Monday, November 26, 2012

Why Don’t You Bring The Money To Her!


Bila berjauhan rindu pasti datang. Berdesup desap dalam rasa dan perasaan. Tahun 1990 bukan tahun 2012. Sekarang kita guna sms yang sangat murah. e-mail lagilah murah. Panjang berjela dengan kos yang sangat rendah. Surat sudah menjadi sesuatu yang lapuk. Obsolete.  Sewaktu saya di Toronto Canada telefon menjadi penghubung dengan orang yang tersayang di tanahair. Seminggu sekali bergayutlah masing-masing pada telefon di rumah. Bukan penghuni rumah sahaja yang menggunakannya. Sahabat yang di rumah-rumah lain juga datang untuk menikmati kemudahan  telefon yang ada. Tiada masalah. Bil telefon mengandungi perincian panggilan. Bila panggilan dibuat. Nombor telefon yang dihubungi. Jangkamasa panggilan dibuat. Setiap pengguna membayar bahagian masing-masing.

Kami semua kali pertama meningggalkan isteri dan anak-anak. Bingung juga kepala. Keliru dengan keadaan. Toleh ke kanan tiada. Toleh ke kiri tiada juga. Berapa berat mata memandang berat lagi hati di dalam. Terhenyak rindu. Terperuk gundah. Terapung gelana. Hari-hari terawal tentu sahaja yang paling memeritkan. Gelisah dan resah berganti. Mata dan hati tidak tentu lelapnya. Entah mimpi entah sedar. Malam-malam dilalui dengan lambatnya. Pagi menjelang samar-samar di negara orang. Kabus pagi menyembunyikan mentarinya. Hati berkabus sunyi terasing jauh di sebalik dunia. Jauh dari orang-orang tersayang. Jauh dari negara tercinta. Jauh dari semua kebiasaan. Bagi yang tiada tahan rindunya, telefon mengubat rindu. Dihujung talian masing-masing mengusap rasa. Bergenang air mata. Merembas menuruni pipi. Hendak diusap tiada. Hendak dipegang hanya ruang kosong yang ada.

Bulan pertama bil telefon kami sebanyak lebih CD700 (Canadian Dollar). Kira-kira RM1,600. Wow. Suatu jumlah yang gila banyaknya. Waktu itu tahun 1990 bil telefon boleh dibayar di bank. Seorang rakan saya yang ke bank. Terbeliak besar mata kerani wanita di kaunter bank itu.

My! Why so much?

Why don't you bring the money to her?

Harga sebuah rindu. Mahal dari segi kosnya. Antara mereka saya yang paling sedikit. Pengalaman di USA dahulu mengajar saya untuk berjimat menggunakan telefon. Saya bercakap mana yang perlu sahaja. Isteri dan anak-anak sihat. Itu sahaja yang penting. Setiap kali bil datang saya hanya perlu membayar sebanyak CD34 atau CD35 sahaja.  Wang saku yang dibawa bukan banyak. Makan dan minum perlu dijaga cukupnya. Ramai rakan yang bilnya CD200 dan CD300. Mereka hairan kenapa  bil asya paling kurang. Begitulah pengalaman memainkan peranan. Berjimat pada tempatnya.  Saya banyak menulis kepada isteri dan anak-anak.banya sedikit yang boleh dicoret. Kosnya hanya masa. Sedikit setem yang ditampal di sudut atas sebelah kanan. Kata isteri saya berebut-rebut anak-anak membaca surat atau poskad yang saya hantar.

Telefon adalah alat. Bukan pengubat yang hahiki. Bukan mutlak. Ianya hanya alat untuk menghubungi yang jauh bak di sebalik stelinga. Telefon dari Canada atau USA sama sahaja. Mereka gunakan satelit. Suara terang dan jelas. Terlalu dekat di telinga. Sebenarnya ramai antara kita menggunakan telefon tanpa mengerti. Ianya hanya alat. Bukan pengganti diri. Cuba perhatikan mereka yang galak menggunakan telefon. Bila menerima atau membuat panggilan mereka melatari panggilan itu dengan mukadimah yang panjang. Hasrat hati di simpan lama sebelum diluahkan. Tiada siapa mengambil kisah. Meter panggilan berjalan. Semakin rancak berbual dan bersembang semakin banyak bil telefon yang terpaksa dibayar. Saya cukup membatasi diri bila menggunakan telefon. Yang perlu sahaja. Mungkin sms atau e-mail lebih menjimatkan.

Jangan lupa apabila kita bergayut di telefon, panggilan lain yang hendak masuk tersekat. Kita selalu menyebut bahawa yang membuat panggilan dan yang menerima panggilan menghalang orang lain membuat panggilan. Telefon di rumah, telefon Telekom penggunanya berlainan. Pemangggil sahaja yang dikenakan caj. Penerima menikmai panggilan itu. Kenapa tidak yang perlu sahaja. Teknologi untuk dimanfaatkan. Bukan untuk membebankan. Bila ada yang mendera diri kerana teknologi  maka itu adalah sesuatu yang membebankan. Manfaat yang ditagih masalah yang diterima. Bil yang tinggi menjadi seksa.  Tetapi yang lebih jelek ialah kita menyekat orang lain menggunkan teknologi yang sama. Berpadalah menggunakan telefon. Ada kos yang dibayar oleh semua orang.

Kasihan juga rakan-rakan yang tinggi bilnya. Termenung mereka dibuatnya. Kami dibekalkan kira-kira CD2,000 untuk jangkamasa tiga bulan.  Jika setiap  bulan bil telefon mencecah ratusan dollar tentulah membebankan. Ikut rindu binasa wang di tangan.  Sebenarnya sewaktu sampai di Toronto ramai yang berhasrat untuk singgah di Los Angeles, LA dalam perjalanan pulang nanti. Mereka hendak menjengah Hollywood. Universal Studio. Ada keriangan melihat ke hadapan. Harapan melihat yang indah. Tetapi apabila bil telefon melambung-lambung banyaknya, hilang semangat mereka. Langkah jauh jadi tersekat. Terkedu dengan keadaan. Sudah tidak ada lagi bicara. Selera jatuh merudum. Selamat tinggal LA. Hasratku tidak kesampaian. Nantilah ku jengah melalui filem dan video.

Ada dua orang rakan saya di LA. Seorang dahulunya bertugas di Politeknik Ungku Omar Ipoh. Seorang lagi bersama saya di Pittsburgh USA semasa sama-sama mengikuti proram  Masters dahulu. Kedua-duanya guru. Bertugas di Jabatan Penuntut Malaysia di LA. Saya hubungi mereka. Alhamdulillah mereka menerima kedatangan saya. Tunggulah saya di LA, Hollywood, Universal Studio.  Suatu pengalaman yang indah. Melihat alam fantasi. The world of make belief.