Monday, July 15, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Untuk Apa Airmata Syawal



Beruntunglah orang-orang yang sempurna Ramadhannya. Pahala ganjarannya hanya Allah yang maha Mengetahui. Kemenangan Ramadhan adalah suatu menifestasi iman. Taat kepada tuntutan yang hak. Di sebalik semua itu terdapat sesuatu yang harus kita fikirkan semula. Menjelang Syawal ramai orang kita yang menjadi hilang pertimbangan agama. Sebelum Ramadhan perjalanan sudah ditempah. Merancang untuk sampai di rumah keluarga masing-masing sebelum hari raya. Tentunya rumah ibu bapa atau ibu bapa mertua. Tentunya di kampung nun jauh di pedalaman. Kampung yang selalu sayu ditinggalkan. Akan dijenguk semula untuk dimeriahkan bersama. Mengingat semula zaman kanak-kanak dan remaja. Menjelajah denai dan belukar yang sekarang sudah tiada. Kampung halaman menjadi dekat semasa hari raya walaupun pada waktu-waktu yang lain masing-msing mendakwa terlalu sibuk dengan tugas dan berbagai aktiviti sosial yang lain. Hari raya digagahkan juga untuk kembali ke asal. Malah dirancang pada aakhir hari raya tahun lalu.

Kita budayakan sesuatu yang asalnya bukan. Di negara Islam yang lain tidak ada keghairahan yang seperti kita lakukan. Seolah-olehnya bila hari raya segala-galanya yang istimewa disediakan. Langsir baru bukan lagi sesuatu yang asing. Kuih-muih jangan dikata banyaknya. Perabot juga ada yang berganti. Malah jangan hairan kereta turut berganti. Ada keutamaan yang banyak terabai dalam kehidupan orang kita. Kadang-kadang untuk membeli sebuah buku kita sangat dan sangat berkira. Mahal. Boleh pinjam. Boleh baca di perpustakaan. Boleh cari di internet. Macam-macam dalihnya. Ada sahaja alasanya. Malangnya jika membuat salah penilaian terhadap sesuatu yang pada hakikatnya bernilai. Ini yang disebut dalam marketing sebagai drop-error. Maksudnya meninggalkan sesuatu yang berguna. Sebaliknya kita selalu go-error. Menerimapakai sesuatu yang belum tentu banyak faedahnya. Lebih kepada kebanggaan sahaja. Rasanya setiap keluarga membelanjakan ribuan ringgit menjelang hari raya. Kuih-muih sahaja mencecah RM1,000 atau lebih. Juadah berbuka puasa mungkin purata RM30 sehari. Itu untuk yang biasa-biasa. Jika ada tetamu tentulah melambung ke RM60. Berbuka sahaja sudah mungkin RM1,500. Pakaian mungkin RM3,000. Sepasang seorang. Jika dua pasang kita gandakan. Untuk jamuan hari raya mungkin RM2,000 lagi. Daging 10kg. Ayam 20 ekor. Ketupat 300 biji. Lemang 30 batang. Itu belum juadah lain mengikut tradisi. Banyaknya kita berhabis duit untuk hari raya.

Dulu samasa saya muda ada sahabat yang meminjam dari bank untuk hari raya. Pada tahun 80an meminjam sebanyak RM3,000 saya kira sangat banyak. Tetapi untuk keluarga besar seperti saya mana cukup RM3,000. Itulah fenomena hari raya. Kita hiasi dengan warna dan warni. Dengan bunga dan jambangan. Dengan kuih yang entah apa rasanya. Yang datang bertandang tidak makanpun kuih-muih itu. Di rumah mereka banyak. Di rumah rakan taulan lagilah banyak. Singgah di mana sahaja, pasti banyak kuih. Mana mungkin dalam beberpa hari kita dipaksa makan semua yang dihidang. Cuba pada hari-hari biasa kita hidangkan kuih-muih. Rasanya sekelip mata semuanya tinggal bekas sahaja. Bawalah kuih ke pejabat. Semasa menonton bolasepak di stadium. Semasa lepak di kedai mamak. Semasa jogging. Duduk, buka dan makan. Pelawa mereka yang hampir. Atau lalu lalang. Ketika itu kuih yang sedikit dikongsi ramai. Sedapnya melebih-lebih. Enaknya melebihi dari biasa. Atau bawa selalu ke masjid dan surau. Jemaah ramai yang lapar. Sementara menunggu waktu boleh makan kuih yang ada. Banyak pahalanya.

Kita selalu menangis menjelang hari raya. Teringat yang sudah tiada. Teringat yang jauh. Ibu bapa tentu yang utama. Mana yang bertugas jauh teringat pasangan masing-msing. Lagilah yang sedang mabuk cinta. Gundah gelana mengenang yang jauh. Rindunya terlalu amat. Jika bersayap terbang melayang. Jika beroket meluncur pergi. Kenapa hanya pada hari raya. Orang Arab hanya solat hari raya. Selepas solat mereka tidur. Syawal disambut dengan solat. Takbir, tahmid dan tahlil dari Maghrib sebelumnya hingga sebelum solat hari raya. Tamat. Selesai. Itulah hakikat hari raya. Tiada kuih-muih. Tiada hidangan yang tidak muat meja. Tidak muat peti ais. Tidak muat dapur. Semua ini cerita hari raya. Di mana kita tinggalkan cerita Ramadhan. Alangkah eloknya jika kita kembali kepada yang hak. Ramadhan didahulukan. Ramadhan dimuliakan. Ramadhan dimeriahkan. Ramadhan dimakmurkan. Ramadhan diberi keutamaan. Tinggalkan yang lain kerana semuanya hiasan sahaja. Hiasan yang diperlukan ialah ibadat. Amal ibadat yang syarie. Yang jelas tuntutannya. Memang digalakkan. Daripada berhabis untuk hari raya bukankah baik kita menjamu orang yang berpuasa. Berebut-rebut menyediakan juadah untuk mereka yang berbuka puasa.  Banyakkan sedekah dan derma. Memberi kepada yang berhak menerimanya. Menangislah jaka kita gagal melakukanya. Bukan menangis kerana tiada baju baru. Atau langsir rumah tidak berganti.


Kita pelajarilah agama supaya kita arif tetang beza antara agama atau adat. Biar kita tahu untuk apa air mata Syawal yang seharusnya kita gugurkan. Mengenang Ramadhan yang sudah pergi. Mengenang kemungkinannya Ramadhan yang akan datang tidak dapat kita jelang. Kebimbangan kemungkin Ramadhan kita banyak celanya. Berapa banyak ibadat kita yang Allah terima. Cukupkah apa yang kita lakukan untuk Allah. RasulNya. Mentaati perintahnya. Melakukan yang terbaik seperti dituntut agama. Itu yang perlu kita tangisi. Buanglah air mata untuk mengingati kelemahan kita. Untuk menginsafkan diri yang terlalu lemah dan lelah. Lemah imannya. Lemah ibadatnya. Lemah dari menahan godaan syaitan dan iblis. Banyakkan berfikir yang menjangkau jauh. Benarkah Ramadhan tahun hadapan dapat kita jelang lagi. Kita boleh berhari raya setiap hari. Banyak duit berayalah kita. Tetapi Ramadhan datangnya sekali sahaja dalam setahun. Dalam Ramadhan itulah adanya malam lailtul qadar. Hanya satu malam antara 354 hari dalam setahun. Menangislah untuk itu. Menangislah untuk itu.  Bukan untuk yang lain. Untuk yang lain boleh menangis pada bila-bila masa. Sekarang, esok, lusa, tulat, langkat, minggu, pekan, purnama atau tahun hadapan. Sementara kita mengejar lailtul qadar ini, gandakan ibadat.  Buat apa sahaja yang namanya ibadat. Mencari keredhaan Allah pada bulan yang mulia ini. Selamat beribadat.