Anak-anak yang bersekolah diletakkan di bawah amanah
guru-guru. Ibu ayah yang menghantar anak-anak ke sekolah menyerahkan anak-anak
mereka untuk dijadikan manusia. Namun begitu waktunya terhad. Dari pukul 7.00 pagi
hingga mungkin pukul 1.00 petang. Jangka waktu selama kira-kira enam jam. Ada
18 jam lagi masa anak-anak bersama ibu ayah masing-masing. Dari nisbah masa ini
kita lihat siapa yang lebih besar tanggungjawabnya untuk memanusiakan
anak-anak. Guru atau ibu ayah. Tunggu dahulu. Jangan beri jawapannya sekarang.
Pada akhir entry ini anda buatlah kesimpulannya. Moga-moga anda dapat
melihat dengan mata hati tentang tanggungjawab memanusiakan seorang anak. Anak
kita. Anak masyarakat. Anak bangsa. Bakal warganegara. Bakal umat yang soleh
dan solehah. Pembawa obor iman hingg akhir zaman.
Sekolah adalah sebuah menifestasi masyarakat. Sebuah
keunggulan yang ingin diciptakan. Anak-anak diberi acuan masyarakat yang
digerakkan oleh politik dan ideologi. Dalam kes negara kita sekolah menempelkan
sedikit ruang agama kepada anak-anak. Mereka belum tentu arif tentang sains dan
teknologi, tentang sejarah dan peradaban, tentang sosial dan akhlak mulia.
Pendidikan agama bukan keutamaan kecuali di sekolah yang berlatarbelakangkan
agama. Kerana itu pendidikan agama sebenarnya adalah tanggungjawab ibu-ayah dan
masyarakat setempat.
1
Cari bakal isteri yang berpendidikan agama. Sebelum
itu seorang lelaki wajib tinggi ilmu agamanya sebagai bekal untuk memilai dan
memilih bakal isteri. Untuk mendidik anak-anak dan keluarga ke jalan agama.
Untuk hidup beragama dan melaksanakan amalan yang soleh.
2
Mendidik janin dengan agama sejak ianya di dalam rahim
ibunya lagi. Didengarkan dengan ayat-ayat al-Quran. Diberi nasihat. Diberi
pesanan-pesanan supaya patuh kepada perintah Allah dan RasulNya. Supaya menjauhi
laranganNya.
3
Lahirnya seorang anak disambut dengan amalan agama.
Dengan azan dan iqamah. Dengan doa. Dengan tahnik. Dengan amalan Islam yang
sebenar.
4
Mulakan kalimah yang islamik kepada anak-anak kecil
sebaik mereka boleh bercakap. Bismillah, Allah, subhanallah, alhamdulillah,
barakallah dan selawat ke atas Rasulallah.
5
Ajar berdoa sejak kecil. Doa makan. Doa hendak mengaji
atau membaca. Doa hendak ke bilik air. Doa hendak tidur. Doa bangun dari tidur.
6
Ajar mengajar mengaji sejak usianya mungkin dua tahun.
Khatamkan waktu usianya hampir empat tahun. Apabila sampai empat tahun latih
untuk menghafal al-Quran dari surah yang mudah, pendek dan berulang-ulang
khususnya al-Fatihah.
7
Jangan sekali-kali diajar menyanyi dan menari. Jangan
sekali-kali. Jangan dan jangan. Jangan diulang kesilapan-kesilapan yang lalu.
Tinggalkan sebagai pengalaman yang tidak boleh diulang lagi.
Apabila usianya mencapai tujuh tahun pastikan
anak-anak sudah pandai melakukan solat dengan betul. Malasnya jangan
dimanjakan. Bukan dipaksa dengan kasar. Pujuklah dengan berhemah. Dengan kasih
sayang. Dengan harapan. Dengan doa. Baca selalu ayat 40 surah Ibrahim.
Mudah-mudah keturunan kita menjadi mereka yang solatnya menjadi amalan. Datang dari
hati dan naluri. Menjadi hidayah indah dari Allah. Selagi boleh ajar anak-anak
supaya mengikut ibu ayah bersolat ketika usianya mungkin seawal dua tahun.
Apabila usianya 10 tahun pastikan bahawa solatnya bukan dibuat-buat. Sudah
boleh menjadi imam kepada keluarganya. Betapa damainya hati ibu dan ayah jika
itu berlaku. Betapa sejuknya perut ibu yang mengandungkannya.
Walaupun anak-anak bersekolah agama, jangan lupa
bahawa sekolah dan ustaz tertakluk kepada kurikulum yang terhad dan telah
ditentukan oleh pihak yang berwajib. Maka ibu dan ayahlah yang memberi
tambahnilai terhadap kefahaman agama terhadap anak-anak mereka. Sediakan
kitab-kitab agama sebanyak yang mungkin. Novel kepahlawanan Islam menjadi suatu
kemestian. Sirah Rasulallah. Kisah para sahabat. Perang menakluki kerajaan Rom
dan Farsi. Sejarah Islam itu penting untuk membangkitkan semangat juang.
Semangat mengerti bahawa Islam itu diperjuangkan. Bukan didatangkan dengan mudah
dan indah tanpa diperjuangkan. Lalu manhaj Islam kepada anak-anak
dipertingkatkan kepada hal-hal yang berat mengenai iman, rukun-rukunnya dan
amal soleh. Solat dan rukun Islam yang lima. Begitulah mengenai fardhu ain dan
fardhu kifayah. Hak diri dan hak masyarakat. Sebagai individu muslim dia juga
bertanggungjawab terhadap ahli masyarakat di sekelilingnya.
18 jam anak-anak bersama ibu dan ayah di rumah. Atau
bersama mereka dalam masa tersebut. Isilah dengan pendidikan yang bermanfaat.
Selitkan selalu bahawa ilmu apapun yang mereka pelajari kesemuanya milik Allah.
Kerana itu ilmu tersebut perlu disampaikan kebaikannya kepada orang lain.
Diamalkan untuk memberi manfaat diri dan orang lain. Dilakukan dengan penuh
insaf bahawa ianya kerana Allah. Mencari kebaajikan akhirat. Mudah-mudahan
mendapat keuntungan dunia mengikut izin dan ketentuan Allah. Memahirkan
anak-anak dengan dakwah adalah penting terutamanya apabila kita menghampiri
akhir zaman seperti sekarang ini. Kita ingin mengajak seberapa ramai orang
untuk kembali kepada ajaran Allah dan menjauhi laranganNya.
Tanggungjawab ibu dan ayah terlalu besar untuk membina
umat yang berwibawa dalam agamanya. Penulis mendapat mesej pesanan dari seorang
sahabat. Ikuti senarai pesanan di bawah:
1
Ramai yang mengaku menjadi ayah apabila anaknya
dilahirkan. Sebenarnya dia belum lagi menjadi ayah. Dia baru memiliki anak.
2
Ayah adalah istilah istimewa untuk lelaki yang
bersedia mengasuh anaknya. Menjadikan anak-anaknya soleh dan solehah. Menjadi umat
Islam yang berwibawa. Mendokong Islam berbanding segala-galanya yang lain.
3
Ayah yang mengasuh anak mengurangkan bebanan ke atas
isterinya. Isteri akan terasa ringan bebannya.
4
Seorang ayah bukan mesin ATM yang hanya didekati
kerana memberi wang. Tanpa perasaan dan tanpa kasih sayang. Juga tanpa
tanggungjawab. Ayah sepatutnya reach out kepada anak-anaknya. Bukan
dicari ketika ketiadaan wang. Sekadar menjadi tembok batu tanpa nyawa.
5
Kesibukan melalaikan ayah hingga dia tidak mengetahui
bila anak-anaknya baligh dan menjadi remaja.
6
Asbab dan musabab fitrahnya datang dari ayah. Didikannya
yang tidak wajar mengajar anak-anak menjadi derhaka. Sayyidina Umar menyebut
bahawa anak derhaka datangnya dari ayah yang juga derhaka. Semoga kita semua
beringat mengenai pesanan sahabat dan
khalifah ini. Ibn Qoyyim dalam kitabnya Tuhfatul Maudud
menyatakan bahawa kerosakan kepada anak disebabkan oleh ayahnya.
7
Banyaklah berdoa untuk kebaikan anak-anak semoga tua
seorang ayah banyak didoakan oleh anak-anaknya. Pendidikan agama menjadi kunci
kepada keindahan berdoa ini.
8
Muliakan anak-anak dengan ilmu agama supaya anak-anak
memuliakan ayah dan ibunya dengan agama.
9
Ramai ayah hilang fungsi kerana ibu yang banyak
memainkan peranan mendidik anak. Di luar sana ramai pula guru yang juga ibu.
10
Sifat-sifat maskulin datangnya dari seorang ayah. Ketiadaan
ayah apabila diperlukan menjadikan anak merujuk kepada ibu. Sifat lembut yang
diwarisi dari ibu tanpa keberanian, kejagoan, ketangkasan, kepahlawanan dan
lain-lain sifat lelaki.
11
Peranan ayah mendidik tentang sifat-sifat maskulin
seorang anak lelaki.
12
Ramai anak merasa yatim ketiadaan ayah walaupun ayahnya
masih hidup. Ayah menyerahkan pendidikan anak kepada ibu sahaja. Isterinya. Bukan
dirinya.
13
Mainkan peranan ayah seperti yang dinukilkan Allah di
dalam al-Quran. Ambil semangat Rasulallah, Nabi Ibrahim, Nabi Yaakub, Lukman
al-Hakim dan Imron.
14
Nasab anak adalah kepada ayahnya. Kerana itu ia akan
dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.
15
Ambil iktibar dari diri Rasulallah. Baginda anak yatim
tetapi dibesarkan oleh datuk dan pamannya. Kerana itu sifat ayah menebal dalam
diri baginda.
16
Generasi sahabat dalah generasi gemilang kerana mereka
menjadi ayah yang mendidik anak-anak berhadapan dengan segala maslahah umat
ketika itu.
17
Terdapat 17 dialog pendidikan di dalam al-Quran. 14 daripadanya
antara anak dan ayahnya. Tanggungjawab ini memberi nisbah 14 ayah: 3 ibu. Tanggungjawab
ibu tidak sampai 20%.
18
Ibu madrasah utama anak-anak. Ayah menjadi mudirnya. Kedua-duanya
memainkan peranan besar dalam mendidik anak.
19
Ayah dan ibu bak sayap seorang anak. Ia perlukan
kedua-dua sayap untuk terbang tinggi. Untuk berbakti kepada yang memerlukan
terutama kedua ayah dan ibunya.
20
Ibu mendidik dan mengasuh rasa kepekaan. Ayah memberi
makna tentang logik.
21
Ayah mendidik
anak menjadi pemimpin yang tegas. Ibu mendidik anak menjadi pemimpin yang
peduli.
Sekarang kembali kepada persoalan di atas. Siapa
yang sebenarnya bertanggungjawab mendidik anak-anak. Guru atau ibu ayah? Apabila
sudah ada kesedaran yang sewajarnya, mainkanlah peranan mengikut kewajarannya. Anak-anak
adalah cerminan ibu dan ayahnya. Apa-apa yang berkaitan dengan anak-anak akan
dinisbahkan kepada ayahnya dahulu sebelum ditanya siapa ibunya.