Tuesday, February 16, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kelapan: Cerita Seorang Ibu - Sambungan

Suatu ketika ibu saya mengalami tekanan darah rendah. Wajahnya pucat lesi. Pergerakannya tidak begitu cergas. Untuk mengatasi penyakitnya hospital juga tempat dituju. Maka ibu saya pergi ke hospital Muar untuk mendapatkan rawatan. Hospital Batu Pahat, hinggalah sekarang, tidak dinaiktaraf untuk menyaingi hospital Muar. Berbulan-bulan ibu saya berulang alik ke Muar untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan. Pada masa itu rawatan hospital bukanlah sesuatu yang menjadi kebiasaan. Sesetengah orang menganggapnya bukan kebiasaaan. Seingat saya, tiada siapapun yang memberi sokongan kepada ibu saya hatta sokongan moralpun tiada. Sudah nasibnya. Balu muda yang berat sakitnya. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.


Saya biasa mengikut ibu ke Muar. Kami kena pergi pada hari Jumaat. Muar bukannya jauh sangat. Hanya 38 km dari pekan Parit Sulong. Yang sukarnya ialah dari kampung saya ke Parit Sulong. Tidak jauh tetapi banyak masa dihabiskan kerana menunggu pengangkutan sungai. Biasanya motor sangkut. Dari Parit Sulong, kami akan menaiki bas. Di Muar kebetulan ada saudara ibu saya. Kami menumpang tidur di rumahnya. Pagi hari Sabtu ibu akan ke hospital. Sebelum tengahari selsesailah rawatannya. Sebelum balik ibu akan singgah di pasar Muar untuk membeli bahan yang cepat menyembuhkan penyakitnya. Hati lembu barang sekati (600 gm). Setiap minggu saya akan turut sama memakan hati lembu itu. Alhamdulillah, penyakit ibu sembuh. Ia kembali segar untuk meneruskan hidupnya sendirian.


Di pasar Muar ibu selalu membeli buah samak atau pisang kaki. Mungkin itu kesukaannya. Tetapi ibu hanya mampu membeli buah yang sudah terlalu masak dan lembut. Murah sedikit dari yang segar. Selain daripada itu ibu membeli buak samak yang sudah kering. Pada tahun-tahun 50an saya sudah biasa makan buah itu. Hingga sekarang saya masih menyukainya. Setiap kali saya makan, kenangan saya melayang kepada arwah ibu dengan deritanya yang ditanggung sendiri. Barangkali saya dan adik saya yang menguatkan semangatnya untuk terus hidup. Tiada apa-apa lagi yang penting selain dari kami berdua. Kalaulah saya tahu penderitaannya ketika itu. Kalaulah ........




Untuk berubat ibu bergolok bergadai. Mana-mana barang kemas yang ada digadaikan. Wangnya untuk tambang pergi dan balik ke Muar. Hasil menoreh bukan boleh diharap sangat. Barang kemas yang sedikit, seurat dua itulah penyelamat keadaan. Mungkin itulah sebabnya orang perempuan Melayu suka memiliki barang kemas daripada emas. Bila sesak boleh dijual atau digadaikan. Peranannya seperti wang simpanan. Boleh dapat wang tunai segera. Institusi kewangan seperti bank bukan seperti sekarang. Masa itu bank orang kampung pada barang kemas mereka.

Pada pengamatan saya, ibu mungkin juga terfikir untuk menamatkan zaman balunya. Ramai yang ingin memperisterikannya. Seperti saya sebutkan sebelum ini, wajahnya ayu, kulitnya putih kuning (tidak gelap seperti saya), rambutnya panjang mengurai, badannya langsing. Ada pakej wanita idaman. Tetapi semuanya ditolak. Pujukan dari datuk saya juga tidak dapat mencairkan hati dan perasaannya supaya berkahwin lagi. Entahlah. Mungkin saya dan adik saya yang menghalangnya. Ibu tidak pernah bertanya, tidak pernah berbincang. Saya juga tidak mengerti apa-apa. Kemungkinan juga ibu takut saya dan adik saya berbapa tiri. Entahlah.



Saya sebenarnya sebaya umur dengan kakak sepupu saya. Anak bapa saudara, abang kedua bapa saya. Pada masa itu kami tinggal serumah. Kerukunan ipar dan biras tiada tolok bandingnya. Ketika saya menangis, ibu saudara saya akan menyusukan saya. Ketika kakak sepupu saya menangis, ibu yang menyusukannya. Jadilah kami sepusu dan adik beradik sesusuan. Keluhuran mereka berdua cukup membahagiakan. Ibu dan ibu saudara saya, walaupun hanya biras sahaja tetapi cukup akrab. Pengikat mereka kerana suami masing-masing adalah adik beradik.


Hingga usia tuanya ibu saya masih ada yang berminat. Tetapi jika waktu mudanya ibu tidak berhasrat untuk bernikah lain, tentulah sukar difahami jika dia berubah pendirian. Setiap risikan dan pinangan ditolaknya dengan baik. Kadang-kadang dia hanya berseloroh sahaja. Kali terakhir dia dipinang orang ialah ketika usianya kira-kira 65 tahun. Dia hanya ketawa dan tentulah jawapannya tidak. Ibu saya memiliki kemahiran mengurut. Fokusnya ialah orang perempuan sebelum dan selepas bersalin. Selain daripada itu ia biasa mengurut kanak-kanak kecil. Maka namanya gah di sekitar dua tiga kampung berdekatan. Lumayan juga pendapatannya. Ia lebih dulu menunaikan fardhu haji daripada saya.




Rumah datuk saya yang dulunya beratap rembia telah saya ganti dengan yang lebih besar dan beratap zing. Wang gaji sewaktu awal bekerja dahulu saya belanjakan untuk membuat umah bararu itu. Masih memakai tiang, rasuk, kekasau, belebas, lantai yang lama. Di rumah itulah saya dan adik saya berumahtangga. Di rumah itulah ibu kekal tinggal hingga ke hari tuanya. Di rumah itulah ibu menjalankan urut mengurutnya. Rumah, tapak, kejiranan, kampung yang penuh dengan seribu satu macam kenangan masa dulu-dulu yang serba payah. Kembali ke waktu itu sangat nostalgik. Imbauan ingatn yang mencari kepastian diri. Yang telah dibina jatidiri. Yang telah mendewasakan diri. Yang telah mematangkan pengalaman masa. Ibu sayangkan rumah yang didudukinya. Kampung yang dihuninya. Tanah yang dipijaknya. Langit yang dijunjungnya. Hayatnya tidak menyatu dengan alam dan suasana yang dihidupkannya. Sakitnya di rumah anak-anaknya. Jasadnya di semadikan di kampung adik saya. Jauh dari kampung halamannya.

Pada akhir-akhir usianya, ibu mengalami penyakit kencing manis. Tetapi tidaklah begitu teruk. Badannya yang dahulu langsing tidak bertahan. Mungkin semakin mewah makanan yang dijamah, berat badan bertambah, orang kampung menganggapnya sihat. Kesilapan membaca fakta. Berat badan sebenarnya mengundang penyakit. Sewaktu usianya 72 tahun, pada tahun 2001, ibu saya mendapat angin ahmar (minor stroke). Sewaktu sakitnya saya sempat berbakti hanya sebentar sahaja. Saya bekerja dan isteri saya pula guru al-Quran. Kami berdua keluar pagi dan pulangnya petang. Adik sayalah yang dapat berkhidmat lebih lama.

Saat-saat terakhir hayatnya tidak dapat saya tatap. Tidak dapat saya hadir. Tidak dapat saya pangku dan riba. Saya hanya dapat tahu setelah semuanya berlalu. Yang saya lihat hanyalah sekujur tubuh seorang ibu. Orang yang melahir dan merawat saya hingga saya mengenal dunia. Seluruh hidupnya untuk saya dan adik saya. Seluruh hidupnya kesunyian. Tiada siapa mendengar, tiada siapa untuk didengar. kasih sayangnya tidak putus kepada suaminya. Tetepi abadi sepanjang hidupnya. Bak kata seorang peminat blog ini, mungkin satu dalam sejuta. Mungkin tidak rasional bagi orang sekarang. Itulah kesetiaannya kerana janji bahawa di syurga akan disatukan dengan buah hatinya, dengan kakasih hatinya, dengan suaminya di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan Allah memberinya kemudahan hingga ke akhirat.

Dari usianya 19 tahun hingga akhir hayatnya 72 tahun. 53 tahun adalah suatu jangkamasa yang panjang. Melewati zaman Malayan Union, pilihanraya pertama 1955, merdeka 1957, konfrantasi 1961, Malaysia 1961. Ibu telah merasa penjajahan British, kependudukan Jepun, British Military Administration (BMA), zaman pengganas komunis. Seorang wanita kampung yang telah melalui zaman-zaman kepayahan, mengorbankan perasaan dan jiwanya, setia kepada mertua dan ipar duainya. Ingatannya hanya kepada arwah suaminya yang dicintainya tetapi tidak lama dapat bersama.


Hilanglah sudah orang kedua yang mengasihi saya. Begitulah lumrah alam, dari masa ke semasa kita berpisah dengan orang-orang yang kita sayang. Orang-orang yang nafasnya bersama dengan kita. Yang suaranya mengiang di telinga. Yang kelibatnya bermain di mata. Inderanya bersama kita. Perpisahan abadi yang akan melewati waktu-waktu yang tidak dapat dipastikan hentinya. Doa dan harapannya di alam ukhrawi, di hadapan Rabbul Jalil Yang Maha Mengerti, akan terhimpun sekali lagi dalam nikmat abadi. Sebagai anak, saya masih ingat keanak-anakan saya. Manja dan ragam saya. Main dan tangis saya. Dalam usia tuapun saya masih ingat tempat bermanja. Tempat bertatih menjadi dewasa. Tempat menagih simpati dan rasa. Siapalah yang mampu menjadi galang ganti seorang ibu. Sayangnya, keperihatinannya, kasihnya, gundah gulananya, harapannya dan doanya hanya untuk anak-anak tercinta.

Bagi yang muda, kasihilah ibu bapamu. Tidak ada orang yang lebih mengasihimu daripada mereka. Kasihnya adalah talian nyawa dan darah dagingnya. Usah biarkan masa berlalu. Kehilangan mereka nanti sukar dimengerti. Tanpa mereka anda akan merasakan suatu kehilangan yang meyukarkan. Kehilangan yang tiada pengganti. Perpisahan yang mencengkam rasa. Berbaktilah kepada mereka. Hitam dan putihnya adalah untuk mencorakkan anak-anak, zuriat keturunannya.

Garapan masa lalu dan dorongan untuk terus ke hadapan memungkinkan zaman itu ditinggalkan dalam lipatan sejarah diri. Walau masih kuat dalam ingatan, saya tidaklah menghentikan waktu hanya untuk menangisi waktu lalu. Semuanya telah dilalui. Jalan-jalan berliku itu telah lama ditinggalkan. Di hadapan sana hanya jalan lurus yang harus ditamatkan menuju destinasi abadi. Ya Allah Engkau telah tunjukkan aku jalan yang lurus. Janganlah Engkau palingkan aku dari jalan lurus ini. Amin.

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Ketujuh: Cerita Seorang Ibu

Ibu saya berkahwin dengan bapa saya ketika usianya 13 tahun. Biasalah pada tahun-tahun 40an gadis-gadis berkahwin awal. Jika usia mencecah 15 tahun sudah dikira anak dara tua (sekarang ada ANDARTU dan ANDALUSIA). Sewaktu usianya 14 tahun lahirlah saya. Adik perempuan saya menyusul dua tahun kemudian. Selepas itu lahirlah adik lelaki saya. Hanya beberapa bulan selepas adik saya dilahirkan, bapa saya sakit. Agak lama juga sakitnya. Allah sayang kepadanya. Ia meninggal ketika usia saya kira-kira lima tahun. Hingga sekarang tidak ada yang saya ingat tentang arwah bapa saya. Tidak ingat wajahnya, tinggi bangun tubuhnya, kulitnya, tingkah lakunya. Hatta bau dan suaranya. Ingatan saya gelap tentang itu. Saya hanya dapat mendoakan rohnya selepas waktu solat. Atau ketika waktu yang lain. Hanya kata ibu bahawa wajah bapa saya saling tak tumpah seperti wajah saya. Semua gambar ayah saya dilupuskan. Entah, ketika itu ada kepercayaan bila tubuhnya mati, gambarnya pun dimatikan juga.





Maka terlonta-lontalah ibu saya. Ia kehilangan tempat bergantung yang sangat diharapkannya. Semasa hidupnya, arwah ibu pernah mencadangkan mereka berpindah dan memiliki rumah sendiri. Apakan daya, bapa saya anak bongsu. Anak kesayangan nenek dan datuk saya. Hasrat untuk berpisah terpaksa diurungkan buat selama-lamanya. Baktinya hanya untuk orang tuanya sahaja. Mudah-mudahan Allah mengiktirafnya sebagai anak yang Soleh. Amin.





Ibu saya anak orang tidak berada. Adik beradiknya tujuh orang. Enam perempuan dan seorang lelaki. Ibu saya anak kedua. Yang sulong hingga yang kelima sudah meninggal. Yang keenam dan yang bongsu sahaja yang masih hidup. Mungkin saya mewarisi gen ibu saya. Anak saya sembilan orang. Hanya dua orang sahaja lelaki.





Kampung asal ibu saya ialah Parit Haji Rasul. Melalui jalanraya sekarang sekitar tiga km sahaja. Tetapi waktu dulu perhubungan melalui sungai sahaja atau berjalan kaki. Dengan motorbot mengambil masa dua hingga tiga jam. Berjalan kaki memayahkan kerana merentas kawasan yang sunyi dan menakutkan. Akar dan banir pokok getah yang licin memayahkan perjalanan. Sebenarnya kampung saya dan kampung ibu saya sekadar selang empat kampung sahaja.





Datuk (bapa ibu saya) melalui hidup yang cukup menyeksakan. Kerana hasad dengki, dia telah ditangkap Jepun (semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu - Perang Dunia II) dan dijadikan buruh paksa untuk membina landasan keretapi di sempadan Myanmar-Thailang sekarang. Dasar Jepun ialah semua orang muda yang belum berumahtangga dijadikan buruh paksa. Sangat menghairankan apabila datuk saya yang sudah beristeri dan mempunyai tujuh orang anak dijadikan buruh paksa. Sebenarnya ia bersama rakannya berjaya melepaskan diri dan berjalan balik arah ke selatan. Kononnya ia sakit dan terdampar di sebuah kampung di Utara Perak. Ia telah ditinggalkan oleh rakannya di kampung itu. Sejak itu sanak saudara tidak mendengar khabar berita tentang hidup atau matinya. Nama datuk saya Toha bin Haji Mohd Amin. Mungkin ada orang tua-tua di utara Perak yang mengingat nama itu. Jika ada sila hubungi saya. (Tel: 012-7677976).





Di sebelah bapa saya, ramai sepupu saya yang dikahwinkan dengan pemuda-pemuda sekampung demi untuk mengelakkan diri dari ditangkap Jepun. Selamatlah mereka dari menjadi buruh paksa. Keajaiban Allah. Mereka yang berkahwin tanpa cinta, tidak sepadan mengikut ukuran sekarang, kekal bahagia hingga ke anak cucu. Cinta mereka berputik setelah berumah tangga. Kesemuanya pilihan orang tua dan dengan kebijaksanaan datuk saya yang dihormati pandangan dan nasihatnya.





Nenek saya (ibu kepada ibu saya) bukan calang-calang ibu tunggal. Ia tidak bersekolah. Ia tidak tahu menulis dan membaca. Tetapi ia boleh menaiki bas ke Johor Bahru ke rumah anak bongsunya dan ke Melaka ke rumah cucu kesayangannya. Apabila datuk saya sudah dibawa Jepun, maka nenek saya menyingsing lengan bajunya. Diheret kesemua tujuh orang anaknya. Diupahnya seseorang untuk membawa anak beranak itu ke Bandar Penggaram, Batu Pahat dengan menaiki sampan. Tujuannya hanya satu. Ke markas askar Jepun dan berjumpa dengan komandan Jepun atau kempetai. Terkejut beruk Jepun melihat nenek saya dan tujuh orang anak-anaknya yang pakaiannya tidak menentu. Mengadulah nenek saya akan keadaannya. Aduannya menimbulkan rasa bersalah kepada Jepun.





Sebagai tanda kekesalan dan kesilapan pihak Jepun, setiap bulan nenek saya dibekalkan dengan makanan secukupnya. Penuh sarat sampan apabila balik ke Parit Haji Rasul yang jauhnya kira-kira lapan km dari Batu Pahat. Nenek saya dan anak-anaknya hidup mewah kerana cukup makan semasa Perang Dunia II itu. Namun makanan yang cukup tentu tidak dapat mendamaikan hati kehilangan suami dan bapa. Di akhir-akhir perang itulah ibu saya berkahwin dengan bapa saya. Sekitar tahun 1945. Saya lahir pada tahun 1946. Sudah 64 tahun masa berlalu. Suatu jarak masa yang menjadikan saya seorang pengembara masa. Merentas beberapa fasa pembentukan Negara Malaysia.





Apabila bapa saya meninggal dunia, ibu saya membuat pilihan untuk tinggal bersama bapa mertuanya. Datuk saya (bapa kepada bapa saya). Ketika itu nenek saya (ibu kepada bapa saya) telah setahun lebih awal meninggal dunia. Datuk saya bergantung kepada ibu saya, menantu kesayangannya untuk menjaganya. Suatu keadaan yang sukar. Ibu saya tiada pilihan sebab ibunya sendiri dan adik-beradiknya bukan orang senang. Takut pula menambah beban. Sekurang-kurangnya dengan membela bapa mertua yang sudah tua, ada jaminannya. Kebun getah boleh ditoreh. Buah kopi boleh dipetik. Buah kelapa boleh dijual. Buah pinang boleh dijual. Tidak mewah tetapi boleh hidup cukup makan.





Semasa di sekolah rendah saya turut membantu ibu. Ibu mula menoreh kira-kira pukul 4.00 pagi. Siap menoreh pukul 7.00 pagi. Selepas menyusukan adik bongsu saya, ia pergi pula memungut susu getah. Siap kira-kira pukul 8.30 pagi. Getah itu dicampur sedikit air lalu dicampur dengan cuka getah untuk mengeraskannya dalam loyang. Apabila keras, getah itu dikeluarkan dari loyang di atas pengalas lalu ditekan untuk menipiskannya. Apabila cukup nipis dimasukkan ke dalam mesin getah halus. Seperti mesin air tebu sekarang. Cuma saiznya agak besar. Proses ini diulang beberapa kali hingga air getah diperah keluar dan kepingan getah menjadi tipis. Akhir sekali kepingan getah itu dimasukkan ke dalam mesin berbunga. Kemudiannya kepingan getah itu dijemur supaya benar-benar kering. Hanya yang kering sahaja akan dijual.





Hasil torehan ibu saya hanya dua keping sahaja sehari. Tolak hujan dan cuti adalah sekitar 40 keping sebulan. Getah keping itu mungkin menghasilkan sekitar RM80.00 sebulan. Ibu saya tidak mengambil kesemua hasil jualan getah itu. Sebahagian lagi di serahkan kepada bapa mertuanya, datuk saya. Ibu akan menggunakan wang itu untuk makan minum kami. D atuk juga berbelanja mengikut kegemarannya. Kadang-kadang ada kerencaman makanan, gabungan pembelian ibu saya dan datuk saya.





Saya baisa memetik buah kopi masak yang memenatkan. Buah yang merah dipetik sebiji-sebiji. Tidak boleh dilurut atau disiat rentap begitu sahaja dari tangkainya. Rosak pokok dan merajuk hingga melawas buahnya. Melawas bermaksud kurang dan jarang berbuah. Buah yang gugur perlu dikutip. Kerja yang memenatkan lagi. Ada pula kopi tahi musang. Kononnya kopi jenis ini mahal harganya. Kopi tahi musang ialah buah kopi yang dimakan musang. Biji kopinya tidak hadham dan keluarlah dalam bentuk biji. Selalunya kopi ini dibiarkan kena hujan dan panas. Bila sudah bersih baru dipungut. Pada tahun 60an, setin besar kopi kira-kira RM4.00. Jika rajin Buah kopi direndam hinga lembut. Ditumbuk sepaya bijinya terpisah dari kulit. Dibasuh dan dikeringkan. Biji kopi kering lebih mahal harganya.





Untuk minum kopi, biji kopi digoreng kering hingga garing dan hangus. Lalu ditumbuk dengan lesung batu. Kasar jadinya. Tidak halus seperti dimesin sekarang. Kopi yang kasar itu dibuat air kopi. Kami orang Jawa menggelarkannya sebagai kopi 'gabres'. Kenapa ya? Bila diminum, akan ada kopi yang melekat di bibir. Bibir yang comot itulah namanya 'gabres'. Lucu juga bila mengingat kopi 'gabres' ni.





Kadang-kadang saya memungut buah pinang yang gugur. Saya belah dan keringkan. Isinya longkah setelah kering. Isinya dijual kepada peraih yang ada di kampung saya. Pada waktu yang lain saya mengambil upah mencungkil kelapa kering yang sudah disalai. Kebetulan jiran saya ada salai kelapa. Bila kelapa banyak, banyaklah sedikit upah yang saya dapat. Kerjanya ringan bukan berat. Upahnya juga ringan. Entah berapa sen, saya tidak dapat mengingatnya lagi. Apa yang saya ingt ialah setiap wang yang saya dapat saya serahkan kepada ibu. Macam mana dugunakan wang itu, saya tidak pernah mengambil tahu. Mungkin Hari Rayalah saya dapat habuannya.





InsaAllah akan bersambung.