Tuesday, November 2, 2010

Raudah: Taman-Taman Syurga

Solat sunat 2 rakaat sudah cukup untuk mendapat ganjaran besar dari Allah. Solat 2 rakaat di Raudah. Semua bakal haji dimaklumkan supaya berusaha bersolat di Raudah. Digambarkan tempatnya yang serba menggamit minda dan diri. Ada tiang-tiang hijau. Ada karpet hijau. Ada tanda-tanda dan sempadannya. Antara makam dan mimbar. Ada mihrab. Ada pangkin muazin. Ruangnya kecil. Jemaahnya ramai.

Sebenarnya semasa kursus dahulu saya menghadapi kesukaran untuk mengimejkan semua gambaran itu dalam minda saya. Kedudukan makam itupun digambarkan terlalu sulit untuk menziarahinya. Sedangkan Rasulullah bersabda bahawa sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak menziarahinya dikira orang yang sombong. Cuma itulah mungkin dalam kursus haji, ustaz yang membimbing jemaah kenalah guna teknologi. Tayangkan video yang jelas di mana kedudukan semua hal yang perlu diziarahi.

Yang nyatanya semua prosedur dan proses menunaikan haji bukanlah sesusah yang dijangka. Walau bagaimanapun kita kena kembali kepada Iqra’. Bacalah dengan nama Tuhan kamu yang menjadikan. Menunaikan haji bukan sekadar pergi dengan minda kosong dan tanpa ilmu. Sebab itu ilmu itu sangat penting dalam melakukan sesuatu. Menunaikan haji dengan berilmu sangat memudahkan. Bila ada ilmu mudah memahami, mudah merancang, mudah menyelesaikan masalah. Mudah membuat keputusan. Banyak hal yang perlu dipelajari. Perlu dibaca. Mendengar sahaja ceramah mungkin tidak diingat bila diperlukan. Di haramain, membaca itu perlu. Banyak arahan sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa Inggeris.

Oleh kerana Raudhah itu menjadi tumpuan, gambarannya seperti medan perang. Perang mencari keredhaan Allah. Maaflah, jemaah haji wanita tidak kerap merasakan semua ini. Mereka ke Raudhah hanya sekali dalam sehari iaitu selepas solat Subuh. Waktu saya dahulu begitulah. Itu tahun 1999. Sekarang mungkin berubah jadualnya. Dulu pukul 10 malam masjid ditutup dan dibuka semula kira-kira pukul 2 pagi esoknya. Sekarang katanya masjid itu dibuka 24 jam. Beruntunglah jemaah sekarang.

Bagi jemaah lelaki menjejakkan kaki ke Raudhah adalah perjuangan yang sentiasa on going. Tidak pernah berhenti. Ada sekumpulan manusia yang berkampung di situ. Maka terkesampinglah jemaah lain dari menikmati Raudhah itu. Maka jemaah seperti saya terpaksalah berhimpit-himpit untuk berada di situ. Sangat menyesakkan. Untuk dapat berjemaah solat waktu di Raudhah adalah suatu perjuangan yang sangat besar. Kadang-kadang sebelah kaki di Raudhah tetapi sebelah kaki yang lain di luar Raudhah. Seolah-olah sebahagian besar jemaah berada di Raudhah dan hanya sebahagian kecil yang berada di luar Raudhah. Sesaknya memang menyesakkan.

Mula-mula sampai di Raudhah saya keliru. Bagaimana saya hendak solat dalam keadaan orang terlalulah ramai. Antara saya dengan orang di depan saya kurang dari sehasta. Begitu juga orang di belakang saya. Hendak mengangkat takbiratulikhram tidak menjadi beberpa kali. Terfikir macam mana hendak ruku’ dan sujud dalam keadaan berhimpit-himpit itu. Maka memerhatilah saya. Belajar dari perbuatan dan pengalaman orang lain. Rupanya semuanya mudah belaka. Teringat rakan saya yang di Subang Jaya. Teorinya mudah sahaja katanya. Kita hendak sama-sama beribadat. Maka berkongsilah ruang. Berkongsi suasana. Berkongsi hati. Bertolak ansur. Memberi dan menerima. Sama-sama mengerti.

Ruang yang sempit bukan isu. Berhimpit-himpit bukan penghalang untuk solat. Yang perlu dilakukan hanyalah terus mengangkat takbiratulikhram ketika menjejak sahaja kaki di Raudhah. Di atas karpet hijau. Antara tiang-tiang hijau yang hiasannya berwarna emas. Kata orang memang emas. Saya tidak pernah mempastikan kesahihannya. Mungkin autentik dakwaan itu. Semasa saya solat orang di depan tidak pernah mengganggu. Bila saya ruku’ dengan sendirinya jemaah di hadapan bergerak ke hadapan kerana tertonjol kepala saya. Sujud menjadi mudah pula kerana ruang sudah terbuka. Jika jemaah di hadapan tidak bergerak maka ruku’lah di belakang mereka. Apa nak buat. Nanti sujud juga di belakang mereka. Ruang sudah tidak ada.

Dalam keadaan seperti itu saya belajar mengecilkan badan. Bila sujud saya bulatkan badan saya supaya tidak terlalu menjulurkan badan ke hadapan. Duduk antara dua sujud atau duduk tasyahud juga dalam keadaan yang sama. Jika tabaruk memakan ruang orang lain. Kadang-kadang terasa lucu juga bila diingat. Banyak kali bila berjemaah solat waktu saya mencari akal. Waktu sujud memang sukar mencari ruang untuk meletakkan dahi dan hidung ke karpet. Biasanya saya masukkan muka saya antara kaki jemaah di hadpan. Dia membuka kakinya memberi ruang. Jika antara kaki dua orang jemaah saya lakukan yang serupa. Masukkan sahaja muka antara kaki mereka. Secara automatik mereka merapatkan kaki mereka. Terbentuklah ruang antara kaji-kaki mereka itu. Dalam Raudhah itu saya bereksperimen. Mencuba dan banyak mencari akal.

Itulah Raudhah. Taman-taman syurga. Sewaktu hayatnya Rasulullah menjejaki seluruh Raudhah itu kerana letaknya antara rumah Baginda dan mimbar. Di situlah Rasulullah membaca khutbah. Di situ berhalaqah. Di situ bermuzakarah. Di situ merencanakan keseluruhan urusan kehidupan umat Islam ketika itu. Seolah-olahnya tapak kaki kita menjejaki tapak-tapak kaki Rasulullah. Lagipun Raudhah itu terlalu dekat dengan makam Baginda. Solat kita berhampiran benar dengan Baginda, Abu Bakar dan Umar. Baginda manusia teragung yang dicipta Allah. Abu Bakar sangat ikhlas dalam perjuangan agama. Jika kebaikan Abu Bakar ditimbang nescaya lebih berat dari kebaikan seluruh umat Islam. Umar pula dengan ketegasannya menjalankan perintah Allah. Ada hadis yang meriwayatkan bahawa syaitan takut kepada Umar.

Saya berada di Raudhah itu. Dulunya Rasulullah di situ. Di situ juga semua sahabat kabir. Di situ juga semua sahabat berhimpun. Raudhah itu penuh sejarahnya. Terhimpun padanya insan-insan yang solihin, siddiqin, syauhada’, muttaqin, mukhlisin dan sebagainya. Menjejakkan kaki di situ merupakan kebersamaan dengan mereka. Mengulang sejarah mereka.

Selain dari solat waktu dan waktu-waktu lain saya suka berlegar di keliling kawasan itu selepas solat Isya’. Ketika itu biasanya Raudhah agak lengang. Saya boleh memilih mana-mana sahaja tempat untuk saya solat sunat. Sepuas hati saya. Sewaktu saya menunaikan umrah pada tahun 2003, Raudhah itu memang puas saya kunjungi. Hampir setiap kali berjemaah solat waktu saya di situ. Malah kadang-kadang tidak jauh dari imam. Tidak dapat di belakang imam kerana dia selalu dilindungi oleh ramai jemaah yang sudah awal-awal ditempatkan di sekeliling sejadah imam. Dapat melihat dari jauh sedikit. Tetapi Raudhah menjadi tempat lalu lalang. Tiada halangan dan kekangan seperti musim haji.

Raudhah yang indah. Bukan ada hada dan halangan manusia yang mengunjunginya. Bukan hiasan yang mencantikkannya. Tetapi Raudhah itu menjadi saksi saya pernah ke sana. Di syurga nanti keindahannya akan dinikmatai secara live. Unplugged. Di sini, alam ini, Raudhah hanya bayanganya sahaja. Gambaran yang tidak langsung menepati piawaian syurga. Pergilah bagi yang belum. Saya ingin mengulang-ulangi. Rindu pada Rasulullah sentiasa dipendam. Tanyalah pada mereka yang pernah berkunjung ke sana. Dalam hati terlonta-lonta. Ingin benar terbang segera. Hajat, hasrat, niat memang ingin mengulanginya. InsyaAllah