Sunday, July 7, 2013

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Hakikat Luas Yang Sempit


Di negara kita tanah bukan lagi komoditi yang telalu mahal. Bukan pula terlalu langka. Masih banyak. Mereka yang memiliki tanah masih ramai. Kerana itu banyak rumah yang dibuat di atas tanah sendiri yang cukup lebar, maka banyak rumah yang hanya setingkat sahaja. Walaupun banyak juga yang dua tingkat tetapi rumah persendirian yang tiga tingkat atau lebih sangat sedikit. Di Lembah Klang rumah murah dalam bentuk rumah pangsa. Di kawasan lain di seluruh negara rumah murah hanya setingkat sahaja. Tiada isu tanah. Masih banyak walaupun di bandar besar. Pihak perancang bandar sahaja yang perlu menentukan rekabentuk sesebuah bandar pada masa terdekat dan pada masa hadapan. Tanpa perancangan yang rapi tentu tanah semakin langka. Semakin mahal. Semakin sukar membina perumahan untuk penduduk. Walaupun tanah masih luas perancangan masa hadapan seharusnya memikirkan unjuran pertambahan penduduk, kepesatan pembangunan bandar-bandar dan perkembangan ekonomi. Zaman bermewah-mewah menggunakan tanah sewajarnya difikirkan semula. Sudah sampai masanya rumah ditinggikan ke atas dan bukan dibesarkan setingkat atau dua tingkat sahaja. Hatta mereka yang memiliki tanah sekalipun harus mula memikirkan untuk membina rumah yang bertingkat-tingkat.
Tanah yang dioptimumkan penggunaannya adalah lebih produktif. Kos membina rumah semakin murah. Tanah yang sedikit dapat menampung banyak rumah. Kepadatan penduduknnya difikirkan secara berintegrasi. Kadar kemampuan memiliki rumah yang lebih selesa dapat dirancang. Dalam pada itu pemimpin seharusnya memikirkan penyediaan rumah mampu beli. Bukan rumah mampu untung kepada pemaju. Jadikan perumahan agenda membina bangsa bukan membina keuntungan peribadi. Di Kaherah yang penduduknya seramai kira-kira 30 juta orang perumahannya difikirkan meninggi ke atas. Bukan melebar dan meluas. Bandaraya Kaherah yang ada sekarang sudah cukup luas untuk 30 juta orang. Perumahan yang dibina sekurang-kurangnya empat tingkat. Banyak yang lima atau enam tingkat. Konsep ini harus mula diperundangkan di Malaysia. Masa hadapan kita bukan terlalu jauh. Anak cucu kita tidak akan mewah seperti kita. Maksudnya tanah bukan komoditi yang melimpah banyaknya. Jika tidak, kawasan pinggir bandar akan diserap menjadi kawasan bandar. Itu bukan opsen yang terbaik.
 Kita harus fikirkan aspek sosiologi orang Melayu pada keseluruhannya. Berani saya katakan bahawa orang Melayu belum mampu membandarkan diri mereka pada keselurhannya. Kawasan pinggir bandar masih perlu dipertahankan. Bukan warisan bahkan juga survival bangsa dan generasi akan datang. Keghairahan ekonomi yang bersifat sementara tidak seharusnya mengabui mata. Tidak seharusnya memejamkan penglihatan. Kita harus melihat masa hadapan dengan telus, jelas dan jauh ke hadapan. Perancangan berintegrasi ekonomi-sosial-budaya-politik harus disegerakan. Berbagai jenis kertas boleh dikerangkakan dari sekarang untuk tatapan, cadngan balas dan pemahaman nasional. Bukan bersifat merawat seperti sekarang. Kerangka yang seperlunya mestilah bersifat mencegah atau ramalan jangkapanjang. Perumahan bukan masalah semasa tetapi masalah berpanjangan selagi penduduk bertambah. Selagi ekonomi berkembang. Selagi ramai orang yang menumpu hidup di bandar.
Di Mesir tumpuan penduduknya di sepanjang tebing Sungai Nil. Kaherah kira-kira 4 jam dari muara Sungai Nil. Di muaranya terletak bandaraya Iskandariah. Kaherah dikelilingi padang pasir Sahara yang sangat luas. Padang pasir terbesar di dunia. Terletak di utara Afrika. Merentas hingga ke Afrika Tengah. Kaherah di atas tanah rata. Bukit boleh dibilang. Gunung memang tidak ada. Penduduk di sini biasa dengan ribut debu. Debu di sini bukan debu tanah tetapi debu pasir. Halus tetapi memang pasir. Bagi yang rajin tiada masalah. Bagi yang kurang rajinnya rumah banyak kotornya dengan debu. Bagi yang langsung tidak peduli dengan kebersihan memang dahsyat keadaan rumah-rumah mereka. Ini bukan cerita di luar rumah. Ini cerita di dalam rumah. Di luar rumah keadaannya tidak perlu diceritakan. Semua dinding kelam, kusam, kelabu, gelap dan hitam. Debu sentiasa tebal. Orang-orang di sini hanya memikirkan situasi dalam rumah mereka. Itupun jika mereka perihatin dengan kebersihan. Jika tidak boleh bayangkan rumah-rumah yang selamanya tidak dibersihkan debunya.
Ramai orang Malaysia belajar di Mesir. Mereka hidup dalam suasana debu ini. Tidak dinafikan ramai yang pembersih. Perihatin dengan kebersihan. Namun ada juga yang langsung tidak kisah. Mereka menerima debu seadanya. Menerima kotor sekotornya. Mereka hidup begelumang dengan debu dan kotor itu. Tentulah tidak manis jika mereka semua bakal orang besar di Malaysia. Ketidakperihatinan tentang kotor dibawa pulang ke Malaysia. Menjadi budaya hidup yang dianggap lumrah. Maka persepsi orang keliling menjadi sangat negatif. Lulusan luar negara yang aspek kotornya menakutkan orang lain. Ketidakselarian antara kelayakan akademik dengan amalan keperluan hidup. Jika keadaan ini dapat diseimbangkan tentu ada persepsi segar mengenai lulusan tinggi. Mengenai pegawai-pegawai yang diberi harapan tinggi. Kerja membersihkan kekotoran tidak boleh dibuat sekali sahaja. Ia seharusnya diperingkat-peringkatkan. Diulang-ulang. Diprogram dan dijadualkan. Andainya ini dapat dilakukan kebersihan bukan masalah tetapi menjadi budaya yang sememangnya tuntutan agama.
Orang USA juga memiliki persepsi yang sama. Bahagian luar rumah mereka tidak banyak diambil peduli. Ada yang dicat. Ada yang dibiarkan begitu sahaja. Ada yang sengaja diselaputi dengan tumbuhan merayap memenuhi segala dinding dan tembok. Di sesetengah tempat mereka menjaga laman rumah mereka. Rumput dipotong. Pokok bunga ditanam. Lanskap yang dirancang rapi. Kelihatan menarik dan cantik. Pada kebanyakannya yang lebih penting kepada mereka ialah bahagian dalam. Dapur dan ruang makan yang memadai. Bilik tidur yang selengkapnya. Bilik tamu yang comel kerana mereka jarang menerima tamu walaupun saudara mara sendiri. Wajib ada bilik seabgai ruang membaca, membuat rujukan, menulis dan berbincang sesama ahli keluarga. Maksudnya perpustakaan adalah wajib. Berilmu dan menambah ilmu menjadi agenda hidup kebanyakan mereka. Menjadi masyarakat yang bermaklumat. Hiasan dalaman rumah mereka menarik. Lampu yang besar dan terang jarang dipasang kecuali rumah mereka adalah bentuk mansion. Rumah besar yang di dalamnya mungkin terdapat 25 bilik tidur. Kolam renang mungkin tiga. Banyak lagi kelengkapan lain. Di rumah jenis ini terdapat lampu chandalier besar. Rumah biasa hanya dilengkapi lampu meja atau lampu berkaki. Ada konsep berjimat elektrik..
Lain tempat lain budayanya. Kita suka suasana terang benderang. Banyak pembaziran. Banyak ruang yang tidak perlu terang tetapi diterangi oleh lampu di siling atau di dinding. Lagipun budaya kita berkenduri kendara sangat kerap. Banyak majlis-majlisan seperti akikah, potong jambul, kenduri arwah, berkhatan, merisik, bertunang, bernikah kawin dan berbagai lagi majlis yang diadakan di rumah. Sekiranya kita mengubah budaya membina rumah yang tingginya ke atas maka kesemua amalan budaya perlu diubahsuai. Kenduri kendara tidak boleh kerap. Tidak boleh besar-besaran. Sekadar beberapa orang sahaja. Lagipun parkir di luar rumah sangat terhad. Menghindar dari mengganggu penghuni yang lain. Yang penting pada masa ini ialah kita perlu memikirkan supaya sistem perumahan kita tidak menjadi sesak serperti di New York, Jakarta atau  Kaherah. Masa hadapan perlu dirancang berdasarkan fakta-fakta yang ada. Merancang adalah lebih baik dari menangani kemelut masalah semasa.

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Manifestasi Kebersihan dan Imej Diri


Siapa yang tidak suka kebersihan. Kanak-kanak yang belum mumayyiz sahaja barangkali yang tidak tahu membezakan antara bersih dan kotor. Ibu bapa wajib mengajar dan mendidik kebersihan kepada anak-anak. Guru apatah lagi. Zalim jika tidak mengajar dan mendidik anak-anak didiknya menjaga kebersihan. Mengurus kebersihan. Mentadbir kebersihan. Merancang kebersihan. Menyenggara kebersihan. Menjaga alam sekitar. Arif tentang pencemaran. Uztaz dan ustzah lagilah perlu arif tentang kebersihan. Besar dan kuat kaitannya dengan agama. Toharah (kebersihan) merupakan bab awal dalam pendidikan agama. Asas ibadat. Kesucian beribadat. Beramal dalam kebersihan. Malah kebersihan antara syarat sah sesetengah ibadat seperti solat. Kebersihan banyak  maksudnya. Selain persekitaran, kebersihan juga merujuk kepada kebersihan tubuh badan secara fizikal, kerbersihan berpakaian dan kebersihan mental. Malangnya aspek kebersihan selalu menjadi isu panas dalam mendidik  ahli masyarakat. Kebersihan adalah isu global. Perbincangannya mengenainya tanpa mengira agama, budaya, iklim, masa, tempat atau apa sahaja. Ia adalah sarwajagat. Isu manusia dan kemanusiaan. Kepada kita isu agama lebih penting lagi sebab agama kita mengajar kita mengenai kaedah terbaik mejaga kebersihan.
Kebersihan bermula dari rumah. Rasanya tiada ibu bapa yang tidak melalui didikan awal untuk menjaga kebersihan dari kedua ibu bapa mereka. Ditambah pula dengan pengalaman di luar rumah, menonton TV, membaca akhbar dan majallah. Menjaga kebersihan bukan isu berat. Ianya ringan. Ada sampah kutip dan buang. Ada debu vakum. Jangan sapu. Debu itu terbang dan hinggap pada barang-barang lain terutamanya makanan dan minuman.  Mop lantai sekerap yang mungkin. Kesemuanya sebenarnya mudah. Buang sikap malas. Sikap mengambil mudah. Sikat tidak peduli. Lebih berat jika dikatakan sikap tidak bertanggungjawab. Jika kesemua itu dilakukan yang kelihatan ialah lantai yang bersih. Tanpa sepah dan debu. Suasana yang kemas dan rasa selamat dan menyihatkan terutama jika ada anak-anak kecil yang merangkak ke sana dan ke mari. Menjilat apa sahaja yang mungkin. Memegang semua barang yang boleh dicapai tangan kerana sifat mereka ingin melakukan apa sahaja. Jika keadaan rumah bersih dan suci pula ibu bapa sebenarnya menyelamatkan anak mereka dari penyakit. Mengurangkan bil perubatan. Mengurangkan rasa cemas.
Itu isu rumah secara umum. Rasanya kita pernah dengar perlunya mencari pasangan hidup yang sekufu. Ibu dan bapa hendaklah sekufu dalam hal kebersihan. Dalam hal menjaga alam sekitar. Dalam hal menjaga kedamaian rumah kediaman mereka.  Apabila ibu dan bapa pembersih orangnya maka anak-anak akan mengikut jejak sifat mereka. Apatah lagi jika mereka dididik dengan tegas tentang perlunya kebersihan.  Kebersihan sepatutnya tiada kompromi. Ibu bapa pada peringkat awalnya hendaklah memaksa anak-anak melakukan yang terbaik untuk menjaga kebersihan. Latih dan jadikan amalan kepada mereka. Hinggalah mereka merasakan itu adalah darah daing mereka. Mereka berasa bersalah jika tidak menjaga kebersihan. Beginilah, kebersihan sebenarnya gambaran diri seseorang. Gambaran imej diri. Gambaran pendidikan seseorang. Gambaran harga diri. Gambaran maruah. Gambaran aib diri. Gambaran nama baik. Mereka yang pembersih berada di hujung tahap kualiti yang tinggi. Sebaliknya mereka yang tidak pedulikan kebersihan berada di paras negatif yang menghinakan.
Mari kita sorot siapa sebenarnya yang bertanggungjawab penuh tentang kebersihan.
Bil
Tempat
Tanggungjawab
1
Rumah
Ibu dan Bapa
2
Pejabat
Ketua Eksekutif
3
Sekolah
Pengetua/G. Besar
4
Masjid
Pengerusi AJK
5
Kampung
Ketua Kampung
6
Taman
Pengerusi Taman
7
Hospital
Pengarah
8
Bandaraya
Datuk Bandar
9
Bandar
S/U Majlis
10
Mukim
Penghulu
11
Daerah
Pegawai Daerah
12
Negari
MB/ K Menteri
13
Negara
PM


Setiap yang namanya ketua pada mana-mana peringkat bertanggungjawab tentang kebersihan persekitarannya. Di bahu orang-orang yang dinamakan ketua letaknya segala usaha menjaga dan mengekalkan kebersihan. Kadang-kadang kita temui orang-orang yang terlalu bergantung kepada orang lain untuk menjaga kebersihan. Apabila hidup bersama atau berkelompok baru diketahui siapa yang pembersih dan suka kebersihan dan siapa pula yang pengotor. Yang tidak perihatin dengan kebersihan. Kadang-kadang ibu dan bapa banyak juga salahnya. Anak-anak tidak dididik dan tidak digesa dengan tegas untuk mengamalkan kebersihan. Malah ada anak-anak yang dengan selamba menyatakan yang ibunya tidak benarkan ia menyapu sampah. Tidak benarkan memasak. Tidak benarkan membuat apa-apa selain belajar. Maksudnya semua urusan kebersihan diserahkan kepada rakan serumah. Rakan seasrama. Rakan yang lain yang ada di sekeliling mereka. Bayangkan apabila mereka berumahtangga . Merana pasangan masing-masing kerana urusan kebersihan hanya seorang sahaja yang melakukannya. Sebelah pihak sahaja. Membuang sampah yang sangat mudah dan ringanpun tidak dapat dilakukan. Malah tidak terfikir untuk melakukanya. Buklankah hal seperti ini namanya daif berfikir. Lemah akal budinya.
Pernah seorang menteri bersungguh-sungguh berusaha meningkatkan kebersihan terutamanya bilik air. Dalam siri lawatannya, tempat pertama yang dilawati ialah bilik air. Ketika itu CEO paling khuatir jika bilik airnya berada dalam senarai di bawah. Tahu pula CEO ketika itu tentang maruah dirinya. Sekarang menteri itu sudah tiada.  Ramai CEO kembali tidak peduli dengan kebersihan. Orang yang bertanggungjawab jika tidak mengambil tanggungjawab maka aibnya ke mukanya sendiri. Nama baik bidang kuasanya tercemar. Sebab itu semakin tinggi jawatan seseorang semakin dekat isu kebersihan dengan jawatan mereka. Semakin tinggi kelayakan akademik seseorang semakin dekat isu kebersihan dengan kelayakan mereka. Semakin dekat seseorang dengan hal-hal agama semakin cemar maruahnya jika tidak menjaga kebersihan. Ayuhlah sama-sama kita ambil inisiatif untuk membuat pembetulan sebelum masalah kebersihan ini semakin meruncing. Ada usaha dari pihak kerajaan tetapi tidak istiqamah. Tidak berterusan. Tiada pula penguatkuasaan undang-undang yang wajib dipatuhi. Dikenakan denda yang berat  jika melanggari peraturan yang ada. Sebab itu masih ramai rakyat kita yang membuang sampah tanpa rasa bersalah.
Undang-undang anti buang sampah belum berjalan membina tabiaat sukakan kebersihan. Pendidikan di sekolah masih juga belum berjaya. Kempen kebersihan hanya majlis-majlisan. Apa lagi jika tidak kembali ke rumah. Mulakan dari rumah. Pastikan anak-anak yang keluar dari rumah sudah terdidik tentang pentingnya menjaga kebersihan. Sebanarnya saya rindukan kebersihan seperti di USA, Canada dan Jepun. Saya masih lemas tentang Malaysia, Jordan dan Mesir.  Negara lain, lain pula statusnya. Aduhai.

Bingkisan Dari Kaherah: Indah Khabar Dari Rupa


Salam saya dari Kaherah. Orang di Malaysia tentu ramai yang ingin tahu bagaimana keadaan kami di sini. Perlajar-pelajar Malaysia. Pelancong-pelancong. Peniaga-peniaga. Pengembara yang berhimpun di kotaraya besar yang namanya Kaherah. Mungkin ada yang cemas kerana kami berada di tengah-tengah pergolakan politik dunia Arab. Sebagai jawapan cukuplah saya katakan, kami berada di luar kesibukan politik tersebut. Kami hanya menonton TV. Menyerap berita yang disajikan. Apa sebenarnya yang berlaku kami tidak tahu. Hanya cebisan-cebisan berita dari mulut ke mulut sahaja yang dapat memberi input untuk menyesuaikan keadaan. Saya datang pada hari Sabtu. Pada hari Ahad perhimpunan di Medan Tahrir sudah bermula. Pada hari Isnin perhimpunan itu menjadi mega hingga hari Rabu. Banyak lagi perhimpunan di seluruh Mesir. Yang pro Mursi dan yang menentangnya. Hingga kemuncaknya pada malam semalam apabila kuasa Mursi ditanggalkan dari tubuh badannya. Lenyaplah sudah usaha-usaha untuk menjadikan Mesir lebih Islamik dari sebelumnya. Negara yang banyak punah ranahnya pada zaman Mubarak. Semangat Abduh dna Hassan al-Bana rupanya tidak cukup kuat untuk menggegar minda dan perasaan orang Mesir. Mungkin semangat Imam Syafiee dan al-Lait juga sudah dilupakan orang.
Berita yang dipaparkan di media di tanahair tentu berbeza dengan realiti yang berlaku. Media di negara kita selalunya memetik sumber berita barat seperti Reauter, FPI, CNN, BBC dan sebagainya. Dalam pemberitaan media barat tentunya mereka tidak memihak kepada Mursi. Semua kita maklum bahawa barat tidak mungkin akur dengan apa-apa yang bersifat Islam.  Manusia seperti kita selalu inginkan bukti fizikal tentang kehebatan seorang pemimpin. Ilmu pengurusan menggariskan bahawa pemimpin berbagai karekternya. Mursi jenis yang perlahan dan terlalu berhati-hati. Seperti juga orang Malaysia, orang Mesir adalah orang-orang yang kurang sabarnya. Mereka ingin melihat mercu tanda binaan Mursi. Hasil perancangan Mursi. Pada tahap yang sama Mursi masih banyak menyemak data-data lama yang tidak memberangsangkan. Kerosakan sistem yang sudah berpuluh tahun berlaku. Maka untuk membetulkannya perlu banyak berfikir.  Malangnya rakyat Mesir tidak bersama Mursi. Tidak memiliki kesabaran Mursi. Apa lagi jika ada yang mengadu domba maka kelemahan Mursi dibesar-besarkan. Mursi dianggap lemah. Terlalu lambat. Sejarah Sayyidina Ali berulang. Ali dikatakan terlalu lambat menyelesaikan isu pembunuhan Sayyidina Uthman. Mereka membunuh Ali kerana ketidaksabaran itu.
Saya tinggal di Syyi Sabi’. Kira-kira 30 minit dari lapanganterbang antarabangsa Kaherah. Di sini tiada kesibukan politik. Tetapi pada malam apabila secara rasminya Mursi digulingkan banyak bunyi mercun dan pembakaran bunga api di sekitar tempat saya tinggal. Maknanya ramai sebenarnya yang menentang Mursi sama ada secara terang-terangan atau secara senyap-senyap. Bunyi hon kereta dan tempikan serta sorakan bergema juga. Pada petang ini, Khamis 4 Julai 2013 ada berita mengatakan Mursi sudah ditangkap. Anggota Ikhwan al-Muslimin juga ramai yang ditangkap. Banyak paradox dalam politik ini. Orang politik tidak semestinya melakukan apa-apa kesalahan jenayah. Tetapi jika percaturan politik tidak menepati sasaran, masa dan peluang maka natijahnya terlalu negatif. Ada kemungkinannya pemimpin yang tidak disukai dibunuh walaupun tiada apa-apa kesalahan nyata yang memungkinkan ia perlu dibunuh. Sebaliknya pemimpin yang terlalu jelas kebobrokannya tidak pula diapa-apakan.
Tidak dapat dipastikan apa akan berlaku selepas Mursi. Interim kerajaan yang dibentuk sekarang mungkin berjaya menenangkan hati rakyat yang berkecamuk. Mungkin dalam masa yang singkat. Mungkin perlukan masa yang panjang. Setakat hari ini. Hari Khamis 4 Julai 2013, Medan Tahrir masih sesak. Mursi telah dijatuhkan. Tentangan dari Medan Tahrir berjaya menggulingkan Mursi. Namun mereka masih berhimpun. Tidak pula ada tuntutan baru atau ancaman baru. Di tempat-tempat lain kehidupan kembali normal. Perniagaan berjalan seperti biasa. Pejabat dan syarikat dibuka. Medan Tahrir sahaja yang terus bergolak.  Dua hari isteri saya gagal mendaftar di Markaz Nil. Kali pertama mereka ingin awal menutup pejabat. Hari kedua mereka mutup pejabat lebih awal. Sekadar dapat menjawab soalan ujian kemasukan sahaja. Hanya pada hari ketiga baru berjaya menjalani ujian lisan dan membaca. Orang perempuan tentu lebih terdedah kepada ancaman keselamatan. Kegawatan politik menggawatkan suasana sekeliling. Alhamdulillah hari ini semuanya kembali reda. Saki bakinya sahaja yang asih ada.
Saya sebenarnya cemas juga. Saya pindah dari Jordan untuk mencuba nasib di Kaherah. Teringat beberapa tahun lalu. Apabila kegawatan politik berlaku di era Mubarak, orang Malaysia diangkut pulang. Terbayang jika saya dan isteri diangkut pulang. Gagallah usaha dan upaya kami untuk mendalami bahasa Arab. Sepanjang hari semalam Rabu 3 Julai 2013 hati saya berdebar-debar mengenangkan kemungkinan itu. Hari ini terasa leganya. Dalam keadaaan tidak menentu apa sahaja kita fikirkan. Menelah yang terburuk. The worst situation. Apabila segalanya berlalu begitu sahaja terasa leganya. Mudah-mudahan Allah memberikan yang terbaik untuk kami di sini. Membantu kami mencapai cita-cita kami. Alhamdulillah juga anak saya dan isterinya setiap hari bersama kami. Tidak terasa sangat keterasingan di tempat orang. Makan bersama. Berjalan bersama. Dapat berbual-bual isu semasa. Sempat juga isteri saya menunjuk ajar menantunya. Diajar yang perlu tentang petua mengemas rumah. Mengemas dapur. Memasak. Melipat dan menyusun baju. Begitulah yang isteri saya turunkan kepada anak-anaknya seperti yang terdapat dalam buku Mudahnya Mengemas Rumah. Usaha anak-anak saya yang lain di tanahair. 
Kembali kepada politik kadang-kadang pemimpin hendaklah berjiwa sangat besar. Tidak takut bertindak asalkan tindakannya disokong dengan perancangan yang meyakinkan. Ada pemimpin tidak takut berhutang asalkan ada perancangan bagaimana hendak membayarnya pada masa hadapan. Ada pemimpin berani melaksanakan projek-prokej mega yang disokong dengan fakta-fakta keperluannya kepada bangsa dan negara. Rakyat nampaknya sukakan pemimpin jenis ini. Mereka menolak pemimpin yang lembam, lambat, terlalu berhati-hati. Rupanya intipati politik di luar jangkaan biasa. Hanya mereka yang berjiwa politik, world viewnya politik sahaja berjaya menjadai ahli politik yang lama jangkamasanya. Jika tidak ada political acuteness pemimpin selalunya gagal di pertengahan jalan politiknya. Maka political zest sangat perlu. Political will juga perlu kuat. Politik bukan pentadbiran biasa. Bukan pengurusan sebuah organisasi yang mengira keuntungan di akhir tahun operasinya. Yang difikirkan ialah political gain pada apa sahaja tindakanya. Pemimpin yang gagal merebut peluang politik ini tentu diketepikan. Politik ada kasih sayang. Tetapi politik bukan berkasih sayang. Ia keperluan mentadbir sebuah negara. Di dalamnya manusia yang berbagai aspirasi politiknya tetapi disatukan dengan kebijaksanaan kepimpinannya. Tentangan adalah biaasa. Yang penting yang menentang itupun secara tidak sedar menikmati apa-apa yang dilaksanakan pemimpin. Tentangan hanya politik dan politiking. Sebab itu pemimpin politik perlu mengasah kemahiran berpolitik mereka. Populariti bukan penentu kejayaan politik yang berpanjangan. Rakyat ingin melihat bukti kejayaan kepimpinan dengan segera. Mercu tanda fizilal yang dapat dilihat dengan mata. Dipegang dengan tangan. Maujud bukan setakat perancangan sahaja.
Yang dapat saya gambarkan ialah walaupun politik di Mesir bergolak kehidupan bertjalan seperti biasa. Seolah-olahnya  tiada apa-apa yang berlaku. Di luar Medan Tahrir semuanya normal. Di situ sahaja segalany abermula. Berakhirny abelum tahun. Hingga hari Jumaat 4 Julai Medan itu masih ramai penghuninya.

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Suasana Yang Panas


Hari ini Rabu 3 Julai 2013. Sudah tiga hari perhimpunan-perhimpunan yang pro dan kontra kepada Presiden Dr. Mohammad Mursi berhimpunan untuk menyatakan pendapat mereka masing-masing. Suasana panas ini dirsakan di seluruh bandar-bandar besar di seluruh Mesir. Di setiap bandar tersebut dua perhimpunan berlaku. Yang pro dan kontra. Setakat ini tiada pertembungan antara mereka. Setelah ancaman selama 48 jam berlaku tidak pasti apa lagi yang akan berlaku. Sebagai orang baru saya sekadar memerhati. Cuba memahami apa yang berlaku. Cebisan-cebisan maklumat yang saya perolehi menyatakan bahawa mereka yang tidak sukakan Mursi adalah mereka yang sama menentang Mubarak. Pada logik akal mereka yang memenangi pilihanraya presiden. Ketentuan Allah memenangkan Mursi dan Ikhwan al-Muslimin. Maka suasana tenang yang diharapkan bergolak semula. Benarlah kata ahli falsafah.  Kuasa mencandui pemikiran manusia. Berbeza pada zamana sahabat dahulu. Masing-masing menolak apabila dicalonkan untuk menjadi khalifah atau jawatan-jawatan lain. Malah yang memohon untuk mengisi jawatan-jawatan tertentu juga ditolak permohonannya. Pemimpin dianggap lelaki terbaik di kalangan mereka yang ada. Maka kepada pemimpin tanggungjawab di bahu mereka sangat menakutkan. Takut tidak tertanggung untuk menjawabnya nanti di akhirat.
Andainya kita menjelajah ke negara-negara Islam yang lain banyak yang perlu diperhati. Benarlah sabda Rasulullah, pada akhir zaman nanti umat Islam adalah seperti buih. Banyak, mengelembung, berisi udara, mudah pecah walaupun ditiup angin yang sepoi-sepoi bahasa. Tentulah  maksudnya banyak tetapi terlalu lemah. Terlalu, terlalu lemah. Di negara-negara Islam ramai umatnya yang digodam hatinya supaya panas. Jika yang tidak disukai itu kerana hak, tidaklah menjadi begitu banyak halnya. Seperti di Turki umpamanya, mereka berdemonstrasi kerana meminta diberi kebebasan untuk meminum arak. Tentulah ini bukan hak. Bukan tuntutan yang hak. Bukan mencari kebenaran yang diredhai Allah. Kita perlu menilai semula kedudukan diri kita sebagai umat Islam. Apa sebenarnya yang kita inginkan. Umat dahulu mencari kenikmatan akhirat. Yang abadan abada. Lamanya infiniti. Tiada pengakhiran. Nikmat dan nikmat yang memanjang selama-lamanya.
Manusia banyak menuntut hak mereka. Menuntut berbagai keistimewaan. Menuntut yang kadang-kadang melebihi keperluan. Melebihi keupayaaan untuk menerimanya. Melebihi kelayakan. Melebihi dari apa yang sewajarnya. Apabila diberi tidak pula tahu apa yang seeloknya dilakukan untuk membahagiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Setiap umat bertanggungjawab teradap persekitarannya. Bukan dirinya sahaja. Bukan saudara maranya sahaja. Bukan sahabat-sahabatnya sahaja. Dalam apa-apa perjuangan sekalipun diri sendiri bukan penentu. Bukan yang utama. Diri hanya alat untuk menyuluh yang lain. Menyokong yang rebah. Menegak yang condong. Membangun yang rebah. Terlalu banyak masalah umat. Di Kasymir umatnya sangat tertekan kerana masih gagal berkerajaan sendiri. Di Syria umatnya masih berjuang mencari yang terbaik. Di Mesir pula umatnya masih mencari yang terbaik untuk diri mereka semua.
Mungkin kita perlu fikirkan semula diri kita. Apabila kita menjadi Islam seluruh kehidupan kita untuk Islam. Perjuangan kita untuk lslam. Hidup dan mati kita untuk Islam. Seluruh jiwa raga kita untuk Islam. Tiada pengecualian. Tanpa kecuali. Cuma yang kita hadapi sekarang ini kelihatan bukan hakikat itu. Perjuangan bukan lagi menegakkan yang hak. Banyak golongan yang apabila diteliti sebenarnya bukan yang memperjuangkan Islam. Orang Islam yang perjuangannya bukan ke arah yang benar-benar Islam. Maka ada yang melibatkan mereka yang bebas berfikir. Tidak mengikat diri mereka dengan perjuangan Islam yang sebenarnya. Sukar menamakan mereka. Ada liberal. Ada sekular. Bermacam-macam perjuangan yang sukar ditentukan matlamatnya. Walau bagaimanapun setiap perjuangan ada pemimpinnya. Pemimpin itu yang sebenarnya merencanakan matlamat perjuangan kelompoknya. Ada unsur-unsur dirinya dalam perjuangan itu. Mungkin tersurat dan mungkin juga tersirat. Ketajaman mentafsir sahaja yang dapat mengenalpasti bentuk matlamat tersebut.
Rakyat banyak sebenarnya hanya juak-juak yang digerakkan. Sekiranya mereka tidak arif dengan perjuangan sebenarnya maka mereka menjadi buih-buih yang terlalu mudah ditiup angin. Bergerak mengikut arus. Mengikut angin. Yang ditakuti mereka digerakkan mengikut tiupan nafsu manusia. Yang digerakkan tidak tahu ke arah mana sebenarnya pergerakan itu. Sampai di mana akhirnya. Apa natijah yang boleh memberi keuntungan berganda. Kelebihan yang menjanjikan kebahagiaan. Kesenangan kehidupan yang selalu tidak  menentu. Pada akhir zaman ini kesemuanya tidak ada jaminan ketentuan yang pasti. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Kita secara individu seharusnya membina perjuangan ke arah Islam. Kita orang Islam. Maka perjuangan kita tentulah Islam. Kita diperintah supaya patuh kepada Allah. Meninggalkan apa-apa yang bukan hak.    
Mengimbas keadaan di Mesir saya menjadi cemas kerana Mursi sebenarnya menjadi harapan ramai orang Arab di negara Arab yang lain. Malangnya dia tidak diberi harapan oleh orang Mesir sendiri. Ada beberapa aspek yang menjadi harapan orang Arab pada umumnya. Di utara iaitu di Turki, Erdogan sudah semakin kukuh kedudukannya. Ekonomi Turki melonjak. Dari sebuah negara yang banyak hutangnya Turki bebas dari hutang. Nilai wangnya meningkat. Malah Turki mampu membantu negara lain yang memerlukan bantuan. Israel menjadi takut dengan kekuatan Turki. Mesir diharap menyaingi Turki. Kuat di sebelah barat. Menyepit Israel di tengah-tengah. Maksudnya Turki menekan dari utara sementara Mesir menghimpit dari barat. Terusan Suez dirancang untuk dibangunkan. Memberi kekuatan laluan perdagangan dari barat dan timjur. Membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Mesir. Kesemua itu tidak memberi erti jika perjuangan kepimpinan tidak diselarikan dengan perjuangan rakyat kebanyakan yang tanpa arah.   
Malam ini Rabu 3 Julai 2013, kira-kir ajam 9.00 malam tentera mengambillalih pemerintahan negara Mesir. Tentera akan menerajui pemerintahan sementara. Pilihanraya presiden akan diawalkan dari biasa. Mudah-mudahan ada kebaikan dari semua peristiwa ini.

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Kelangsungan Impian Hati


Dua hari berada di Kaherah sudah terasa lama. Hari lebih panjang dari malam. Maghrib pukul 7.00 malam tetapi Subuh pukul 3.00 pagi. Malam hanya lapan jam sedangkan siangnya 16 jam. Begitulah bila kita berpindah dari satu tempat ke satu tempat kita mengalami hal-hal yang berbeza. Waktu boleh juga berbeza kerana negara-negara di utara sedang berada pada permulaan musim panas. Negara-negara di selatan pula sedang mengalami musim sejuk. Sudah biasa mendengar azan di Amman yang serentak dan oleh seorang muazzin sahaja. Di Kaherah setiap masjid muazzinnya berlainan. Sepertilah di Malaysia. Azan bertingkah suara, kuatnya, lagunya dan kelunakan muazzinnya. Dari Malaysia saya ke Amman. Dari azan yang berpencar mendengar azan yang satu. Pindah ke Kaherah seperti kembali ke Malaysia. Azannya kembali berpencar. Tidak ada salahnya. Yang penting waktu solat dijaga. Solat ditunaikan. Menjadi Muslim yang taat. Cuma bila didengar yang satu ia lebih syahdunya.
Kerana tujuan datang ke Kaherah adalah untuk meneruskan pembelajaran bahasa Arab maka pada petang semalam, Isnin 1 Julai 2013 saya cuba mendaftar di Markaz Nil. Institut yang mengendalikan hanya bahasa Arab. Dimiliki dan dikendalikan oleh orang Turki. Guru-gurunya orang Arab Mesir. Pembelajarannya dari peringkat permulaan, peringkat awal hingga ke peringkat ke-10. Lazimnya meliputi selama antara 12 hingga 15 bulan.  Institut tersebut telah diasaskan sejak tahun 1998. Maknanya sudah 15 tahun. Khusus untuk mengajar mereka yang bukan berbahasa Arab. Atau mempelajari bahasa Arab sebagai bahasa kedua, ketiga, keempat dan sebagainya. Setiap pemohon dikehendaki menjalani ujian yang mengandungi soalan-soalan dari peringkat permulaan, peringkat awal hingga peringkat ke-10. Jawapan dari pemohon menentukan paras selayaknya untuk memulakan pengajian di institut itu. Yang tidak tahu langsung tentu diletakkan di peringkat permulaan. Belajar menulis setiap huruf. Mengeja dan membunyikannya. Yang lain mengikut prestasi mereka. Alhamdulillah saya layak di mustawa ithnain. Peringkat kedua. Takut juga diletakkan di peringkat lebih tinggi. Takut tidak boleh mengikuti dengan baik.
Hajat saya dan isteri untuk duduk di kelas yang sama. Mustahil. Tidak mungkin. Pelajar lelaki di tempat lain dan pelajar perempuan di tempat lain. Bukan bangunan lain tetapi memang berjauhan di jalan lain. Institut berpegang kepada hukum dan peraturan. Dasar yang dipatuhi. Tidak ada percampuran dengan bukan mahram. Yang boleh ialah kelas khas. Malangnya kosnya terlalulah tinggi. Dua orang menanggung seorang guru. Kerana itu kami mengambil keputusan untuk mengikuti kelas-kelas yang biasa, bercampur dengan berbagai pelajar dari berbagai negara lain. Ahlamdulillah dikira mampu.  Bernilai RM125 sebulan seorang. Maksudnya setiap mustawa sebulan lamanya. Kami perlu merancangkan waktu yang sesuai. Mungkin sebaiknya pada waktu pagi kelas untuk isteri dan saya mengambil kelas sebelah petang. Pagi menghantar isteri hingga pulangnya. Sebelah petang saya berjalan kaki sahaja ke kelas kerana bangunan untuk pelajar lelaki kira-kira lima minit berjalan kaki. Alhamdulillah. Setelah membuat lawata  ke markaz untuk pelajar perempuan, jauhnya tidaklah seberapa. Rasanya walaupun kami sudah berusia emas, masih boleh berjalan kaki. Waktu baliknya boleh singgah di mana-mana kedai untuk membeli apa-apa keperluan rumah.
Sekilas pandang terdapat sistem yang sudah dimantapkan di Markaz Nil. Ada modul dan teks yang direncanakan setiap mustawa. Bangunan dan pejabatnya nampak kemas. Layanannya juga menggalakkan. Mudah-mudahan saya damai di sini. Menyerap semua input yang perlu. Untuk menjadikan saya berkemampuan menguasai bahasa Arab untuk masa hadapan saya. Masa di akhirat nanti tentunya. Antara kemusykilan kita ialah tidak memahami apabila membaca al-Quran. Apabila membaca hadith. Apabila membaca buku-buku karangan ulamak terdahulu. Tidak memahami bahasa Arab tinggi untuk mendalami ilmu agama yang tinggi-tinggi. Malah istilah-istilah dalam usuluddin atau fiqh dan sebagainya banyak yang kita hafal tanpa difahami kata kunci dari mana kalimah itu terjadi. Sekiranya kita mempelajari bahasa Arab banyak istilah agama yang mudah difahami. Apabila disebut sahaja sesuatu istilah kita dapat mengetahui maknanya secara literal dan secara istilah. Ini memudahkan kita memahami tuntutan agama seperti yang diperlukan. Untuk mengamalkannhya juga kita tidak terasa kekok.
Suhu di Kaherah sendang meningkat naik. Terasa panasnya pada waktu tengahari. Tetapi masih di bawah paras tertinggi. Masih boleh diharungi tanpa apa-apa kesukaran. Pada waktu malam dan pagi masih nyaman. Agak rendah suhunya. Hari ini Selasa 2 Jun 2013 baru cuba keluar membeli sayur dan buah. Memang benar di sini agak murah harganya berbanding dengan tempat lain seperti di Jordan atau di Malaysia. Sekilo anggur hanya RM2.25. Masak. Manis dan tidak berbiji. Di Amman Jordan sekilo kira-kira RM7.80. Di Jordan masih lebih murah dari di Malaysia tetapi di Kaherah hanya sepertiga dari di Jordan. InsyaAllah boleh berjimat di sini. Mengikut pelajar di sini ada masanya anggur hanya berharga kira-kira RM1.75 sekilogram pada waktu puncaknya. Saya membeli buah dan beberapa jenis sayur. Jumlahnya hanya sekitar RM11.50. Jika di Malaysia sekurang-kurangnya RM25. Kadang-kadang saya terfikir juga. Mengapa rakyat Malaysia tidak mahu menerima tawaran untuk menurunkan harga barang-barang. Supaya kehidupan kita lebih mewah. Lebih selesa. Pendapatan kita meningkatkan ekonomi keluarga dan negara. Buah anggur di Kaherah hanya RM2.25. Anggur yang sama di Malaysia sudah RM15 atau lebih. Boleh pembaca kira perbezaannya. Memanglah ada kos pengangkutan dan insuran. Ada faktor keuntungan. Jika dibeli di ladang dan pengeksport tentu harganya lebih murah. Ada masanya harga anggur sudah RM25. Sikap kita juga yang mengakibatkan harga barang-barang melambung naik.
Rumah di Kaherah agak mahal. Tetapi rasanya masih lebih murah berbanding dengan rumah di Kuala Lumpur. Saya teringat rumah sahabat saya di Bandar Sunway, rumah pangsa tiga bilik kecil, sebuah ruang tamu yang sempit dan dapur disewakan dengan harga RM760. Itu 10 tahun dahulu. Rumah yang saya sewa sekarang RM850 + 50 (air, gas, pungutan sampah dan elektrik luar) + elektrik kira-kira RM15 sebulan. Air sekitar RM10 sebulan. Gas memasak menggunakan paip seperti air RM5. Pungutan sampah RM5. Rasanya kita di Malaysia sampai matipun tidak mungkin menikmati kehidupan seperti saya kecapi sekarang. Bil air saya di Batu Pahat sekitar RM45. Gas kita sudah hampir RM30 setong sekarang. Elektrik saya kadang-kadang melambung hingga RM300. Purata cukai pintu kira-kira RM50. Itu sahaja sudah RM425. Di Kaherah semua itu hanya RM40 sahaja. Sahaja. Di Malaysia hampir 11 kali ganda. Ya! 11 kali ganda. Boleh pembaca kira matematiknya. Andainya penjimatan di Kaherah ini berlaku di Malaysia berapa banyak dapat kita jimatkan sebulan. Aduhai sebuah negara yang sedang hendak maju. Kita tanggung kosnya.