Namanya gah setelah memenangi Bintang RTM tahun 1984. Lagu yang dibawanya Kuda Hitam sangat mengesankan. Lagu asal Hetty Koes Endang itu nyata memberikan tuah kepadanya. Juara lagu 1984 itu ialah Juliza Adzlizan. Orang Pahang. Waktu itu dia baru tamat SPM. Anak dara trang tang tang. Kerana kejayaannya itu kerajaan Pahang membantunya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik. Tempat pilihannya ialah Point Park College di Pittsburgh. Maka sekampunglah saya dengannya.
Di Point Park College ini ramai pelajar Malaysia. Pelajar Melayu. Hampir kesemuanya dengan tanggungan FAMA - father and mother. Sebahagian sahaja yang ditaja seperti Juliza. Lokasinya di Golden Triangle. Betul-betul di kawasan segi tiga pertemuan antara tiga sungai di muara bandraya Pittsburgh. Tempat yang sangat strategik. Downtown Pittsburgh. Right in the heart of the city. Berpuluh-puluh pelajar Melayu berada di situ. Komuniti Melayu di Pittsburgh ketika itu agak besar juga. Bila kami berhimun di Schenly Park nampak ramai juga. Walaupun ramai yang berkeluarga, yang bujang labih ramai lagi. Mendiang Virat Dinrat yang selalu menjadi perantara. Dengan yang bujang dia rapat kerana dia sendiri masih bujang. Dengan yang berkeluarga juga dia rapat kerana dia penjawat awam.
Juliza datang lewat sedikit dari saya. Mungkin seminggu dua. Biasalah untuk keluar negara bukan mudah urusannya. Banyak red tape. Banyak protokol. Banyak prosedur. Banyak urusan-urusan di belakang tabir yang tidak kita ketahui. Yang pasti mesti ada saringan keselamatan. Pasport satu hal. Visa satu hal lain. Berulang-alik ke kedutaan asing bukan boleh sekali dua. Perlukan pertemuan bersemuka. Untuk mempastikan bahawa the person is real. Not a threat to national security.
Rezeki Juliza. Ada orang yang menyediakan tempat tinggal. Menjaganya. Akhirnya mereka bernikah. Sayangnya jodoh mereka tidak panjang. Itu cerita suami pertamanya. Sejak saya kembali ke Malasyia pada tahun 1986 terputus hubungan dengannya. Jika bertemu pasti tidak kenal lagi. Dia mungkin kenal saya kerana perubahan saya tidak banyak. Kata orang yang pernah bersama saya. Kali terakhir saya menemui Julizapun pada tahun 1987 agaknya. Di RTM, Lembah Pantai. Sekarang hanya membaca beritanya sahaja jika ada.
Juliza agak rapat juga dengan isteri saya. Pandai bercerita. Pandai melawak. Cuma yang saya rasa dia antara bintang RTM yang agak malap. Bukan kerana kurang bakat. Tetapi selepas sahaja memenangi pertandingan itu dia terus terbang ke US. Mengejar akademik. Ijazah muzik. Dia tidak mengembangkan bakatnya di Malaysia. Tidak menjadi penyanyi popular. Tidak berada dalam carta mingguan. Wajahnya tidak muncul dalam TV. Suaranya tidak kerap di corong radio. Di akhbar beritanya tiada. Hanya beberapa bulan namanya dipintas dengan kehadiran penyanyi lain. Antaranya Datuk Sheila Majid. Cumanya Juliza memiliki ilmu. Boleh hidup dengan ilmu itu. Kekal jika diamalkan. Jika mengajar orang lain. Jika dimanfaatkan.
Suatu hari dia bersama saya dan keluarga. Sibuklah anak-anak saya. Kuda hitam sudah datang. Orangnya hitam manis. Mungkin lebih putih daripada saya. Manisnya ada. Banyak bual dan ketawa. Jenis ceria. Anak saya yang ketiga bukan main rapat duduk denganaya. Selebriti ketika itu.
Gambar ini pada waktu yang lain. Saya tidak ingat di mana. Mungkin di rumah tempat tinggalnya. Kami pernah dijemput makan di rumahnya.
Benar. Ini di rumah sewa Juliza.
Gambar-gambar seperti ini bercerita peristiwanya sendiri. Cerita lisan banyak tokok tambahnya. Melihat sendiri gambar seperti ini memberikan nilainya yang tersendiri. Siapa kita sebenarnya ketika waktu itu. Transformasi tetap berlaku. Dunia kita dinamik. Kita berpindah dari satu situasi ke satu situasi yang lain. Destinasinya terlalu jauh jika belum sampai. Terlalu dekat bila sudah ditentukan waktunya.
No comments:
Post a Comment