Wednesday, March 9, 2011

Alangkah Lidah Lagi Tergigit


Apa khabar mereka yang baru mendirikan rumahtangga? Barangkali masih dalam berbulan madu. Nikmatilah saat-saat itu kerana mungkin hanya sekali seumur hidup. Jarang orang mengulanginya. Jarang-jarang atau kadang-kadang seperti kata P Ramlee. Mungkin ada yang sudah menimang anak. Cahaya mata kekasih hati. Pengarang jantung. Memang bercahaya sewaktu kecilnya. Setiap kembali dari kerja si comel itu dahulu yang menjadi keutamaan. Yang lain nanti dahulu. Bila sudah puas mengulitinya baru teringat banyak lagi chores yang kena buat. Mudah-mudahan pasangan hidup masing-masing menjadai pasangan yang profesional. Dijauhkan dari pasangan yang dominan. Perintah sahaja maunya. Ada sahaja suruhnya. Kalaulah, kalaulah dapat yang memang professional, hidup tentu lebih banyak bernafas dari sesak selalu. Lebih banyak lega dari kepayahan memanjang.

Cuba ingat kembali sebelum membuat keputusan untuk berumahtanga dahulu. Kenapa nekad untuk menamatkan zaman bujang? Apa sebenarnya yang dijangka dari ikatan bersuami isteri? Is it physical. Or  just follow the trend? Atau lumrah yang datang dari dalam diri. Meronta-ronta minta diisi. Perlukan kehadiran seseorang untuk mendamaikan rasa. Untuk segera didampingi. Untuk disayangi. Untuk dimengerti mintanya. Untuk diketahui kehendaknya. Untuk dikongsi senang dan susahnya. Untuk hati dan perasaan menerawang. Scanning around. Akhirnya hinggap hati pada seseorang. Rasanya ada keserasian. Very compatible. Are you sure? Positive? Benarkah itu pilihan terbaik berbanding pilihan-pilihan lain yang banyak di luar sana?

Begitulah kata hati? Dari mata turun ke hati. Terpaut dengan yang ditunjukkan. Terikat dengan kesesuaiannya. Terasa damai. Aman rasanya di dalam sanubari. Gejolaknya selalu. Berdebar bila bertemu. Rindu mencengkam bila berjauhan. Sms tidak mendamaikan. Telefon berjam-jam tidak boleh menghilang rindu. Bertemu selalu tidak puas mengungkapo  rasa cinta. Tatapan tidak pernah mengudang jemu. Mendamaikan mata. Nasib baik tidak perlu menulis surat cinta lagi. Menukilkan bait-bait curahan hati yang berjela-jela panjangnya. Mungkin dikarang sepanjang malam. Setitik dua air mata membasahinya. Tanda rindu yang bukan kepalang. Dihantar dengan wangian terhidu. Semerbak membawa rindu dari orang jauh. Allah akbar. Rindunya hati ini.

Setelah berumahtangga adakah situasi itu masih ada? Adakah  rindu itu masih membara? Adakah  berjauhan itu memberi rasa rindu? Mudah-mudahan rasa itu masih kuat. Masih kejap. Masih agung. Bak Laila dengan Majnunnya. Bak Romeo dengan Julietnya. Bak Uda dengan Daranya. Bak Zulaika dengan Yusufnya. Itulah sebenarnya yang didoakan sepanjang masa. Itulah yang dihasrat setiap detik. Itulah yang dihajat memanjang masa. Sampai ketua yang kuat mendokong cinta. Yang menebar sayang berpanjangan. Berkongsi kehidupan yang penuh bahagia. Tentunya teori sahaja tidak menyerlahkan manifestasi agung. Yang praktikalnya itu yang dicari. Prosedur kehidupan berdua yang dihajatkan panjangnya. Hingga ke akhir zaman citanya. Senang dan susahnya yang dihadap bersama. Synergy dua orang kekasih yang bersedia mengorbankan apa sahaja demi cinta abadi. Demi kasih ke hujung dunia.

Banyak olahan hidup yang perlu dihadapi. Dalam pengamatan dan pengalaman, pasangan hidup kita  bukan orang yang cirinya sama dengan kita. Cantik itu bukan ukuran. Kadang-kadang bukan isu. Susuk tubuh juga mungkin bukan tarikan. Kelayakan akademik bukan juga dihitung panjang. Kemahiran bukan carian. Dalam banyak hal yang dicari ialah ketenangan. Hanya yang dapat memberi sinar ketenangan itulah yang paling mendamaikan. Kasih sayang yang dapat diadun itulah yang membahagiakan. Pengertian yang terlalu sedikit tetapi pada hakikatnya itulah yang paling payah diterima.  Paling payah diberi. Paling payah dimengerti. Paling payah dicari-cari.

Tidak ada orang yang boleh memahami orang lain sepenuhnya. 100%. Tidak mungkin. Setiap kita tetap ada perbezaan. Ada yang ketara. Ada yang tersembunyi. Lihatlah keliling. Pasangan yang berkekalan lama memiliki ciri-ciri yang bertentangan. Yang seorang becok yang seorang lagi pendiam. Yang seorang ganas yang seorang lembut. Yang seorang panas baran yang seorang banyak sabarnya. Tidak mungkin ada pasangan yang cirinya sama. Hidup mereka akan menjadi sangat menjemukan. Jika dua-dua becok tentu banyak perangnya. Jika dua-dua panas baran tentu selalu meletup gunung berapi. Allah mentukan fitrahnya begitu. Yang berlawanan itu yang serasi. Yang sama sukar hidupnya. Bak besi berani unlike pole attracts. Like pole repels.

Oleh kerana manusia memang berbeza ada dua persepri yang dapat kita bina. Menerima atau menolak. Jika keputusan ini diambil sebelum berumahtangga maka terhindarlah jangkaan pergeseran yang mungkin berlaku. Terelak dari berperanag dengan psangan. Tidak timbul kesulitan. Belum masuk dalam alam yang nanti memayahkan. Bagaimana jika sudah berumahtangga? Tentu tidak mungkin mengundur ke belakang? Waktu tidak boleh diputar kembali. This is crucial. You have to move forward. Never abstain either. Menjadi tanggungjawab untuk menegakkan haluan bersama. Biduk di laut pastinya beroleng. Arus air kadang-kadang deras juga. Boleh mengubah haluan. Apatah lagi ombak besar. Apatah lagi ribut kuat yang melanda. Jurumudi kenalah mereka yang kuat pegangnya. Yang kuat berdirinya. Yang kuat semangatnya. Yang jauh pandangannya. Yang pandai menyerap pengalaman.

Biasalah pasangan berselisih pengertian. Yang satu berkeras dengan pendapatnya. Apakah yang penting sebenarnya dalam sebuah perkongsian hidup? Menegakkan pendapat atau berkongsi pendapat? Jika tidak diamati ia membarah. Luka yang semakin melebar. Parah berdarah. Alangkah baik jika pasangan melihat persamaan. Lihatlah persamaan. Lihatlah yang sedikit itu. Yang tidak kelihatan sekalipun. Belajar meropong jauh supaya dikenal ma’rifat untuk mencari hakikat. Perbezaan hanya persepsi. Apa bezanya antara besar dengan kecil? Boleh diserasikan dengan ruang. Boleh diserasikan dengan keadaan. Perbezaan-perbezaan yang terlalu ditonjolkan tentu menghiris hati. Meracuni kasih sayang yang sudah terbina.

Tidak semua orang ada kekuatan untuk menghadapi perbezaan. Yang diharap dahulu ialah kebahagiaan. Kedamaian. Tidak ada siapa yang tahu formulanya. Yang tahu sifirnya. Yang tahu jalannya. Yang pasti tidak ada jalan pintas. Tidak ada formula yang teruji. Masing-masing mengalami eksperimen yang berlainan. Kerangka kasar sahaja yang boleh dipelajari. Hakikatnya ialah semua pasangan perlu banyak belajar. Keserasian perlu dibina. Kebahagiaan bukan datang bergolek. Tiada yang pipih datang melayang. Ibarat pokok bukan buah yang tumbuh dahulu. Air dan baja memungkinkan tunas. Yang nantinya meranting dan membesar dahan. Di hujungnya bergayutan buah yang diharap enak, manis, menyegar, menyihat dan memberi segala kebaikannya.

Buang perbezaan yang dapat dilihat. Hindarkan perbezaan yang dirasa kehadirannya.  Rasa cinta tentu mengatasi kesemuanya. Rasa kasih tentu menyelimuti semua perbezaan itu. Rasa bahagia tentu mendamaikan. Hakikatnya perbezaan itu tetap ada. Kenapa melihat perbezaan jika persamaan mendamaikan? Bukankah yang dicari bahagia dan bukan derita? Pilihan di tangan kita. Orang lain hanya melihat dari luar. Setakat mana kita boleh menghulur tangan memohon bantuan? Setakat mana kita boleh menghulur tangan untuk membantu? Sebab itu hanya apabila bersedia, hanya apabila sudah mantap berfikir, hanya bila rasional mengatasi emosi ikatlah dimimu dengan kahidupan berumahtangga. Kehidupan yang selalunya banyak bergolak. Kesediaan menghadapinya mendamaikan pergolakan. Dalam diri kita itu letaknya segala penyelesaiannya. Sekali lagi seperti yang selalu saya sebut, carilah ilmu. Apapun bidang yang ingin diceburi mesti dengan ilmu. Ia mengawal segala kemungkinan. Jalan penyelesaiannya sudah terbina. Mencegah adalah lebih baik dari merawat. Sentiasa ingat Allah. Banyak solat. Banyak berdoa. Baca al-Quran selalu. Itu lebih mendamaikan. Kebahagiaan yang sangat murah kosnya.

Mengumpul Barang Buangan



Pelajar-pelajar Malaysia apabila berada di luar negara ukhwahnya sangat baik. Perasaan kekitaan yang mendalam. Esprit de corps. Tolong menolong dan bekerjasama selalu dipamerkan. Bila berjauhan dari sanak saudara rakan terdekat yang diakrabkan. Bila berjauhan dari tanah air tercinta rakan-rakan menjadi teman. Biasalah kita selalu mencari orang kita. Untuk selalu biasa-biasa. Cari orang sekampung. Orang senegeri. Orang senegara.

Keakraban antara pelajar biasanya sangat kental. Walau bagaimanapun ada syaratnya juga. Tentulah orang mengelakkan diri mereka jika dikesan ada kesombongan. Jika tidak suka dirapati. Jika malas bersama yang lain. Jika menjauhkan diri. Jika cakapnya ada lagak tinggi. Hidungnya nampak melangit. Jalannya mengepak terbang. Bahasanya kesat. Pautan bibirnya kelihatan sinis. Atau sapanya sangat payah. Jika semua itu tidak kelihatan maka mudahlah mendapat kawan. Senang orang mendekati. Ada kimia yang teradun. Ada elektrik yang terpasang.

Pengalaman di negara orang banyak yang mengajar diri. Biasanya rakan-rakan yang sudah berada di sana berusaha membantu bila dikhabarkan ada keluarga yang akan sampai. Mereka membuat pelan tindakan untuk membantu. Ada yang menghubungi melalui surat. Pada tahun 1984 dahulu telefon bimbit belum ada. E-mail belum ada. Surat sahaja yang boleh. Tentulah memakan masa yang lama untuk balas membalas. Orangnya tidak dikenali. Tulisan dalam surat itu yang memberi gambaran ringkas siapa orangnya. Keikhlasannya. Keterbukaannya untuk dibantu atau membantu.

Maka mereka menanti saya sekeluarga. Pengangkutan disediakan di lapanganterbang. Kereta besar buatan Amerika. Memanglah kereta buruk. Pelajar mana mampu membeli kereta baru. Yang penting ada pengangkutan. Boleh bergerk ikut suka rasa. Membeli barang tidak perlu diangkut dengan berjalan kaki. Semasa winter jenuh kesejukan. Jika summer pula kepanasan. Sejuk tidak tahan. Panas   tidak tahan. Ketawa orang putih melihat orang Malaysia berpayung pada musim summer. Mereka menikmati cahaya matahari. Kita berlindung darinya. Dua budaya yang jauh berbeza.

Teman-teman tadi sudah membuat berbagai perancangan untuk menerima saya sekeluarga. Sudah dicarikan rumah-rumah yang layak disewa. Mereka tahu setakat mana kemampuan pelajar yang datang. Yang sekeluarga perlukan sebuah rumah. Yang bujang perlukan bilik. Lokasi dan bentuk rumah kesemuanya difikirkan. Bilangan bilik yang diperlukan juga difikirkan. Bila saya sampai sudah ada senarai rumah untuk dilihat kesesuaiannya. Dalam kedinginan winter itu berjalanlah dari rumah ke rumah. Menyesuaikan selera. Serasai dengan keperluan yang ada. Akhirnya saya sewa sebuah rumah di Bates Street. Tingkat tiga. Di atas sekali. Alhamdulillah. Puas mata memandang keliling dari vantage point tingkap rumah itu. Seperti panorama layaknya.

Rumah itu milik seorang Arab yang berasal dari Syria. Kekal beragama Kristian. Agama anutan nenek moyangnya terdahulu. Adik beradiknya juga ramai di Oakland itu. Kesemuanya beragama Kristian. Isterinya wanita kulit putih Amerika. Sewaktu saya mengunjungi rumahnya untuk menandatangani kontrak menyewa rumahnya, saya terpandang sebuah bingkai kaca yang mengandungi surah al-Fatihah. Saya hanya memandang bingkai itu sahaja. Saya tidak membuat apa-apa komen. Teman-teman yang lain telah memberitahu saya lebih awal bahawa Arab itu beragama Kristian. Dia memahami pandangan mata saya. Dia membuat pengakuan bahawa dia boleh membaca surah al-Fatihah itu. Dia juga memahami maknanya. Tetapi tentulah dia tidak memahami tafsiran dan tuntutannya. Jika dia mengetahuinya tentu dia beragama Islam. Persetujuan dicapai. Kontrak ditandatangani. Duduklah saya di rumah itu selama 18 bulan. Setahun setengah yang penuh pengalaman. Duduk di negara orang. Sangat jauh dari kampung halaman. Jauh disebalik bumi. 12 jam perbezaan masa.

 Saya telah sebutkan terdahulu bahawa pada hari Ahad malam hari Isnin adalah waktu membuang sampah. Pagi Isnin adalah masa kutipan sampah di kawasan tempat tinggal saya. Bila diingat kembali terasa juga berbagai dalam hati. Malam-malam seperti itu pelajar Malaysia berjalan mencari barang-barang buangan. Barang terpakai yang dibuang. Barang yang tidak diperlukan lagi. Sampai masanya dilupuskan. Bagi pelajar Malaysia malam-malam seperti itulah peluang mendapatkan barang-barang yang mungkin ada gunanya. Kadang-kadang untuk diri sendiri. Kadang-kadang untuk sahabat-sahabat yang akan sampai. Akan ada sahabat-sahabat yang menyimpan stok barangan untuk diagihkan kepada sahabat-sahabat lain yang bakal tiba.

Lupa untuk memberitahu. Rumah-rumah di sana kesemuanya fully furnished. Katil dan tilamnya ada. Peti ais ada. Dapur atau stove ada. Meja makan ada. Sofa ada. Yang tidak ada mungkin bantal, selimut (comforter). TV tidak ada. Radio tidak ada. Telefon tidak ada. Kerusi mungkin hanya ada dua atau empat sahaja. Tidak cukup untuk keluarga seperti saya. Lima orang anak. Sebab itu mencari barang terpakai kadang-kadang diperlukan untuk menambah perabot yang ada.

Barang-barang yang dicari bukan sebarangan. Pilihan kami mungkin tilam, meja, kerusi dan perobot-perabot lain yang sesuai. Bukan yang terlalu besar. Bukan yang sudah buruk. Bukan yang sudah rosak. Yang dipilih adalah barang-barang yang  memang masih boleh dipakai. Cuma pemiliknya sudah membeli yang baru. Yang lama dibuang. Saya teringat cerita seorang putera raja dari sebuah negeri di semenanjung yang turut sama mengusung tilam untuk diserahkan kepada seorang temannya yang lain. Ia ditolong pula oleh seorang pegawai tinggi kerajaan yang sedang membuat PhD. Anak raja itu menjadi Raja Muda sekarang. Hebat orangnya. memiliki PhD.

Di sana, di negara orang, kami melupakan pangkat. Kami melupakan kedudukan. Seperti kata Abraham H Maslow, sampai ke suatu peringkat kita perlukan teman bersembang. Sahabat bertukar fikiran. Teman untuk melaksanakan aktiviti bersama. Berada bersama adalah suatu keperluan. Manusia tidak mungkin hidup sendiri. Sebab itu bila berjauhan dari keluarga orang-orang di sekeliling kita itulah yang menjadi saudara terdekat. Yang selalu menjenguk. Yang selalu membantu bila diperlukan. Jalinan ikatan yang kuat. Itulah ukhwah.

Benarlah kata pepatah ikutlah resemi padi makin berisi makin menunduk. Jika banyak menunduk maka ramailah sahabat. Ramailah yang mendekat. Ramailah yang senang dan selesa dengan kehadiran kita. Hidup kita menjadi lebih selesa dikelilingi oleh orang-orang yang responsif dan bukan orang-orang yang agresif. Banyak senang dari susahnya. Pertemuan-pertemuan selalu diatur supaya kebersamaan itu ada jadualnya. Seminggu sekali memang diatur jadual usrah. Berkongsi apa-apa yang diketahui tentang agama. Ada yang membawa kitab. Rujuklah yang sesuai. Mengisi masa dengan agama. Pada waktu-waktu yang lain mungkin diadakan jamuan ringan. Panggil teman-teman ke rumah. Sembang-sembang. Ingat tanah air. Atau bertemu di park jika suhu dan iklim mengizinkan. Tidak hujan dan tidak sejuk.

Begitulah di perantauan.  Ada sahaja yang dilakukan untuk tidak berasa sunyi. Masa diisi dengan belajar. Pada hujung minggu banyak aktiviti diatur untuk mengisi masa. Isteri-isteri juga dengan aktiviti mereka. Tidaklah sunyi menanti suami yang sibuk dengan kehidupan sebagai pelajar. Kadang-kadang  saya rasa kehidupan lebih teratur sewaktu duduk di US dahulu. Jadual seperti sesuai dengan kehidupan sebagai pelajar. Ada waktu belajar. Ada waktu bersama keluarga. Ada waktu menjalankan hal-hal agama. Rasa sangat santai. Tidaklah terkejar sana terkejar sini. Budaya mereka yang menyerap ke dalam diri pelajar seperti saya.  Masa tidak terluang dengan sia-sia.

Masa itu emas. Masa itu telah berlalu. Saya pula sudah menjadi warga emas. Susah juga untuk memberi nilai terhadap diri sendiri. Cuma mungkin hanya dapat berkongsi nilai-nilai yang telah dialami. Yang telah dipinjam. Yang telah dihimpun sekian lama. Yang pastinya tidak sama dengan pengalaman orang lain. Nilaian saya juga begitu. Persepsi saya tentu lain. Garapannya lain. Interpretasinya juga lain. Apapun sekadar menyampai. Yang baik ambillah. Yang kurang buang ke tepi. Penilaian selalu berbeza.