Thursday, November 14, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mengurai Yang Kusutnya Bukan Banyak




Kebetulan semasa bertugas menjadi pendidik penulis diberi kepercayaan untuk menjaga disiplin pelajar. Di sekolah menengah Chung Hwa Wei Sin pengalaman penulis bermula. Di Politeknik Ungku Omar paling lama rasanya. Bersilih ganti bertugas di HEP, waden dalam asrama dan waden luar asrama. Bila pindah ke Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru penulis menjadi Penolong kanan HEM. Menjaga pelajar siang dan malam. Begitu juga apabila pindah ke Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) di Parit Raja, Batu Pahat. Bertukar namanya menjadi Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO). Kemudiannya menjadi Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUiTTHO). I kecil (i) yang nostalgik. Dikekalkan kerana asalnya ITTHO menjadi KUiTTHO. Dari tahun 1994 hinggalah tahun 1999 penulis menjaga HEP. Mendidik pelajar untuk menjadi matang sebagai manusia muda yang terpilih.


Paling banyak yang penulis temui ialah pelajar yang tidak ada keyakinan, berfikiran negatif, menolak kebiasaan, terlalu mendesak tanpa mengetahui duduk perkara dan terlalu menyendiri hingga banyak yang tidak diketahui. Sebenarnya sebagai orang muda pelajar banyak kekurangan dari segi kemahiran insaniah. Dari segi intelek pelajar tidak boleh dipandang remeh. Hanya dari segi hubungan kemanusiaan mereka selalu kalah. Satu lagi sifat orang muda ialah suka mengelak dari bertembung dengan orang dewasa. Kerana itu ramai pelajar enggan bertemu dengan pensyarah hatta ketika mereka tenggelam punca sekalipun. Mana-mana pelajar yang gemar berdamping dengan pensyarah mereka menjadi pelajar yang berkeyakinan dan memiliki sifat-sifat untuk terkehadapan. Orang mudah suka sesama mereka sendiri sahaja. Sedangkan di kalangan mereka ada ruang kosong dari segi pengalaman dan kebiasaan. Kemahiran beradab, diplomasi dan protokol.


Pengalaman lazimnya boleh dicari secara sendiri. Tetapi perlu memakan masa yang lama dan banyak bertimbun. Jika bergandingan dengan mereka yang lebih lama atau berpengalaman banyak yang boleh dikongsi. Dimaklumi terlebih dahulu sebelum mengalaminya sendiri. Dalam hidup ini kebanyakan perkara adalah berkaitan dengan menyelesaikan masalah. Ada masalah yang lumrah. Ada yang rumit. Ada yang luarbiasa. Namun begitu setiap masalah berbeza ditanggapi oleh orang yang berbeza. Senang kepada orang lain terlalu susah pula kepada orang yang lain. Oleh yang demikian setiap orang muda sewajarnya belajar sebanyak-banyaknya cara terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Apabila menyelesaikan masalah perkara-perkara berikut perlu diambil perhatian:


1                 Segera tetapi tidak mengabaikan keadaan sekitar masalah itu. Mengambilkira semua perkara. Tidak mengabaikan mana-mana bahagian yang berkaitan dan relevan.
2                 Ekonomikal. Tidak memerlukan kos yang tinggi.
3                 Jangkamasa yang diambil tidak terlalu lama. Jika tidak penyelesaiannya menjadi lapuk atau jumud. Tidak lagi diperlukan.
4                 Tidak melibatkan terlalu ramai ahli. Banyak hal lain yang juga penting untuk dilakukan.
5                 Kaedah yang diambil dijangka menyelesaikan masalah atau mengurangkannya ke tahap yang minimum.
6                 Ahli yang terlibat mestilah fokus kepada masalah yang berkaitan sahaja.
7                 Keputusan yang diambil tidak menimbulkan masalah lain yang di luar jangka.


Kesemua perkara yang perlu difikirkan tidak datang dengan sendirinya. Pengalaman penting untuk menentukan prosedur. Menentukan kaedah. Menentukan operasinya yang paling berkesan. Dalam banyak hal masalah yang timbul hendaklah dimaklumkan kepada pihak yang lebih arif. Yang lebih berwibawa. Yang lebih tinggi pangkatnya.


1                 Mereka boleh menentukan yang mana kritikal dan yang mana bukan.
2                 Mereka boleh mencadangkan berbagai alternatif.
3                 Memberi kebenaran untuk menggunakan kemudahan (resources) yang berkaitan.
4                 Melantik pemandu untuk dirujuk dalam menyelesaikan masalah.


Suatu hal yang tidak dapat dielakkan ialah apabila sesuatu masalah tidak dapat diselesaikan dengan mudah maka ianya akan melarat menjadi lama dan lebih rumit. Apatah lagi jika mereka yang terlibat menambahkan maklumat atau mencipta sub-plot yang tidak berkaitan. Apabila pada suatu peringkat bawah masalah tidak dapat diselesaikan maka perkara itu hendaklah dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. Seorang doktor yang memeriksa pesakit tidak mengetahui penyakit yang dihidapi pesakit itu  kecuali setelah pesakit menceritakan tanda-tanda yang dialaminya. Pemeriksaan yang akan dilakukan  cuba mengesahkan penyakit yang dideritai. Mungkin juga menemukan penyakit lain yang tanda-tandanya hampir serupa. Begitu juga seorang ketua tidak tahu apa sahaja yang berlaku di bawah ruang lingkup tanggungjawabnya. Tidak mungkin kesemuanya diketahui. Ada yang diketahui dan ada yang tidak. Pembantu yang di bawah hendaklah dilatih mengenalpasti masalah yang kritikal dan yang tidak. Masalah yang kritikal melibatkan banyak hal lain. Contohnya ketiadaan air dan elektrik adalah masalah yang kritikal jika berpanjangan. Komputer rosak adalah kritikal. Tetapi jika sebatang pen rosak, ianya bukan kritikal.


Satu lagi perkara yang penting untuk menyelesaikan masalah ialah kemahiran menyusun fikiran. Dalam kejuruteraan boleh dirujuk kaedah Critical Path Method (CPM) atau Programme Evaluation and Review Technique (PERT). Menyusun idea adalah penting supaya yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Istilah yang biasa digunakan ialah kronologi peristiwa. Dari mula hingga ahkirnya. Belajar menyelesaikan masalah sangat berguna apabila sampai masanya menjadi ketua atau orang yang dipercayai. Masalah yang dihadapi ada caranya untuk diurai. Sekiranya masalah itu memberikan tanda-tanda tidak dapat diurus maka bantuan pihak yang lebih tinggi diperlukan. Mungkin ada jalan fikir yang tidak timbul semasa berusaha menyelesaikannya.


Belajar di IPT bukan segala-galanya. Banyak yang perlu dipelajari dari persekitaran. Dari pengalaman. Seeloknya orang muda aktif dalam persatuan, kelab, perkumpulan atau jawatankuasa-jawatankuasa apa sahaja asalkan memberikan manfaat. Mungkin untuk agama. Untuk masyarakat. Untuk akademik. Untuk ekonomi. Untuk apa sahaja yang memberi manfaat. Memberi pengalaman. Mengajar menjadi pemimpin. Mendidik menjadi manusia yang peka dengan masalah orang lain di sekeliling diri. Pengalaman kecil-kecilan ini membantu membina pengalaman untuk menyelesaikan masalah yang lebih besar pada masa hadapan. Masalah yang sifatnya kritikal kepada hal-hal di sekeliling diri sendiri. Melihat dan merasa pengalaman sendiri atau orang lain banyak membantu memahirkan diri. Antara manfaat kemahirna menyelesaikan masalah ialah:


1                 Kemahiran bertenang dalam kebanyakan keadaan.
2                 Mahir dengan prosedur yang berkaitan.
3                 Tahu siapa yang boleh diajak bekerjasama.
4                 Mengetahui sumber yang boleh digunakan (disposal resources).


Mereka yang mahir menyelesaikan masalah lazimmya:

1                 Dihormati kedudukannya.
2                 Selalu dirujuk.
3                 Menjadi pakar.
4                 Berpeluang terlibat dengan hal-hal yang lebih pada peringkat tinggi.
5                 Menjadi konsultan professional.



Belajarlah seberapa yang mungkin. Berusaha untuk menjadi yang terbaik. Semasa masih belajar, skop pengalaman mungkin minimum. Sesudah tamat belajar baru mendapat peluang menyelesaikan masalah yang sebenar. Hakiki. Bukan sebarangan. Natijahnya penting. Pengalaman yang baik ialah yang melibatkan banyak operasi. Mengerti cabang-cabang organisasi. Ianya penting untuk lebih mengerti masalah di bahagian lain. Lebih arif tentang pentingnya kepada organisasi. Mereka yang lebih berwibawa pengalamannya akan lebih mudah mendapat tempat di hati orang-orang di atas. Lebih dipercayai. Lebih luas peluangnya untuk mencapai kejayaan pada peringkat yang lebih tinggi. Orang yang mahir menyelesaikan masalah orang-orang yang lebih berjaya dalam kebanyakan hal. Selamat belajar.