Pernah melihat sungai. Penulis biasa bermain di
sungai sewaktu remaja dahulu. Bersampan di tepiannya. Mandi manda bersaama
rakan. Mengail udang galah semasa air pasang. Pada tahun-tahun 60an Sungai
Simpang Kiri di Batu Pahat masih cantik. Airnya bersih. Bila air pasang lagilah
menyeronokkan. Anak-anak bermandian di parit yang penuh airnya. Jernih. Di parit
itulah kami belajar berenang. Menyelam lama. Bermain di parit. Nostalgia. Apabila
penulis kembali ke kampung asal, parit yang dahulunya meriah hanya tinggal air yang
mengalir lesu. Merah pekat tidak menentu warna. Hilang ikan dan udang. Lesu selesunya.
Pada waktu air pasang tiada didengar lagi suara anak-anak dan remaja bermandian
di parit. Segala-galanya berubah demi kemajuan. Demi pembangunan. Demi masa
hadapan sebuah bangsa yang merdeka.
Setelah lebih setengah abad lamanya, terasa
pembangunan tersangatlah mahalnya. Kemajuan rupaya mengundurkan ekonomi. Program
bergerak ke hadapan tetapi terheret ke belakang. Banyak malangngnya dalam negara
yang tercinta. Portugis datang membawa petaka kepada bangsa. Belanda datang
membawa derita kepada nusantara. Inggeris datang menjajah segala-galanya. Jepun
datang tidak pula ke mana. Apabila merdeka kita dijanjikan kehidupan untuk membangun
diri. Tanpa telunjuk orang lain. Benarkah begitu? Yang nyata banyak telunjuk
berkait yang menyakitkan. Yang menyulitkan. Saban masa ada sahaja telunjuk
berkait itu mencarik perasaan. Mencuri nafas yang banyak hentinya. Minda tidak
sempat berfikir untuk menghilangkan resah kerana himpitan ekonomi.
Bumi tercinta ini terlalu kaya. Terlalu banyak hasil
buminya. Terlalu banyak sumber aslinya. Kemerdekaan hanya istilah yang diberi
makna. Nikmat kemerdekaan itu tidak sampai kepada yang dimerdekakan. Yang berada di taraf soaial yang rendah tetap seperti
dahulu juga. Jika kita grafkan maka mereka masih berada seperti pada zaman
sebelum datangnya Portugis. Suatu analogi yang dasar. Dunia semakin kecil. Kepayahan
semakin berkekalan. Memang kita dilambakkan dengan wang ringgit. Tetapi kuasa
belinya menipis. Wang yang banyak hanya sekadar membeli untuk mengisi perut. Kebajikan
yang dahulunya banyak dibajetkan kurang. Apabila segala-galanya menjadi mahal
maka secara ekonominya kemajuan akan menguncup. Inflasi yang berantai lebih
menguncupkan lagi keadaan. Makanan semakin kurang dan bertambah mahal. Penduduk
semakin ramai. Semakin padat. Ramai pula yang bukan warganegara perlu diberi
makan. Sebaliknya mereka membawa keluar keupayaan membeli dalam negara. Kita turut
memberi makan kepada jiran-jiran kita di negara-negara lain.
Di sana sini keborosan melanda. Kemewahan menjadikan
kita boros. Tidak berjimat-cermat. Tidak memberi nilai yang wajar bahawa harta
yang ada bukan untuk selamanya. Banjir yang baru berlaku menampakkan lemahnya
pengurusan negara. Pengurusan warganegara. Bukan sahaja pemimpin tidak
menanangi kesengsaraan rakyat, bantuan kemanusiaan yang hendak diberi banyak
protokolnya. Banyak birokrasinya. Banyak red-tapenya. Banyak halangan-halangan pentadbiran. Darurat adalah
darurat. Perlu segera. Tanpa menungu arahan. Tanpa menunggu mesyuarat. Tanpa menunggu
penaja. Tanpa menunggu lampu isyarat. Yang menderita tertunggu-tunggu. Apa pula
jabatan yang mengatakan bahawa kelewatan itu bukan disengajakan. Aduhai. Apabila
semua aktiviti dikomersilkan inilah jadinya. Professionalism yang menelan bajet
berjuta-juta ringgit hanyut lebih deras dari air banjir itu sendiri. Politik adalah
suatu hal. Pentadbiran kerajaan tidak boleh seperti parti politik. Semuanya
wajib segera. Yang tenggelam itu mungkin bukan saudara kita. Tetapi mungkin
sahabat kita sekelas dahulu. Teman kita semasa menunaikan haji. Besan saudara
kita. Menantu jiran kita. Saudara staf kita. Jangan ambil mudah bahawa di tempat banjir itu
tiada orang yang kena mengena dengan kita.
Derita rakyat semakin menjadi-jadi. Bertimpa-timpa. Apabila
minyak naik sebanyak 20 sen ramai yang sinis. 20 sen pun bising kata mereka. Sekarang
rantainya muncul dari segenap penjuru. Apa barang yang tidak naik harganya. Waktu
penulis kecil dahulu ikan bilis adalah makanan orang miskin. Orang kampung yang
tidak mampu. Sekarang ikan bilis adalah makanan orang kaya. Makanan jutawan. Hanya
hartawan yang mampu makan ikan bilis dengan mewah. Jika dahulu ikan bilis
dilabelkan kepada orang miskin dan orang biasa, maka istilah itu sekarang
berbalik kepada mereka yang kaya. Orang besar. Orang senang lenang. Begitulah masa
membawa kita beralih tempat. Tetapi yang miskin dan susah tetap berterusan
begitu.
Perindustrian telah mengubah lanskap kehidupan
rakyat Malaysia. Rakyat kampung khsusunya. Tanah di sekeliling rumah masih
luas. Masih ada ruang untuk bercucuk tanam. Malangnya tanah penuh racun rumput.
Membersihkan kebun yang tidak seberapa. Sayur-sayuran sudah tidak boleh hidup. Orang
kampung sudah tidak lagi makan pucuk ubi, jantung pisang, pucuk paku, pucuk
manis, nangka muda, pisang muda, betik muda, rebung dan umbut pokok kelapa,
tukas atau hempulur batang pisang. Mereka makan kobis, bunga kobis, sawi dan
sayuran yang diimport. Pembaziran sumber. Ingin senang dan mudah segera. Membazirkan
kewangan yang banyak tetapi kuasa belinya kecil. Warga desa bekerja di
kilang-kilang. Jadual dan gaya hidup mereka berubah. Sudah tidak betah lagi ke
sekeliling rumah. Waktu senggang lebih banyak berehat. Menyediakan diri untuk
rutin harian di kilang-kilang. Kecintaan kepada tanah sudah hilang. Sudah tidak
lagi berbudi kepada tanah.
Sebelum banjir harga barang melambung naik. Apabila dilanda
banjir banyak pula harta benda yang musnah. Selepas banjir harga barang bertambah
naik. Apa yang tinggal. Belum tentu mereka yang musnah rumahnya akan dapat
membangunkan semula rumah baru. Jika berjaya sekalipun ramai yang rumahnya
lebih kecil dari dahulu. Terhakis lagi keselesaan yang sudah terbina selama
ini. Penulis pasti harga bahan binaan akan melambung naik. Adat orang berniaga.
Apabila permintaan meningkat maka harga pasti meningkat. Hukum permintaan dan penawaran
dalam ekonomi dalam keadaan normal. Tanpa campur tangan kerajaan. Bertambah perit
keperitaan yang sudah menyesakkan nafas.
Dari mana agaknya putera raja yang menunggang kuda
putih akan muncul? Membawa harapan baru sebagai penyelamat keadaan. Sakit yang
perlu rawatan. Lemah yang perlu pemulihan. Sesat yang perlu dikembalikan ke
pangkal jalan. Ramai yang menunggu. Penantian yang tidak mungkin kesampaian. Kita
perlu mencari putera itu. Bawa ke khalayak. Letakkannya dalam arus perdana. Biarlah
akalnya tidak sepanjang mana asalkan ada ketulusan memberi bakti. Ada political will untuk
memberi yang terbaik untuk yang mengharap. Derita ini perlu ada tanda hentinya.
Perlu dicari noktahnya.