Sunday, December 2, 2012

Makan Di Luar Rumah: Impak Sampingannya


Makanlah selagi larat. Selagi belum kenyang. Selagi selera memuncak. Selagi kecur air liur. Selagi masa mengizinkan. Kita makan dari pagi hingga ke pagi esoknya. Manusia belajar menjadualkan waktu mereka makan. Kita dapati ada keselarian antara agama. Antara bangsa. Antara negara. Antara budaya. Kita sarapan waktu pagi. Minum pagi antara sarapan dan makan tengahari. Makan tengahari sewaktu rehat antara waktu kerja. Minum petang. Makan malam. Ada sedikit variasi antara bangsa-bangsa di dunia. Ia melibatkan kuantiti dan kualiti. Pengaruh iklim, suhu dan kelembapan udara. Keperluan hidup yang berbeza. Barangkali kita boleh belajar dari bangsa-bangsa yang bertamadun. Bangsa yang pada persepsi kita lebih maju. Lebih terkehadapan berbanding kita. Mengambil yang baik asalkan tidak menyalahi syara’.

Orang putih tidak makan nasi. Orang Afrika juga tidak makan nasi. Orang Amerika Selatan tidak juga makan nasi.  Antara mereka orang putih lebih maju. Makanan bukan penentu hakiki kemajuan mereka. Orang Asia semuanya makan nasi. Tetapi kita dapati orang Jepun, Korea dan Cina mungkin lebih maju berbanding dengan yang lain. Selepas Perang Dunia II orang Jepun mengubah pemakanan mereka. Nasi bukan lagi yang paling utama. Mereka makan daging dan minum susu. Susi mereka menebar ke seluruh dunia. Digilai dan ditagih di mana-mana. Saiz mereka bertambah besar. Keupayaan minda mereka juga bertambah. Kreativiti dan innovasi mereka menyerlah dalam produk-produk mereka. Lihatlah Toshiba dengan kecanggihannya. Toyota dengan kenderaannya. Berbagai-bagai produk yang tinggi kualitinya. Tolehlah ke Korea. Samsung ada di mana-mana. Menyaingi apa sahaja yang dibuat orang putih.

Diet atau pemakanan pastinya ada kaitan dengan  ketamadunan yang dibina bangsa. Orang keturunan Sam. Anak Nabi Nuh yang merentas dari India, ke Timur Tengah dan akhirnya ke Barat mempunyai ciri yang makan bergantung sangat kepada nasi. Mereka bergantung kepada gandum, daging dan susu. Tubuh badan mereka besar dan tinggi. Iklim barangkali mempengaruhi pencapaian lain. Orang Barat lebih maju kerana mereka lebih menekuni periuk nasi mereka dengan memba kerja, membuat penyelidikan dan sentiasa ingin berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding dengan orang lain. Fall, winter dan spring adalah musim-musim mereka bekerja. Musim summer barulah mereka berehat, berhibur, bersantai-santaian.mereka yang berada di bawah iklim panas didapati kecundang dengan kepanasan. Maka pendingin hawa dicipta untuk menyelesaikan isu panas. Mungkin jalan penyelesaian semasa yang diperakui berhasil. Di bawah suhu yang terkawal manusia menjadi lebih produktif. Wallahu ‘alam.

Banyak yang boleh diperkatakan tentang makanan. Sarapan kita menunya tidak banyak berubah dari dahulu hingga sekarang. Nasi lemak, bihun goreng, mi goreng, lontong, soto, mi rebus, nasi putih,nasi kerabu, nasi dagang,  roti canai dan kuih muih. Kabohidrat memanjang. Masa sarapan pula banyak variasi. Ada yang awal dan ada  yang lewat. Malah ramai yang tidak sarapan. Terus sahaja makan tengahari.  Minum pagi kadang-kadang adalah waktu sarapan yang sebenarnya. Sarapan yang sewajarnya sebelum memulakan kerja diambil pada waktu kerja. Dua dalam satu. Sarapan dan minum pagi. Makan tengahari selalunya nasi sebanyak-banyaknya. Lauk dan sayur menggunung. Waktunya banyak variasi. Ada yang seawal pukul 11.00 pagi. Selepas pukul dua masih ada yang makan. Kerja? Jadualnya tidak menentu. Seksa pelanggan menunggu.

Kita sarapan sangat sedikit. Seperti tidak kenyang. Tidak biasa makan awal pagi. Kesilapan  besar. Dari segi pemakanan sarapan harus yang utama. Kenyangkan perut. Bekalan tenaga hingga petang. Makan tengahari kurang kuantitnya berbanding sarapan. Kualitinya yang lebih tinggi. Makan petang bagi bangsa yang maju ialah sebelum solat Maghrib. Selepas maghrib mereka masih bertahan. Tenaga masih banyak. Segar. Orang Melayu khsusunya sarapannya berat tetapi banyak kaerbohidrat. Lepas sarapan sudah terasa mengantuk. Tengahari karbohidrat lagi. Makan berpinggan-pinggan. Lepas makan mengantuk lagi. Makan malam kita selepas Isya’. Lepas makan memang mengantuk. Bila masanya kita menjadi manusia produktif. Inovatif. kreatif. Tenaga kita hilang selepas makan.  Bukan bertambah. Jadual makan kita menyalahi keperluan metabolism tubuh badan kita. Di kampung pula kenduri tahlil selepas waktu Isya’. Makan pukul 11.00. aduhai.

Agaknya baik jika kita membuat banyak perubahan tentang tabiat makan. Menunya yang memberi tenaga. Sarapan dengan roti, susu (bukan teh atau kopi atau nescafe atau horlik atau milo). Telur dan kentang. Jus dan buah. Tengahari dengan jus. Sandwich. Buah. Petang makan yang ringan-ringan. Sedikit dengan jus dan buah. Kuih barangkali. Atau sayur. Elak minyak. Elak lemak. Elak yang banyak membawa penyakit. Bila kita masak di rumah, kita yang menetukannya. Belajar dari piramid makanan. Pilih dan utakmakan yang berkhasiat berbanding dengan yang sedap. Sedap tetapi banyak mudaratnya.

Bukankah makan di luar banyak negatifnya. Waktu kita makan, rumah kita terdedah kselamatannya. Ketika itulah banyak orang memecah masuk. Apatah lagi jika rutin kita makan di luar dengan jadual yang tetap. Orang memerhati pergerakan kita. Itu belum lagi ancaman keselamatan jalanraya. Pastikan, bila meletak kereta hrndaklah bersebelahan dengan tempat makan. Jangan melintas jalan. Anak-anak dalam bahaya. Mereka tiada pertimbangan kewarasan untuk melintas dengan selamat. Ibu bapa yang menetukan keselamatan mereka. Buatlah penyelidikan. Selamatkah kedai makan yang dikunjungi itu. Persekitarannya. Penyediaan makanannya. Selalu beringat dengan halal, suci, bersih dan manfaat makanan itu. Bukan sedap dan bukan harganya murah. bukan juga kerana disukai orang lain.

Berapa banyak waktu terbuang hanya kerana makan di luar. Persiapan berpakaian. Perjalanan pergi dan balik. Masa membuat pesanan. Waktu makan yang tidak perlu tergopoh gapah. Menu yang penuh minyak. Perasa makanan. Tambahan-tambahan perasa yang baik entah tidak. Semasa di kedai atau diwarung ahli keluarga ramai yang tidak berkomunikasi. Selepas menyebut makanan yang diingini masing-masing kembali dengan hal peribadi. Bapa bertelefon dengan rakannya. Si ibu berceloteh entah apa menggunakan telefon. Ada anak lelaki sibuk sms. Yang perempuan mendengar lagu. Yang lain mengoyang badan melayani muzik yang melekat di telinga. Makan di luar bukan quality time. Dari segi psikologi ianya a waste of time.

Jika satu keluarga memasak di rumah rasanya masa yang diambil lebih pantas. Makannya bersama. Keakraban antara ahli keluarga dipupuk sepanjang masa.  Tetapi semuanya hendaklah dimulakan sewaktu baru mula berumahtangga. Anak-anak dilatih sejak dari kecil lagi. Membantu apa yang boleh. Setakat mengambil sayur di peti ais bukan membebankan anak=anak yang kecil. Belajar menghindar makan di luar. Banyak menjimatkan dari segi kos, masa dan tenaga. Di rumah suasana boleh dicipta. Ibu yang menjadi raja dapur kenalah bijak menghias dapur. Makanan dihias berwarna warni. Menunya ditukar mengikut jadual. Perkenal menu baru dari masa ke semasa. Tidak perlu kursus profesional. Pelbagaikan bahan memasak sudah cukup memberi impak yang berbeza. Cubalah. Air tangan ibu penambat kasih suami dan anak-anak.

Satu hal yang saya pelajari dari arwah nenek dan ibu saya ialah memasak mestilah ada sifat tulus dan ikhlas.  Memasak itu dijiwai. Arwah nenek saya memasak nasi menggunakan air gambut yang merah. Bila dimakan sedapnya tidak terkira. Garam, asam, gula, cuka atau kicap bukan ada sukatan. Bubuh secukup rasa. Secukup warna. Main campak-campak sahaja. Enaknya menambah selera. Semua yang ada di sekeliling kita hendaklah diharmonikan. Kita menjadi kondukturnya. Maknanya kitalah yang memainkan peranan itu. Olahan pada kita. Garapan pada kita. Natijahnya pada kita. Enak makanan itu dari dalam. Memasak bukan susah. Banyak hal lain yang lebih susah. Untuk perut sendiri apa salahnya mengambil sedikit usaha. InsyaAllah banyak manfaatnya.