Thursday, April 24, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Bahasa Arab Bahasa Ke Akhirat

Agama Islam milik kira-kira 20% penduduk dunia. Tidak semua Muslim bercakap dan menulis dalam Bahasa Arab (BA). Cuma diperakui bahawa kesemua Muslim menggunakan BA untuk membaca al-Quran, membaca hadith, solat, syahadah dan berdoa. Mungkin ramai yang terkejut jika dikatakan bahawa seluruh penduduk dunia menggunakan BA sama ada banyak atau sedikit. Kita biasa dengan nombor ini 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 0. Cuba cari kamus Bahasa Inggeris. Tidak kira kamus British atau American atau Australian atau Canadian. Di dalam kamus-kamus itu nombor-nombor tersebut diistilahkan sebagai nombor Arab. Yes, Arabic Numbers. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikannya. Semua sarjana walau dalam bidang apa sekalipun akan memperakui bahawa nombor itu adalah nombor Arab. Wahai manusia kesemua kamu telah menggunakan sebahagian dari BA. Wahai orang-orang yang beriman pula kamu menggunakan lebih banyak BA dalam kehidupan kamu sehari-hari. Sesungguhnya BA menyatukan kesemua Muslim tanpa mengira mazhab yang mereka anuti. Solat berjemaah boleh bersama-sama walau di mana mereka berada. Mereka membaca al-Quran yang sama. Qiraat sahaja yang mungkin berbeza. Maknanya BA bukan sahaja menyatukan kesemua Muslim bahkan ianya juga menyatukan kesemua manusia di atas muka bumi ini. Agama Islam lahir bermula dengan BA. Allah telah menyediakan BA sejak dari Syam bin Nuh alaihi salam. Jazirah Arab tempat asalnya. Cabang qabilah Arab yang istimewa BAnya ketika kemuncak keindahannya ialah Quraisy. Rasulallah S.A.W. lahir dalam keindahan BA Quraisy. Wahyu diturunkan dalam BA Quraisy. Allah menjamin bahawa al-Quran akan berkekalan. Allah yang menurunkannya dan Allah jua yang menjaganya. Selagi al-Quran terjaga bermakna BA juga terjaga dengan rapi. Apabila agama berkembang dengan baik maka BA turut sama berkembangnya. Setelah hampir 15 abad ada tanda-tanda bahawa BA tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Ramai Muslim yang tidak tahu berBA walaupun mereka solat dengan BA. Membaca al-Quran dangan BA. BA hanya keperluan untuk menunaikan ibadah yang khusus tetapi tidak dijadikan sebagai bahasa yang menjunjung ilmu. Memperkukuh kesarjanaan Islam. Banyak telah diceritakan bahawa kita boleh menterjemah berbagai bahasa ke dalam bahasa-bahasa lain. Namun begitu setiap terjemahan tidak pernah 100% sempurna menepati maksud yang hendak disampaikan. Tidak ada bahasa yang benar-benar dapat diterjemahkan dengan setepat-tepatnya. Kerana itu untuk sempurna mempelajari agama Islam, kita wajib kembali mempelajari BA. Menggunakannya. Mengamalkannya. Memperkembangkannya. Di dalam bahasa terdapat adat dan peradabahan yang khusus kepada pengguna bahasa itu sahaja. Bahasa diperlajari bersama budayanya. Tidak pernah terpisah. Kita telah terlalu lama dijajah. Minda dan semangat kita hilang bersama penjajahan. Di negara Arab BA bukan lagi satu-satunya bahasa yang mereka gunakan. Banyak yang menggunakan Bahasa Inggeris selain dari Bahasa Perancis. Bukan tidak ramai yang mempelajari BA tetapi bukan lagi sebagai bahasa yang diberi keutamaan di dunia. Kepada orang kita BA bukan bahasa komersil. Perut tidak kenyang dengan BA. Begitulah karenah manusia memperlecehkan BA. Percayalah di alam barzah dan di akhirat nanti kita akan hanya berBA. Hilang semua kebanggaan berbahasa ibunda di dunia. Sebab itu ulamak menggesa untuk kita yang Muslim mempelajari dan menggunakan BA. InsyaAllah mendapat pahala kerana mempelajarinya. Mendapat pahala kerana menggunakannya. Sertakan dengan niat yang murni bahawa kesemua usaha itu kerana Allah. Cuma kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran (P&P) BA di negara kita dilihat payah. Dirassa payah. Barangkali pedagoginya perlukan pendekatan baru. Kepada orang dewasa umpamanya, BA hendaklah dengan memperbanyakkan latihan. Latihan menulis digandingkan dengan latihan menuturkannya. Dengan lahjah dan intonasi BA yang wajar betul. Seperti ketika membaca al-Quran apa-apa teks dalam BA hendaklah dibaca dengan bunyi dan lahjah yang sama. Cuma BA tidaklah bertajwid seperti membaca al-Quran. Ganjil pula nanti jadinya. BA yang penulis pelajari di Markaz Nil di Kaherah ini menyakinkan diri penulis sendiri. Boleh diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Jangkamasanya selama 15 bulan. Atau 15 mustawa. Tingkatan. Empat minggu setiap mustawa. Setiap dua minggu ada peperiksaan. Peperiksaan pertengahan mustawa dan peperiksaan akhir mustawa. Kelas harian hanya selama dua jam. Namun begitu pengisiannya sangat padat. Setiap hari banyak kerja rumah dalam bentuk latihan. Jika hendak rajin biasalah tidur hingga lewat malam. Kadang-kadang hingga pukul satu atau dua pagi. Andainya hendak santai terpulang kepada individu. Jika hendak bermalas-malasan juga terpulang kepada individu. Konsepnya belajar tetap belajar. Perlu ada sistem. Perlu ada disiplin. Rugilah jika kegagalan untuk hadir sehingga tidka boleh mengambil peperiksaan. Bermakna menulang mustawa. Atau jika gagal dalam peperiksaan juga perlu mengulang mustawa. Belajar perlu istiqamah. Ada objektif yang jelas. 1. Niat yang betul dan kerana Allah. 2. Yakin diri dan menolak semangat mudah putus asa. 3. Usaha yang tidak mengenal penat. Disertai dengan kesabaran yang sepenuhnya. 4. Meninggalkan maksiat. Apa sahaja yang dikategorikan sia-sia perlu ditinggalkan. 5. Banyak membuat latihan. Banyak membaca, banyak mengingat dan banyak menghafal. 6. Cari ilmu, amalkannya, berdakwah dengannya dan bersabar dengan kekangan, cabaran dan tentangannya. Sepintas lalu memanglah BA sangat sukar dipelajari. Walau bagaimana sekalipun sekiranya dibina sistem yang baik ianya boleh mempermudahkan P&Pnya. Apabila sudah memulakannya terasa sangat keindahan BA. Benarlah al-Quran mu'jizat paling agung dalam sejarah manusia. BA di dalamnya sangat halus. Satu kalimah yang berbagai tafsirannya. Malah kadang-kadang huruf yang sama diberi tafsiran yang berbeza. Sebab itu membaca terjamahan dari BA tidak dapat memberi kepuasan yang mendalam seperti memahami BA itu sendiri.

No comments:

Post a Comment