Saturday, March 30, 2013

Salam dari Amman Jordan: Belajar Yang Banyak Susahnya


Suatu tanggungjawab anak-anak untuk membantu kedua ibu bapa mereka sedaya mungkin. Ada tuntutan agama dan ada tuntutan sosial. Tambah lagi dengan tuntutan kemanusiaan. Suatu kewajipan agama yang tidak dapat disangkal lagi. Masyarakat pula menuntut supaya anak-anak mengembalikan usaha kedua ibu bapa mereka yang terdahulu. Sebelum mereka bergelar graduan dalam peringkat apa sekalipun. Sebelum mereka bekerja menikmati ganjaran kerana bersusah payah belajar dan menjadi orang pandai. Menjadi orang terpelajar. Sebelum ada yang sudi menyumbang dahulu, sumber kewangan adalah dari kedua ibu bapa. PTPTN hanyalah sesuatu yang baru. Sewaktu berada di menara gading. Sebelum itu kesemuanya dari kedua ibu dan bapa. Abang atau kakak sekadar membantu. Mereka ada tanggungjawab mereka sendiri. Di Kaherah Mesir saya melihat suatu fenomena yang menggegarkan hati saya. Walaupun saya lama di IPT tetapi saya tidak melihat kesukaran yang melampaui batas. Di Jordan saya tidak melihat kesukaran menimpa pelajar. Sama ada pelajar tempatan atau pelajar antarabangsa. Banyak ruang kebajikan yang terurus. Terjaga dengan baik. Di Mesir lain keadaannya.
Pelajar Malaysia di Mesir berbelas ribu ramainya. Dari yang mengikuti kursus peringkat Doktorat (PhD) hinggalah yang berada di peringkat sekolah menengah. Maahad atau madrasah. Dari remaja awal hingga yang sudah beranak pinak. Hari ketiga di Kaherah saya dan isteri berjalan-jalan meninjau kawasan Hayyi Sabiq’. Ketika itu saya temui ramai sungguh pelajar Malaysia. Pelajar Melayu tentunya. Saya rasa seperti berada di Malaysia. Bayangkan suasana ketika pelajar-pelajat hendak pulang selepas beberapa jam di sekolah. Ramai, sibuk, hingar bangar. Bas dan van menanti di tepi jalan untuk mengangkut mereka. Di tepi jalan pula ramai peniaga memperagakan barangan mereka. Cumanya tidak seperti di Malaysia apabila peniaga selalunya menjual minuman ringan dan makanan ringan. Selalunya murid-murid sekolah rendah yang tergoda. Atau pelajar menengah rendah. Yang menengah tinggi sudah arif memilih yang terbaik. Maknanya ada barangan yang boleh dibeli oleh pelajar-pelajar Malaysia. 
Dalam negara atau luar negara banyak bezanya. Di negara sendiri kita jarang memikirkan kebajikan pelajar. Anak-anak kita sendiri. Semuanya seperti sudah tersedia. Terjaga dengan rapi. Pengangkutan tersedia. Makanan tersedia. Pakaian tersedia. Basuh dan siapnya tersedia. Kesihatan tersedia. Ringkas kata anak-anak kita yang berada di rumah tiada resah gelisahnya kepada orang tua. Yang di asrama guru-guru yang menjaga. Kerajaan menjaga mereka. Tetapi tidak yang berada di luar negara. Di Kaherah ini anak-anak Malaysia hidup sendiri. Hidup mandiri. Mereka berdikari. Segala-galanya kena belajar sendiri. Di negara sendiri banyak mudahnya. Di negara orang anak-anak kita terlonta-lonta membawa diri. Belas benar rasanya bila melihat mereka. Pada zahirnya mereka ceria. Gembira. Jiwa anak-anak yang selalu berlapang dada. Menerima apa sahaja seadanya. Menjalani hidup seperti anak-anak biasa.

Hidup berdikari memang baik untuk masa hadapan. Anak-anak tidak perlu bergantung sangat kepada ibu dan bapa. Susah dan senang tanggung sendiri. Susah dan payah selesaikan sendiri. Tetapi ada hal-hal yang rasanya perlu difikirkan. Sakit pening bagaimana? Keselamatan bagaimana? Hal-hal di luar jangka bagaimana? Secara umumnya rakan-rakan ramai yang boleh membantu. Itu yang sudah dewasa. Yang memiliki kematangan usia dan akal. Yang masih belasan menerima banyak kejutan budaya. Alhamdulillah Mesir negara Islam. Budaya yang ada tidak banyak larinya dari Islam. Selamatlah anak-anak kita dari budaya negatif. Budaya kuning. Budaya tidak tentu hala. Di Kaherah anak-anak kita terjaga Islamnya jika mereka mengikut arus rakan-rakan yang baik. Tidak terbawa-bawa dengan keanak-anakan dan keremajaan. Sebenarnya jika anak-anak boleh membawa diri banyak permasalahan hidup yang dapat diatasi. Hidup mereka mengatasi banyak hal yang selalu mungkin berlaku. Hidup selalu banyak yang perlu diatasi. Ada sahaja yang datang mencabar kesabaran. Hidup berdikari memberi ruang menangangi kerencaman hidup yang bakal selalu dihadapi apabila dewasa dan berkeluarga nanti.
Jika ada masa, ibu bapa seharusnya kembali kepada asal peranannya. Lihat kembali anak-anak bagaimana mereka menjalani hidup. Anak-anak di luar negara sebenarnya menikmati banyak keindahannya yang tersendiri. Cuma mereka tidak ada ibu dan bapa. Di negara sendiri ibu bapa banyak mengurus khidupan anak-anak. Di luar negara anak-anak banyak susahnya. Makan minum ikut selera yang mungkin tidak banyak kenanya dengan kesihatan. Faktor tumbesaran minda dan fizikal mereka. Selera orang di luar negara tidak sama dengan selera orang Malaysia. Tempat tinggal entah bagaimana urusnya. Baik atau buruk tidak diketahui. Yang paling belas barangkali sakit pening mereka. Yang diharap hanya rakan-rakan mereka sahaja. Baik untuk mereka baik untuk anak. Ibu bapa mungkin tidak tahu sakit pening mereka. Hanya sakit berat sahaja yang dimaklumkan kepada ibu bapa. Itupun anak-anak melindung-lindung susah senang mereka. Mereka ingin ibu bapa tidak rasa risau tentang kesihatan mereka.   Jika tahu sekalipun tentulah menggundahkan hati sahaja. Hendak terbang menjengah anak mungkin perlu menggadai sawah yang ada. Atau menjual kerbau yang dibendang. 
Sekarang saya hendak cerita realiti yang lebih realiti. Tidak ramai yang benar-benar arif tentang payahnya belajar di IPT. Lebih-lebih lagi yang berada di luar negara. Pada musim dingin mereka meredah sejuk dan mungkin salju yang sangat membeku. Berbaju tebal. Telinga dan kaki seperti hilang dari anggota. Berbulan-bulan menahan seksa sejuk itu. Anak-anak yang belajar banyak payahnya. Sama ada belajar di luar negara atau dalam negara sama sahaja payahnya. Kategorinya sahaja berbeza. Setiap minggu banyak yang dirujuk. Banyak buku yang hendak dibaca. Banyak tugasan yang hendak disiapkan. Banyak ujikaji yang perlu sdisempurnakan. Banyak perbincangan yang hendak dihadiri. Banyak pertemuan dengan pensyarah yang hendak dipenuhi. Banyak dan banyak lagi yang perlu dibuat. Malam dan siang yang sukar dipisahkan waktunya. Tidur dan jaga juga susah pisahnya. Pendekata semuanya seperti tidak cukup waktu. Hari seperti tiada. Malam hendak dijadikan siang. Jika ibu dan bapa dapat mengadap mereka mungkin banyak sedarnya bahawa anak-anak yang ingin berjaya terlalu banyak mendambakan diri.
Belajar setengah mati mati bukan cerita dongeng. Tanyalah siapa sahaja yang pernah belajar di IPT. Belajar bukan seperti makan pisang goreng. Antara bilik kuliah, bengkel dan makmal diulang berjam-jam lamanya. Itu belum ke HEP, masjid, pejabat akademik, berjumpa penasihat akademik, temujanji dengan pensyarah, sumber maklumat di luar dan sebagainya. Mereka  berjalan yang tiada hentinya kerana putaran masa di IPT tiada hentinya. Sentiasa pasang dan pasang. Payah surutnya. Kerana itu pelajar selalu hidup berkelompok. Mereka bantu membantu. Kelompok menjadi tempat berharap. Sama-sama mengharungi suka duka di pengajian tinggi. Nyawa yang sedikit dikongsi hayatnya. Talian yang selalu disambung-sambung demi survival untuk menjadi graduan. Ingin menjawat jawatan tinggi berganjaran tinggi juga. Duduk di bilik besar berkerusi empuk. Memberi arahan dan menerima hormat. Ada pembantu yang boleh disuruh harap. Melunaskan tanggungjawab untuk negara.
Jawatan dan pendapatan belum tentu selari. Tinggal di kota besar menuntut banyak pengorbanan besar juga. Yang terkorban ialah ganjaran yang nampak besar tetapi mungkin sekadar cukup. Di sini berlaku paradoks sosial. Lazimnya masyarakat beranggapan seorang pegawai gajinya besar. Melebihi pegawai rendah. Apatah lagi yang belum berumahtangga. Tentu banyak wang yang berlebihan. Maksudnya? Perlu menjaga hati ibu dan bapa? Tentu sekali. Sesudah bekerja kenalah hulur yang berlebih-lebihan. Ibu bapa juga ingin merasa hasil tuaian dari anak-anak. Sekarang cuba kita tinjau kembali. Berapa sebenarnya yang mampu anak-anak sejukkan hati dan perasaan ibu dan bapa.
Bil
Pendapatan sebulan
RM2,200
1
Sewa berkongsi rumah
250

2
Makan
800

3
Pengangkutan
300

4
Pakaian
150

5
Simpanan awasan
100

6
Rekreasi
100

7
Tabung semasa
300
2,000
Baki di tangan
200


Rumah berkongsi dengan rakan-rakan. Tidak mampu menyewa sebuah rumah sendiri. Makan paling menuntut dana. Sarapan dan makan tengahari perlu di kedai. Sarapan sahaja mungkin RM5. Makan tengahari RM8.50. Makan malam belum lagi.  Bila haus dan lapar belum lagi. Pengangkutan tidak boleh lagi dijimatkan. Suatu kemestian harian. Pakaian perlu dirancang. Sebagai pegawai perlu dijaga penampilan. Dijaga peragaan diri. Pegawai perlu dilihat sebagai pegawai. Pakaian tidak boleh meruntuhkan kewibawaannya. Sebagai anak bujang dia perlu juga menghibur hati. Penat dan banyak susahnya sewaktu belajar dahulu. Simpanan awasan sangat perlu untuk sakit dan pening. Untuk bakal mendirikan rumahtangga. Jika baki wang sekadar RM200, berapa sebenarnya anak-anak mampu membahagiakan ibu dan bapa.  
Kekurangan yang selalu dituntut. Ke mana perginya gaji beribu ringgit. Terkelip-kelip anak-anak hendak menjawab. Ibu bapa pula tidak semuanya memahami. Kepada mereka RM2,000 sangat banyak. Benar di kampung RM2,000 boleh disimpan RM1,500. Minta maaf ibu. Minta maaf ayah.  Anak-anak yang bekerja di Kuala Lumpur perlukan dana yang besar juga. Ribuan ringgit tidak mencukupi jika tidak besar ribunya. Apabila ibu dan bapa tidak memahami keadaan maka berlakulah konflik ketidakadilan. Ibu bapa merasa teraniaya. Anak-anak merasa terbeban. Bagi yang rajin mulalah berkira membuat kerja sampingan yang tidak menggangu kerja. Alhamdulillah rezeki tambahan. Tetapi, tetapi apabila tekanan keluarga memuncak menuntut rezeki tambahan jangan terkejut ada anak-anak yang mungkin condong untuk mencari rezeki melalui jalan pintas. Punah segala pendidikan yang ditarbiahkan selama puluhan tahun. Roboh iman dan kekuatan jatidirinya. Jalannya pincang tidak lurus lagi.
Rasanya ibu dan bapa kenalah menilai semula keadaan. Bakal ibu bapa hendaklah keluar dari status yang ada.
1        Ibu bapa menjadi ibu bapa yang cukup diri. Bantuan anak-anak mengikut kemampuan mereka. Tidak meminta melebihi kemampuan.
2        Lepaskan anak-anak untuk membina kekuatan ekonomi keluarga.
3        Biarkan anak-anak boleh hidup sendiri hasil berdikari mereka dahulu.
Saya masih belas melihat anak-anak Melayu yang ada di luar negara. Khususnya yang berada di Mesir kerana jumlah mereka agak besar. Ramai antaranya dibiayai dengan semangat keluarga yang ingin melihatnya anak-anak mereka hidup berbekalkan agama.  Payah hanya asam garam hidup. Manis yang belum tahu. Harapan tetap tinggi.  Semoga Allah meredhai usaha mereka.