Pernah membaca kisah Umar Abdul Aziz? Belum?
Dapatkan buku mengenai kisahnya dengan segera. Terutamanya pemimpin. Contohi
peribadinya. Seorang Khalifah Maawiyah. Menjadi khalifah kira-kira selama lebih
sedikit tiga tahun. Namun wilayah Islam ketika itu sangat makmur menjadi baldatun
toyyibatun ghafur. Umar bukan sahaja dihormati manusia. Bahkan serigala tidak
memakan kambing. Serigala yang terkenal dengan ganas dan liarnya tunduk hormat
kepada Umar Abdul Aziz. Pembaca bersama penulis? Apa iktibarnya? Seorang
pemimpin adalah seorang ketua. Juga seorang imam. Nah imam. Bukan sahaja dalam
solat tetapi dalam semua aspek kehidupan. Apa lebihnya imam? Biasakan. Tetapi
dalam solat, imam yang berada di hadapan dan memimpin jamaah masih boleh ditegur
apabila melakukan kesalahan. Melanggar rukun solat yang perlu ditegur. Salah
bacaan al-Qurannya. Salah rukun qauli. Salah rukun fi’linya. Makmum boleh
menegur imam dengan berhemah. Dengan adab bersolat.
Imam bukan boss. Imam adalah pemimpin. Berada di
hadapan pada kebanyakan masa. Beriringan sebelah menyebelah dengan mereka yang
dipimpinnya pada waktu yang lain. Imam berkebolehan melebihi orang lain yang
dipimpinnya. Dalam semua hal. Bukan ekonomi sahaja. Bukan kejuruteraan sahaja. Bukan
sastera sahaja. Bukan perubatan sahaja. Bahkan imam diletakkan di hadapan
kerana ilmunya yang melebihi orang lain. Sukar hendak mencari pengganti Umar
Abdul Aziz. Pada zamannya tiada orang yang bersedia menerima zakat. Masing-masing
memiliki kelebihan untuk dizakatkan. Maka perbendaharaan negara melimpah ruah kerana
bajet yang berbentuk kurangan. Bukan lebihan. Pendapatan melebihi bajet. Tiada pemborosan.
Tiada ketirisan. Tiada yang menuntut yang bukan-bukan haknya. Hasil negara
bertimbun tanpa ada yang terliur untuk menghabiskannya. Peribada Umar sangat
kukuh tanpa boleh diambil mudah.
Malangnya matinya dalam keadaan terseksa. Racun yang
diminumnya hingga membawa maut. Bukan orang lain tetapi ahli keluarganya
sendiri. Sebagai imam yang hebat dia mengetahui siapa yang meracuninya. Dengan senang
hati dia memaafkannya. Memaafkan musuhnya sendiri. Hatinya sangat besar. Dunia ini
sementara sahaja untuknya. Akhirat yang lebih hakiki itulah yang diingininya. Bersama
Rabbnya itulah hakiki perjalanan sebuah kehidupan. Untuk selama-lamanya di sana.
Sebagai pemimpin ia dilantik. Sebelum itu dibujuk berkali-kali. Jiwanya takut
untuk memimpin. Tanggungjawabnya besar. Akauntabilitinya memberat di bahu. Bukan
sahaja di dunia bahkan di akhirat nanti akan ditanya selengkapnya. Tanpa ada dusta seperti di dunia. Tanpa ada
selindung. Tanpa ada helah untuk beralasan. Umar menerima jawatan kahlifah
dengan berat hati. Ia berjaya tetapi hatinya selalu khuatir akan kemurkaan
Allah.
Jika kita beranalogi, andaikan Umar sebagai puncak
gunung yang tinggi. Menghijau ditinjau dari jauh. Cantik merimbun. Berbunga dan
berbuah sepanjang masa. Manusia, haiwan dan unggas harmoni di puncak itu. Apabila
ditinjau ke bawah, lereng gunung itu juga menghijau. Ekologinya menyatu dengan
kindahan. Dengan kedamaian. Tiada yang kelaparan. Tiada yang tamak haloba. Tiada
yang gelojoh dengan rezeki yang melimpah. Udaranya bersih. Oksigenya memenuhi
segala ruang. Mewangi dan menyegarkan. Menghidupkan. Begitulah juga di kakinya.
Segala tumbuhan subur menjadi. Persekitaran yang kita nikmati ialah kelangsungan
sebuah kehidupan yang tersangat indah. Menjamin iman. Menyinar alam serinya. Seri
Umar Abdul Aziz.
Kenapa tidak ramai antara kita yang mengingat tokoh
besar yang dianggap khalifah kelima mengikut senarainya. Sebaris dengan Abu
Bakar, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali Abi Talib. Antara sumbangannya
yang besar ialah menghimpunkan hadith dalam bentuk tulisan. Didokumenkan. Dibukukan.
Umar sendiri diriwayatkan menghafal kira-kira sejuta
hadith. 1,000,000 hadith. Benar ada angka 1 tetapi ada enam angka 0 selepasnya.
Sebuah hadith bukan pendek matannya. Berjela-jela dari satu keturunan hingga ke
keturunan lain di atasnya. Bertemulah sanadnya hingga Rasulallah. Ia benar
kerana dilihat sendiri. Didengar sendiri. Ataupun mereka bersama Rasulallah pada
sesuatu ketika. Cuba baca buku-buku pengenalan hadith untuk memahami proses
mentakhrij, proses mentarjih. Itu belum lagi mengistinbat hukum.
Umar Abdul Aziz adalah seorang Muslim yang sangat
hebat. Malah ada mereka yang bukan Islam mengkaguminya. Memperakui kehebatannya.
Ingin meneladaninya. Pemimpin adalah bak puncak gunung yang tinggi. Dari puncak
itu ia melihat sekeliling dan ke bawah. Ia menuruni gunung itu untuk melihat realiti
di bawah. Ia naik ke atas untuk mempastikan puncak gunung itu mengawal keadaan.
Puncak yang subur tentu menjadikan lereng dan kakinya subur. Maka dari puncak
itu hingga ke kakinya terhasillah buah dan benih yang subur. Tidak pernah terputus
kelangsungan sebuah kehidupan. Di puncak pepohonnya merimbun. Di lerengnya
melempai. Di kakinya menaungi segala yang perlu dinaungi. Seperti moyangnya
Umar al-Khattab, Umar Abdul Aziz sangat peka terhadap permasalahan rakyat. Bukan
menunggu laporan. Bukan menunggu kertaskerja. Bukan menunggu komen. Bukan menunggu
soalselidik. Ia ke lapangan untuk mendapatkan sendiri data primer yang belum
diolah. Yang belum dihias. Yang belum ada kosmetiknya. Data mentah yang benar
dan penuh kebenaran.
Masih adakah lagi pemimpin yang mencontohi Umar
Abdul Aziz. Pada akhir zaman ini kita banyak dipimpin oleh orang-orang yang
jauh peribadinya dari Umar Abdul aziz. Mungkin seorang professional tetapi tidak
arif tentang agama. Tentang keperluan beragama. Tidak mengetahui proses menyelamatkan
dirinya dari kemurkaan Allah. Tidak dapat pula membantu orang-orang yang
dipimpinnya. Malah dalam sebuah hadith Rasulallah bersabda yang mafhumnya, akan
sampai suatu zaman apabila Allah mematikan ulamak dan mengangkat ilmu ke
langit. Yang tinggal adalah mereka yang sesat dalam ilmu dan menyesatkan pula orang
lain. Pandanglah keliling. Mungkin zaman itu ialah sekarang. Kini. Sekarang ini.
Zaman kita hidup ini.
Sampai masanya kita mencari perlindungan dari musibah
yang lebih besar kerana kita dipimpin oleh orang-orang yang terkebelakang dalam
aspek agama. Ibarat dalam solat, apabila imam melakukan kesilapan yang
melanggar rukun umpamanya, sebagai makmum kita berhak mufaraqah. Bukan bencikan
imam tetapi kita ingin solat kita diterima. Sebab itu makmum juga wajib
mendalami ilmu agama. Jika tidak memimpin sekalipun jadilah makmum yang
berilmu. Tahu perlunya berjamaah. Pada masa yang sama tahu bila perlu mufaraqah.
Keluar dari jemaah. Mungkin kita menyelamatkan agama secara berjamaah. Ada masanya
bersendirian apabila yang lain tidak arif mengenainya. Benarlah belajar itu
dari buaian hingg ke liang lahad. Mudah-mudahan kita bukan mereka yang belajar
ketika ditalqinkan sahaja. Talqinlah diri sebelum ajal menjemput kita.
InsyaAllah Allah membanu kita semua. Melindungi kita dan Allah redha dengan
hidup dan mati kita.