Mengapa kita menjadi
tua? Alalh mentaqdirkan yang kita banyak tahun usianya. Bertambah setiap tahun.
Yang bertambah adalah angkanya. Semakin banyak dan semakin besar. Pada
hakikatnya usia kita semakin berkurangan. Semakin susut. Semakin lama semakin dekat dengan waktu
terakhir kita. Masing-masing kita sudah ditentukan usianya. Ada yang banyak
tahun. Ada yang kurang tahunnya. Walaupun begitu waktu terakhir kita tetap
akhir usia kita. Mungkin sewaktu masih muda belia. Mungkin setelah sekian lama.
Setelah banyak tahun menikmati kehidupan yang berbagai. Kita ingin sekali
menjadi tua yang sejahtera. Sihat fizikal. Sihat mental. Sihat persekitara. Kekal
bersama orang-orang yang tersayang. Semoga Allah meletakkan kita di tempat dan
suasana yang bahagia selamanya.
Adakah hidup tua kita
selesa? Atau biasa-biasa sahaja? Atau daif sehingga diabaikan anak-anak atau
saudara-mara? Sebenarnya untuk menjadi tua sekurang-kurangnya kita perlu
menyediakan tiga perkara.
1
Memiliki harta sebagai bekal tua. Tanpa perlukan bantuan dari
sesiapapun.
2
Memiliki kemahiran berdikari. Sihat dan panjang akal menyelesaikan
keperluan hidup tua.
3
Memiliki ilmu yang kekal bermanfaat hingga ke akhir hayat.
Kita semua serupa.
Melalui masa kanak-kanak. Menginjak masa muda remaja. Berkerjaya, berumahtangga
dan mendewasakan diri. Akhirnya menjadi tua. Andainya kita memiliki tiga
persiapan di atas maka menunggu saat akhir bukan menjemukan. Ramai orang di
sekeliling kita yang saat akhirnya dalam husnul khotimah. Mati dalam bertugas.
Mati dalam beribadat. Matinya dalam memberikan yang terbaik kepada orang-orang
di sekliling dengan izin Allah. Mereka yang memiliki ilmu atau kemahiran jika
istiqamah mengamalkannya maka hingga ke
akhir hayatnya ia masih kekal memberi manfaat. Memberi khidmat kemanusiaan.
Begitulah mereka yang
sehingga hari tuanya berkemampuan menyara dirinya. Bukan sahaja nafkah dirinya
atau pasangannya malah masih mampu membantu orang lain yang kedudukannya tidak
dalam keadaan mampu dari segi ekonomi. Sedari muda pasangan suami dan isteri
berusaha mencukupkan segala keperluan untuk anak-anaknya. Ketika anak-anak
sudah berkeluarga maka pasangan yang tua itu bebas dari penat lelah yang
berpanjangan. Berehat dari kesesakan penatnya mengurus anak-anak dahulu. Tua
sewajarnya masa rehat. Masa santai. Masa untuk meneruskan hidup sendiri tanpa
menyusahkan orang lain. Itulah harapan semua ibu dan bapa. Namun langit tidak
selalunya cerah. Cahaya tidak selalunya terang benderang. Malap di sana sini.
Rezeki yang Allah anugerahkan kepada kita bertahap-tahap.
Anak-anak muda mungkin
perlu banyak belajar dari mereka yang tuanya berdikari. Mengambil iktibar dari
mereka yang tuanya kakal bermanfaat. Yang kekal cergas dan cerdas. Banyak
belajar dari mereka mengumpul harta tetapi tidak menjadi hamba harta.
Sedekahnya melimpah. Infaqnya meluas. Zakatnya tidak pernah dilupa. Bertambah
dan terus bertambah. Hidup selesa pada usia tua menjadi nikmat apabila dapat
memanjangkan tangan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Mungkin
sedikit wang ringgit. Mungkin nasihat dan dorongan. Mungkin mendidik orang lain
untuk menjadi lebih baik. Memberi apa sahaja walau apapun bentuknya tetap lebih
baik dari menerima.
Paling indah ialah
hari tua yang sihat. Masih kekal bersama orang lain di sekelilingnya. Masih
boleh berjalan jauh. Masih boleh makan dan minum yang wajar. Masih boleh tidur
nenyak. Masih boleh berulit mimpi. Siangnya membuat kerja amal. Malamnya
beramal pula. Gelak dan tawa masih ringan di mulut. Senyum masih panjang
meleret. Pada matanya tiada kesayuan yang mengundang banyak misteri. Tubuhnya
masih cukup tegap tanpa menampakkan rasa letih hidup. Raut mukanya masih
menampakkan selesa dengan keadaan di sekliling. Di bibirnya masih banyak
keindahan berbicara. Senang dengan orang lain dan orang lain senang dengannya.
Kesemuanya perlu
disediakan dari muda. Menuntut ilmu sebanyak-banyaknya. Mungkin formal. Mungkin
informal. Mungkin tak formal. Ilmu dan kemahiran yang kita miliki membawa kita
jauh mengembara merentas masa, tempat dan situasi. Kita melihat di sekeliling
kita ramai mereka yang berusia emas hidupnya masih kekal teratur. Masih
berencana. Masih ligat beraktiviti. Pagi ini dia di sini. Petangnya di sana.
Esoknya sudah dirancang di mana dan di mana. Dia tidak statik bermukim hanya di
suatu tempat. Tidak statik hanya dengan satu aktiviti yang terlalu rutin.
Terbangnya bak burung. Latanya bak pepohon rendang. Renangnya bak ikan. Di mana
sahaja dia berada aura positif yang ingin dikembangkan. Yang ingin dikongsikan
dengan orang lain.
Tua bukan bererti
terhenti segala-galanya. Apabila tua kita statik di stesen yang sama maka
tuanya menjadi mati sebelum mati secara hakikat. Tua menjadi indah apabila
bebas dari berbagai chores yang bukan lagi sewajarnya. Berkebun mungkin
santai tetapi banyak hal juga yang menjadikan ianya stressful. Diganggu
haiwan. Banyak serangga. Buah tidak menjadi. Sayur tidak subur. Banyak lagi
gangguan minda jika tidak bersedia. Sebenarnya bukan itu yang terbaik. Lebih
baik terlibat dengan hal-hal yang ringan tanpa menggunakan tenaga tangan dan
tubuh badan. Banyak alternatif yang boleh diceburi seperti NGO atau aktiviti
yang dapat membantu masyarakat membangunkan diri mereka. Bidang motivasi
umpamanya. Kerja-kerja amal yang sangat banyak dan luas. Bidang agama seperti
al-Quran dan yang berkaitan. Belajar lagi sebagai pelajar warga emas. Terlalu
banyak di universiti awam.
Kita bermula darI
muda. Persiapkan diri dengan segalanya yang perlu untuk hari tua. Hidup selalu
di bawah naungan Allah. Yang kita idamkan ialah hidup bermanfaat hingga ke
akhir hayat. Tua tetap datang kepada kita. Tidak perlu menantinya. Ia datang
dalam bentuknya yang selalu kita lihat.
1
Kulit berkedut beribu.
2
Kurus atau berisi tubuhnya.
3
Bersamanya mungkin penyakit yang tidak dapat dihindar.
4
Mata kurang awas.
5
Gigi yang tinggal sedikit.
6
Berjalan yang banyak lambat dari cepatnya.
7
Pendengaran yang selalu dipertikai orang sekeliling. Sesekali mungkin
dibentak baru mendengar.
8
Pakaian yang tidak sekemas dahulu.
9
Bau tubuh tidak sewangi selalu seperti waktu muda.
10
Duduk di tengah yang sudah tidak sesuai lagi.
11
Duduk di tepi tidak pula sesuai dengan suasana.
12
Banyak dibantu dari membantu.
Namun demikian jika
dapat berdikari amatlah baiknya. Tidak menyusahkan mereka yang dekat dengan
kita. Yang berada di sekeliling kita. Yang kita maklumi sibuk dan terhadnya
masa mereka. Hidup pada akhir zaman yang selalu sibuk. Berkerjaya untuk hidup.
Mengurus diri kadang-kadang menjadi sesuatu yang sangat memerlukan persiapan
rapi sejak dari muda lagi. Jika tidak
mungkin kita bakal menyusahkan orang-orang yang kita sayangi dan kasihi.
Mudah-mudahan kita semua jauh dari situasi yang tidak enak begitu. In sya Allah
hidup kita barakah hendaknya. Amin.