Monday, June 27, 2011

Belajar Dari Perantauan Ilmu


Berada di luar negara sukar digambarkan dengan kata-kata. Terbang di angkasa merupakan pengalaman tersendiri. Waktu kecil-kecil dahulu saya hanya mampu melihat kapalterbang kecil yang melintasi ruang udara kampung saya sama ada siang atau malam. Kecil di atas. Jika siang berkilat dipancar cahaya matahari. Jika malam dilihat terkelip-kelip lampunya di bahagian perut. Seperti saya kata dahulu, tidak apa mimpi semua itu. Tidak pernah terfikirpun. Sesuatu yang terlalu asing. Hanya apabila keluar dari kampung semua itu terbuka. Bila memanjat tangga akademik barulah pemandangan saya lebih luas kerana sudah berada di tempat yang lebih tinggi. Begitulah jika ingin terbang jauh kita kena ke tempat yang tinggi. Lihat dulu ufuk itu di mana. Boleh dirancang untuk ke tempat yang lebih jauh. Tempat yang lebih tinggi. Sebab itu orang di bawah hanya tinggal sibuk dengan bawahnya sahaja. Bak kata pepetah bergelumang dengan tahi sahaja. Maaflah. Itu kata pepatah. Pepatah kita. Orang dahulau yang mencipta. Bukan untuk menghina. Hasratnya supaya kita keluar dari perlimbangan bawah itu. Lari dari kesusahan dan kepayahan.

Orang yang berada di tempat tinggi skop pemandangannya luas. Pandangannya bebas. Terbuka. Boleh ke atas dan ke bawah.  Boleh merentas.  Boleh menerobos. Boleh melayang. Bird’s eye view kata orang putih. Berada di bawah sangat terbatas dunianya. Tenggelam dengan hal yang remeh temeh. Hingga adat nenek moyang terus diwarisi. Tidak pernah memikirkan baiknya. Buruknya. Batilnya. Bersembang tidak pernah berhenti setiap masa. Setiap hari. Siang dan malam. Keadaan semakin buruk jika sembang orang yang tidak bermaklumat. Tanpa fakta. Tanpa statistik. Mengumpat jadinya. Sukar untuk menghapuskannya. Dalam peristiwa isra’ dan mi’raj telah diceritakan buruknya balasan orang yang mengumpat. Orang Islam dan orang Melayu hanya menganggap cerita itu hiburan. Dongeng. Retorik. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tahun hadapan cerita yang sama diulangsuara atau diulangtayang. Apabila penyampaiannya banyak unsur Israeliyyat lagilah cerita itu menjadi hilang authenticitynya. Dalil al-Quran terabai. Dalil al-Hadith terlepas pandang. Cerita tinggal cerita. Malang jika agama hanya perintang waktu.

Sesuatu yang benar mestilah disampaikan dengan akademik. Dengan fakta. Dengan dalil-dalil yang qat’i. Dari al-Quran dan al-Hadith. Sahih. Jelas susur galurnya. Sanadnya. Rujukannya. Zaman teknologi sekarang ini mestilah dimanfaatkan. Menerangkan dengan lisan tidak dapat menggambarkan sesuatu yang dirasakan abstrak.  Dari Makah ke Bait al-Maqdis tidak dapat digambarkan dengan nyata dan saksama. Dengan teknologi kita dapat menunjukkan perjalanan yang jauh begitu. Jaraknya dari Makkah dinyatakan dengan jelas. Berapa lama Rasulullah dalam perjalanan. Maka dapat diberi nilai masa yang logik akal.  Apabila kita bandingkan dengan jet paling laju sekarang ini, kelajuan buraq itu bukan sesuatu yang sukar difahami. Akhirnya semua manusia yang sceptical pasti boleh menerima hakikat isra’ dan mi’raj. Manusia yang diberi sedikit ilmu sudah mampu ke ISS di angkasa dalam beberapa hari. Ilmu Allah yang tidak terhingga banyaknya, yang tidak ada tandiangan bagiNya tentu semuanya mudah bagi Allah. Hanya kun fayakun. Jadilah ia.

Manusia Muslim perlu pandai. Perlu berilmu. Perlu menjadi mereka yang mengetahui. Ilmu mengangkat manusia ke tempat yan tinggi. Perjuangannya untuk Allah. Jalan fikirnya jelas. Matlamat dan destinasinya hanya akan kembali kepada Allah. Menerima balasan-balasan yanag telah ditentukan. Ilmu dan pendidikan menjadikan manusia membuka luas mindanya.  Memikirkan apa yang dapat disumbangkannya untuk masyarakatnya. Untuk agamanya. Untuk keluarganya. Untuk orang-orang yang dekat dengan dirinya. Keluar dari kepompong diri yang membelenggu. Membuang dari rasa jumud yang melampaui zaman. Ilmu membawa seseorang itu ke jalan yang lebih lurus. Dirinya lebih tahu yang mana lebih benar dan yang mana salah. Apabila berhadapan dengan alternatif tentu dia boleh membuat pilihan yang lebih baik. Pilihan yang mengikut kriteria Allah. Kriteria agama. Kriteria syariat. Kriteria yang mendekatkan dirinya kepada Allah. Kepada Rasulullah. Tentulah yang syahdu tu lebih menyakinkan diri dan iman. Mengukuh dan memperkasakannya. Jalan pulang yang kita cari sangat lebih jelas. Kita tahu memilih jalannya.

Jangan biarkan diri kita di perlimbangan yang paling bawah. Maksud saya kita tidak menambahkan ilmu yang bermanfaat.  Dalam hal ini kita tidak boleh meletakkan diri kita supaya sama dengan orang lain. Ikut orang lain. Ikut trend. Follow the crowd. Itu adalah pandangan yang salah. Sempit. Jumud. Kolot.  Beku. Membatu. Kita mahukan Muslim yang dinamik. Progresif.  Kita di paras bawah dalam pendidikan. Dalam teknologi. Dalam ekonomi. Jika tidak diperhambat dan diperhebat hambatan ilmu maka selamanya kita berada di perlimbangan yang amat memualkan. Menyedihkan. Menyukarkan petugas penyelamat untuk membantu. Untuk menaikkannya. Untuk membangunkannya.

Ayuhlah maju ke hadapan. Usia kita semakin pendek. Yang panjang ialah amal jariahnya. Jasanya. Baktinya. Ilmunya. Sumbangannya. Ideanya. Kebaikannya. Usahanya maju ke hadapan. Mulakannya hari ini. Mulakan dengan diri kita sendiri. Nanti diperluaskan kepada orang-orang yang paling hampir dengan kita. Akhirnya diperluaskan kepada mereka yang paling jauh dari kita. Had kita adalah alam. Yang terbentang itulah yang ingin kita terokai. Membina kejayaan di dunia dan di akhirat. Saya amanahkan kapada semua pembaca blog saya ini untuk meneruskan legasi pencarian ilmu supaya agama kita dan penganutnya berada di puncak seperti pernah berlaku dahulu. Ungguli semua perkara yang berkaitan dengan agama. Junjunglah al-Quran dan al-Hadith. Itu sahaja harta yang Rasulullah tinggalkan. Bukan hamparan permaidani. Bukan intan berlian. Bukan emas dan perak. Bukan wang dan ringgit. Bukan tanah ladang. Bukan ternakan. Dua harta tinggalan itu jauh lebih berharga dari segala yang ada. Mengimaninya suatu hal. Melaksanakan amalan yang berkaitan dengannya suatu hal yang lain.  Maka al-Quran itu bukan sahaja untuk dibaca tetapi yang lebih besar lagi tugas kita ialah untuk kita melaksanakan apa yang terkandung di dalamnya.

Saya berasa insaf apabila saya semak bahawa pembaca blog saya berada hampir di seluruh dunia. Yang saya pasti mereka adalah orang Malaysia. Mungkin ada orang bukan Malaysia yang boleh membaca dalam Bahasa Melayu. Alhamdulillah. Mungkin ada manfaatnya. Pelajarilah apa yang tuan lihat di negara orang. Apa yang tuan dengar di negara orang. Yang tuan rasa di negara orang. Pengalaman-pengalaman peribadi itu boleh dihimpunkan menjadi suatu wacana, suatu wadah untuk menggerakkan pemikiran yang lebih terbuka di kalangan umat Malaysia. Untuk melihat dunia ini melalui perspektif yang berbeza. Dinamik dan progresif. Lihatlah senarai di bawah:

Amerika Syarikat
Argentina
Australia
Bahrain
Belarus
Belgium
Brazil
Brunei
Cambodia
Canada
China
Columbia
Costa Rica
Denmark
Egypt
Estonia
Filipina
France
Germany
Hong Kong
Hungary
India
Indonesia
Iran
Ireland
Israel
Italy
Japan
Jordan
Laos
Luxemburgh
Netherlands
New Zealand
Poland
Russia
Saudi Arabia
Singapore
Slovenia
South Korea
Sweden
Taiwan
Thailand
Tunisia
UAE
Ukraine
United Kingdom
Vietnam


Kebanyakan daripada tuan adalah pembaca tegar blog saya ini. Pada tuan saya sarankan tugas untuk mengembangkan lagi apa-apa yang saya kongsikan. Masa semakin suntuk untuk kita berbuat sesuatu. Dunia semakin kalut. Sangat mengerikan apabila yang hak dikatakan batil. Yang batil pula dikatakan hak. Hanya ilmu yang membezakan antara kita. Ia menjadi penentu survival bangsa dn agama kita. Selamat maju jaya. Untuk agama. Untuk Allah. Untuk Rasulullah. Seperti kata Maher Zain, InsyaAllah ada jalannya.

Juliza Adzlizan

Namanya gah setelah memenangi Bintang RTM tahun 1984. Lagu yang dibawanya Kuda Hitam sangat mengesankan. Lagu asal Hetty Koes Endang itu nyata memberikan tuah kepadanya. Juara lagu 1984 itu ialah Juliza Adzlizan. Orang Pahang. Waktu itu dia baru tamat SPM. Anak dara trang tang tang. Kerana kejayaannya itu kerajaan Pahang membantunya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik. Tempat pilihannya ialah Point Park College di Pittsburgh. Maka sekampunglah saya dengannya.

Di Point Park College ini ramai pelajar Malaysia. Pelajar Melayu. Hampir kesemuanya dengan tanggungan FAMA - father and mother. Sebahagian sahaja yang ditaja seperti Juliza. Lokasinya di Golden Triangle. Betul-betul di kawasan segi tiga pertemuan antara tiga sungai di muara bandraya Pittsburgh. Tempat yang sangat strategik. Downtown Pittsburgh. Right in the heart of the city. Berpuluh-puluh pelajar Melayu berada di situ. Komuniti Melayu di Pittsburgh ketika itu agak besar juga. Bila kami berhimun di Schenly Park nampak ramai juga. Walaupun ramai yang berkeluarga, yang bujang labih ramai lagi. Mendiang Virat Dinrat yang selalu menjadi perantara. Dengan yang bujang dia rapat kerana dia sendiri masih bujang. Dengan yang berkeluarga juga dia rapat kerana dia penjawat awam.

Juliza datang lewat sedikit dari saya. Mungkin seminggu dua. Biasalah untuk keluar negara bukan mudah urusannya. Banyak red tape. Banyak protokol. Banyak prosedur. Banyak urusan-urusan di belakang tabir yang tidak kita ketahui. Yang pasti mesti ada saringan keselamatan. Pasport satu hal. Visa satu hal lain. Berulang-alik ke kedutaan asing bukan boleh sekali dua. Perlukan pertemuan  bersemuka. Untuk mempastikan bahawa the person is real. Not a threat to national security.

Rezeki Juliza. Ada orang yang menyediakan tempat tinggal. Menjaganya. Akhirnya mereka bernikah. Sayangnya jodoh mereka tidak panjang. Itu cerita suami pertamanya. Sejak saya kembali ke Malasyia pada tahun 1986 terputus hubungan dengannya. Jika bertemu pasti tidak kenal lagi. Dia mungkin kenal saya kerana perubahan saya tidak banyak. Kata orang yang pernah bersama saya. Kali terakhir saya menemui Julizapun pada tahun 1987 agaknya. Di RTM, Lembah Pantai. Sekarang hanya membaca beritanya sahaja jika ada. 

Juliza agak rapat juga dengan isteri saya. Pandai bercerita. Pandai melawak. Cuma yang saya rasa dia antara  bintang RTM yang agak malap. Bukan kerana kurang bakat. Tetapi selepas sahaja memenangi pertandingan itu dia terus terbang ke US. Mengejar akademik. Ijazah muzik. Dia tidak mengembangkan bakatnya di Malaysia. Tidak menjadi penyanyi popular. Tidak berada dalam carta mingguan. Wajahnya tidak muncul dalam TV. Suaranya tidak kerap di corong radio. Di akhbar beritanya tiada. Hanya beberapa bulan namanya dipintas dengan kehadiran penyanyi lain. Antaranya Datuk Sheila Majid. Cumanya Juliza memiliki ilmu. Boleh hidup dengan ilmu itu. Kekal jika diamalkan. Jika mengajar orang lain. Jika dimanfaatkan.


Suatu hari dia bersama saya dan keluarga. Sibuklah anak-anak saya. Kuda hitam sudah datang. Orangnya hitam manis. Mungkin lebih putih daripada saya. Manisnya ada. Banyak bual dan ketawa. Jenis ceria. Anak saya yang ketiga bukan main rapat duduk denganaya. Selebriti ketika itu.

Gambar ini pada waktu yang lain. Saya tidak ingat di mana. Mungkin di rumah tempat tinggalnya. Kami pernah dijemput makan di rumahnya.

Benar. Ini di rumah sewa Juliza.



Gambar-gambar seperti ini bercerita peristiwanya sendiri. Cerita lisan banyak tokok tambahnya. Melihat sendiri gambar seperti ini memberikan nilainya yang tersendiri.  Siapa kita sebenarnya ketika waktu itu. Transformasi tetap berlaku. Dunia kita dinamik. Kita berpindah dari satu situasi ke satu situasi yang lain. Destinasinya terlalu jauh jika belum sampai. Terlalu dekat bila sudah ditentukan waktunya.