Kita berhadapan dengan berbagai cabaran media dan
hedonism. TV umpamanya adalah sumber hedonism paling mencabar. Telefon bimbit
dan I-phone walaupun pengaruhnya amat meluas tetapi tidak kepada anak-anak
kecil. Kali ini kita berbicara mengenai pendidikan awal terhadap anak-anak. Termasuklah
cucu dan cicit bagi mereka yan berkenaan. Kadang-kadang kita megambil sikap mudah.
Anak-anak kecil diletakkan di hadapan TV. Mereka dididik secara salah menonton
paparan yang bukan hak.
1
Perkataan dan istilah yang didengar bukan hak. Tidak sesuai
mengikut peringkat usia anak-anak kecil.
2
Gelagat yang dipertonton banyak yang tidak islamak. Pegang,
sentuh dan peluk yang bukan hak.
3
Ketawa yang berlebihan sedangkan yang digalakkan ialah
menyesali diri. Muasabah diri. Banyak bertaubat. Banyak menangis mengenangkan
diri sebelum mati dan sesudah mati.
4
Banyak nyanyian sedangkan yang perlu didengar dan
disebut ialah zikir, ayat al-Quran dan pujian ke atas kebesaran Allah.
5
Banyak pakaian yang tidak menutup aurat. Menentang ajaran
agama dan menyalahi didikan kepada anak-anak kecil.
6
Banyak waktu terbuang sedangkan ianya wajar digunakan
untuk membaca, menghafal al-Quran, mengaji, bertalaqqi, berdiskusi, mendengar
ceramah dan berbagai lagi manfaat waktu untuk agama.
Kita bukan bercakap mengenai remaja. Kita bercakap
mengenai anak-anak sejak mereka dilahirkan hingga usia mereka tujuh tahun. Atau
mungkin sewaktu usia mereka lima tahun. Sebelum lagi mereka ke TADIKA atau
PASTI. Kita terlalai ketika usia anak-anak sebegitu muda. Apa yang kita
fikirkan ialah selalunya kita hiburkan mereka secara salah. Menyalahi didikan
yang boleh mendekatkan mereka kepada agama. Kepada Allah. Kerap sangat kita
melihat situasi yang tidak wajar.
1
Anak-anak kecil diajar menyanyi. Kadang-kadang
senikata lagu itu layak untuk orang dewasa sahaja. Mereka tidak tahu ertinya
senikata lagu yang mereka nyanyikan. Mereka selayaknya diajar untuk menghafal
ayat-ayat al-Quran. Didik mereka untuk mengulangnya berkali-kali seperti zikir.
Semasa mereka kecil inilah ayat-ayat tersebut mudah menjadi darah daging kepada
mereka. Jiwa mereka masih terlalu bersih. Lidah mereka masih lembut. Hati mereka
masih mudah diisi. Biar mereka mengulang baca semasa bermain. Semasa berlari. Semasa
di dalam kenderaan. Biar ayat-ayat al-Quran bermain di mulut mereka. Di bibir
mereka. Mudah-mudahan lekat di hati mereka.
2
Anak-anak kecil diajar menari. Sewajarnya mereka
diajar solat. Melakukan gerakan-gerakan solat dari solat fardhu hinggalah solat
sunat. Biar mereka jinak dengan solat bukan dengan tarian.
3
Anak-anak kecil perempuan berpakaian yang kurang
islamik. Tidak labuh dan tidak memakai tudung atau telekung. Tidak dididik
untuk menutup aurat sejak mereka kecil lagi. Semasa mereka berusia muda inilah
mereka perlu dibiasakan supaya menjadi perisai yang menahan mereka dari hal-hal
yang bukan islamik.
Banyak bukti yang menunjukkan bahawa anak-anak kecil
sangat mudah dididik ke arah yang betul. Baru-baru ini sepasang suami isteri
berjaya menjadikan anak perempuannya yang berusia tiga tahun enam bulan
menghafal 30 juz al-Quran. Dalam masa kira-kira enam bulan sahaja. Dari bangun
tidur hingga anak itu tidur minatnya membaca dan menghafal al-Quran. Ibu dan
bapa yang mengawal anak. Masih boleh menonton TV tetapi pilihkan rancangan yang
mendidik mereka. Bukan semua rancangan apa yang ada. Bukti-bukti penyelidikan
menunjukkan bahawa menghafal al-Quran banyak kebaikannya.
1
Mudah menghafal hal-hal yang lain seperti formula,
sifir, fakta dan teori-teori seperti yang dipelajari di sekolah.
2
Daya ingatan lebih kuat.
3
Cerdas berfikir dan sentiasa bergerak maju. Tidak statik
dan suka intuitif.
4
Daya fikir juga lebih kuat kerana mata, lidah dan
seluruh derianya menumpu kepada al-Quran.
5
Ulamak zaman dahulu menghafal al-Quran terlebih dahulu
sebelum mempelajari apa-apa yang lain. Seperti kita maklum kerana itu mereka
menjadi pakar dalam banyak bidang. Ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran
terpancar menjadi ilmu-ilmu berguna untuk kegunaan di dunia.
Mendidik anak-anak biarlah seawal yang mungkin. Ajar mereka
bercakap secepat mungkin. Bercakap dengan sukukata yang lengkap. Jelas sebutannya.
Tersusun tertib dan intonasinya. Ajak mereka selalu berbual, bercakap, menyebut
sesuatu dengan betul. Bercerita dengan bahasa baku. Dengan ayat sempurna. Dengan
istilah yang tepat. Cari ruang dan peluang untuk bercakap dengan anak mengenai
apa sahaja tajuk. Mungkin melayan mereka bercerita mengenai apa yang mereka
lihat. Apa yang mereka pegang. Apa yang mereka tahu. Atau apa yang mereka baca.
Atau cerita-cerita lain yang terlintas pada fikiran mereka. Layanan bercakap
itu membina perbendaharaan kata mereka. Cara sebutan yang betul. Menggunakan susuk
ayat yang betul. Menggunakan perkataan dan istilah yang betul. Tegaskan supaya
mereka bercakap dengan ayat yang jelas. Mulakan dari ayat yang pendek hingga
mereka boleh menguasai ayat yang lebih panjang hingga ayat yang lebih kompleks.
Setiap pertanyaan anak hendaklah dilayan sepenuh hati. Beri jawapan yang jelas
dengan contoh-contoh yang dapat mereka faham. Suatu ingatan dari penulis, anak-anak
kecil apabila bertanya perlukan jawapan yang panjang lebar. Bukan yang
ringkas dan padat untuk memendekkan perbualan.
Sejak awal, perkenalkan dengan huruf Arab atau Jawi,
huruf rumi dan angka. Lebih banyak bahasa lebih baik. Melayu, Arab, Inggeris
atau bahasa ibunda/keluarga seperti Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Aceh, Bajau,
Dusun, Jakun, Sakai, Dayak, Murut dan sebagainya. Kepelbagaian itu hendaklah
berperingkat-peringkat. Pada mulanya ajarkan mereka yang asas seperti Bahasa
Melayu, Inggeris dan Arab. Dari awal lagi ajar mereka menghafal ayat-ayat lazim
bermula dari surah al-Fatihah. Pindah kepada surah-surah yang lain seberapa
banyak yang lain. Kenalkan huruf supaya mereka boleh mengenal dan membezakannya
antara satu huruf dengan huruf yang lain. Apabila mereka sudah mengenal huruf
pindah membaca al-Quran. Sambil membaca sambil menghafal. Sekitar usia empat
tahun cantik jika sudah khatam al-Quran dan pada masa yang sama sudah menghafal
banyak surah-surah lazim dan surah-surah yang tidak panjang. Pada masa yang
sama juga ajar mereka membaca Jawi dan rumi. Insyaallah sebelum masuk ke TADIKA
anak-anak sudah pandai membaca dan menulis. Yang lebih cantik lagi mereka sudah
khatam al-Quran. Bertambah cantiknya kerana mereka sudah menghafal banyak surah
dari al-Quran.