Rezeki diri jika hingga panjang usia. Hingga menjadi warga emas. Menjadi tua. Melepasi usia guna seorang warganegara. Melalui pengalaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan akhirnya tua. Cuba pandang pasangan-pasangan yang mencapai usia begitu. Bila sama-sama tua banyak benar yang tidak selari. Banyak perbezaan pendapat. Kerukunan semasa muda hilang berkecai kerana usia tua mengubah banyak perkara. Pendengaran semakin menjauh. Penglihatan semakin pudar. Sensitiviti semakin tiada. Perasaan tidak lagi peka kepada pasangan. Walaupun makan dan minum masih terjadual. Kekerapan bersama di meja makan semakin berkurangan. Selera masing-msing semakin nampak kelainannya. Kenyang dan lapar tidak menentu. Menantu dan cucu yang bertandang mungkin membuka sedikit kembang di hati. Sinar gembira yang datang sementara.
Dari kecil kita dididik untuk menjadi manusia istimewa. Manusia baik. Banyak aspek kehidupan dan diri kita yang diatur. Setengahnya dimodifikasi kerana ketidakselariannya dengan pembentukan umum. Dari norma kebiasaan. Kesihatan tubuh badan tidak banyak cacat celanya. Bangun tubuh bukan masalah kepada kebayakan orang. Selalunya yang sukar dibentuk ialah sikap dan pembawaan diri. Keceluparan berkata-kata. Hemah yang tidak dijaga. Intonasi suara yang menyinggung. Hujjah yang tidak memikirkan sensitiviti orang lain. Tingkah laku lepas bebas tanpa batas-batas mensabah. Soft skill yang punah. Lemah kemahiran insaniah. Ragam diri yang dilebih-lebih. Orang-orang yang dekat menjadi gusar kerana pergeseran kata-kata yang entah kenapa berlainan setiap masa. Banyak lupa dari ingat.
Ramai benar pasangan warga emas yang hilang sentuhan kasih sayang. Apatah lagi apabila masing-masing mula kehilangan nikmat anggota tubuh badan yang selalu setia berfungsi. Bila seorang hilang deria dengar maka pasangan banyak meninggikan suara. Kesabaran selalu hilang kerana lain diucap lain didengar. Lain yang difaham. Lain pula tindakan. Pasangan yang dulunya intim menjadi banyak tingkah suaranya. Terpaksa banyak menjerit. Itupun berulang kali. Kemahiran berkomunikasi sukar diubah. Sukar ditukar. Sukar menerapkan konsep baru yang berubah. Norm yang dulunya dianggap biasa sudah bukan kebiasaan lagi. Ketiadaaan kemahiran menghadapi hari-hari tua tentu sahaja menggusarkan. Mengakibatkan ketegangan semata. Stressful. Yang mendengar lebih banyak terperanjat dengan kata-kata kasar dan terlalu serunya.
Kita semua akan menghadapi hari-hari sebegitu. Pagi ini kita melihat cermin. Pipi masih tembam. Kulit masih tegang. Stamina masih boleh bertahan. Rambut masih putih. Gigi masih penuh. Telinga, mata, hidung dan anggota yang lain tetap berfungsi seperti fitrahnya. Demi masa perlahan-lahan nanti akan banyak yang hilang nikmatnya. Tanpa disedari segala-galanya pudar. Terhakis dari keindahan bertubuh sasa. Kulit gebu dan tegang yang menyusut menjadi kecut dan berkedut. Berkerumut. Anak muda dan cucu cicit mungkin geli bersentuhan. Orang tua yang lebih kulit dari daging. Tulang temulang yang menunjukkan fizikalnya. Cengkamannya yang semakin melemah. Gapaian yang tidak lagi menjadi. Kekuatan semasa muda dahulu ditarik habis. Masanya sudah sampai dia perlu insaf bahawa masanya sudah hampir tiba. Yang dibawa nanti hanya amal ibadat, amal jariah dan segala kebaikan dirinya sebagai seorang Islam.
Pendengarannya menjadi susut. Nikmat berkomunikasi lenyap ditelan masa. Ditelan usia. Interaksi yang selalu disalah erti. Makna dan maksud sukar sampainya. Hanya yang banyak bersabar sahaja betah berhadapan. Yang lain menjadi takut. Ada pula yang payah hendak ambil peduli. Bercakap kuat bukan semestinya didengar. Dijerit bukan pula caranya. Berbahasa isyarat masing-masing tidak tahu. Mulut sahaja yang bergerak bibir. Mudah-mudahan ada yang membaca geraknya. Mudah sedikit mengerti apa dibicara. Itupun jika berhadapan bersemuka. Ada yang difahami. Jika dari belakang atau sisi maka interaksi dan komunikasi memang tidak menjadi.
Mata semakin pudar. Yang jelas dilihat menjadi samar. Banyak yang perlu dilihat dekat. Kacamata menjadi tebal kantanya. Selaput dan kecacatan retina menghambat usia. Semakin tua semakin kabur. Nikmat melihat yang ditarik hilang. Lidah dan tekak seperti tersumbat. Sempit. Loya. Banyak karenahnya. Ada sahaja idam dan mintanya. Bila ada kesemuanya ditolak kerana tidak mahu masuk ke kerongkongan. Maka banyak laparnya. Maka banyak pula penyakitnya. Maka semakin banyak ragamnya. Tidur tidak menjadi. Berjalan tidak lagi larat. Memandang hilang fokus. Mendengar hanya antara ada dengan tiada. Segalanya hanya menjadi rutin yang tidak biasa. Canggung selalu dirasa. Kekok setiap masa. Masa dulu-dulu yang hilang kesemuanya.
Orang-orang muda seperti kita perlu belajar untuk menjadi tua. Belajar bahawa suatu hari nanti kita pasti tua. Yang tidak mahu kita lakukan ialah mengulangi tingkah laku ibu bapa kita yang tidak indah. Tingkah laku orang-orang tua yang terlalu asing. Kebiasaan yang merungsingkan. Lari dari norm yang biasa. Banyak perkara yang perlu dipelajari. Kebiasaan kita perlu dibangunkan supaya yang menasabah sahaja. Bersederhana dalam banyak hal. Jika ada kelainan sekalipun biarlah yang tidak signifikan. Yang tidak dirasa. Orang mungkin tidak perasan. Belajarlah untuk melentur suara sejak dari muda. Sejak semasa berkasih sayang dengan pasangan. Lembutkan intonasinya. Variasikan pengucapannya. Biarlah yang romantik. Yang melegakan. Mendamaikan. Menyejukkan. Dalam banyak hal orang tua tewas kerana suaranya tidak dikawal. Nilainya merudum kerana gagal mengawal suara. Didengar kasar. Keras. Pentingkan diri. Kelihatan seperti riak dan ujub. Ego yang menyelaputi tuanya.
Kebanyakan orang tua banyak ragamnya. Tetapi jika dikawal sejak dari muda barangkali ragamnya berpada-pada. Mengikut tempat dan masa. Ada rasional yang sepadan dengan ragamnhya itu. Ragam yang boleh diterima akal. Ada kewajarannya. Bukan setiap masa dan tempat. Seorang lelaki banyak cerewetnya sejak dia diserang angih ahmar. Masih boleh berjalan tetapi mulutnya menyakitkan hati isterinya. Suatu hari isterinya meluiahkan rasa terkilannya. “You sakit mulut you tak pernah sakit. Yang you cakap menyakitkan hati I aje! Kalau you boleh banyak bersabar I akan lebih syaangkan you.” Sejak itu si suami banyak mengurangkan ragam. Hinggalah ajalnya tiba kira-kira dua tahun kemudiannya. Kebanyakan pasangan suka melabel pasangannya masing-masing. Tidak puas hati denga layanan pasangan. Rasanya semua layanan terbaik telah diberi. Terima kasih tidak dibiasakan. Redha di hati tidak pernah dilakukan. Yang melayan tenggelam punca.
Biasakanlah bersabar. Orang tua banyak nikmat yang Allah tarik. Hilang kemudaan. Hilang kegagahan. Hilang kewarasan. Kembali bertapak di alam nyata. Bahawa pada usia tua banyak bezanya dengan semasa muda. Yang dulu menjadi pengajaran. Yang sekarang untuk membina sempadan. Yang akan datang diburu supaya memberi ruang terbentang untuk kita mendapat dada berlapang. Bersikap lemah lembut bukan minta dipijak kepala. Lemah lembut yang memesrakan perhubungan. Ikatan kasih sayang yang berpanajangan. Menyenangkan orang yang melayan karenah kita. Sifat suka marah hendakah dibuang. Takut-takut bila tua itu sahaja yang kita tahu. Marah dan marah. Penyelesaian tidak ada. Sukar difikir. Sukar berfikir. Meragam sahaja.
Banyak idea tidak mengapa. Namun jangan paksa orang lain supaya menerima idea kita itu. Jangan suka mengarah nanti orang tidak tahu yang mana keutamaan yang perlu dilaksanakan. Kesabaran mestilah dibentuk. Orang yang sabar banyak faedahnya. Orang di sekeliling tidak ramai yang akan gusar. Pendiam lebih banyak. Gantikan dengan membaca al-Quran, hadith atau membaca buku. Atau berwirid. Bertasbih. Banyak yang boleh dilakukan. Yang pentingnya minda kekal segar. Terbaru. Masih tajam pemikiran. Masih kuat ingatan. Usia tua adalah manifestasi muda kita. Apapun yang tersembunyi semasa muda kemungkinannya diserlahkan semasa tua. Takut benar jika yang dipendam menjadi igauan kerana semasa tua igauan itu menjadi benar. Sama-samalah kita membina sahsiah orang baik-baik. Baik dari muda hingga tua. Menjadi antara mereka yang selalu dikeang baiknya.
Jika semasa mudanya banyak minta maka tuanya lebih banyak pula mintanya. Lebih banyak yang akan diminta. Oleh itu banyak memberi. Kurangkan meminta. Kurangkan marah. Banyakkan sabar. Banyakkan menanti dan menunggu. Banyakkan diam dan kurnagkan banyak bercakap.
Bila menjadi tua, anak-anak hendak berbakti. Jika dicela baktinya, mereka lari. Menantu ingin dekat. Bila dihambat tentu lambat datangnya. Cucu-cucu yang masih kecil menanti penuh harap seorang datuk yang perihatin. Bukan yang sentiasa tidak puas hati. Yang hanya tahu dirinaya sahaja yang perlu diberi perhatian.