Friday, October 21, 2011

Mengajarkah Guru?


Tanyalah guru. Siapa sahaja guru. Tanpa mengira gender. Usia. Pengalaman. Tanya semua guru. Apa kerja cikgu? Spontan jawabnya, “mengajar!” Dalam hati mereka merungut, “Takkan itupun tak tau.” Begitulah senario yang dimanifestasikan guru. Semua guru. Persepsi guru ialah mengajar. Apa lagi jika bukan mengajar. Maka persepsi itulah yang dibina di minda masyarakat. Minda khalayak. Mudahnya kerja guru. Hanya mengajar. Setengah hari pula. Gaji sama seperti orang lain. Cukup bulan dapat gaji kontan. Cukup dalam akaun bank. Tiada yang kurang. Orang lain naik gaji, guru juga naik gaji. Tidak kurang dan tidak lebih. Mereka adalah sebahagian daripada anggota perkhidmatan awam. Mendokong aspirasi negara. Membina wawasan. Di sebalik kesemuanya itu tidak ramai yang maklum bahawa di bahu guru tertanggung tugas membina bangsa. Membina negara. Mencorakkan masa hadapan warganya. Agen perubahan yang merealisasaikan  wawasan masyarakat yang mengelilinginya.

Siapa yang yakin mengatakan bahawa guru adalah the person that dare to make a difference. Cuba buka minda. Buka hati. Buka pandangan jauh. Teroka di dalam. Guru bukan mengajar sahaja. Mengajar hanyalah sebahagian penting tugas guru. Matlamat akhirnya ialah menjadikan anak didiknya orang yang berbeza. Dari tidak tahu menjadi tahu. Dari naive menjadi berpengalaman. Dari takut menjadi yakin. Dari jahil menjadi mengerti. Dari belajar menjadi pakar. Menjadi lebih teguh imannya. Menuju kesempurnaan akhlaknya. Cita-citanya menjadi warga sarwajagat yang mendukung aspirasi kemanusiaan. Manusia yang tiada sempadan negara. Tiada konkongan politik. Dunianya adalah alam. Bukan negara. Bukan negari. Yes! A teacher dares to make that difference. Only a teacher has that capacity to do the unknown. In the world of uncertainty. Lihatlah sekeliling kita. Pandang luas-luas. Manusia kerdil yang dianggap paling lemah dalam perkhidamatan awam adalah manusia-manusia yang memiliki ledakan kekuatan dalaman untuk mencetuskan fenomena.

Guru selalu terkehadapan dalam membuka minda anak-anak didiknya. Tidak pernah jumud dan hanya melancholic dengan masa lalu.  Kerjayanya yang melampaui tiga dekad adalah untuk merubah lanskap masyarakat. Merubah menjadi lebih baik. Lebih indah. Perjalanan hidup yang bertahap-tahap dilalui dengan menuntun orang lain. Yang beratur bertali arus saban tahun. Datang dan pergi dengan pengisian dada yang tidak pernah penuh. Tidak ada guru yang merentasi kehidupan seorang anak didiknya dari tadika hingga ke pengajian tinggi. Seorang guru hanya berada pada satu tahap sahaja. Kecualilah anak-anaknya yang dididik hingga mereka keluar dari rumah. Keluar berkerjaya. Keluar berumahtanga. Keluar untuk melestarikan warisan bangsanya. Ummahnya.  Secara induvidu peranannya kecil. Sekecil zarah. Tetapi impaknya besar. Impaknya menggegar. Impaknya menghalilintar.

Itulah guru yang membina kelainan. Membina sesuatu untuk diabadikan bangsanya. Warisannya. Untuk diamanahkan kepada anak didiknya. Untuk diberi kesinambungan masa hadapan segala keturunannya. Sebagai pelestari budaya masayarakat bahu guru berat menanggung kudrat. Sarat dengan tugas besar yang perlu banyak bersabar. Mendidik bukan sahaja mengajar. Guru membuka minda anak didiknya. Titik akhirnya tiada. Alam ini dinamik. Dunia ini dinamik. Minda manusia lebih lagi dinamik. Tiada yang statik. Yang membeku. Yang kaku. Yang layu hanyalah hidupan yang perlukan banyak air tetapi dinafikan haknya. Manusia tidak seharusnya boleh layu. Guru yang menghidupkan hati dan minda anak didiknya hingga ke akhir hayat. Bekalan seumur hidup yang diberi dari tahap ke tahap. Guru yang menyiram. Yang membaja. Yang membelai hati nurani mereka.

Maka kelainan tercipta. Perbezaan dilihat mata. Dirasa di sanubari. Anak didik berubah dari bertatih hingga berlari deras merentas benua. Merentas alam. Merentas zaman. Mereka merangkak menggarap dari tidak tahu menjadi tahu. Dari sedikit menjadi banyak. Dari latihtubi mereka menjadi pencipta teknologi. Mengungguli persada ilmu. Memperkembang ekonomi. Memurnikan politik. Mendahulukan agama. Membuka ruang lingkup kemanusiaan. Merasakan sakit bila ada kepiluan. Merasa lapang untuk memberi. Mengungkapkan keindahan kata-kata yang menyejukkan. Memotivasikan nilai-nilai yang intrinsik. Memperhebat yang ekstrinsik. Mereka menjadi manusia yang sebaiknya. Uswatun hasanah. Manusia yang menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Menjauhi fasiq. Melarikan diri dari maksiat. Menjauhi kecelaan.

Tuan, guru bukan sekadar mengajar. Di bahunya banyak tugas membina manusia. Membina kemanusiaan. Membina negara. Membina masa hadapan sebuah negara. Suatu bangsa yang aspirasinya tinggi. Mengawan tingginya. Di bahu guru jatuh bangunnya masa hadapan. Mustahil? Tidak logik? Tutuplah semua sekolah. Persarakan semua guru. Negara akan kucar kacir. Semua agenda negara terbantut. Terbengkalai. Semua yang dirancang akan hanya di atas kertas. Sekolah akan reput. Peralatan berkarat. Anai-anai akan bermaharaja lela. Seluruh sistem masyarakat pasti lumpuh. Bagaimana anak akan pandai. Siapa yang mendidik akhlah kerana ibu bapa tiada masa untuk itu. Siapa akan memandaikan anak-anak kerana ibu bapa tiada masa untuk itu. Siapa akan membina teknologi. Untuk menggunakannya sahaja tidak mungkin meluas. Seorang dua tidak boleh menggerak hasrat negara.  Tidak boleh membina wawasan yang selalu diimpikan.

Tangan-tangan halus seorang guru memberi sentukan fizikal. Suara lunak di telinga yang menyentuh hati dan perasaan. Sentuhan-sentuhan itulah yang mengindahkan tugas guru. Yang menggamatkan suasana hati. Yang dikenang semasa mendewasa. Abadi dalam hati. Terpahat kekal sebagai bekalan untuk suatu perjalanan jauh merentas usia. Untuk melaksanakan tugas kemanusiaan yang bilangannya banyak. Untuk menjadi khalifah seperti yang diamanahkan Allah. Suatu tugas yang selalu dikira mulia. Membahagiakan kehidupan yang selalunya payah. Tetapi ada sesuatu yang selalau anak didik tidak lupa. Guru sangat istimewa. Kepekaannya yang selalu ada. Sensitivitinya yang selalu tinggi.  Hatinya lekat di sekolah. Profesionya selalu dijulang. Anak didiknya selalu di hati. Dirinya milik semua orang. Seluruh raganya untuk orang lain yang mengharapkan jasa baktinya.

Guru adalah untuk mencipta kelainan. Nilai semula kedudukanmu guru. Jadikan dirimu hebat dan bukan sekadar mengajar. Bukan sahaja mengajar tulis baca. Bukan sahaja sekadar mengira tambah tolak. Bukan sahaja mengenal salah benar. Tugasmu rencam dan menuntut kudrat yang banyak. Serlahkan bahawa guru bukan hanya mengajar. Di bahunya berat. Di matanya berat. Di telinganya berat. Di tangannya berat. Di mindanya berat. Di hatinya selalu berat. Pada seluruh tubuhnya gambaran imej seorang yang besar. Besar namanya dari fizikalnya. Guru yang berjaya bukan namanya. Bukan fizikalnya. Guru menjadi besar kerana kehadirannya. Hadirmu guru besarmu guru. Harapan tidak pernah pudar.  Di bahumu letaknya membina negara besar. Cita-cita dan azam agung untuk masa hadapan yang selalu cerah. InsyaAllah.

Nanti suatu ketika aka nada orang menyapa. Cikgu, apa khabar? Kau bertanya, “Siapa ni?” Ketika itu mungkin airmatamu tertumpah. Masih ada yang ingat. Mereka telah berubah. Mereka telah menjadi lain. Guru yang telah mencipta kelainan itu. Alhamdulillah dengan izin Allah.