Konvokesyennya sopan santun. Beradab. Penuh dengan protokol dan etiket. Senyap. Tiada budak. Semua orang tegak duduknya. Mata sahaja yang beralih ke kanan dan ke kiri. Tempat duduk payah hendak berkisar. Kata orang putih solemn.
Di Zarqa keadaan seperti tidak terkawal. Langsung tiada protokol. Budaya yang terlepas. Kebebasan yang sukar saya gambarkan. Ustazah Ala meminta saya duduk di barisan hadapan di sebelah kiri dewan. Dalam gemuruh acara hendak dimulakan, dewan senyap sedikit. Terdengarlah patah-patah perkataan yang antaranya, “Tolib min Malaysia, Ustaz Yusof.” Cukuplah. Apabila dia memandang ke arah saya itulah isyaratnya untuk saya menaiki tangga yang tidak berapa tinggi. Saya langkah beradab. Arahnya rostrum yang sudah sedia dibuka al-Quran. Surah ak-‘Alaq. Seperti biasa saya betulkan pembesar suara separas mulut saya. Saya pandang ke arah audien. Wow! Semua mata ke arah saya. Mata orang Arab. Orang tua dari mana ni? Itu agaknya pada pertanyaan mereka. Tidak ada kerusi. Tidak ada meja. Rostrum itulah tempat saya membaca al-Quran. Kering tekak saya. Walaupun sudah biasa di hadapan audien tetapi kali ini di tempat asing. Di tempat orang. Di tempat yang berbahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Di tempat yang audiennya adalah orang Arab jati. Tulen. Setiap kesilapan saya tentu ramai yang boleh mengesannya. Alhamdulillah tamat sudah. Senyap seketika dewan sewaktu ayat-ayat suci dikumandangkan.
Selepas tamat bacaan al-Quran majlis disambung semula. Tamat ucapan Dekan Fakulti Bahasa. Lupa pula saya. Namanya Dr. Ilham. Seorang wanita. Pada hari itu dia memakai baju luar berwarna hijau menyerlah. Apabala tamat ucapannya, majlis penyampaian ijazah dimulakan. Muzik bermula semula. Ketika itu seluruh dewan gegak gempita dengan tepukan. Dengan tarian. Dengan siulan. Upacara konvokesyen itu penuh dengan kegembiraan yang tidak terkawal pada persepsi saya orang Malaysia. Orang yang selama hidupnya berda di Malaysia. Budaya kita lain. Amalan kita lain. Persepsi kita lain. Konvokesyen di Jordan bukan suatu agenda berprotokol. Tiada etiket. Semuanya terlepas kerana pada hari tersebut mereka melepas segala jerih perih belajar bertahun-tahun. Memerah otak. Mendepani ujian dan peperiksaan. Melangsaikan banyak tugasan yang bebannya berat memberatkan. Pada majlis konvokesyen itu mereka melepas geram bertahun-tahun .
Pengamatan saya menunjukkan ada kelainan yang sangat berlainan.
1 Tiada hiasan apapun baik di atas pentas, di dewan, di luar dewan atau di kawasan universiti. Jika tidak diundang membaca al-Quran saya tidak tahu ada majlis konvokesyen pada hari itu.
2 Tiada protokol pakaian sama ada untuk graduan atau untuk petugas. Mereka bebas memakai fesyen yang mereka ada, tanpa mengira warna. Ramai petugas yang memakai seluan jean. Graduan juga begitu. Kasut warna warni. Tudung berwarna warni.
3 Kanak-kanak ramai di dalam dewan. Tiada larangan membawa mereka. Untuk melihat abang dan kakak. Atau mungkin untuk melihat ibu dan bapa mereka menerima ijzah.
4 Muzik rancak mengisi ruang. Peluang untuk bergembira. Dizahirkan oleh pelajar dan graduan.
Ada baiknya bergembira dalam suasana yang sewajarnya digembirakan. Majlis konvokesyen bukan majlis yang suram, pegun dan mengerikan. Penuh dengan istiadat yang asing kepada kita sebenarnya. Warisan British yang tiada habis-habisnya. Merdeka pada fizikal tetapi masih terikat kuat mendokong budaya mereka. Di Jordan graduan memakai motar dan jubah konvokesyen tetapi mereka menyatkan kegembiraan mereka. Dalam sudut yang lain ianya mengejutkan saya kerana yang dipertontnkan bukan budaya Islam. Bukan budaya yang syarie. Rupanya budaya barat menenggelamkan seluruh umat Islam di seluruh dunia. Guru bahasa Arab saya meninggalkan dewan sebaik sahaja saya tamat membaca al-Quran. Begitu juga pelajar Malaysia meninggalkan dewan kerana suasana yang ada tidak mendamaikan hati. Ada kejengkelan yang meredam di dalam. Bungkem menahan rasa tidak enak. Apa sudah jadi sebenarnya kepada harapan Islam pada masa hadapan. Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya. Saya takut jawapannya juga menakutkan. Tanda-tanda akhir zaman yang sudah lama diberitakan.