Benarkah cinta itu abadi sifatnya? Manis hingga ke
akhir hayat. Rindu sepanjang nafas dihela. Imbauan kenangan manis semasa masa
sama-sama muda. Sewaktu sama-sama rindunya memuncak. Sama-sama tidak mahu
berjauhan. Maunya didakap kejap. Dipandang tidak puas. Kelibat masing-masing
dinanti hinggap di hati. Lalu berlalulah waktu tanpa hentinya. Pergilah usia
meninggalkan yang dahulunya gebu menjadi kedut dan lemah lutut. Hilanglah
semangat juang untuk keluarga. Luntur bak dihakis air, angin dan sejuk cuaca. Pandanglah
ke arah manapun. Yang tinggal hanya sosok tubuh yang hadir. Hanya pada mata
terpancar masa lalu. Siangnya dipandang. Malamnya diigau. Kasih sama-sama
lanjut usia yang tiada tahu bila sudahnya. Bakal meninggalkan suatu kerinduan
yang tiada hujungnya. Masa dan usia merubah banyak hal yang dahulunya tidak
pernah dirancang jadinya. Jarang antara kita merancang jangkauan masa hadapan
yang tidak tentu kepastiannya. Kita terpedaya dengan kerdipan cahaya yang bakal
pudar nantinya. Segala-galanya menjadi pudar jika tidka digilap. Jika tidak
diusap mesra dan manja. Jika tidak dibuka dan dilihat hijab lama yang sangat
indahnya.
Cinta dan sayang seindahnya tahan diuji masa. Diuji
badai rumahtangga. Tahan dengan karenah sakit dan pening diri. Tahan dengan
perubahan fizikal dan emosi yang sukar ditelah. Namun kasih dan sayang panjang
zamannya. Lama masanya. Panjang ingatannya. Mendalam rindunya. Dalam menginjak
usia tua. Bukan lama atau banyak usia. Tetapi memang lama dan tua. Mungkin
melampaui satu kurun. 100 tahun yang sangat lama bagi orang seperti kita.
Apalah yang tersisa dalam usia sebegitu. Mungkin itulah ujian segala ujian.
1
Ujian kasih dan sayang yang dibawa arus usia.
2
Ujian untuk mereka yang tua usianya.
3
Ujian untuk suami dan lelaki.
4
Ujian untuk isteri dan wanita.
Pernah juga selalu diceritakan bahawa apabila usia
semakin lanjut maka kasih dan sayang semakin menjauh. Ada masanya lelaki dan
suami yang berasa biasa berdikari. Ia dapat hidup tanpa bantuan isteri atau
anak-anak. Boleh makan dengan memasak. Pakaian berbasuh sendiri. Rumah
dibersihkan sewajarnya. Pada ketika yang sama isteri pula tentu lega kerana
suami yang tua itu berdikari. Kurang ganggu dan gugatnya. Benarkah begitu?
Pengamatan penulis banyak sebaliknya yang berlaku. Ramai juga isteri tua yang
terus semakin bergantung harap kepada suami. Mati dirinya apabila suaminya
meninggal. Mati psikologinya. Mati harapannya. Mati semangatnya. Luluh dan
hancur tempat berharap. Hilang pudar dunianya. Segalanya sudah tamat. Dunianya
hanya pada suami. Tanpanya tiada lagi makna hidupnya. Baki usia merumitkan pula
anak dan cucu. Hari dan minggu sudah tiada pentingnya. Masa yang berlalu tiada
lagi nilainya. Hanya berserah menunggau masanya tiba.
Ramai juga suami yang terus-terusan rindu kepada
isterinya. Ia sangat perlukan kehadirannya. Masih ingin berbakti seadanya.
Mengikut fitrah dirinya. Fitrah fizikalnya. Ingin melihat kehadiran isterinya
di hadapan matanya. Hilangnya dicari. Puas dicari ditanya kepada siapa yang
ada. Melihat isterinya suatu fitrah. Bukan lagi kerana rindu. Bukan lagi kerana
sayang. Bukan lagi kerana sesuatu yang fizikal. Kehadiran isteri adalah tanggungjawabnya.
Masih merasa itu keselamatan yang perlu dipenuhi. Keperluan yang wajar
disempurnakan. Makan dan minumnya dipastikan ada. Bukan banyak atau sedikitnya
tetapi dihidang dan disedia seperlunya. Tidurnya dilihat bertempat. Mungkin
selimut dan bantal yang juga perlu ada. Dijengah siang dan malam. Hendak duduk
atau tidur bersama mungkin bukan lagi waktunya. Sudah berlalu berzaman-zaman.
Hendak bersembang juga sudah tiada bicara. Telinga sudah tiada didengar suara.
Gerak bibir jika boleh dibaca.
Tetapi bagaimana dengan isteri. Kadang-kadang fitrah
wanita berbeza dengan lelaki. Masa muda yang berlalu banyak ceritanya. Kenangan
manis dan pahit yang mungkin ketika tua sahaja dapat diputar semula. Diimbau kembali.
Sesungguhnya ilmu dan iman berganding sama. Selari membawa usia kita hingga ke
tahap terlalu tua. Dalam diri kita perlu dididik dengan kemahiran menjejak
masa. Kemahiran mengubah paradigma. Membuang semua paradoks yang kita percayai.
Menyesuaikan diri dengan segala perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Pada
masa hadapan kita. Memahami perubahan itu sendiri menjadikan kita akur dengan
datangnya perubahan. Bahawa kita perlu sejajar dengan perubahan yang mendatang.
Dapat memahami apa sahaja yang dilihat berlainan. Dirasa banyak kelainannya. Tanpa
ilmu dan pengamatan yang tinggi kita menjadi terlalu jumud. Statik. Akhirnya kita
menyulitkan orang lain di sekeliling kita.
Bagi mereka yang berumahtangga, hayatilah erti cinta. Erti
sayang. Erti kasih dan sayang. Ianya bukan dongeng semasa muda. Ianya bekal
hidup mengharungi usia yang semakin tua. Mengekalkan sentuhan abadi antara pasangan.
Kesyahduan yang tiada sudahnya. Kerinduan yang mengimbau dan menjelang dinanti.
Cumanya malang bagi lelaki Melayu. Rindunya disimpan. Kasihnya dipendam. Sayangnya
hanya di lubuk hati. Tidak dinyatakan. Tidak diluahkan. Tidak dilafazkan. Perlakuannya
sahaja kelihatan perihatin. Itu sahaja yang ada pada lelaki Melayu. Tidak memperlihatkan
keghairahan. Tidak juga keterujaan. Melihat dari jauh tanpa jeling dan lirik
mata. Seperti kosong belaka. Namun dalam hati dan sanubarinya penuh dengan
kasih sayang seorang suami. Cuma tidak tergambar dalam senyum atau tawa. Tidak juga
dalam suara. Barangkali mereka yang muda perlu mengambil iktibar. Bahawa kasih
dan sayang itu perlu disuburkan hingga ke akhir hayat. Lebih lanjut usia lebih
banyak olah kasihnya. Pasangan masing-masing menanti usap dan belai. Bisik dan
kata cinta. Perlukah malu membisikkan, “I love you”? Sesekali mungkin ungkapan
itu mengejutkan pasangan. Mengujakan. Apabila selalu diucapkan, ianya
dinanti-nantikan. Rindu dengan bisikan itu sendiri. Hembus nafas lembut di
telinga. Merdu dan menggetarkan perasaan.
Usia bukan penghalang cinta. Bukan penghalang sayang. Bukan
penghalang rindu. Ianya perlu dibiasakan. Jadikan amalan. Biarlah dekat di hati
dan dekat secara fizikal. Kita bukan orang dahulu kala yang terlalu malu dengan
anak dan cucu. Mendekatpun dikira mengada-ngada. Menepis dan lari menjauh. Zaman
itu sudah berubah. Masa menuntut perubahan. Dunia sekarang yang banyak
cabarannya menuntut pasangan lebih intim. Lebih dekat antara satu sama lain. Cinta
itu indah selamanya. Sayang itu merindukan semaunya. I love you yang manis
diulang-ulang.