Monday, December 9, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Landasan Mana Perginya Kita



Sebelum kedatangan penjajah, Kesultanan Melaka adalah sebuah kerajaan yang besar. Islam tertegak bersama kanun Melaka yang sangat terkenal. Ada kanun Shahbandar bagi mengawal perdagangan antarabangsa. Semuanya dalam tulisan Jawi. Tulisan yang menggabungkan huruf Arab dan huruf Farsi (Iran sekarang). Bahasa dan agama yang sudah mendarah daging selama berkurun-kurun lamanya digelapkan sehingga sekarang ini bahasa Arab bukan bahasa tuntutan. Agama sangat cair di mata dan di hati anak-anak kita. Ramai yang sudah keliru antara tuntutan akhirat dan tuntutan dunia. Tidak tahu mengharmonikan antara keduanya. Kepimpinan kita mengarah dunia dan membawa semuanya menikmati dunia tanpa batas waktu. Tanpa batas laku. Landasan kita sudah terlalu tersasar. Destinasi hidup kita tiada noktah. Seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi tanpa perlukan agama. Landassan yang kita pilih menyimpang jauh. Kawalan sudah hampir tiada.

Apabila penjajah datang bahasa Inggeris diberi nilai ekonomi. Tidak pandai tidak apa asalkan boleh bercakap dalam bahasa Inggeris. Tidak ke IPT tidak mengapa asalkan boleh bekerja dengan Orang Putih. Hidup senang. Ini yang ditekankan. Hidup senang. Jauh dari susah hidup di kampung. Di luar bandar. Jadi peonpun jadilah. Pendapatan tetap setiap bulan. Hujan atau panas kerja berjalan. Gaji diterima pada akhir bulan. Dari bahasa Inggeris kegilaan kita melarat kepada semua yang didatangkan dari “England”. Konotasi yang dikaitkan dengan penjajah. Hanya sekarang kita memilih barangan Jepun atau Korea. Pada tahun 60an kereta Jepun menjadi cebikan sahaja. Dibuat dari tin Milo kata orang. Bagi orang Jepun atau Korea bahasa Inggeris bukan penentu ekonomi mereka. Mereka gagah mempertahankan bahasa mereka sendiri. Bukan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris dipelajari untuk perdagangan antarabangsa dan perhubungan antarabangsa. Cukup setakat itu sahaja.

Nilai akhirat kita terlalu rendah kerana kita lebih memihak kepada Inggeris dan Barat. Kita tahu kelicikan Barat adalah untuk melemahkan kita. Menghilangkan jatidiri kita sebagai umat Islam. Banyak perkara yang melintasi benak penulis.

1                 Kenapa bahasa Arab tidak menjadi bahasa kedua selepas bahasa ibunda kita. Kenapa bahasa Inggeris yang terletak di tempat kedua. Terlalu banyak dikatakan bahawa bahasa Arab adalah bahasa syurga. Bahasa Rasulullah. Bahasa al-Quran. Maknanya mempelajari bahasa selain daripada bahasa Arab hanyalah untuk kegunaan dunia. Cukup. Berhenti setakat itu. Bahasa Arab pula pergi jauh. Dari dunia hingga ke akhirat. Yang ini kita tinggalkan kerana mengejar habuan dunia sahaja.
2                 Tulisan Jawi kita lemahkan. Bukan lagi khazanah  yang menjadi warisan turun temurun. Penulis pernah menulis hal ini. Stanfford Raffles menulis dalam tulisan Jawi semasa berhubung dengan Sultan Husin Shah di Singapura dahulu. Di Temasik secara tepatnya. Pada tahun 1986 penulis masih melihat tulisan Jawi di sebuah kedai di Oxford Street, London. Jalan yang sinonim dengan Harrod. Pusat membeli belah yang terkenal di seluruh dunia. Di Malaysia anak-anak muda hilang kecelikan mereka dalam tulisan Jawi.
3                 Sangat memilukan ialah kita kehilangan keghairhan menghafal al-Quran. Tradisi agama ini kita abaikan. Sewajarnya anak-anak yang berusia 6 hinga 8 tahun sudah hafal al-Quran. Pada usia 10 tahun sudah mahir mengenai ulum al-Quran. Di mana silapnya. Pada usia muda kita ajar anak-anak menyanyi. Berjoget di hadapan TV. Ibu dan bapa pula bertepuk tangan memberi semangat. Menggelincirkan anak itu dari landasan hak. Tidak ramai ibu bapa yang mengetahui bahawa anak-anak yang hafal al-Quran memiliki otak yang cerdas. Jika di sekolah mereka boleh menghafal buku teks. Ingatan mereka kuat. Hafalan mereka mantap.
4                 Penulis merasakan suatu perubahan paradigma perlu dibuat. Kita perlu berbuat sesuatu yang ekstrim seperti di Brunei.
4.1            Asingkan sekolah. Pelajar lelaki di sekolah lain dan pelajar perempuan di sekolah yang lain.
4.2            Aktiviti yang bercampur baur antara lelaki dan wanita hendaklah diberhentikan. Asingkan aktiviti.
4.3            Majlis-majlis yang selalunya mencampurkan lelaki dan wanita hendaklah dikaji semula. Hatta di tempat kenduri kahwin sekalipun pengasingan itu sangat perlu.  Suami dan isteri duduk berasingan. Anak lelaki bersama bapa. Anak perempuan bersama ibunya.
5                 Perlu ada ketegasan mengenai keperluan menutup aurat. Semua wanita Islam hendaklah menutup aurat. Berpakaian yang menutup bentuk tubuh badan. Tiada tempat pakaian seksi kecuali di rumah. Hanya untuk suami sahaja. Suami sahaja dan bukan di luar rumah.
6                 Hiburan kita sudah menjadi hedonmism. TV dan filem sudah melampaui peranannya. Tidak banyak yang mendidik. Yang mentarbiah umat. Yang memberi pengajaran. Rancangan realiti seperti tidak masuk akal. Terlalu banyak juara.  Juara-juara ini dijulang sementara waktu. Paling lama setahun atau dua tahun. Selepas itu juara ini hilang. Hilang seperti buih yang tidak nampak isinya. Dunia realiti yang menghambat pergi hak yang wajar.  

Ibu dan bapa hendaklah kembali memainkan peranan mereka. Mengejar ekonomi yang semakin menghimpit tidak juga cukup-cukup. Masih banyak yang kurang. Tetap kurang. Mulakan aktiviti anak-anak dengan al-Quran. Jika ibu dan bapa kekurangan ilmu al-Quran, carilah guru supaya ibu dan bapa boleh mengajar sendiri anak-anak mereka. Al-Quran banyak barakahnya. InsyaAllah mereka yang dekat dengan al-Quran murah rezekinya. Barakah rezekinya. Sedikit yang mencukupi. Bukan banyak yang tidak pernah cukup. Masih ada peluang. Masih ada masa. Masih ramai yang boleh bantu membantu ke arah agama dan al-Quran.


Penulis tidak dapat mengelak dari memperkatakan bahasa Arab. Orang Mesir bertanya. Anda Muslim tetapi kenapa tidak memahirkan diri dalam bahasa Arab. Bahasa Arab bukan bahasa orang Arab per se. Ia bahasa umat Islam. Bahasa seperti yang tersebut di atas. Kewajarannya untuk dipelajari. Sesama umat Islam kita guna bahasa selain dari bahasa Arab. Sesama Islam tidak berkomunikasi dalam bahasa Arab. Tidak mungkin kita menghambat untuk memutarkan kembali jam waktu. Kembali sebelum dijajah fizikal dan minda kita. Terperangkap dalam tamadun yang terkeluar dari ladasan yang hak. Yang kita hadapai ialah masa hadapan. Masa yang masih ada untuk bertindak positif. Kembali ke landasan. Untuk anak cucu kita yang perlu diselamatkan. Yang perlu dibawa ke jannah. InsyaAllah.