Tuesday, October 2, 2018

Generasi Yang Hilang




Generasi hari ini tentunya lahir natijah dari usaha generasi terdahulu. Siapalah bapa mereka ditentukan oleh generasi terdahulu. Siapalah ibu mereka tentu juga hasil generasi terdahulu. Mereka dibentuk oleh sistem bernegara sejak kita merdeka pada tahun 1957. Yang kita bentuk dengan berbagai strategi. Dengan falsafah yang dihasratkan membina warganegara yang berstatus tinggi. World class mungkin seperti yang selalu dicanangkan keliling alam. Namun kita melahirkan generasi yang terkebelakang dari segi reformasi diri. Dari segi moral dan etika. Dari segi teknologi. Malah di mana sebenarnya kedudukan kita dari segi politik. Mereka yang bukan Melayu semakin bersatu. Semakin menyatu. Semakin berarah tuju yang sama. Semakin tinggi menggapai kuasa politik negara. Menggenggam kuasa ekonomi negara. Di mana kita? Di mana? Kita terbang tidak tinggi. Berjalan tidak jauh. Berlari sekadar seperti anak-anak. Apa yang kita hidangkan? Kejayaan apa?

Di sana sini kita dihidangkan dengan LGBT. Dengan pluralism. Dengan liberalism. Dengan mereka yang Atheis. Dari mana mereka lahir? Mereka adalah anak-anak pasca merdeka. Pasca merdeka apabila kita sudah bukan lagi dijajah. Pasca ketika kita mengurus sendiri negara tercint aini. Semasa kuasa hampir mutlak di tangan kita. Malangnya nilai genersai semakin merudum. Prestasi kebanyakan aspek kehidupan kita jauh di belakang. Siapa kita? Lahir selepas merdeka. Kita menjadi anak subsidi. Anak manja yang menjaja kasih tetapi kuasa yang ada dikikis dari masa ke semasa. Siapa yang mengikisnya? Tangan saudara mara kita. Saudara yang disepakati diberi kuasa untuk benar-benar membebaskan kita dari dijajah.  

1                     Dari jajahan budaya.
2                     Dari jajahan minda.
3                     Dari jajahan sikap.
4                     Dari lemah semangat.
5                     Dari perasaan  rendah diri. inferiority complex.
6                     Dari banyak meminta dan kurang menyumbang.
7                     Dari berfikirtan jumud
8                     Dari bodoh sombong.

Siapa kita hari ini bukan datang seperti mee segera. Kita lahir mempamerkan siapa ibu dan bapa kita. Siapa datuk dan nenek kita. Kita merealisasikan hasrat generasai ibu dan bapa kita. Ibu dan bapa kita yang menyediakan kita untuk hidup dalam zaman ini. Mereka yang melahirkan kita. Yang membesarkan kita. Yang mendidik kita. Siapa kita adalah mereka. Watak kita mereka yang corakkan. Akhlak kita ciptaan mereka. Jadinya kita memenuhi hasrat mereka. Masih ingatkah gagasan Melayu Baru? Masih ingatkah gagasan sedikit ‘kurang ajar’ tidak mengapa? Sekarang lahirlah Melayu jenis itu. Malangnya  tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab melahirkan Melayu jenis itu. Maka kita hanya mampu  memerhati. Mungkin tega memperli. Memperlekeh mereka. Punca dari mana mereka datang tidak diambilkira. Tidak ditelusuri. Kita hanya melihat produk yang ada yang tidak seindah dipandang mata. Tidak sedap didengar telinga. Tidak pantas dipanggil ketua. Jauh sekali dari sifat memimpin.

Ke mana Melayu hendak dibawa. Ke mana arah tuju kita. Sesudah 60 tahun kita merdeka, kita seolah-olah tidak mampu mencari arah yang benar. Arah yang lurus. Arah yang membawa kita senang di dunia dan senang di akhirat. Dalam era kita ini maksiat berleluasa. Ulamak dipandang sebelah mata. Nasihat bak lalu di daun keladi. Apakah kita semua bestari belaka? Masih ingat cerita The City of Troy? Dimusnahkan Allah kerana kebejatan yang melampaui sifat manusia.  Adakah Palu di Meluku contoh terkini. Penuh dengan LGBT. Penuh khurafat. Sesuatu yang menentang akidah. Begitu zaman yang di penghujung ini. Autoriti agama sudah tidak dipertimbangkan nasihatnya. Mungkin kedudukan dan kekayaan menjadi rujukan utama. Agama bukan lagi menjadi keutamaan.

Benarkah ini zaman yang berada di penghujung? Mereka yang tidak arif menjadi pemimpin. Mereka yang tidak layak memimpin. Mereka diangkat menjadi pemimpin. Ada yang benar di kalangan yang memimpin. Tetapi ramai benar yang tersasar dari kepimpinan yang membawa ke syurga. Mereka sesat agama. Menyesatkan pula orang lain. Hanya penuh drama di dunia sahaja. Mereka tidak melindungi. Tidak memberi perlindungan. Norma-norma luhur sudah hilang entah ke mana. Sebaliknya kita dibebani dengan hal-hal yang tidak menyumbang sebagai ibadah.  Membantu menambah iman. Yang membawa kita ke jalan lurus. Aduhailah malang bangsa yang tenggelam punca. Apa lagi yang belum dicuba. Kesemuanya bereksperimen mencari teraba-raba. Apabila hilang kebijaksanaan maka kita kekal di bawah paras tidak pandai berupaya. Kekal hanya memandai-mandai.

Bila agaknya kewarasan kita kembali? Kebijaksanaan menjelmakan diri. Mereaslissi aspirasi indah memerintah dengan kuasa sebenar. Mencerna kemerdekaan yang benar diidam. Hidup beragama yang syumul sifatnya. Mencari sejahtera yang membahagiakan. Mencapai jiwa yang tenang.   Untuk kembali kepadaNya dalam keadaan redha dan diredhai.