Beberapa kali saya alami kelainan budaya yang kita cipta. Entahkan baik entahkan tidak. Seperti budaya yang selalu diadakan. Saudara mara kita juga. Jiran-jiran kita juga. Sahabat-sahabat kita juga. Kadang-kadang kita hanya mampu melihat senangnya tanpa menilai impaknya kepada generasi yang akan mengikut jejaknya. Terlopong juga melihat orang-[orang yang bukan budayawan tetapi mencipta kelainan budaya. Bila kita mulakan sesuatu tanpa panjang berfikir khuatir pula mereka yang menjejakinya tidak tahu usul dan asalnya. Semuanya diredah demi perubahan yang tidak dirancang benar salahnya. Yang saya lihat dengan mata kepala begitu. Gambar dan imej yang dipaparkan begitu. Budayawan mungkin garu kepala. Sosiologis mungkin geleng kepala. Ulamak pula menggerutu hatinya. Sifat kita sudah berubah. Sikap kita sudah menjauh. Susila bangsa dan agama sudah tersisih. Saya tidak pasti apa yang ingin diniati. Kebiasaan yang sudah tidak lagi bertapak pada lunas agama dan bangsa. Dalam adat resam dan budaya kita harus selalu melandaskan tindakan kepada agama. Lakukan jika syariat menghalalkannya. Jika budaya mengizinkannya. Tinggalkankannya jika sebaliknya berlaku.
Adat resam kita sudah banyak berubah. Pengaruh luar budaya sangat kuat mendesah dan mendesak. Mata kita banyak melihat apa yang ada di sekeliling kita. Kadang-kadang indah dipandang. Kadang-kadang mengerikan pula. Keriusauan saya tentulah mengenai hal yang berkaitan dengan acara-acara agama yang dibudayakan. Akhirnya kita lupa yang mana satu tuntutan agama. Mana yang wajib dan sunat. Yang senang untuk diikuti. Mana pula yang makruh dan haram. Mudah dihindari. Memangpun adat atau urf dalam bahasa Arabnya tidak dihalang aplikasinya tetapi pilihlah yang tidak melanggar syariat. Maksudnya adat yang dalam lingkungan garis syariat. Terhindar dari hal-hal yang dikira maksiat. Dalam semua tindakan kita selalunya mencari redha Allah. Jika tidak mengetahui had dan batasnya ditakuti akan mengudang dosa dan kemurkaanNya. Maksudnya perkara-perkaras dasar mestilah diambilkira supaya tidak pula terlanggar hal-hal yang lebih besar. Takut halal dicari, pahala dikejar tetapi dosa yang diterima.
Kali ini saya ingin menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan adat resam. Adat yang resamnya selalu tersasar jauh. Semakin lama semakin hilang lurusnya. Cuba kita lihat bagaimana kita berada dalam majlis agama yang dibudayakan. Yang diadatkan. Yang semakin lama semakin tiris nilai agamanya. Semakin menipis nilai fitrahnya. Biasalah dalam prosesnya. Sebelum berkahwin yang diambilkira oleh orang tua ialah aktiviti merisik. Bukan tidak tahu status si gadis atau bakal pengantin perempuan. Tetapi itu proses untuk mengesahkan status yang sebenar. Meminang dan merisik lain statusnya. Merisik tidak ada salahnya. Jika semasa merisik kebetulan si gadis sudah bertunang, mudahlah berundur wakil yang merisik. Hampalah sementara bertemu yang lain sebagai calon. Tetapi jika terus diterjah untuk meminang maka berdosa jika si gadis adalah tunangan orang. Sudah ditempa orang.
Lazimnya semasa merisik wakil pihak lelaki sudah menyediakan cincin tanda. Tanda bahawa gadis itu sudah dirisik. Untuk menunggu proses pertunangan. Untuk merasmikan ikatan. Proses awal membina masjid. Saat-saat yang ditunggu dengan penuh rasa bahagia. Penuh damai. Rindu yang tidak pernah surut. Terlalu lama menanti saat dipersatukan. Dalam majlis pertunangan inilah yang sekarang sudah mula kacaunya. Sudah merebak ke mana-mana. Adat yang diubahsuai tetapi banyak tidak sesuainya. Adat seharusnya selari dengan adab. Akhlak Islamiah. Fitrah jatidiri bangsa. Nusantara yang penuh indah. Lenggang lenggok yang katanya lemah gemalai. Penuh irama santai membelai. Bak angin sepoi-sepoi. Mengusap rasa. Menyentuh perasaan. Melestarikan budaya Melayu yang turun temurun. Indahnya berzaman. Ingat kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia.”
Orang dulu-dulu majlis pertunangannya penuh santun. Penuh sopan. Penuh beradat timur. Adat yang ditatang dengan syariat. Sama juga seperti sekarang. Rombongan pihak lelaki akan datang membawa dulang yang berbagai. Sirih junjung yang asli. Digubah untuk dipersembah. Pemanis adat. Gunanya? Entahlah. Orang dulu kala makan sireh. Sirih junjung itu hadiah untuk emak mertua dan nenek. Nenek mertua? Gitulah gamaknya. Kadang-kadang si bapapun makan sireh juga. Maka sireh junjung itu banyak manfaatnya. Sekarang ini tiada lagi yang makan sireh. Sudah mula sireh plastik yang menjadi sireh junjung. Keaslian yang bersadur segala yang palsu. Iringan dulang yang lain adalah hadiah. Untuk menyukakan ibu bapa dan bakal tunangan. Keluarganya. Saudara maranya. Sireh yang banyak khasiatnya kepada wanita. Tidak termampu untuk saya menghurainya di sini. Secara peribadi mungkin boleh.
Berbalas-balaslah kata-kata pemanis. Mungkin berpantun-pantun. Serah menyerah dulang hantaran yang dibawa. Yang diusung. Yang ditatang. Bila selesai maka sampailah saat dan ketikanya untuk si ibu lelaki menjengah bakal menantunya secara rasmi. Menatang wajahnya. Menyentuh lemah lembutnya. Menilai bahasa tubuhnya. Menatap senyum malunya. Melihat simpuh duduknya. Tunduk sipunya. Bergetar jabat salamnya. Sejuk dengan rasa seram tangannya. Jari jemari yang keras kerana takut. Tegeliat bibir menjawab salam. Ditegur sapa sukar membalas. Suaranya antara dengar dengan tidak. Telah lama dilentur rebung sebelum menjadi buluh. Tugas ibu bapa yang lama. Membuahkan hasil yang dinilai tinggi oleh bakal mertuanya. Pada dirinya ada nilai tambah yang sukar dicari. Dalam serba tidak kena jari manis dihulur longlai. Bakal ibu mertua memegang lembut jari itu. Diusap sayang bakal menjadi anak menantu yang solehah. Pada jari itu disarung cincin tunnng yang mungkin hanya berbelah rotan. Mungkin juga bertatah intan. Jari manis yang semakin manis. Tanda yang dilihat sentiasa. Berkatalah hati, “Aku sudah berpunya.”
Senario itu sudah berubah. Kehidupan semasa mengubah banyak paradigma. Di sinilah masalahnya. Kita menukar kepada yang lebih sukar. Lebih menyuluh siurnya. Simpang yang tersalah pilih. Dahulu kala bakal ibu mertua menemui bakal menantunya di dalam bilik. Bakal menantu yang selalu menjadi pingitan. Pergi ke bilik sebagai lambang menyunting anak gadis orang. Yang mekar di taman. Yang mewangi kembang setaman. Saya masih teingat manisnya. Budaya yang selalu dijaga. Tidaklah terlalu ketat tetapi sekadar menjaga tata susila. Norma-norma yang turun temurun. Entahlah sekarang ini segalanya berputar dan berganjak. Bukan 180° tetapi 360°. Yang pastinya gadis yang dipinang akan keluar ke hadapan khalayak. Yang menutup aurat alhamdulillah. Namun berada di hadapan khalayak yang bukan mahram masih ada masalah. Ditatap semua yang hadir. Yang tidak berhak untuk menatap. Bukan hak lagi. Hatta bakal bapa mertua sekalipun belum berhak menatapnya lama-lama. Masih juga terjadi maksiat mata.
Jika yang tidak sempurna pakaiannya lagilah menyesakkan. Apatah lagi jika jarang dan telus ke dalam. Di kepalanya tidak tertutup lingkup dengan tudung labuh yahg menutup dada dan bentuk tubuh. Sebuah kerusi disediakan. Duduklah si gadis di situ. Di hadapan semua orang. Lelaki dan wanita. Yang mahram dan bukan mahram. Majlis agama yang menjadi cacat cela. Hilang nilai agamanya. Timbullah fitnah mata. Fitnah yang selalunhya dihindarkan. Dinyahkan. Datanglah bakal ibu mertua mengangkat sembah. Bersimpuh di hadapan gadis memohon sembah. Merapak sembah pada si gadis yang bakal menjadi menantunya. Yang diharap membelai masa tuanya. Menyempurnakan tanggungjawab terhadap anak lelakinya. Janggal juga melihat yang mudah duduk di atas. Lebih janggal melihat yang tua-tua duduk di bawah. Bukan slealu. Benar. Bukan suka-suka. Benar. Namun kecacatan adat ini tidak seharusnya terjadi. Adat dan adab mestilah selari. Segerak.
Malanglah bakal ibu mertua yang terpaksa menyembah bakal menantunya. Seksa duduk bersimpuh di hadapan orang banyak. Semua mata bak terpaku dengan acara dan agenda yang tersedia. Kenapa adatnya lain? Kenapa budayanya lain? Mana adat Melayu yang lama dipusakai? Bukankah yang muda di bawah dan yang tua di atas? Bukankah yang muda di belakang dan yang tua di hadapan? Bukankah yang tua didahulukan? Rosak adat resam yang selalu dijunjung. Demi perubahan yang tidak menjadi. Tidak manis dari segi agama. Tidak indah dari segi nilai timur. Bertelingkah antara norma dan praktikal. Logik yang kadang-kadang menyalahi akal. Tiada masalah dengan yang lama. Tiada cacat celanya yang selama ini dipusakai. Yang lama masih senang diadatkan. Dilaksanakan dengan sebaiknya.
Bukan semestinya kembali kepada tradisi. Berubahlah tetapi selalulah bersendikan agama. Bersendikan ketimuran. Yang lama masih banyak indahnya. Banyak lagi baiknya. Apa salahnya merangkul yang lama sambil meraih yang baru. Yang perlu semaunya selari dengan yang sebaiknya. Kita beragama maka jagalah agama. Kita beradat maka jagalah adat. Kita orang timur maka jagalah ketimuran kita yang selalu memikat orang barat. Orang ingin melihat kita sebagai kita bukan yang bersalut sesuatu yang bukan hak. Maaf salah silap. Untuk sama-sama merenungi diri. Masa nampak masih panjang. Tanda-tanda yang ada menunjukkan masa semakin suntuk. Kesempatan yang semakin terbatas. Kembalilah ke haluan. Ada cahaya cerah yang gemilang di hadapan. InsyaAllah.