Sunday, October 16, 2011

The Wonders Of Camping

Semasa kecil dahulu saya selalu mendongak ke langit pada waktu malam. Pada tahun-tahun 50an kampung saya jauh di pendalaman. Elektrik belum sampai di kampung. Belum terpacak tiang-tiangnya. Belum ada pencawang. Pendawaiannya juga tiada. Mungkin masa itu masih di atas drawing board agaknya.  Bapa saudara saya ada yang biasa bersama saya dan sepupu yang lain. Pada malam-malam yang cerah banyak bintang di langit yang kelihatan. Ketika itu saya terasa amat seronok memandang bintang-bintang yang bergemerlapan itu. Kampung yang masih penuh dengan belantara amat dingin sekali. Kunang-kunang berterbangan. Kami tangkap dan balut dengan baju. Terang bak penyuluh. Pencemaran memang belum ada. Udara bersih dan menyegarkan. Nostalgik sungguh. Malam indah di pagar bintang. Oleh kerana tiada siapa yang mahir ilmu falak atau astronomi maka malam dan bintang hanya dilihat secara fizikal. Tiada makna yang mendalam dan besar.

Sewaktu saya melancong ke Canada saya dan keluarga bermalam di kawasan perkhemahan. Kami bertujuh bermalam dalam dua khemah. Hanya khemah murah. Sebelum pergi kami membawa comforter – selimut tebal. Bantal ala kadar sahaja. Untuk alas kepala.  Selalunya di kawasan perkhemahan saya menyewa satu lot kawasan. Walaupun satu lot, boleh memuatkan dua khemah kecil, sebuah kereta dan jika membawa meja kecil boleh berkeliling untuk makan bersama keluarga. Penginapan di US dan Canada bukan masalah. Jika banyak duit hotel banyak alternatifnya. Motel pula lebih murah lagi. Tetapi untuk mengalami percutian yang murah, berkhemah sangat mengujakan. Pengalaman yang sukar dilupakan. Malangnya pengalaman seperti itu sukar diulangi di sini. Bukan budaya orang Malaysia. Sesuatu yang di luar kebiasaan. Hotel banyak. Motel banyak. Resort banyak. Homestay banyak. Rumah saudara mara ada di mana-mana. Rumah teman-teman hampir ada di kebanyakan tempat di seluruh negara. Oleh itu berkhemah bukan pilihan terbaik. Kita tidak ada pilihan itu di sini. Satu kerugian dalam hidup.


Kawasan tapak perkhemahan ini sangat luas. Pada musim summer memang beribu-ribu ramainya. masing-masing dengan ragamnya. Ada khemah mahal dan ada khemah murah seperti yang saya dan keluarga gunakan. Rasanya USD29 sahaja. Tidurdi tengah lapang bersama dengan alam. Udaranya bersih. kawsannya selamat. Kemudhannya banyak. Khemah saya dua sahaja. Satu lagi khemah teman saya dan keluarganya. Begitulah kami berjimat di rantau orang. Di Malaysia tiada kemudahan sebegini. Jika ada mudah berinteraksi dengan alam sekitar.

Kita menjadi orang yang hanya melata di muka bumi. Jarang kita mendongak kerana mata kita ditarik ke kanan dan ke kiri. Banyak imej yang memukau. Lagipun banyak aktiviti lain yang melarikan kita dari keindahan alam. Suasana di sekeliling kita bukan lagi gelap seperti dahulu. Mata kita sudah silau dengan gemerlapan cahaya. Bintang di langit sudah terselindung dari keindahan mata kita.  Sebenarnya memandang ke langit khususnya sewaktu langit cerah adalah sesuatu yang digalakkan. Mengingatkan kita supaya insaf dengan kekerdilan kita. Makhluk yang sangat daif. Sangat lemah. Sangat tidak signifikan dari segi saiz dan kekuatan. Cumanya kita memiliki akal dan otak yang dipermudahkan berfikir. Banyak yang mampu dilaksanakan. Namun semakin lama semakin kita maju maka semakin kita lupa akan kebesaran Allah yang tidak pernah berubah. Tetap kekal ada dan abadi. Kita sahaja yang sudah lupa asal kita yang lama.

Berkhemah di Amerika Utara mengembalikan nikmat yang hilang. Nikmat yang saya lalui semasa kecil dahulu. Alhamdulillah lima orang anak saya dapat bersama saya. Mungkin ramai yang tertanya-tanya. Seronok ke berkhemah. Bagaimana keadaannya. Dan banyak lagi soalan yang bermain di kepala. Saya katakan bahawa berkhemah adalah suatu pengalaman menyeronokkan. Mungkin pengalaman ajaib. Lot perkhemahan diliputi rerumput yang dijaga rapi. Merata dan lembut. Menambahkan kelembutan comforter yang dibentang di dalam khemah. Menghijau di musim summer. Apabila khemah dipasang, comforter dibentang. Tidurlah selena-lenanya. Sejuk. Damai. Tenang. Selamat. Hilang segala kerisauan. Begitu nyaman. Boleh tuan bayangkan. Lot perkhemahan itu sangat rata. Tidak berpasir atau berbatu-batu. Bila membaringkan badan tidak terasa ada yang membonjol atau menekan mana-mana anggota badan. Sangat selesa.

Saya suka kawasan perkhemahan kerana kemudahan asas disediakan. Kebetulan lot saya berhampiran dengan bilik air awam. Ada tandas yang selesa. Bilik airnya cukup dilengkapi dengan air panas. Mestilah diasingkan yang lelaki dan wanita. Mandi manda dan keperluan isjinjak taken care of. Basuh membasuh tiada masalah. Laundry disediakan di kawasan perkhemahan. Masukkan pakaian, masukkan duit, putar. Sesudah dibilas terus masukkan dalam alat pengering. Balik ke khemah siap sudah dilipat. Sangat mudah. Sekali lagi sesuatu yang nostalgik. Maksudnya di kawasan perkhemahan tiada yang merungsingkan. Masih yang diambil tidak pula lama. Paling lama sejam. Basuh hingga dilipat. Budaya membasuh di laundry belum lagi berkembang di Malaysia. Semua laundry full service. Bukan self-service. Jika ada self-service, bayarannya masih mahal.  Lain padang lain belalangnya.

Di setiap lot perkhemahan terdapat bekalan air dan punca elektrik. Untuk makan kami masak sendiri. Bekalan makanan boleh dibeli di mana-mana. Makan beramai-ramai di kawasan perkhemahan begitu menyelerakan pula. Bukan banyak lauk. Nasi dengan ayam atau daging. Masak yang senang-senang. Mungkin goreng. Kerana saya banyak membawa rempah maka masaklah berempah. Boleh kari. Boleh kurma. Atau sup sahaja. Sayur? Makan kobis mentah sahaja. Atau tomato. Pendek kata di kawasan perkhemahan itu hidup kami cukup simple. Makan tidak banyak karenah. Hidup semudah mungkin.  Yang penting kami menikmati kehadiran kami to the fullest. A real great experience.  Sukar dilupakan. Something to be treasured. Hidup kami yang simple itu seolah-olah kami seperti orang senang. Santai.

Aspek keselamatan tiada apa-apa masalah. Segalanya terkawal. Petugas di perkhemahan itu meronda mengikut jadual. Kami rasa selamat. Tiada rasa bimbang. Lagipun kawasan perkhemahan itu sangat luas dan rata. Berpagar dan berpengawal. Aspek keselamatan dari pencerobohan manusia atau haiwan sudah diambil kira. Pada waktu siang kami berjalan ke mana-mana tempat yang sesuai. Walau bagaimanapun kami banyak berlegar di kawasan Niagara Falls. One the wonders of the world. Sebelum kami keluar (untuk berjalan-jalan) dari kawasan perkhemahan itu kami kemaskan semua barang ke dalam khemah. Sebenarnya kami tidak boleh berada di dalam khemah pada waktu siang kerana cuacanya agak panas. Kawasan yang sangat lapang. Tiada perlindungan dari cahaya matahari. Sebab itu kami meronda kawasan Niagara untuk menikmati apa-apa yang dapat dilihat. Yang dapat menyegarkan mata. Yang membuka minda. Memang sukar hendak digambarkan. Orang Barat menjaga persekitaran mereka denga rapi. Suatu kemestian. Kesedaran sivik yang sangat tinggi. Mereka hidup dalam keadaan yang membahagiakan mata dan minda mereka. Pandang ke mana sekalipun, kebanyakannya menarik untuk diulang-ulang pandang.

Nikmat sebenar berkhemah tentulah pada waktu malam. Langit cerah dan lapang. Pandang ke langit. Indahnya gemerlapan alam. Bintang-bintang di langit semuanya bercahaya. Baru sekarang saya sedar bahawa yang kelihatan di langit itu adalah planet, bintang, nebula dan supernova. Kebesaran Allah Yang Maha Besar. Maha segala-galanya. Langit yang terbentang luas itu menyerlahkan tanda-tanda kebesaranNya. Sesungguhnya semua yang di langit beredar dalam pusingan seperti tawaf. Dari kanan ke kiri. Nebula yang hanya boleh dilihat dengan teleskop berkuasa tinggi amat menakjubkan warna warninya. Hanya debu dan gas. Supernova yang berbagai bentuknya sangat mengasyikkan. Yang dilihat dari bumi ialah cahaya letusan planet yang membentuk supernova mungkin telah berlaku jutaan tahun lamanya. Cahayanya baru sampai untuk dilihat oleh orang di bumi. Memandang ke langit, mendongak dan memerhati segala yang berkelipan dan bergemerlapan adalah nugerah untuk kita nikmati. Mengambil keinsafan bahawa bumi ini kecil. Manusia yang menghuninya kecil. Ingatlah kebesaran Allah yang mencipta langit dan bumi dan semua yang ada di antara keduanya.


Di kanan kiri khemah ada bangku makan. Sanga memudahkan.


Kami masak dan makan di kawasan ini. Ala kadar sahaja. Seronok dan menyeronokkan. Disinari mentari summer yang mula panas sedari pagi.


Kebetulan tapak khemah kami bersebelahan bilik air. Paip air di luar khemah. Sangat memudahkan.


Khemah yang murah. Cukup untuk tidur dan merehatkan badan. Anak-anak jadi terbuka bebas menikmati alam yang terbentang luas. Sukar untuk mempraktikkannya di sini. banyak taboo kadang-kadang.


Begitulah hidup di perantauan. Ada sahaja pengalaman baru yang sukar dilupakan. Pengalaman itulah yang memperkayakan diri. Value added dalam kehidupan. Input yang menusuk ke qalbu. Menjana minda untuk berfikir. Ketajaman akal memberi panduan untuk mengambil iktibar dari apa yang dilihat. Bahawa tanda-tanda kebesaran Allah ada di mana-mana. Percayalah kita terlalunya sangat kerdil. Dihantar ke bumi untuk memakmurkannya. Manusia kerdil yang dilantik menjadi khalifah. Tanggungjawabnya besar.