Wednesday, January 15, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Gula-Gula Yang Mengula-Gulakan



Gula itu manis. Gula-gula memaniskan mulut. Dalam jangkapanjang kedua-duanya tidak lagi memaniskan. Sedikit yang memaniskan adalah keperluan untuk tenaga. Apabila banyak dan tidak terkawal ia menjanjikan mudarat yang berpanjangan. Berbagai penyakit yang komplikasinya menjerut kesihatan. Begitu lah apabila kesederhanaan dilampaui dengan kerakusan kerana gula. Bak kata pepatah, mati semut kerana gula. Asalnya sangat cantik.  Di mana ada gula di situ ada semut. Semut boleh mati kerana terlalu mewah dengan gula. Maka manusia yang juga makhluk bernyawa menerima musibah gula apabila gula dan gula-gula dimakan melebihi hadnya. Melampaui keperluannya. Dalam apa keadaan sekalipun apa-apa sahaja yang yang melampaui keperluannya akan memudaratkan. Dalam keadaan lain apa-apa yang salah keperluan juga memusnahkan. Memudaratkan. Membawa penyakit.

Penyakit banyak pula konotasinya. Ada panyakit fizikal. Ada penyakit psikologi. Penyakit fizikal ada yang di dalam dan ada yang di luar. Kadang-kadang kedua-duanya sukar dirawat. Sukar diubat. Sukar disembuhkan. Namun yang di luar pastinya juga disebabkan penyakit yang di dalam. Intensitinya sahaja berbeza. Tahap parahnya berbeza. Fatalitinya berbeza. Namun ramai pakar yang dapat membantu untuk menyembuhkannya. Mungkin lama dan mungkin sekejap. Penyakit psikologi yang lebih sukar diubat. Sukar dirawat. Sukar disembuhkan. Ianya menggarap hati dan perasaan. Memacak pemikiran. Maka apabila kita bercerita mengenai gula banyak sangat yang sangkut menyangkut. Cerita gula di negara kita tidak habis-habis dari dulu.

1                 Harganya menjadi bicara.
2                 Penyakit darinya menjadi sengsara.
3                 Monpoli dan oligopoli mengenainya jarang didiskusi.
4                 Dasar dan sikap politik mendasarinya.

Itu cerita gula secara fizikalnya. Manisan dari tebu dan diadun bersama bahan kimia untuk digunakan dalam makanan dan minuman. Walaupun berbagai usaha dilakukan untuk mencari pengganti gula, hingga setakat ini tidak ramai yang bersedia untuk arif tentang bahaya gula. Pemanis dari stevia masih belum menangkap pemikiran orang kita. Dalam satu hal, baik juga harga gula dinaikkan. Diharap kurang penggunaan gula. Dalam hal yang lain meraunglah rakyat kerana kesukaan mereka dimahalkan harganya. Orang kita sukar meninggalkan gula kerana disebatikan oleh sejarah pemakanan sejak dari dahulukala lagi. Cerita gula ini mungkin boleh dianalogikan kepada benda-benda lain. Apa sahaja yang ada nilai manis dikatakan gula. Mungkin gula-gula. Nilai gula mungkin tarafnya agak tinggi. Tetapi jika dinamakan gula-gula maka konotasinya negatif. Rendah taraf. Hina. Ada niat buruk di sebaliknya.

Siapa yang boleh menggula dan boleh menggula-gulakan? Tentunya mereka yang mampu dari segi ekonomi. Untuk membeli gula-gula yang paling murah dikira mahal juga. Yang berjenama lagilah mahal. Namun gula-gula tetap gula-gula. Dikira rendah tarafnya. Dalam keadaan lain gula-gula sudah tidak diperlukan. Banyak keperluan lain yang lebih mendesak. Kehidupan diasak dengan himpitan dan lambungan harga barang. Ada yang boleh dijawab secara ekonomi. Secara matematik. Ada jawapan saintifiknya. Malangnya banyak kenaikan harga barang yang tidak ada sistem pengiraannya. Apabila sistem ekonomi hilang keseimbangannya maka hal-hal yang biasa menjadi luarbiasa. Gula menjadi penyebab penyakit. Gula-gula yang dimakan secara banyak juga memudaratkan. Kita terperangkap antara gula dan subsidi. Dua benda yang berlainan tetapi dilihat dalam spektrum yang sama. Apabila yang berada memberi gula-gula bermakna gula-gula itu dianggap subsidi. Betulkah begitu?

Penulis teringat peribahasa lama. Masih wujud. Masih ada yang berada dalam status itu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bak ayam yang mencari makan sendiri. Bergantung kepada kemahirannya mengais. Tempat yang dikais. Masa mengais. Apabila ekonomi hilang keseimbangan maka orang tidak lagi kais pagi dan kais petang. Mereka terpaksa berkais banyak kali untuk makan sekali. Terpaksa bercatu pula. Kais hari ini dan esok belum tentu boleh mengenyangkan. Rasanya selepas ini penulis berharap jangan lagi digunakan racun rumpai. Jika digunakan juga sila bubuh papantanda yang jelas bahawa kawasan itu rumpainya baru diracun. Jangan terperanjat akan banyak kenderaan berhenti di tepi jalanraya. Bukan berehat. Mereka memungut pucuk ubi. Pucuk paku merah. Pucuk paku perak. Paling seronok barangkali memetik kangkung yang lazimnya banyak di dalam parit yang terbiar.

Apabila kos hidup meningkat maka taraf hidup merudum. Tidak ada siapa yang akan perasan bahawa yang memungut sayur percuma itu bukan calang-calang orang. Pendapatannya sebulan ribuan ringgit. Tetapi habis untuk rumah, kenderaan, persekolahan anak-anak, keperluan keluarga dan saudara mara. Mungkin kita perlu mengubah gaya hidup. Budaya makan kita dikurangkan dengan drastik. Kembangkan budaya berjimat secara revolusi. Bukan evolusi.

1                 Setiap kali makan hanya satu lauk dan satu sayur sahaja.
2                 Lauk dan sayur dicatu. Untuk mengisi perut dan bukan untuk mengenyangkan.
3                 Jika ada peluang tanam sendiri sayur apa-apa yang boleh ditanam. Di tanah jika ada tanah. Di pasu untuk orang bandar.
4                 Kembali kepada hobi memancing untuk menampung lauk-pauk secara tabii.
5                 Kurangkan bertandang ke rumah orang lain. Kasihan tuan rumah yang perlu menyediakan makanan tanpa bajet.
6                 Kurangkan kenduri kendara. Baca doa sendiri. Cukup anak-beranak.
7                 Jamuan kenduri kendara dihadkan menunya. Cukup air dan sedikit kuih. Ikhlaskan doanya. Ikhlaskan kehadiran diri. Kebersamaan itu yang lebih penting.
8                 Paling besar perubahan ialah kenduri kahwin. Selepas ini kurangkan undangan. Cukup sekadar saudara mara terdekat. Dan kawan rapat sahaja. Maaf. Rasanya jika bajet sebelum tahun 2014 ialah RM10 seorang, sekarang mungkin RM17 seorang. Janganlah berhutang pula kerana untuk membayarnya semakin sukar kerana kesempitan hidup yang semakin melambung.


Cukuplah. Kita telah sampai di penghujung suatu persimpangan. Kita perlu mengambil langkah berani. Kita perlu utamakan desakan yang lain. Pendidikan anak-anak, persediaan kesihatan, langlah-langkah keselamatan keluarga dan hal-hal di luar jangka. Bagi yang berada, mereka banyak pilihan. Bagi yang kaya mereka banyak ruang bertindak. Bagi yang berkuasa, politik menentukannya. Bagi kita yang biasa-biasa ini kena fikirkan sendiri. Bertindak sendiri. Kena banyak tutup mata bagi mengelak keghairahan berbelanja. Kena tutup telinga untuk mengelak sindir dan perli. Ekonomi diri kita, kita yang jaga. Gula-gula datang sekali sekala. Sedikit. Bukan banyak. Itupun diambil kembali apabila harga barang-barang melambung naik. Apabila banyak caj tambahan dikenakan kepada kita. Mengeluh tiada yang mendengar. Berkata tiada siapa yang memberi nilai baik. Kita dan diri kita yang perlu bertindak sendiri. Mudah-mudahan Allah bersama kita. InsyaAllah.