Thursday, April 24, 2014
Bingkisan Dari Kaherah: Suatu Analogi Serba Berkemungkinan
Kampung itu jauh di pedalaman. Aman dan damai. Warganya secukup hidup. Keperluan hidup mudah diperolehi. Walaupun di pedalaman, terdapat juga antara warganya yang dikategorikan kaya. Biasalah di negara kita mereka yang kaya diberi permit untuk memiliki senjatapi. Begitu juga Tok Ketua mungkin diberi izin untuk memiliki senjatapi. Menjaga keselamatan kampung. Bukan ancaman musuh tetapi mungkin ancaman haiwan liar yang banyak di sekelilimg kampung itu. Termasuk juga tupai dan monyet yang selalu memusnahkan buah-buahan. Tidak lupa kawanan babi yang datangnya bak gelombang pada waktu malam. Hiduplah warga kampung itu menjalani kehidupan biasa penduduk Malaysia yang tidak banyak ragamnya. Asalkan dapat makan dikira alhamdulillah. Tempat tinggal dan pakaian bukan perkara yang merumitkan. Semua penduduknya memiliki tempat tinggal. Ada yang besar dan ada yang kecil. Namun demikian mereka bahagia menjalani kehidupan biasa mereka.
Suatu ketika kecohlah kampung tersebut. Senjatapi milik orang kaya dan Tok Ketua telah hilang dari simpanan mereka. Waktu itu pula bukan musim buah. Soalan besar yang berlegar ialah untuk apa senjatapi itu dicuri? Kecoh juga kampung-kampung di sekitarnya. Malah dalam dunia siber yang mengecilkan dunia ini sampai juga berita itu ke ruang yang lebih luas. Mungkin akhirnya satu dunia mengetahui akan kehilangan itu. Di negara lain kehilangan seperti itu bukan isu luarbiasa kerana senjatapi pada mereka biasa-biasa sahaja. Di benua India dan Pakistan senjatapi malah dibuat sendiri. Begitu juga di Afghanistan dan negara-negara lain yang berakhir dengan tan. Di banyak negara lain di dunia ini senjatapi sangat lumrah. Di Amerika Syarikat ramai rakyatnya yang memiliki senjatapi untuk tujuan berburu. Tetapi senjatapi tetap senjatapi. Boleh digunakan untuk mengancam nyawa. Atau untuk membunuh. Untuk melakukan berbagai jenayah yang membahayakan nyawa. Bukan lagi setakat mencederakan. Di negara kita kehilangan senjatapi merupakan suatu peristiwa besar. Ianya mengancam keselamatan negara. Sejak dari zaman British hingga sekarang larangan memiliki senjatapi terus berterusan. Hanya mereka yang terkecuali sahaja diizinkan memilikinya. Memenuhi syarat-syarat yang ditentukan.
Kisah kehilangan senjatapi itu belum reda walaupun sesudah berbulan-bulan lamanya. Banyak spekulasi mengenai kehilangannya. Banyak teori amatur yang diketengahkan. Kesemuanya tidak ada jawapan. Cebisan-cebisan maklumat tidak ada yang meyakinkan. Tiba-tiba tercetus suatu berita lain bahawa di kampung tersebut ada beberapa kumpulan samseng. Terpinga-pinga warga kampung. Mereka meneropong ke sana dan ke sini. Cuba mencongak-congak siapa agaknya antara mereka yang dilabel sebagai samseng. Kepada mereka tidak ada siapa yang meragukan. Mereka selalu bersama. Berjemaah bersama. Hidup rukun dan damai. Mungkin juga berlaku perselisihan pendapat tetapi tidaklah sehingga mengeruhkan suasana. Berita dari luar yang melampaui jangkaan itu sangat-sangat menggangu pemikiran Tok Ketua. Apa yang boleh dilakukannya. Bagaimana di kampungnya yang dikenalinya sejak ia dilahirkan terdapat kumpulan samseng. Tidak ada tanda-tanda yang boleh menjurus ke arah itu. Sebagai politikus kampung Tok Ketua tidak memikirkannya secara jauh dan mendalam. Mungkin orang hanya bercakap main-main sahaja.
Selang beberapa bulan kemudian berlaku hal-hal yan tidak terduga. Sebuah kampung berhampiran mengalami tragedi berdarah. Beberapa penduduknya tercedera dan mati ditembak. Pihak yang berwajib membuat siasatan rapi. Peluru yang digunakan dikesan menggunakan senjatapi yang telah dicuri di kampung lain sebelumnya. Rekod polis mengesahkan begitu. Semua mata tertumpu ke kampung yang kehilangan senjatapi. Bukankah sebelum ini telah ada cerita bahawa di kamung itu terdapat beberapa kumpulan samseng. Pastinya mereka yang melakukan jenayah pembunuhan tersebut. Mereka menyerang kampung lain. Kecoh satu dunia. Kampung itu dihuni oleh kumpulan samseng yang mengamcam dunia. Mengancam dunia orang lain. Teori awal mengenai kehadiran mereka seperti disahkan dengan serangan berdarah tersebut.
Pasukan perisik dihantar ke kampung itu. Kesemua warganya menjadi suspek. Tanpa mengira jantina. Tanpa mengira usia. Tetapi kerana teori yang diada-adakan samseng memang tidak ada. Mulalah proses penggeledahan dilakukan. Semua rumah diperiksa. Termasuk persekitarannya. Entah bagaimana selaras senjatapi yang hilang dahulu ditemui berhampiran dengan sebuah rumah penduduk. Warga yang berusia 45 tahun itu dituduh mencuri senjatapi dan dituduh juga menggunakannya untuk meyerang kampung lain. Warga kampung sepertinya tidak berdaya mempertahankan hujjah. Tidak pandai berhujjah. Dua cerita telah disahkan. Pertama, di kampung itu terdapat kumpulan samseng. Keduanya, mereka melakukan jenayah dengan menggunakan senjatapi yang mereka curi. Warga kampung yang naif percaya bulat-bulat kesemua cerita tersebut.
Kisah ini belum tamat. Mana ahli samseng yang lain? Dipendekkan cerita banyaklah nama yang disabitkan. Dalam jemaah yang tidak dijamaahkan banyak kelonggaran perhubungan. Akhirnya kampung itu dikepung. Nama-nama yang disebut secara rambang ditangkap. Kampung itu diserang dari segenap penjuru. Yang tinggal hanya mereka yang lemah, yang sakit, yang sudah hilang upaya, yang tua dan kanak-kanak. Telah berlaku matlamat menghalalkan cara. Sesuatu yang asalnya hanya ilusi dijustifikasikan sebagai realiti. Segala tindakan diarahkan untuk justifikasi tersebut. Dalam dunia serba mungkin segala-galanya boleh dicipta dalam minda manusia. Begitu kuatnya pengaruh media. Hanya cetusan yang tidak seberapa boleh merebak tanpa kawalan. Grapevine yang dicipta menyubur untuk memusnahkan. Bukan untuk memberi manfaat.
Tentu ramai yang bertanya akan sekuennya. Akan konsekuennya. Kita kembali kepada ilmu dan maklumat. Bagaimana kita menyaring yang hak dan yang batil. Bagaimana kita membezakan yang benar dan yang salah. Itulah malang warga sebuah kampung yang naif. Berpuas hati hanya dengan adanya makanan. Cukup dengan kenyang. Ancaman yang datang dalam berbagai bentuk tidak dapat dilihat. Tidak dapat diterjemah. Tidak dapat ditafsir implikasinya. Kesedaran selalunya datang apabila segala-galanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Kita terlena dengan janji yang muluk-muluk. Harapan yang rupanya hanya bersalut belon. Besar, cantik dan berwarna-warni tetapi kosong, ringan dan pecah akhirnya. Yang tinggal hanya pemegang belon yang terpana dengan bunyi tanpa isi.
Terlalu banyak yang telah kita dengar. Yang telah kita baca. Yang telah kita lihat. Yang telah kita alami. Apakah ilmu tidak dicari. Apakah kebijaksanaan bukan keperluan. Apakah pengajaran tidak diibatratkan. Kita tetap menunggu harapan yang dijanjikan. Malas membaca yang tersurat dan tersirat. Apakah cerita Pak Pandir mendahului zamannya? Menang sorak kampung tergadai? Allahua’lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment