Kita di Malaysia cukup cekal apabila merayakan hari
raya. Tidak mengira penat. Tidak mengira sulit. Tidak mengira tenaga yang perlu
dipergunakan. Wang dan ringgit tidak dikira juga. Melepaskan kegembiraan kerana
menyudahkan puasa Ramadhan selama sebulan. Kita menjadi lupa antara tuntutan
agama dengan tuntutan adat. Antara kebiasaan dengan menjadi biasa-biasa. Apabila kita imbas kembali, hari raya eid
al-fitri hanyalah sehari sahaja. Sewajarnya begitu sebab kita ada tuntutan
tambahan yang sangat besar. Perlu pula disegerakan. Tetapi oleh kerana kita tenggelam
dengan adat beradat maka ianya selalu terkebelakang dari segi keutamaan. Kita habiskan
masa dengan makan dan makan. Siang dan malam kita makan dan makan. Seolah-olahnya
pula bahawa kita seperti mendendami Ramadhan selama sebulan yang lalu. Kita terasa
seperti didera untuk berpuasa. Tidak merasakan ianya tuntutan yang penuh
keikhlasan. Dengan tulus kerana taat kepada Allah.
Berpuasa untuk selama enam hari dalam bulan Syawal
selalu kita tangguh-tangguhkan. Kita selalu beranggapan bahawa kita ada masa
sebulan. 30 hari. Suatu pemikiran yang sangat keliru. Sangat singkat akal. Fikirkan:
1
Maut datang tiba-tiba sedangkan puasa enam masih belum
tertunai.
2
Sakit menjelma seluruh badan sedangkan puasa enam
belum bermula.
3
Semakin lama semakin banyak kenduri kendara yang perlu
dihadiri sedangkan puasa enam tidak juga ada pemulanya.
4
Itu belum lupa, belum malas, belum bertangguh, belum
lagi gangguan-gangguan yang menghalang sempurnanya puasa enam.
Kita selalu lupa bahawa puasa enam:
1
Pelengkap kepada puasa Ramadhan. Ramadhan tidak cukup?
Cukup, tetapi lebih melimpah ruah dengan tambahan enam hari lagi puasa di bulan
Syawal.
2
Penebus segala kesilapan dan kehilafan di bulan
Ramadhan.
3
Bagi yang qadha’ puasa Ramadhan boleh segera
melakukannya tanpa bertangguh.
Soalah cepu emas:
Kita mencari redha Allah atau lebih untuk memuaskan
tuntutan adat? Tepuk dada tanya iman, kata ustaz. Bukan tanya selera kerana
selera lebih untuk memenuhi tuntutan nafsu.
Orang kampung dahulu kala tidak galak berhari raya
kecuali setelah mereka menyempurnakan puasa enam di bulan Syawal. Pada hari
pertama bulan Syawal memang mereka berhari raya. Habiskan sehari dari pangkal
kampung hingga ke hujung kampung. Kesemuanya sekali. Rumah saudara mara dan
jiran sekampung yang memang rapat kerana persekitarannya begitu. Hari kedua
hingga hari ketujuh mereka berpuasa. Selepas itu mereka beraya semula. Rayalah sepuas-puasnya
kerana Ramadhan sudah disempurnakan. Puasa Syawal juga sudah sempurna. Tinggal hanya
ziarah-menziarahi saudara-mara yang tinggal jauh. Penulis masih ingat kerepek
pisang nipah dua hingga tin. Kuih bangkit hingga bertin-tin. Siapa sahaja yang
datang ziarah pasti dijamu dengan kerepek pisang dan kuih bangkit. Tambah pula
dengan kuih baulu khususnya baulu gulung. Kering dan rangup. Berbulan-bulan
masih enak dimakan. Selera zaman itu.
Kita masih terus-terusan merayakan hari raya hingga
melewati bulan ketiga. Kadang-kadang pada bulan Muharram masih ada lagi jamuan
hari raya. Beriya-iya benar kita memajliskannya. Seolah-olah Ramadhan kita tidak
sempurna tanpa majlis sambutan hari raya. Boleh mungkin kita membuat penilaian
semula adat-beradat kita ini. Kita buat penilaian dari:
1
Aspek agama
2
Aspek ekonomi
3
Aspek produktiviti
4
Aspek sosial
5
Aspek budaya dan tamadun.
Tanpa sedar kita membazir sumber yang terhad, mahal
dan langka. Banyak makanan terbuang khususnya semasa rumah terbuka. Katerer kadang-kadang
tidak memenuhi kualiti yang diharapkan. Makanan banyak yang tidak enak. Kurang rasa
di sana sini. Akhirnya terbuang. Maknanya wang untuk membayarnya terbuang. Makanan
yang sudah dibayar terbuang. Yang datang berkunjung belum tentu berpuashati. Pembaziran
yang dilarang agama. Murka Allah tetapi syaitan gelak ketawa. Kenapa tidak
disimpan wang untuk keperluan yang lebih baik. Derma dan sedekah umpamanya. Ramai
yang memerlukan di luar sana.
Bagaimana dengan ekonomi. Kita semua bukan kaya. Bukan
banyak wang. Bukan banyak harta melimpah ruah. Orang lain mengadakan rumah
terbuka ada yang menaja, kita pula beriya-iya mengadakannya walaupun wang yang
dimiliki tidak seberapa. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini kita perlu
lebih beringat. Lebih menabung untuk ketidaktentuan pada masa hadapan. Mengelak
dari membeli dengan harga yang tinggi. Kurang terkena cukai itu dan ini. Berjimat
seberapa yang mampu. Cukuplah beraya ala kadar. Tuntutan berhari raya tidak
seperti tuntutan yang lebih besar di bulan Ramadhan. Lebih baik lagi memberi
makan mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan. Sangat besar ganjarannya.
Apabila kita berhari raya sekehendak hati, kita lupa
tentang tuntutan produktiviti. Sewajarnya kita berhabis untuk Ramadhan. Pada bulan
Syawal kita berhemat-cermat. Berbelanja secara prudent. Bukan membazir. Apabila
kita banyak makan dan minum, kita menjadi letih. Tubuh badan kita bukan tong
sampah yang tiada hadnya. Kita lupa pesana supaya berhenti makan sebelum
kenyang. Prinsip orang yang beragama. Prinsip orang alim. Tuntutan agama. Amalan
Rasulallah. Badan lesu kerana banyak makan. Mengantuk dan mungkin banyak tidur.
Kerja banyak terbengkalai. Ramadhan yang mengajar kita menambah taqwa lebur kerana
mengikut kata hati di bulan Syawal. Puasa enam yang disempurnakan awal tentu
boleh mengurangkan kadar rendah produktiviti di bulan Syawal.
Kadang-kadang kita lupa aspek sosial yang seharusnya
mengikut tuntutan syar’iyyah. Bayangkan kita bercampur-gaul dengan mereka yang
bukan mahram. Bergurau-senda hingga tidak menjaga batas. Pakaian pula masih ada
yang tidak menutup aurat. Yang jarang dan ketat tidak terkira. Bersalam-salaman
dengan sesiapa sahaja yang bukan hak. Adat yang tidak mengenal halal dan haram
tentulah elok dielakkan. Mereka yang memahami agama menjadi lemas dengan
keadaan. Hari raya lebih banyak hal-hal yang bercanggah dengan agama. Madrasah Ramadhan
ke mana perginya? Keinsafan yang seperlunya di bulan Syawal hilang entah ke
mana.
Orang Melayu telah lama berbudaya Islam. Banyak yang
islamik dari yang bukan. Sudah sampai masanya kita membuat penilaian semula. Bina
semula tamadun Islam melalui sambutan dan majlis hari raya. Pilih adat yang
selari dengan Islam. Pilih yang membina agama. Rezeki kita biarlah diberkati
Allah. Kita hidup keranaNya dan mudah-mudahan mati kita keranaNya juga. In sya
Allah.