Friday, February 24, 2012

Menghantar Barang


18 bulan di US banyak juga mengumpul  barang. Sewaktu mula mengumpul barang ada juga suara-suara yang tidak mententeramkan. Menujah-nujah fikiran. Banyak benar yang tidak kena. Nanti mahallah. Mana ada duit untuk membayar kos tambangnya. Bolehkah dihantar. Macamana urusannya. Sukar dimengerti akan hasad dan dengkinya. Sifat irinya. Negatifnya. Mereka bukan calang-calang orang. Buat master dan PhD.  Sikap akur payah dijumpa. Sifat membantu payah menjadi. Mereka boleh memberi maklumat untuk meringankan kepayahan. Ramai pelajar Malaysia yang terdahulu melakukan yang sama. Mereka membeli barang juga. Menghantar barang juga. Alangkah baiknya jika sifat dan sikap membantu itu diperkembangkan. Ramai orang yang citarasanya berbeza. Tidak perlu menghalang hasrat orang lain. Bantu seperlunya. Memudahkan urusan orang lain.

Saya tidak tahu bagaimana orang lain pack barang mereka. Pengalaman banyak pindah tempat dan banyak pindah rumah membantu saya merencanakan proes packing itu. Saya suka kotak-kotak yang sederhana besarnya. Mudah diangkat. Tidak berat. Sesuai untuk berbagai peringkat umur. Kotak-kotak sebegitu boleh dibeli. Di US memang banyak kedai yang menjualnya. Di sana ramai orang berpindah tempat dan rumah. Keperluannya sentiasa. Barang-barang yang berbentuk kain tidak merisaukan. Banyak cadar dan comforter yang saya beli. Begitu juga tuala. Berbagai saiz. Tuala mandi. Tuala muka. Tuala lap tangan. Kebetulan anak kelima saya masih memakai lampin pakai buang lagi. Banyaklah saya beli untuknya. Murah berbanding di Malaysia. Sebenarnya sudah saya ceritakan dalam entry yang terdahulu. Yang merisaukan ialah barang-barang ceramik, kaca atau jenis yang mudah calar.

Saya bincang dengan isteri saya. Cari akal untuk menyelamatkan pinggan mangkuk dari pecah. Perjalanan beribu-ribu kilometer jauhnya. Mesti diangkut dengan forklift. Dimasukkan dalam kontena. Disusun dalam kapal. Diangkut dengan lori ke destinasi terakhir. Perjalanan yang renyah. Barang-barang fragile. Jika packingnya tidak sempurna pasti banyak yang pecah. Aduhai! Baiklah bagaimana jika disekeliling dalam kotak dibubuh tuala dan lampin anak kecil saya? Tentu menjadi pengampu kepada isinya. Andainya terhentak kuat sekalipun rasanya tidak sampai pecah. Satu dua mungkin. Tetapi tidak mungkin kesemuanya. Lalu pinggan mangkuk yang kami beli kami susun mengikut kotaknya. Letakkan ditengah-tengah. Di sekelilingnya tuala, cadar, comforter dan lampin anak. Ramai rakan-rakan yang terkejut sebab jumlah kotak kami jauh melebihi kotak-kotak mereka. Bila diangkat kotak-kotak itu ringan sahaja. Timbangannya tidak banyak. Kena juga lebih USD400. Lebih RM1,000. Rasanya berbaloi. Masih ada lagi barang-barang itu. Sesekali keluar bila ada keluaga di rumah. Bila ada tamu. Bila ada majlis di rumah. Jamuan-jamuan kecil. Sebahagian tuala masih ada. Comforter juga ada lagi.

Setiap kali kembali ke Malaysia bukan sebuah keluarga sahaja. Pasti ada keluarga lain yang kembali juga. Lazimnya kami berkongsi syarikat forwarding agent. Lori mereka mengambil kotak-kotak di rumah. Kami ke depoh mereka untuk proses menimbang. Membayar kos tambang dan urusan dokumentasi yang lain. Berjam-jam juga dibuatnya. Barang-baramg itu mengembaralah dari satu lautan ke satu lautan yang lain. Dari sebuah negara ke negara yang lain. Dari satu terusan ke terusan yang lain. Untuk sampai di Malaysia memakan masa hingga tiga bulan juga. Kerana itu barang-barang tersebut kami hantar lebih awal. Mungkin sebulan atau dua bulan lebih awal. Alhamdulillah apa bila saya terima barang-barang saya kesemuanya dalam keadaan selamat sejahtera. Tiada satupun yang cacat. Intact seperti waktu dibungkus dahulu. Bagaimana di US begitulah di Malaysia. Pernah saya ditakut-takutkan bahawa nanti di Malaysia barang-barang itu akan digeledah kastam dan akan dicukai. Realitinya tidak. Metos sahaja. Dongengan yang tidak pernah benar. Maklumat yang selalu mengelirukan.

Apabila sampai di rumah kotak-kotak itu dibuka satu persatu. Tiada yang hilang. Tiada yang cacat cela. Walaupun dimasukkan dalam kotak ianya mesti disendatkan. Dikejapkan. Jangan sekali benarkan goyang atau goncang. Jika ada ruang memang besar kemungkinannya ianya terhendak atau terantuk sesama sendiri. Apabila itu berlaku akan ada yang pecah, sumpik atau retak. Tentu kesal dan rugi. Pengalaman mengajar saya untuk packing yang sempurna. Menjaga barang sendiri. Lagipun menghantar menggunakan kontena menjadi jaminan kurangnya berlaku hentakan atau himpitan kuat dari berbagai arah. Kotak tidak mungkin dicampak, dilempar atau dihempas. Alat yang khusus mengendalikan kontena. Keselamatannya lebih terjamin. Hilang rasa bimbang sewaktu menghantar barang dahulu. Alhamdulillah diterima dalam keadaan seperti sediakala.

Dalam hidup ini banyak perkara yang perlu dipelajari. Banyak yang non-academic dipelajari melalui pengalaman. Melalui pemerhatian. Melalui taakulan. Pengalaman yang digandingkan dengan pengamatan dan taakulan tentulah lebih menyakinkan. Banyak pintu dan tingkap terbuka untuk menjadikan kita inovatif dan kreatif. Hati kita sentiasa berlapang. Minda kita sentiasa terbuka. Belajar untuk menyempurnakan hidup. Kegunaannya setiap masa dan tempat. Akhirnya kita dilengkapi dengan survival kit yang sukar untuk diterangkan. Natijahnya hidup kita banyak dipermudahkan. Ada sahaja jalan penyelesaian yang dapat dicapai. Akademik hanya satu aspek kecil. Dalam profesion kita banyak tindakan yang bukan akademik. Keputusan yang bukan akademik. Menyelesaikan masalah bukan secara akademik. Lebih banyak pengalaman maka lebih banyaklah peluang untuk survive.

Timbalah seberapa banyak pengalaman yang mungkin. Jangan tolak apabila diberi tugas atau task baru. Ia menjadi  cabaran kepada keluwesan kita. Mencabar fleksibiliti kita. Memberi ruang mengenengahkan bakat yang terpendam. Kita mungkin tiba-tiba menyukai sesuatu yang disogokkan kepada kita walaupun sebelumnya kita langsung tidak ambil pusing akan hal itu. Pengalaman selalu berguna. Mencuba yang baru memberi pengaaman baru. Gagal melaksanakan adalah kerana belum biasa. Belum mendapat kemahiran yang distandardkan. Jika hati diusap suka maka yang payah menjadi senang. Yang tidak pernah dibuat, dicuba berperingkat-peringkat. Tidak pernah ada ruginya mencuba. Tidak ada ruginya menimba pengalaman. Yang baik tetap ada. Selok beloknya kita ketahui. Prosedurnya kita ingat. Kesemuanya membantu bila diperlukan. Pengalaman memperkayakan diri. Kerana itu orang mencari mereka yang berpengalaman. Sekurang-kurangnya kurang kesalahan. Kurang masa untuk memulakan sesuatu. Orang bukan bermula dari zero. Dari pengalaman itu akan lahir aura. Juga authority. Kepakaran. Tidak kurang menjadi personality. Malah ada yang mencapai taraf celebrity. InsyaAllah sdemuanhya dilakukan kerana Allah. Kita kembali kepadaNya.

Graduation Day

Di hadapan Civic Centre, Pittsburgh. Bersama anak ketiga, keempat dan kelima. Graduation Day Mei 1986.


Mei, Spring 1986. Setiap yang bemula tentu ada akhirnya. Lumrah dan fitrah makhluk. Bermula dan akhirnya tamat suatu episod dan fasa hidupnya. 18 bulan terasa tidak puas-puas. Jangkamasa yang terasa terlalu singkat. Terasa belum puas bermain. Belum puas menikmati segala yang berupa nikmat. Nikmat berada di negara asing. Nikmat melihat kebesaran Allah. Kelainan-kelainan yang tentunya tidak sama dengan yang ada di negara sendiri. Segala-galanya berbeza. Dari orangnya, masakan dan makanannya, dan persekitarannya semuanya berbeza. Suatu pengalaman yang mengesankan. Yang menusuk ke nurani.  Yang impaknya kekal lama. Melihat untuk percaya. Untuk dipanjangkan menjadi cerita. Coretan-coretan yang boleh dibaca berzaman-zaman lamanya. Untuk anak cucu. Untuk orang-orang kemudian. Suatu catatan hidup dan perjalanannya.

Mei itu tibalah waktunya menamatkan pengajian secara rasmi. Ditamatkan dengan konvokesyen. Kita orang Malaysia mewarisi tinggalan British. Penamat pengajian di IPT dinamakan konvokesyen. Di US mudah sahaja istilahnya. Graduation. Lulusannya menjadi graduan. Tidak gah seperti British. Istilah convocation nampak eksklusif. Ada tanda kehebatan. Tradisi kecemerlangan. Suatu pencapaian diri. Sebab itu IPT disebut menara gading. Ivory tower. Sesuatu yang tinggi diberi nilainya. Untuk masuk dan mendakinya perlu memiliki IQ yang tinggi. Bukan sebarang orang. Mereka yang lulus menjadi sarjana. Scholar. Selalu dirujuk kerana ilmunya di dada penuh melimpah. Kerana itu konvokesyen banyak karenahnya. Banyak rasmi-rasmiannya. Banyak prosedurnya. Maka penat lelahlah kakitangan yang terlibat. Berbulan dan berminggu latihannya. Raptainya berulang-ulang. Skrip aturcaranya tebal dan terperinci. Semuanya ingin gah kerana namanya konvokesyen. Peristiwa besar sebuah IPT. Perinstiwa agung untuk graduannya. Tiada yang lebih manis dari merentasi pentas. Tunduk hormat kepada Canselor barangkali. Melangkah gagah menuruni tangga. Keluar melempar mortar board sebagai pelepas diri dari jadual akdemik yang menyesakkan.

Di US graduation day hanyalah suatu upacara.  Hanya mereka yang mendapat PhD sahaja yang diraikan secara khusus. Yang lain hanyalah hadir secara ramai untuk meramaikan. Aturcaranya sangat simple. Setiap akhir semester semua pelajar semester akhir boleh memohon untuk turut serta dalam graduation semester itu. Ya, graduation day diadakan setiap akhir semester. Semua semester.  Lulus atau tidak bukan isu. Semua pelajar semester akhir boleh menghadirinya. Lengkap dengan pakaiannya sekali. Untuk pelajar sarjana seperti saya, jubah dan capenya serta mortar boardnya hanya USD29.90 sahaja. Sekitar RM55.00. Boleh bawa balik. Simpan sampai hancur.  Oleh kerana dibeli maka ianya menjadi milik sendiri. Hanya kain hitam yang juga simple. Bukan yang kualitinya tinggi. Bukan yang mahal.  Hanya pakaian sebagai tanda sudah menjadi graduan.

Provost (Canselor di sini) memberi ucapan dan menggraduat semua pelajar yang hadir. Di akhir ucapannya dia akan berkata, “Please go to your respected dean.” Kira habislah graduatian semester itu.  Maka berbarislah graduan untuk sekadar bertemu dan bersalaman dengan dekan. Hanya mendapat ucapan congratulation.  Tidak merasa bertemu dengan provost. Tidak menjabat tangannya. Tidak menerima skrol kosong. Skrol yang akan disi kemudian.  Tidak ada gambar diambil. Tidak ada sesi bergambar yang diurus oleh universiti. Semuanya urusan sendiri. Tidak juga hambar. Malah kadang-kadang susana yang sangat santai itu menghiburkan sesama graduan. Itulah waktu-waktu terakhir bertemu. Bertukar no telefon. Alamat. Dan seribu satu macam hal. Sambil duduk-duduk menunggu tamat upacara kami berbual santai. Ketika akan berpisah itu barulah kadang-kadang dapat bersembang agak panjang. Baru tahu siapa rakan sekelas yang selalu bersama selama 18 bulan itu. Jika muda berapa tahun mudanya. Jika tua berapa tuanya. Orang putih fizikalnya sukar dikenalpasti jika kita tidak biasa dengan mereka. Macam muda tetapi sudah 58 tahun. Nampak dewasa tetapi baru 19 tahun.

Bila membaca nama-nama graduan disertakan sekali tarikh mendapat ijazah pertama. Dari universiti mana pula. Dari negara mana. Saya temui nama seorang teman sekelas. Seorang wanita Amerika yang ijazah pertamanya pada tahun 1956. 30 tahun sebelumnya. Saya tanya padanya, “Else, what happen to all those years?” Jawapannya penuh makna. “After I graduated I worked as a teacher. I got married. I raised my children. Now all of them have graduated. Have grown jup. I have nothing to do at home. Here I’m, back to school.” Bagi orang Malaysia, back to school seperti low class (Istilah P. Ramli). Bagi mereka schooling bermakna belajar. Back to school bermakna belajar di IPT, tahap yang lebih tinggi. Setinggi mungkin. Master dan PhD adalah untuk  mereka yang sudah berkerjaya. Belajar secara sambilan pada hujung minggu. Atau kelas pada waktu malam. Tidak perlu biasiswa. Semua universiti menawarkan kelas malam. Bagi mereka yang bekerja, bolehlah merealisasikan impian akademik mereka. Laluan-laluan yang dipanggil laluan kedua disediakan. Ramai yang tidak berpeluang ke IPT akhirnya mendapat title graduan.

Berbeza dengan kebanyakan orang kita. Belum banyak usianya tetapi sudah tua. Baru bekerja tidak berapa lama sudah kelihat bahunya mendap. Semangatnya redup. Jalannya lemah. Airmukanya kurang ceria. Bekerja menjadi beban. Yang senang disusahkan. Yang cepat dilambatkan. Biasalah pengalaman saya begitu. Pelajar yanag meninggalkan kampus baru 23 tahun. Setahun kemudian ketika konvokesyen mereka sudah menjadi “tua”. Seolah-olahnya kerja itu sangat membebankan. Entahlah. Mungkin persepsi saya sahaja. Tetapi sesudah 42 tahun melihat fenomena yang sama tentu ada jawapannya. Tentu ada sebabnya. Hairankan. Orang di luart negara semakin menyibukkan diri dengan hal-hal tambahan sebagai value added untuk diri mereka. Akhirnya value itu menjadi added kepada masyarakat mereka. Negara mereka.

Universiti di luar negara sentiasa sibuk 24 jam sehari. 7 hari seminggu. Siang malam ada sahaja aktiviti akademik. Tradisi ilmu yang tidak pernah putus. Universiti di Kuala Lumpur nampaknya begitu sibuk. Hujung minggu sibuk dengan berbagai kelas. Mereka yang sudah bersara ke IPT pada hujung minggu. Yang ingin memningkatkan kerjaya juga bersekolah lagi. Di bandar-bandar besar manusianya berbagai. Ramai yang mencari harga yang lebih tinggi untuk diri mereka. Pengetahuan yang menghapus kejahilan. Menjadi orang-orang yang lebh tahu dan mengetahui. Bukan lagi orang biasa. Atau orang awam yang terlalu awam. Mereka ingin menjadi orang biasa yang bukan awam. Ada ilmu. Mengetahui. Ianya banyak berlaku di negara maju. Atau di bandaraya-bandaraya besar. minat yang berbagai diterjemahkan dalam bengtul ilmu. Peluang yang berbagai diterjemahkan dalam bentuk aktiviti meningkatkan diri.

Begitulah hadirnya saya dan keluarga di bumi Uncle Sam. Hanya 18 bulan yang singkat. Namun sempat mengharungi winter sebanyak dua kali. Spring dua kali. Summer hanya sekali. Fall juga sekali. Tahun 1986 sudah 26 tahun berlalu. Dalam hati seperti baru sangat ditempuhi. Masih terasa sejuk winternya. Masih mewangi springnya. Masih terasa panas summernya. Masih dilihat warna warni dan hangat musim fallnya. Aduhai! Masa terus berlalu. Membawa kita melalui masa dan zaman yang berubah. Yang santai dan yang kacau. Kita mendewasa membawa kenangan dan ingatan. Akhirnya kita menjadi seseorang yang membawa pengalaman yang berguna untuk masa hadapan kita sendiri. Mudah-mudahan tua kita berisi. Seperti kelapa, semakin tua semakin banyak santannya. Perahlah, lemak dan minyaknya akan menyatu.