Thursday, January 30, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mempamer Rupa Diri



Kadang-kadang berterus terang adalah sesuatu yang baik. Tidak perlu berselindung. Tidak perlu berkelit. Serlahkan apa-apa yang dirasa. Beritahu kepada audien kita semua yang hendak disampaikan tanpa sebarang keraguan. Yang rasanya difikirkan menasabah. Namun begitu kita selalu seharusnya berhemah dengan diri kita. Kita ibarat cermin. Semakin mahal cermin itu semakin jarang orang bercermin dengannya. Tetapi orang melihat cermin itu. Mungkin dari dekat. Mungkin dari jauh. Cermin yang mahal nilainya diperhati keadaannya. Bentuknya. Bersihnya. Berkilatnya. Bingkainya. Rupa yang dibayang dalam cermin. Seperti juga manusia. Semaikn ia memiliki ilmu yang tinggi semakin dilihat orang. Semakin tinggi pangkatnya semakin dipandang orang. Semakin usia meningkat semakin diteliti orang. Apa-apa sahaja yang memungkinkan cacat cela akan mudah dipantau orang. Barang yang rendah nilainya dipandang baiknya. Barang yang baik pula dicari buruknya. Baik dalam buruk senang dilihat. Buruk dalam baik lebih pula mudah dilihat orang. Mudah sangat kelihatannya.

Hidup kita bersama berbagai kategori orang lain di sekeliling kita. Kita tidak ada masalah tentang perkara itu. Tetapi interaksi kita dengan mereka dalam berbagai karakter. Ia bergantung siapa audien kita.

1                 Kawan rapat. Mereka dekat di hati. Dekat di mata. Dikenal hati dan budinya. Maka kita bercakap dengan santai. Tidak perlu terlalu berbahasa. Di rumah kita atau di rumahnya tidak banyak berbeza. Kita tetap santai bersama. Kerana itu kita bebas bercakap. Tajuknya bebas. Perkataan, istilah dan ungkapannya bebas. Antara kita yang mendengarnya. Tidak ada yang diselindung lagi. Antara empat sisi dinding yang sama menjaga kerahsiaannya. Namun kebebasan itu terhad juga apabila ada orang lain yang turut hadir. Apabila kita bersama orang lain. Apabila ada orang lain di samping kita. Apabila ada orang lain yang ingin mencuri dengar perbualan kita. Walau apapun kita masih banyak kebebasan untuk bercakap apa sahaja. Privacy agak longgar.
2                 Saudara dekat. Saudara mara ada yang rapat dan ada yang tidak. Ada yang sensitif dan ada yang tidak. Hendak bercakap kena tapis juga banyak kali. Sesama saudara kadang-kadang kita berlainan ideologi. Kefahaman dan jalan fikirnya berbeza. Landasannya pilihan masiang-masing. Maka topik perbualan hendaklah dipandu dengan kemas. Tidak berkisar ke arah yang sensitif. Maaflah, kita orang Melayu sangat sensitif dengan perbezaan pendapat. Tidak dapat menerima bahawa setiap orang berbeza pendapatnya. Kita diperlukan meraikan pendapat orang lain. Tidak dicampuradukkan dengan persaudaraan. Darah daging jangan dicincang-cincang. Lukanya panjang. Walaupun daging itu bertaut semula, parutnya dalam dan jelas dipandang. Pada peringkat ini kita sudah membataskan diri. Privacy kita semakin dijaga.
3                 Kawan biasa berbeza kategorinya. Belum mesra atau payah hendak mesra. Bersahabat tetap bersahabat. Jurangnya masih terasa. Duduk dekat masih tidak terasa kehangatannya. Dalam keadaan seperti itu kita perlu sentiasa berhemah. Banyak menjaga protokol persahabatan. Banyak adab yang perlu dijaga. Tutur kata yang terpilih susunan ayat-ayatnya. Suara semesra yang mungkin. Topik perbualan tidak boleh terlalu banyak. Harus mengetahui sempadan yang tidak boleh dilintas. Batasan yang tidak boleh dirempuh. Zon sensitifnya besar dan tinggi. Melaggarnya bererti selamat tinggal persahabatan. Privacy yang perlu dijaga semakin bertambah.
4                 Dalam kehidupan ini kita banyak berhadapan dengan audien yang ramai. Tanpa mengira siapa kita atau apa jawatan kita, kita berhadapan dengan situasi audien ramai pada bila-bila masa. Sama ada dirancang atau spontan. Mungkin di tempat kerja. Mungkin di pasar. Mungkin di masjid. Mungkin di padang. Di mana-mana sahaja kita berhadapan dengan audien. Bilangannya sahaja berbeza. Ramai atau mungkin sedikit. Ketika itu kita tidak bebas hendak berkata apa sahaja yang keluar antara bibir dan mulut kita. Banyak yang hendak ditapis. Disesuaikan dengan ilmu dan kelayakan akademik kita. Pengalaman kita yang perlu banyak disandarkan. Lihat pula siapa kita dan status sosial kita. Privacy yang perlu dijaga.
5                 Kadang-kadang kita melihat berbagai-bagai orang awam dalam media rasmi. Mungkin akhbar dan mungkin juga media elektronik. Apabila ungkapan yang keluar dari mulut terlalu laju, tidak sesuai didengar. Terlalu perlahan seperti kurang yakin pula. Terlalu garang gerun orang mendengar. Jika suaranya mendatar jemu pula didengar. Dalam pada itu ada pula yang apabila didengar terasa puas. Suaranya jelas. Diungkapkan butirannya secara bersahaja tetapi berturutan dengan jeda waktu yang cukup memukau. Isinya padat. Istilah dan perkataan yang digunakan banyak betulnya. Banyak jawapan dari soalan. Banyak aspek yang disentuh. Dia tahu sempadan yang tidak boleh disebut berdasarkan siapa dirinya. Menjaga privacy diri.
6                 Media sosial pula siapa yang menggunakannya? Walaupun pada asalnya seperti orang muda yang terpukau dengan media sosial tetapi hakikatnya teknologi tanpa sempadan. Tanpa sebarang halangan. Sesiapa sahaja boleh memanfaatkannya. Atau menyalahgunakannya.  Jika penggunaannya bersesuaian, alhamdulillah. Tetapi apabila sempadan diri tidak dijaga maka media sosial sebenarnya menjadikan seseorang itu hilang jati dirinya. Hilang harga dirinya. Hilang integritinya. Malangnya ramai pengguna media sosial yang memandang ringan hal ini. Dirinya sedang diperhatikan orang. Orang akan meletakkannya di tempat yang jauh dari tempat yang dijangka.

Penulis teringat siri TV suatu ketika dahulu. Seorang menteri yang berkelulusan biasa-biasa mempunyai seorang setiausaha lulusan Oxford University. Universiti yang graduannya dikatakan versatile. Universiti kebangaan Britain. Graduannya disuntik dengan input intelektual yang tinggi. Apabila bercakap tidak memberikan keputusan. Tidak memberikan jawapan. Yang bertanya perlu mencari jawapan sendiri. Yang ditanya hanya memberikan beberapa alternatif untuk dipilih. See the point? Kita sebenarnya tidak boleh memberikan jawapan yang pasti kepada sebarang pertanyaan orang lain. Orang yang bertanya itulah yang perlu mencari jawapannya sendiri. Kita hanya boleh menghidangkan alternatif cadangan untuknya membuat pilihan. Kita tidak ada kaitan dengan jawapan yang dipilihnya. Kita dalam kategori non partisan. Tidak memihak. Alternatif yang kita berikan hendaklah:

1                 Pada aras tinggi.
2                 Mengandungi idea intelektual.
3                 Sesuatu yang segar.
4                 Sesuatu yang inovatif atau kreatif.
5                 Memberikan cadangan di luar jangka.
6                 Jawapan di luar kebiasaan.
7                 Ada input-input baru.

Inilah masalahnya. Kita selalu memihak. Selalu condong untuk mempamerkan kecondongan kita. Ada tempat kita boleh pamerkan minat kita. Ideologi kita. Pegangan kita. Tetapi dalam media yang audiennya berkeliling dunia kita seharusnya membataskan diri. Kata-kata atau tulisan kita dibaca orang. Orang lebih hormat tulisan yang membina. Yang akademik. Yang membantu untuk membuka minda. Orang yang berkedudukan lagilah banyak pantang larangnya. Tidak boleh sebarang yang hendak ditulis. Bukan sebarangan yang diungkapkan. Tidak mungkin dalam media sosial kita ketawakan orang lain. Yang kita ketawakan sahabat kita tetapi yang membacanya semua orang. Di siitulah kita terperangkap dalam teknologi. Kelemahan kita terselah. Orang “menelanjangkan” diri kita tanpa usia. Tanpa pangkat. Tanpa kelayakan akademik. Tanpa taraf sosial.


Media sosial adalah saluran santai untuk santai-santaian. Boleh serius dengan versinya yang tersendiri. Tetapi tidak boleh main-main tanpa sekatan siapa diri kita yang sebenarnya. Perlu berhijab di sebalik hemah dan waspada. Cermin kita mahal harganya. Jika pecah berderailah ia. Jika retak hilang nilai. Jagalah cermin itu. Ia cermin diri yang tidak ternila harganya.