Tuesday, July 31, 2012

Sajadah Bujur Yang Dimanfaatkan Melintang


Sajada (dia telah sujud). Masjid (tempat orang sujud). Sajadah (alas tempat sujud). Dalam agama masjid jauh lebih aula daripada surau atau musolla. Istilah surau terlalu kecil. Yang diperlukan ialah himpunan di masjid. Setiap solat fardhu. Atau untuk i’tikaf. Untuk munajat. Di Malaysia orang lebih kepada surau. Dekat dengan rumah. Tidak terlalu formal. Tidak banyak majlis rasmi. Maasjid sangat terikat dengan jadual dan dasar daerah. Dasar negari. Walaupun surau terikat dengan dasar yang sama namun ada sedikit kebebasan untuk melaksanakan aktiviti yang sesuai dengan kariah setempat. Lebih khusus. Dalam sebuah kampung yang panjangnya kira-kira tiga kilometer terdapat kira-kira tiga buah surau dan sebuah masjid.  Kerana surau memudahkan maka tidak ramai yang mengimarahkan masjid. Hanya untuk solat Jumaat sahaja. Seminggu sekali. Dua kali setahun untuk solat ‘id.

Sekarang ini masjid dibina di sepanjang perjalanan sama ada jalan tradisi atau lebuh raya. Di R & R pasti ada surau untuk lelaki dan wanita. Saiznya lumayan untuk mereka yang musafir. Pada waktu puncak barangkali terpaksa bergilir-gilir. Khususnya pada musim cuti sekolah dan akhir tahun. Bertali arus jemaah menunaikan solat. Ada yang solat tam. Ada yang solat qasr dan jama’. Kemudahan untuk wuduk tiada masalah. Kadang-kadang masalahnya berkisar pada waktu solat. Banyak barangkali yang boleh dilakukan untuk menghindar kesesakan. Praktikal ibadat perlu dilihat semula. Diberi  nilai baru. Diberi nafas baru. Memanglah sajadah untuk solat. Satu sajadah untuk seorang. Dibentang membujur. Dipijak di bahagian bawah. Hujung di atas untuk meletak dahi dan hidung. Itu waktu santai. Waktu tidak ramai jemaah. Waktu semua orang mewah dengan sajadah. Waktu solat bukan masalah. Tidak berebut tempat. Pada wktu puncak semuanya perlu ada perubahan. Semuanya untuk akomodasi situasi. Suatu keperluan semasa.

Sebenarnya solat tanpa sajadahpun boleh. Ia bukan rukun solat. Tidak termsuk dalam rukun yang 13. Lantai surau selalu dibersihkan. Kita menunduk. Taat. Menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Islam adalah agama ketundukan. Penyerahan. Cumanya kadang-kadang sajadah memberi rasa lebih selesa. Kaki tidak terasa sejuk. Dahi juga tidak sejuk. Terasa lembut di dahi sewaktu meletakkannya di atas sajadah. Malangnya sajadah hanya untuk beberapa helai sahaja. Bukan untuk semua jemaah. Tidak mungkin sehelai seorang. Maka kita dapati dalam waktu puncak ada jemaah yang menggunakan sajadah dan ramai lagi yang tidak bersajadah. Atas lantai yang bontang. Kosong. Rendah diri yang total. Letakkan muka yang hebat di hadapaan dan di atas betul-betul di atas lantai. Lantai yang dipijak ribuan jemaah lain. Lantai yang letaknya di bawah telapak kaki kita. Apakah manusia itu hebat? Kehebatannya hanya di bawah telapak kaki. Bukan telapak kaki ibu. Telapak kaki semua orang.

Dalam waktu sesak ramai orang menggunakan sajadah. Maaf. Mereka menggunakannya dengan kedekut. Lokek. Tiada perasaan untuk orang lain. Tidak sensitif dengan keadaan. Memanglah sehelai sajadah untuk seorang jemaah. Itu jika dibentang bujur. Sewaktu solat orang tidak ramai. Sajadah banyak belum digunakan. Bila jemaah ramai perubahan sikap hendaklah diptraktikkan. Sajadah yang membujur hendaklah dilintangkan. Kita hanya perlu meletakkan dahi dan hidung. Perut dan dada tidak sampai mencecah sajadah. Lintangkan. Dua orang jemaah boleh menggunakannya serentak. Boleh juga dengan seorang makmum menggunakan sehelai sajadah. Ini bermakna dua kali ganda jemaah yang boleh menggunakan sajadah. Imam sahaja yang dibujurkan sajadahnya. Yang lain hendaklah melintangkan sajadah mereka. Dalam solatpun banyak toleransi. Banyak berkongsi. Banyak akomodasi. Antara social quotient dalam amalan ibadat.  Cuba lakukan hari ini. Akan ada jemaah yang beterima kasih. Ada yang sudi berkongsi sajadah.

Bagi yang pernah umrah atau haji, anda pasti memiliki persepsi yang berbeza. Sajadah tidak berfungsi seperti yang kita fahami. Ada sahaja yang lainnya. Sebab itu bila kita memiliki sesuatu jangan hanya terikat dengan kegunaan yang dinyatakan. Yang biasa. Yang standard. Bila difikirkan ada sahaja kegunaan lain yang mensabah. Diperlukan bila tiba waktunya. Sesuai suasananya. Di jalan-jalan orang meletakkan sajadah untuk berlidung dari panas. Semua orang maklum bahawa pada musim panas, panasnya sangat menyengat. Membakar kulit. Cuma tidak melemaskan kerana udara di sana kering. Kelembapan sangat minimum. Maka sajadah berada di atas kepala. Bukan di  bawah telapak kaki. Di tanah air tiada siapa yang berbuat begitu. Tidak pernah mungkin. Jarang orang membawa sajadah ke masjid atau surau. Di bandar-bandar besar mungkin ada. Ruang masjid untuk solat Jumaat melimpah hingga di luar masjid. Di mana sahaja ruang yang ada.

Di Masjid al-Haram orang membawa sajadah bukan untuk meletak dahi dan hidung. Mereka membentang sajadah untuk meletakkan kaki. Untuk dipijak. Bukan untuk dicium. Pelik? Tidak. Itulah kesesuaian. Kita perlu mengubah kesesuaian. Berubah bila perlu. Sesuatu yang biasa menjadi luar biasa. Walaupun suhu tinggi. Panas membahang tetapi lantai masjid adalah sejuk. Batu marmar yang sentiasa sejuk. Sekadar untuk solat kaki terasa sejuknya. Menyerap dan melemaskan kaki. Bagi yang berpenyakit tentunya batu marmar tidak kondusif. Sementelahan pula ramai jemaah tua-tua belaka. Sesudah berpenyakit mereka baru kerkesempatan sampai di sana. Jika semasa muda dapat ke sana banyak manfaatnya. Masih sihat. Masih gagah. Masih kuat bertenaga. Semua anggota badan tiada banyak masalahnya. Asalkan psikologinya betul banyak yang mudah disesuaikan. Niat juga perlu betul supaya mendapat yang positif belaka.  

Begitulah. Dalam ibadat hatta dalam seluruh kehidupan ini kita perlu berkongsi. No man is an island. Kita perlu satu sama lain. Apa salahnya berkongsi apa sahaja yang boleh dikongsi. Halal dikongsi. Dituntut untuk dikongsi.  Apatah lagi dalam beribadat. Saya rasa lemas bila dalam keadaan bersesak-sesak solat di surau R & R orang tetap membentang sajadah membujur. Untuk dirinya sendiri sahaja. Itu belum yang solatnya terlalu lama. Zikirnya panjang pula. Dalam keadaan sesak kita ringkaskan semuanya. Pendekkan. Cepatkan. Cari ruang lain untuk berzikir. Ramai jemaah lain yang banyak urusannya. Ingin cepat sampai ke destinasi. Waktu solat semakin suntuk. Toleransi diperlukan. Banyak memberi peluang kepada orang lain. Sama-sama mencari redha Allah.

Panjang-panjangkanlah cerita ini. Mudah-mudahan orang kita menjadi perasa. Menjadi peka. Selalu teruja untuk memenuhi kehendak dan keperluan orang lain. InsyaAllah.