Dunia ini sangat luas. Sukar untuk menjelajah ke
seluruh pelosok dunia. Seumur hidup kita tidak termampu untuk ke setiap ceruk
dunia ini. Walau bagaimanapun jika kita berada di bawah tempurung yang sama
seumur hidup kita tidak dapat mengenal tempurung lain yang lebih besar dan
lebih indah. Dunia ini sangat indah untuk dibiarkan tanpa dilihat. Melihat pula
tentulah dengan mata. Tetapi mata kasar kita selalu terpedaya kerana kita
tersasar hanya melihat yang tersurat. Melihat yang kelihatan nyata. Melihat
yang maujud. Terlalu terpedaya dengan yang fizikal. Padahal yang tersirat
terlalu banyak untuk dilihat. Untuk ditafsir. Untuk dicari manfaatnya. Melihat
rupa wajahnya dari mata hati. Pengajaran yang terpancar. Iktibar yang terbina.
Sebab itu ulamak dahulu sering berpergian. Berkelana yang disebut rehlah ilmu.
Mencari sesuatu yang baru walaupun asasnya sudah diketahui. Lain tempat lain
belalangnya. Lain orang lain pula keistimewaannya. Dalam proses belajar
umpamanya setiap guru adalah berbeza penyampaiannya. Ada kelebihan-kelebihan
yang tidak dimiliki oleh guru yang lain. Maknanya ulamak dahulu belajar dari
siapa sahaja yang memiliki ilmu. Dari usaha itu digarap proses menghalusi sifat
manusia. Mengiratkan perhubungan antara manusia. Memberikan lapisan ilmu yang
mampan.
Begitulah Imam Syafiee menganjurkan agar kita semua
melakukan kembara. Kata setengah orang business cum pleasure. Kembara kita bukan sahaja membuka mata tanpa
erti. Bukan memasang telinga tanpa dengar. Apabila kita kembara kita melihat.
Kita mendengar. Kita menghidu. Kita mengalami perasaan yang berbaur dan
berbagai. Panas di suatu tempat. Sejuk di suatu tempat yang lain. Berangin pada
tempat yang lain. Ada rasa enak. Ada rasa nayman. Ada rasa resah. Mata,
telinga, hidung dan deria kita yang lain menghantar pola mesej ke otak dan
minda kita. Terjadilah reaksi yang mengusik psikologi kita. Datanglah rasa
nikmat. Rasa terhibur. Rasa dipenuhi dengan keindahan. Rasulallah berhijrah ke
Madinah kerana mematuhi perintah Allah. Benar. Sejarah menukilkan bahawa
kesedihan Rasulallah menebal di hati Baginda atas ketiadaan isteri tercinta dan
paman tercinta. Hijrah memberi ruang untuk hati Baginda menikmati rasa gembira.
Dalam kembara yang tidak seberapa kadang-kadang kita menemui diri kita. Menemui
diri orang-orang di sekeliling kita. berlaki nilai tambah. Memperkayakan cara
kita berfikir. Cara kita bertindak. Cara kita berinteraksi dengan orang lain.
Dari kembara itu kita mengenal diri kita yang sebenarnya. Banyak kelamahan.
Kekurangan keistimewaan. Dahuylunya kita perasan bahawa kita terlalu unggul
melebihi orang lain. Berhadapan dengan situasi-situasi baru menyedarkan kita
bahawa diri kita sebenarnya hanya seorang pemain yang terlalu kerdil. Ramai lag
orang lain yang terlalu hebat berbanding diri kita.
Imam Syafiee dalam pesannya menggalakkan kita semua
mengembara meninggalkan kampung halaman demi untuk mencari kemuliaan. Apa
sebenarnya kemuliaan yang boleh kita perolehi. Seperti dikatakan di atas tadi,
dalam kembara semua pancaindera kita difungsikan. Maka banyak yang kita lihat
kelainan. Kejutan-kejutan baru. Terfana dengan hal-hal di luar fikir. Kesemuanya menjadi input yang disimpan rapi
dalam fail ingatan. Dalam memori otak. CD-ROM yang sangat kukuh sehingga di hujung
usia. Dalam al-Quran ada sepotong ayat yang mafhumnya, tidak sama orang yang
mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Seorang pengembara yang tidak
sesuatu yang banyak atau tertentu masih dilihat lebih banyak pengetahuannya.
Apabila dia bercerita tiada siapa yang boleh menafikan kerana itu adalah
pengalamannya sendiri. Peribadi. Bukan dipinjam-pinjam. Bukan copy and paste.
Hanya pengalaman sebegitu sahaja dia mendapat kemuliaan. Orang lain hanya mampu
mendengar dan menelan air liur sahaja. Tidak termimpi pula untuk menurut jejak
pengembara. Bak keris Sempana Ganja Iras, sebulan dagang berlalu, jejak ditikam
mati jua. Pengalaman kembara sangat bermanfaat dalam jangkapendek dan
jangkapanjang. Kadang-kadang tida tahu
di mana hendak mula diceritakan. Terlalu banyak yang dialami.
Kata Imam Syafiee bermusafir mendatangkan berbagai
nikmat. Umpamanya:
1
Menghilangkan rasa duka. Melunturkan
kenangan-kenangan pahit yang pernah dilalui.
2
Peluahg mencari rezeki baru. Mungkin
rezeki zahiriah seperti pendapatan, keuntungan atau dalam bentuk harta dan wang
ringgit. Jangan lupa rezeki mungkin santapan minda dan memperkayakan psikologi.
3
Menghargai faedahnya ilmu. Proses kita
belajar tidak pernah tamat. Tidak ada sudahnya. Ada sahaja yang perlu
dipelajari. Gaya hidup yang berbeza. Berinteraksi dengan iklim kadang-kadang
sangat mencabar. Itu belum budaya dan amalan hidup di tempat yang baru.
4
Berada di tempat orang memerlukan kita
mengubah cara hidup. Sebagai orang beragama kita selalu ingin melakukan adab
yang terbaik. Umat Islam dilahirkan untuk mengamalkan adab yang terbaik. Namun
begitu setiap tempat ada sistem adabnya yang tersendiri. Sesuai dengan budaya
setempat. Umpamanya kita di Malaysia mandi sekurang-kurangnya tiga kali sehari.
Mungkin lebih banyak kali. Mereka yang demam sahaja kurang mandinya. Atau yang
berpenyakit. Manusia yang tinggal di negara-negara beriklim panas atau
sederhana mandi mereka tidak sekerap kita. mungkin sekali dalam seminggu. Atau
dua kali. Mungkin tidak mandi seminggu atau dua. Atau lebih lama. Cukup
membasuh di tempat-tempat tertentu seperti muka, tangan dan kaki. Benar, kerana
berwuduk. Anggota lain jarang terkena air khususnya pada musim dingin. Kerana
itu minyak wangi didsunatkan. Manda sebelum ke masjid untuk solat Jumaat bagi
setengah mazhab dikira wajib.
5
Peluang bertemu dan berinteraksi dengan
orang-orang mulia. Seorang ustaz. Seorang mualim. Seorang berilmu. Mereka
berbeza dengan ulamak yang kita temui di Malaysia. Dalam kembara kita lebih
ramai senarai orang mulia yang kita temui. Kita dapat bersama mereka. Ibarat
kata orang jika kita bersahabat dengan penjual minyak wangi kita terwangi juga.
Kita akan cenderung menuju kebaikan. Orang mulia penuh nasihat. Banyak
pengajaran berguna. Cakapnya bermanfaat. Banyak yang membina.
Kembara dan bermusafir menambahnilai diri kita.
Mungkin kita boleh membuat penilaian semua dalam banyak perkara yang selalu
kita lalu. Kita selalu menjadi orang yang nakal. Melihat banyak kelemahan
tetapi tidak berbuat sesuatu untuk memperbaikinya. Sekarang cuba sama-sama kita
fikirkan. Sudah sampai masanya kita mensyariatkan pelancongan. Dalam agenda
pelancongan ada konsep ibadat. Bagi yang Islam konsep ini sangat menarik.
Pelancongan yang sentiasa berkiblat. Jadual solat dijaga. Ada tazkiraah. Ada
kursus ringkas. Ada edaran bahan bacaan mengenai agama. Melancong kerana
melihat kebesaran Allah. Menikmati ciptaan Allah sebagai pengajaran. Sumber
menginsafkan diri. Kita belajar untuk mengambil yang baik. Pada masa yang sama
meninggalkan yang buruk. Umpamanya kita jadikan amalan ucapan seperti:
ﻣﺎ ﺷﺎﺀ ﺍﻟﻠﻪ
ﺍﻟﺤﻤﺪ ﻟﻠﻪ
ﺃﺳﺘﻐﻔﺮ ﺍﻟﻠﻪ
ﺳﺒﺤﻦ ﺍﻟﻠﻪ
ﺇﻥ ﺷﺎﺀ ﺍﻟﻠﻪ
Termasuklah juga syahadah, selawat dan
ungkapan-ungkapan zikir sebagai mengingati Allah sepanjang masa. Melancong
bukan hanya memuaskan mata. Kita berpeluang mengamalkan Islam itu sendiri. Cara
yang sangat simple dan tiada yang menyusahkan. Menjadikan kesemuanya di bibir
kita. Ringan. Cepat. Tiada tekanan atau paksaan. Cuma kita mainkan di bibir
kita sahaja. Kita singkirkan kata-kat seperti:
Wow
Fuyuh
Mak datuk
Perrrrh
Ok
Ayuh kembara ilmu. Banyak pengajaran dari
bermusafir. Untuk kembara berikutnya cuba buka minda untuk melihat dengan mata
hati. Mendengar suara yang tidak didengar dengan telinga sahaja. Tetapi
didengar dengan hati. Buka yang dihidu hidung sahaja. Bahkan yang dihidu oleh
pancaindera yang lain. Lihatlah warna yang berbagai. Saiz yang berbagai. Jarak
yang berbagai. Rupa wajah yang berbagai. Bau yang berbagai. Suara yang
berbagai. Perasaan kita yang berbagai apabila berinteraksi dengan sesuatu yang
berbagai. InsyaAllah kembara kita akan lebih bermakna.