Berkawan biar seribu. Berkasih biar satu. Janji diikat. Rindu disukat. Airmata payah pula disekat-sekat. Hati di dalam selalu dihambat kerinduan yang amat sangat. Malam dan siangnya hanya bayangan wajah. Sayu dan hiba. Cinta yang mendalam. Menusuk di qalbu. Saban hari hanya terkenang. Saban malam menjadi mimpi-mimpi indah yang menghilang bila siang menjelang. Dari jauh diutus sayang. Waktu dekat mengusung harapan yang tinggi menggunung. Masa dan detik-detik yang berlalu menghitung datangnya hari yang indah. Hari cahaya bergemerlapan. Hari yang serinya berlaga dengann asap di dapur. Asam garam penyedap hidangan untuk jamuan yang meriah. Sanak saudara dan sahabat handai bertingkah suara dan suap di mulut. Sama-sama meraikan raja sehari. Hari berseri raja sehari. Aduhai! Bila agaknya.
Bayangan itu selalu diharapkan. Datanglah segera untuk mengisi segala keksongan. Memenuhi ruang-ruang kosong dalam hati yang selalu sunyi. Rinduku rindumu. Kita sulam bersulam menganyam sayang. Di bawah lindungan bulan purnama kan kubisikan kata hati. Nada cinta yang selalu dipendam di dalam diri. Datanglah harinya. Ke marilah segala harapan yang selalu kunanti. Jejak jejak itu tidak semuanya kesampaian. Rindu yang hanya tergantung di awang-awangan. Harapan yang melayang terbang membawa semua yang dahulunya dekat mendatang. Mentari tidak selalunya cerah. Ada mendung yang menutup cahaya. Ada hujan yang membasahi panas. Ada angin yang menghembus deras. Ada gelombang yang membadai pantai. Anak sungai lagikan berubah, ini pula hati orang. Suratan yang datang tanpa diundang. Ditepis tetap mendekam. Datang dam payah dinyah pergi. Ketentuan dari Allah jua.
Fitrahnya begitu. Dalam apapun ada pasangannya. Pada hujung tahun begini ramai yang ke jinjang pelamin. Yang melayari bahtera bahagia dengann pilihan hati. Gendang dan kompang. Irama dan lagu. Rima cinta yang bersambut. Mahligai bahagia yang terbina. Renjis-renjis dipilis. Senyum dan tawa memanjang. Orang di sebelah tentulah orang disayang. Yang akan didampingi untuk seluruh hidupmu. Untuk membina rangkaian zuriat yang nantinya melapangkan dada. Menyebar ke seluruh alam untuk memberi khidmat. Memberi bakti. Memberi manfaat kepada manusia lain. Itulah manifestasi cinta dua sejoli. Termetri menceriakan sesiapa yang dekat dan jauh. Indahnya untaian kata yang dipadu. Usia bersama yang akan dihabiskan membina segala keindahan. Merentas alam bahagia bersama.
Rasanya berat. Sangat mencengkam. Kepala terasa terikat. Sarat dengann saraf yang tegang. Tidur dan jaga sudah tidak lagi menjadi isu. Makan dan minum bukan lagi perlu difikir. Badai harapan yang menghempas sukma rindu. Jauh memecah kehampaan yang berkecai bak ombak ke pantai. Hanya buih-buih kosong yang pecah ditiup angin pantai. Yang datang dan datang. Badai yang terus datang tanpa henti. Menghempas dan menghempas. Lemasnya hati yang patah. Sayap yang parah. Harapan yang melarah. Rindu yang tidak akan terubat. Sayang yang tidak akan terikat. Rindu yang tidak mungkin kesampaian. Ikatan kasih yang terlerai. Badai datang menjengah sampai. Ikatan yang dulunya kejap terungkai berjurai. Lerai dari ikatan yang tidak pernah di meterai. Hanya kata hati dan harapan semata. Tidak pernah ada tanda benar atas kekuatannya. Harapan yang terus diharap. Lemas dalam penantian. Lalu masing-masing mencari nafas mengejar yang pasti. Ikatan harapan yang menyambung suka duka hidup. Membina harapan baru. Kelangsungan sebuah cinta. Tidak dua dan tidak tiga.
Lalu kasih yang dibelai menjadi layu. Sayang yang disemai menjadi kaku. Cinta yang hanya bersemi sementara. Badai datang meleraikan kasih yang yang tidak pernah utuh. Hanya bibir yang mengungkapkannya. Tidak mengalir ke dalam dada. Tidak abadi. Mencuka juga akhirnya. Lamunan yang menjadikan diri terjaga. Dinihari cinta yang mencerah dan hilang dipanah cahaya mentari. Hilang bak embun di hujung rumput. Kabus yang hanya menghilang sementara menanti cahaya. Berterbangan bersama bayu pagi yang dingin. Kaku. Kelu. Sebu. Luntur bersama masa berlalu. Hilang bak bulan yang disinari cahaya mentari. Ada tetapi tiada siapa yang sudi melihat. Tidak mungkin ada yang akan menatapnya. Serinya hilang begitu. Hanya berbalam-balam seperti tiada lagi. Begitulah suatu episod cinta yang tidak kesampaian. Cinta yang tidak berpanjangan. Sayang yang tidak ke penghujungan. Setia yang tiada kelestariannya. Semuanya patah di dahan. Luruh di ranting. Berlopak di jalanan. Jerlus hilang tenggelam dalam kesepian yang tidak pernah diundang.
Benarlah cintakan manusia itu fitrah. Memang Allah menciptakan Adam dan Hawa untuk berkasih-kasihan. Membina mawaddah. Melestarikan zuriat manusia hingga ke akhir zaman. Namun hakikatnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Manusia merancang. Allah juga merancang. Sesungguhnya perancangan Allah jua yang mengatasi segala perancangan. Allah Maha Mengetahui. Perancangannya adalah yang Maha Adil untuk manusia. Hanya jika manusia mengetahui hikmahnya. Hanya redho menjadi pengubatnya. Yang berupaya meredakan gejolak hati. Bahawa anugerah Allah itu bukan dapat dikenal pada suratanNya sahaja. Yang tersirat perlu dihayati. Allah pasti memberi yang terbaik untuk sesiapapun. Yang pentingnya maklum dan tahu perancangan Allah. Semuanya dari Allah. Kita sekadar hambanya. Hamba yang seharusnya redha. Selalu bersangka baik terhadap Allah. Percayalah, ada hikmah di sebalik sesuatu yang kita anggap sebagai musibah. Allah akan menggantikan dengann yang pasti lebih baik jika redha ada dalam hati. Serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui.
Cinta bukan sesuatu yang abadi sifatnya kecuali cintakan Allah dan RasulNya. Sayang bukan abadi kecuali sayangkan Allah dan RasulNya. Seluruh hidup kita hanya milik Allah. Sesungguhnya cintakan Allah mengatasi segala-galanya. Kitalah hamba yang selalu didambakan kehambaannya. Serahkan kepadaNya apa-apa yang terbaik untuk kita. Pastilah, Allah tidak akan membebankan kita tanpa dapat kita menanggung beban itu. Ingatlah, kita dianugerahkan akal dan fikiran. Pergunakanlah ia untuk Allah. Demi Allah. Cinta terhadap Allah mengatasi segala-galanya. Cintakan manusia tidak seharusnya melindungi kita dari mengharap cinta Allah. Dari mengharap keredhaanNya. Dari maghfirahNya. Allahuakbar! Demi nyawa kita yang ada di tanganNya kita tidak sunyi dari ujianNya. Ujian itulah yang mendewasakan kita. Yang mematangkan kita. Yang memartabatkan kita. Sesungguhnya seluruh kehidupan bergantung harap kepadaNya.
Cinta itu datang dan pergi. Sayang itu datang dan pergi. Kasih itu datang dan pergi. Kecintaan terhadap manusia sekadar sesuatu yaag sementara. Kebanyakan masa kita menyimpannya di dalam hati. Dalam perasaan. Dalam sanubari. Dalam qalbu. Anugerah Allah itu indah tetapi tidka semuanya abadi. Ia datang dan pergi. Bersilih ganti. Redhalah. Yang redha akan merasa nikmat perpisahan. Tentu ada hikmahnya. Tidak semua yang kita sayangi akan kita miliki. Tidak semua mimpi itu menadi kenyataan. Tidak semua cinta merealisasikan keindahan rumahtangga dan berkeluarga. Halangan Allah itu amat halus. Manusia biasa tidak mungkin dapat melihatnya dengann mata hati. Kita merancang dan Allah tetap merancang. Namun peancangan Allah tetap unggul melewati perancangan kita sebagai manusia daif. Hamba yang lemah. Hanya iman kita yang mengenalnya. Kecintaan kepada Allah akan mengatasi segala-galanya. Percayalah! Berkomunikasilah kepada Allah. Bermunajatlah kepadaNya. Berdialoglah kepadaNya. Bentangkanlah isi hatimu. Mohonlah segala kebaikan. Hikmah di sebalik yang namanya musibah. Sesungguhnya cintakan Allah dan RasulNya adalah lebih abadi. Mengatasi segala kecintaan yang ada di alam maya ini. Sejak dari Adam dan Hawa lagi.
Yang terputus hanya tali hati. Tali kasih yang simpulnya tidak kejap. Manik dan mutiara yang bertaburan. Hanya kelip-kelip yang tidak dapat diuntaikan. Tali sayang yang terurai dalam diam. Tali cinta yang terlerai kerana tiada izinNya. Sesungguhnya Allah memberikan yang terbaik untuk diri kita. Allah Maha Tahu tentang kekuatan dan kelemahan diri kita. Cubaan Allah adalah untu menguatkan kita. Memperkasakan peribadi kita. Menyempurnakan akhlak kita. Segala puji bagi Allah seru sekalian alam. Selagi tali nyawa itu masih ada, cintailah Allah dan RasulNya. Pasti kau tidak akan pernah kecewa. Tiada terbanding cinta abadi itu. Jalan ke akhirat yang lurus dan pasti. Abadikanlah cintamu kepadaNya. InsyaAllah abadi.