Tarikh 22 November akan terpahat nanti dalam lipatan sejarah hidupmu. Tarikh itu akan mengingatkanmu langkah pertama menuju alam profesional. Tarikh yang menentukan kemajuan kerjayamu. Tarikh yang nanti memberi impak dalam mengenal percaturan dan politik pengurusan guru. 22 November akan selalu diingat, dijengah dan dipercaturkan bagi menentukan arah perjalananmu. Percayalah tarikh itu tidak akan terabai demi kelangsungan kerjayamu seumur hidup. Perlu dibelek dan diintai selalu agar peralihannya sentiasa diingat. Banyak hal-hak yang akan bersangkutan dengannya. Khususnya tentang tarikh naik pangkat. Naik gaji. Dan banyak lagi hal-hal yang berkaitan.
Jangan abaikan tarikh itu. Tepati tuntutannya. Kiranya kau nanti mungkin terhalang untuk mendaftar pada 22 November, carilah jalan supaya dapat ke tempat pendaftaran pada tarikh itu juga. Tidak kiralah apa yang mungkin menghalang, usahakan juga untuk mendaftar pada 22 November. Lihat kembali surat tawaranmu. Lihat dengan teliti. Pukul berapa waktu mendaftarnya. Waktu itu mesti dipatuhi. Datanglah on the dot atau lebih awal adalah lebih afdal.
Tarikh dan waktu itu sangat signifikan dalam dunia kerjayamu nanti. Ia nampak remeh tetapi impaknya akan besar jika terabai. Seniority kau dikira dari hari pertama kau mendaftar diri. Saat kau catat dan tandatangani borang kehadiran. Tarikh kau lengkapkan butiran diri. Nanti tarikh dan masa itu akan tercatat dalam buku perkhidmatanmu. Tercatat dalam fail peribadimu. Tarikh itu ada di sekolah. Ada di Pejabat Pendidikan Daerah. Ada di Jabatan Pendidikan Negeri. Ada di Kementerian Pelajaran Malaysia. Beruntung bagi mereka yang namanya di bibir pegawai PPD. Di bibir Pengarah JPN. Di bibir Pengarah Bahagian Sekolah-Sekolah. Bahagian Pengurusan. Lagilah meletup jika namanya di bibir Menteri atau Timbalannya.
Banyak benar hal yang bersangkutan dengan tarikh dan saat itu. Bila tiba saatnya nanti kau ingin belajar lagi maka tarikh kekenaan itu sangatlah penting. Yang senior akan berada di awal senarai. Bukan dalam abjad. Yang kanan atau senior selalunya diberi peluang dahulu. Penghormatan kepada orang yang lebih lama. Bila ada proses naik pangkat, tarikh itu akan dirujuk juga. Yang senior akan diletakkan di awal senarai. Sekali lalgi senarai itu tidak mengikut abjad. Bila ada peluang untuk dipinjamkan ke institusi lain atau organisasi lain, tarikh itu juga memainkan peranan. Yang senior juga yang ditawarkan lebih awal.
Tarikh dan masa mendaftar sangatlah besar impaknya. Pastikan kau datang pada tarikh yang dijanjikan. Mendaftar pada tarikh-tarikh lain, walaupun dengan makluman, akan hanya meletakkan kau dalam keadaan yang sukar. Awkward. Mungkin akan lebih memenatkan kerana diarahkan ke sana dan ke mari. Pada 22 November semuanya dihimpunkan secara kelompok. Centralised. Hanya di satu tempat sahaja. Tidak dua dan tidak tiga. Itulah himpunan-himpunan yang berfasa-fasa dalam hidupmu nanti. Sebelum tiba di perhimpunan terakhir destinasi manusia di mahsyar nanti.
Apa signifikannya masa? Ia sangat-sangat penting. Dalam proses perubahan kedudukan diri seseorang penjawat awam, saat dan detik itu memainkan peranan besar. Ambil ingatan bahawa pada 22 November itu ada beratus-ratus orang guru yang mendaftar. Bila sampai waktunya kedudukan kau akan dinilai nanti, tarikh dan saat itu penting. Semuanya datang pada tarikh yang sama tetapi detik ketika kau menandatangani borang kehadiran tentulah berbeza. Bila pihak pengurusan yang bertanggungjawab memperakukan sesuatu, maka tarikh dan saat itu diambilkira. Mereka yang datang awal tentulah akan diberi peluang lebih awal. Yang lewat, lewatlah peluangnya. Sesuai dengan sunnatullah. Wajarlah yang dulu didahulukan. Jangan terkejut nanti rakan sekelas kau jauh di hadapan kau. Lama meningkat di tempat yang lebih tinggi. Telah lama naik pangkat. Gajinya jauh lebih besar. Bila kita semak antara kau dan dia hanya berbeza beberapa saat sahaja sewaktu mendaftar dahulu.
Sekadar ingatan dalam proses naik pangkat ijazahmu tidak lagi memainkan peranan. Transkip keputusan peperiksaanmu di universiti dahulu tidak diambilkira. Sama ada kau kelas pertama atau kedua atau tidak ada kelas sudah tidak penting lagi. Kehebatan alam universiti dahulu tidak dipertimbangkan. MPP, kelab, dan segala aktiviti luarmu dahulu terabai dalam proses naik pangkat melainkan prestasimu. Prestasimu. Ya prestasimu yang menentukan segalanya.
Bersedialah lebih awal. Siapkan semua yang perlu kau bawa. Datang ke tempat pendaftaran seawal yang mungkin. Jika perlu berbaris, pastikan di awal barisan. Jika pendaftaran pukul 8.00 pagi, datanglah seawal pukul 7.00 pagi. Ini bukan kerja main-main. Ia adalah formal and legal. Very very serious matter. The implication will be very far reaching. It will affect your whole life. Tolong jangan abaikan saat itu. Waktu itu. Detik itu. Demi masa, manusia itu selalu dalam kerugian. Masa itu emas. Masa menentukan masa depanmu. Oleh itu jagalah masa dalam kehidupan kerjayamu.
Sekiranya sekolah penempatanmu itu dekat, pergilah ke sekolah dengan segera pada hari itu juga sebelum tengahari. Jika terlewat daftarlah pada hari esoknya. Yes! Datanglah ke sekolah seawal pukul 7.00 pagi. Tunggu di hadapan bilik Pengetua. Jika itu adalah hari Selasa tentulah tiada perhimpunan mingguan. Pengetua, GPK1/2/3 boleh ditemui pagi itu. Begitu juga guru-guru yang lain.
Bagi yang datang awal, mereka akan memberi impak kepada persepsi sekolah dan warganya. Mereka suka orang yang dilihat rajin, cergas, menepati masa. Yang datang bersegera, bersemangat untuk menjalankan tugas. Ingatlah, mereka semua telah melalui seperti yang kau lakukan sekarang. Hanya mereka yang serasi dengan sistem sahaja yang akan dimanfaatkan oleh sistem itu. Jangan sampai dirimu kelihatan odd di mata orang lain.
Hari pertama di sekolah segalanya akan berputar dengan pantas. Kau akan diarah ke sana dan ke mari. Akan dibawa ke sana dan dibawa ke sini. Akan ditemukan dengan berbagai orang. Akan dibawa ke ruang, bilik dan berbagai tempat yang nanti sepetutnya kau tau kedudukannya. Akhirnya kau akan direhatkan di bilik guru. Atau di makmal. Atau di bengkel. Atau di mana-mana ruang yang rasanya sesuai. Ketika itu kau bukan pelatih seperti dulu. Duduk berkelompok tanpa peduli ruang orang. Tanpa perlu tahu bilik orang.
Meja di sebelahmu adalah meja orang lama. Hormati privacy mereka. Mereka ada gaya tersendiri. Lihat sahajalah meja mereka. Tolong jangan komen. Tolong jangan usik. Kau buatlah mejamu sesuka hatimu. Kecuali dokumen-dokumen yang peribadi simpanlah dalam laci. Kunci selalu. Hiaslah sebaik mungkin. Beri ruang untuk bekerja. Untuk melayan guru lain. Untuk melayan pelajar. Untuk melayan tetamu dari luar.
Tadi di bilik Pengetua kau telah lalui suatu dialog panjang. Cikgu boleh ajar subjek apa? Tambah subjek ini boleh? Kebetulan subjek ini tidak ada guru, insyaAllah cikgu boleh ya? Ketika itu kau tiada pilihan. Bukan semua subjek yang kau suka atau minati boleh diajar. Semuanya sudah diajar oleh guru lain. Akan ada subjek-subjek yang tidak menjadikan kau selesa. Itulah cabarannya. Ijazahmu hanyalah passport untuk menjadi guru. Ia bukan passport untukmu menentukan apa yang kau suka atau mahu. Di sinilah kebijaksanaanmu akan teruji. Bahawa sesungguhnya proses belajar itu tidak akan pernah berhenti. Tahun demi tahun kau akan terima cabaran itu. Hanya nanti bila kau jadi senior, bolehlah memilih apa yang kau suka. Tetapi itupun dengan melihat keperluan sekolah. Keperluan negara. Keperluan anak bangsa. Cabaran-cabaran begitu mesti disahut. Diterima. Diraih. Malah nani ditatang supaya sumbanganmu berganda. Teruslah belajar kerana proses P & P itu tidak pernah berhenti.
Tidak cukup dengan itu, cikgu boleh buat apa lagi ya? Jaga pasukan berunifom boleh? Pengakap? Pandu Puteri? Kadet Polis? Kadet tentera? Puteri Islam? Bomba? St John? Pertolongan Cemas? Kau kena terima walaupun dulu kau takut bersama kelab. Segan dengan aktiviti rakan pelajar yang lain. Tidak pernah menjadi AJK. Malas untuk turut sama aktiviti lain. Kau kena terima hakikat bahawa sekolah perlukanmu untuk menerajui apa-apa pasukan berunifom yang ada. Mesti. Tiada pilihan.
Cikgu biasa main apa? Jaga pasukan bola sepak boleh? Badminton? Tenis? Hoki? Ragbi? Basketball? Netball? Aduh. Mesti terima ke semua ini? Yes! Kau mesti terima satu daripadanya. Tidak ada yang terkecuali. Semua guru ada peranannya. Sama ada kau pernah gila sukan atau tidak. Pernah bersukan atau tidak. Suka atau tidak. Kau kena terima tugas itu. Tiada siapa yang boleh diharap kecuali kau dan diri kau sendiri.
Dulu cikgu di universiti masuk kelab apa? Ni soalan apa pulak ni? Ya Allah! Kelab kejuruteraan boleh urus cikgu? Kelab rekacipta? Kelab alam sekitar? Kelab robotik? Kelab komputer? Kelab senibina? Kelab go-kart? Kelab kimpalan? Kelab BM? Kelab BI? Kelab matematik? Kelab sains? Kelab geografi? Kelab sejarah? Lagi? Lagi? Kelab apa pula yang sesuai dengan aku ni. Mati aku. Tidak. Kau kena terima juga akhirnya. Semua guru memang ada tugasnya.
Ada apa-apa lagi yang cikgu boleh buat? AJK pameran boleh cikgu ya? Talentime? Nasyid? Konsert? Derama? Puisi? Lukisan? PIBG? Aduh mak ai. Boleh mati macam ni. Bila nak mengajar ni. Bila nak buat semua ni. Sabar. Sabar. P & P itu tugas utama. Core business. Yang lain-lain kena buat waktu petang. Hujung minggu. Cuti sekolah. Pertandingan lain. Macam-macan pula ragamannya. Hidupmu milik negara. 24 jam akan ada tugas yang mesti disempurnakan. Itulah nanti hakikat menjadi guru.
Bertalu-talu pada hari pertama itu kau akan dihadapkan dengan berbagai pilihan yang tidak boleh dipilih. Semuanya disogokkan begitu sahaja. Disorongkan kepadamu. Ditolak kepadamu. Kau kena sambut. Kena terima. Kau diberi tugas. Tugas itu nampaknya hanyalah ko-kurikulum. Tetapi ingat setiap tugas ada penilaiannya. Pada akhir tahun kau akan dinilai berdasarkan tugas yang telah diberikan. Berdasarkan target yang telah ditetapkan. Bersedialah untuk menerima apa sahaja cabaran. Nanti kau akan lihat bahawa di akhir senarai tugasmu akan digariskan pernyataan yang berbunyi: tugas-tugas lain yang diarahkan dari masa ke semasa. Tugas ini tidak boleh disenaraikan kerana tidak dapat diketahui hinggalah arahannya sampai di sekolah. Mungkin arahan PPD. Mungkin JPN. Mungkin KPM.
Tugas-tugas lain ini sangat rencam dan banyak kali merumitkan. Ada juga yang membahagiakan. Ganti Pengetua jamuan di rumah Pegawai Daerah. Di rumah YB. Tetapi tidak pula semuanya seronok. Kadang-kadang menghadiri majlis-majlisan yang jangkamasanya tiga hingga empat jam. Ketika itu kau akan seperti cacing kepanasan. Kerja di sekolah bertimbun. Anak minta belikan pemadam. Isteri pesan beli ikan. Suami pesan beli mee goreng. Bibik di rumah pesan beli susu. Duduk di majlis itu menjadi batu kerana peranannya hanya untuk duduk. Penuhkan kerusi. Ramaikan audien. Yet that is life. It will be repeated over and over again. Not you alone. Everyone will have to do it every now and then.
Itu belum jaga surau. Jaga kantin. Jaga koperasi. Jaga asrama. Jaga rumput dan pasu bunga. Jaga stor. Jaga bilik lukisan. Jaga pusat sumber. Jaga biasiswa. Jaga buku teks. Jaga disiplin. Jaga kemudahan. Jaga kemudahan. Rumah sukan. Jaga rakan sejawat. Jaga pejabat. Jaga bos-bos di atas. Jaga juga pekerja di bawah. Penyelia asrama. Juruteknik. Kerani. Pekerja am. Pengawal keselamatan. Dan 1001 macam kerja yang mesti dilakukan sebagai seorang guru. Tugasmu 24 jam. Nanti jagamu adalah sekolah. Tidurmu adalah sekolah. Mimpimu adalah sekolah. Jangan terkejut ada guru yang burnout semasa usia muda. Terlalu menekan perasaan sendiri. Ambil hati. Tidak membuka minda. Tidak tahan cabaran. No advasery quotient. Tugasmu memang gila. Tetapi jangan gilakan dirimu. Seperti kata Confucious perjalanan yang jauh itu dimulakan dengan langkah yang pertama. Do it at a pace acceptable to all. Please your boss as well please yourself.
Cipta keharmonian diri. Ingat dulu kau belajar psikologi. Ia bukan untuk murid-muridmu sahaja. Banyak masanya ia diperlukan untuk dirimu sendiri. Singkap kembali apa yang telah kau pelajari. Di sini kau dituntut untuk mempraktikkannya. Untuk dirimu dahulu sebelum kau pindahkan kepada anak-anak didikmu. Lihat juga falsafah yang telah kau pelajari dahulu. Falsafah dengan ungkapan-ungkapan sukar difahami tetapi sebenarnya berpijak di bumi nyata. Falsafah itu yang seharusnya memandumu ke arah ketegasan diri. Menyatu dengan dunia dan alammu. Dunia pendidikan yang membeza antara yang pintar dengan yang jahil. Yang tahu dengan yang tidak tahu. Yang faham dengan yang tidak faham.