Monday, February 16, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Hidup Dan Menghidupkan



Sewaktu seseorang itu hadir, ramai orang yang tidak perasan kehadirannya. Orang melihat tetapi tidak nampak segalanya. Orang mendengar tetapi hanya sekadar alunan suaranya. Apabila seseorang itu tiada barulah kita menyedari ketiadaannya. Kelibatnya tidak lagi dilihat. Suaranya tidak lagi didengar. Tiada lagi hadirnya yang memenuhi ruang untuknya. Serinya sahaja yang tinggal tanpa wajahnya. Barulah kita ingin mendengar apa yang dikatakannya dahulu. Baru kita mahu melihat rupa fizikalnya yang sebenar. Baru kita mahu membaca nasihat dan ilmunya. Baru kita ingin tahu berbagai cerita dari ahli keluarga, sahabat handai dan lawannya. Namun begitu orang lain telah lama mengenali hati budinya. Telah mengerti ilmu dan alimnya. Telah mendengar isi hatinya. Telah mengikuti jejak langkahnya. Auranya telah dilihat dan dinikmati. Natijahnya ialah apabila seseorang itu meninggalkan integriti dan amanahnya kepada kita barulah kita mengerti siapa dia yang sebenarnya. Dia meninggalkan terlalu banyak khazanah dunia dan khazanah akhirat. Dia tidak membawa apa-apa yang fizikal kecuali kain kapannya sahaja. Membawa pahala dan ganjaran yang diamalkannya dahulu. Membawa ganjaran amal jariah, ilmu yang berpanjangan manfaatnya dan anak-anak yang soleh dan solehah.

Semua orang jadi rindu terhadapnya
Terkenang hebatnya dan kelembutan yang bersahaja
Kesederhanaan yang tidak menghilang bisa
Walaupun menyusur akar berduri dan berliku
Ia mencari redha Rabbnya.

Hidup ini bukan untuk kaya yang melupakan. Bukan untuk sihat yang menghayalkan. Bukan untuk mengejar pangkat yang menggerunkan. Hidup ini untuk beramal yang natijahnya di akhirat nanti. Kayalah untuk akhirat. Bekerjalah untuk akhirat. Buatlah apa sahaja untuk akhirat. Kita boleh jadi siapa sahaja asalkan semua yang kita lakukan kerana Allah. Kerana perintah Allah. Atau menjauhkan sesuatu kerana mematuhi larangan Allah. Benarlah hidup ini untuk senang. Bukan untuk susah. Tetapi tafsiran senang dan susah itu perlu pencerahan yang wajar. Senang mungkin mengenai hati. Bahagia dengan apa yang Allah kurniakan. Qanaah dengan apa yang ada. Senang dilihat dengan ketenangan. Senyum yang mudah menjelma. Berbahasa indah bila menyapa. Memberi ilmu dalam nasihat yang bermanfaat. Dirujuk sebagai panduan belaka.

Apabila bayangnya tiada, kita sedar bahawa sesuatu telah dicabut dari kalangan kita. Kehilangan yang dirasakan mengosongkan ruang kebersamaan dengannya. Kita melepaskannya dengan penuh rindu. Dengan penuh hiba. Dengan penuh sayang. Kita berdoa semoga kita dapat bersamanya di akhirat nanti. Bersama mereka yang lebih dahulu disayangi Allah. Ingin menjadi mereka yang mewangi namanya. Semerbak ditinggalkan berzaman-zaman. Walaupun jasadnya tiada, kita masih melihatnya di kelopak mata. Masih jelas raut muka bersih yang selalu melontarkan senyum dan kata-kata indah. Seseorang itu dilihat besar bukan kerana tubuh fizikalnya. Dilihat tinggi bukan kerana gagah agamnya. Dilihat cantik bukan rupawannya. Budi baiknya selalu dikenang. Mengertinya selalu diingat. Ilmunya selalu diambil untuk meningkatkan diri. Akhlaknya menjadi suri teladan.

Yang patah kan tumbuh. Yang hilang kan berganti. Itu hanya mainan kata-kata. Madah berbunga penyedap telinga. Perginya mereka yang alim membawa kealimannya. Mereka yang baik membawa bersama kebaikannya. Tidak seperti orang kaya yang meninggalkan kekayaannya. Hartawan yang meninggalkan hartanya. Yang mewah meninggalkan kemewahannya. Yang senang meninggalkan kesenangannya. Baik bukan fizikal. Alim bukan fizikal. Ianya sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi dapat dikesan implikasinya. Tempiasnya. Maka apabila ia tiada kita kehilangannya bersama kesemua yang dinisbahkan kepada rohaninya. Maka akan tumbuh patahnya tetapi manakan samanya. Berganti hilangnya tetapi manakan sama yang datang baru. Yang patah kekal diingat. Yang hilang kekal dirindu.

Kematian bukan penamat sejarah manusia. Alam barzah menanti yang tidak diketahui berapa lamanya. Akhirat sebagai destinasi terakhir memang tiada siapa yang mengetahui.  كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ  (Ali Imran 3:185). Yang maksudnya: Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Insan seperti kita pasti melaluinya tanpa kecuali. Azabnya terlalu pedih. Rasulallah sendiri merasakannya. Kerana itu kita digalakkan:

1                    Mengingat mati.
2                    Menziarahi jenazah.
3                    Mengiring jenazah hingga ke kubur.

Kesemuanya untuk menginsafi diri bahawa kita akan melaluinya. Hanya cepat atau lambatnya sahaja yang bebeza. Allah sahaja Yang Maha Mengetahui berapa panjang usia kita. Menginsafi bahawa kita akan juga bersemadi di liang lahad kita. Di mana? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Liang lahad kita adalah antara yang tidak kita ketahui selain dari rezeki, ajal dan jodoh. Melihat bahawa semua manusia akan disemadikan di dalam tanah menunjukkan itulah rumah kita sebelum qiamat. Dari tanah kita kembali ke tanah. Transit selepas dunia yang fana ini.Yang penuh dengan berbagai-bagai fitnah.  Jadilah yang alim supaya terhindar dari segala fitnah dunia. Melihat perkuburan menginsafi diri bahawa tidak ada yang lebih baik dari kembali kepada Allah dalam keadaan redha dan diredhai. Menjadi roh yang tenang. Kerana itu sibukkanlah diri di dunia untuk mencari keredhaan Allah. Bukan keredhaan manusia semata-mata. Dahulukan Allah dari segala-galanya.

Bagaimanakah tidak adanya keinsafan melihat kematian di sekeliling kita? Tidak memberikan iktibar dan ingatan? Bayangkan bahawa itu adalah diri kita. Diri kita yang sudah tiba pengakhirannya. Meninggalkan semua yang kita cintai di dunia. Semua yang fizikal sudah tidak lagi boleh dibawa. Tidak lagi boleh dimanfaatkan oleh diri kita yang empunyanya. Kita tinggalkan kepada mereka yang berhak dari kalangan waris-waris kita. Begitulah pendidikan untuk menjadikan anak-anak soleh dan solehah. Menyampaikan ilmu dan nasihat yang bermanfaat. Selalu beramal jariah. Kita tinggalkan kesemuanya tetapi Allah titipkan ganjarannya untuk kita nikmati selepas kita meninggalkan dunia ini.  Wudhu’lah sebelum anda diwudhu’kan. Berapa banyak papantanda yang berbunyi: Solatlah sebelum anda disolatkan. Usunglah jenazah orang lain sebelum anda diusung. Lihatlah liang lahad orang lain sebelum anda juga dimasukkan ke liang lahad yang serupa di tempat lain.


Alhamdulillah andainya kita mati meninggalkan nama. Meninggalkan kebaikan yang tidak terhingga. Meninggalkan mereka yang rindukan kita. Meninggalkan kenangan yang mengingatkan mereka. Meninggalkan ilmu yang dipanjang-panjangkan manfaatnya. Tuailah hasilnya di alam lain yang berpisah dari dunia. Kemewahan, kesenangan, keindahan dan kebahagiaan sebenar bukan di sini. Pergilah dan carilah segala-galanya yang abadi itu. Allahuakbar.