Apa sebenarnya yang kita maklum tentang Ramadhan. Hari
rayanya atau buffetnya. Atau lapar dan dahaganya. Yang lain seperti kita
abaikan. Ramadhan yang menjadi penghulu segala bulan tidak dinanti seperti
selayaknya. Lailatulqadar yang agung di sisi Allah tidak kita fahami
signifikannya. Kita bukan menunggu Ramadhan tetapi sebaliknya kita lebih banyak
fokus kepada bulan selepas Ramadhan. Satu Syawal yang sepatutnya diraikan hanya
sehari sahaja kita raikan selama lebih sebulan. Kadang-kadang berlarutan hingga
tiga bulan. Seolah-olahnya dikira berdosa jika tidak mengadakan majlis hari
raya. Mari kita nilai semula Ramadhan tahun ini.
Bulan yang padanya diturunkan al-Quran.
Bulan yang di dalamnya diturunkan lalatulqadar.
Bulan yang pahala kebajikannya berlipat kali ganda.
Bulan yang ganjarannya Allah yang menentukannya.
Bulan yang syaitan dirantai.
Bulan yang pintu-pintu syurga dibuka.
Bulan yang qiamil lail menjadi kebiasaan.
Bulan yang padanya ramai orang membaca al-Quran.
Bulan ramai orang memberi makan kepada mereka yang berpuasa.
Bulan orang membayar zakat.
Bulan ramai orang bersedekah.
Bulan orang menginfaqkan hartanya ke jalan kebajikan.
Setahun yang lalu penulis berada di Kaherah. Setelah
setahun berlalu Ramadhan datang lagi. Banyak benar bezanya Muslim di sini
menyambut kedatangan bulan penuh barakah ini dengan cara Mulism di Malaysia
menyambutnya. Berbulan-bulan sebelum ini ramai orang Malaysia yang sudah menyediakan
baju raya. Itupun tukang jahit ramai yang menolak tempahan. Ramai yang keluh-
kesah kerana bakal tidak makan pada waktu siang. Ada juga yang mencari alasan
untuk dikecualikan dari berpuasa. Daifnya kita berhadapan tuntutan Islam dan
iman. Bulan ini adalah bulan Allah memberi peluang yang seluas-luasnya kita
menambahkan kebaikan kepada diri kita melalui berbagai aktiviti ibadat yang
nilainya tiada tolok bandingnya di sisi Allah. Bulan yang kita dianggap
berniaga dengan Allah. Kita menjual dan Allah membeli. Perniagaan yang tidak pernah memungkin kerugian.
Allah sentiasa membeli ibadat kita dengan harga yang berlipat kali ganda dari
yang dapat kita fikirkan. Keuntungannya di dunia dan di akhirat. Yang di
akhirat itulah yang selalunya tidak dapat difahami dengan saksama.
Pada bulan Syabaan adalah bulan yang bermula dengan kalut
di Kaherah. Mungkin juga di seleuruh negara Arab adalah begitu keadaannya. Kedai-kedai
mula menambahkan stok barang makanan. Berlori-lori diangkut. Menimbun-nimbun di
kedai. Di luar kedai. Khemah didirikan untuk menyimpan stok tersebut. Pada malamnya
pembantu kedai tidur di atas stok makanan tersebut. Menjadi pengawal sementara
stok masih ada. Kesemua keluarga mula membeli barang keperluan sebanyak
mungkin. Kesemua ini dilakukan kerana menyambut Ramadhan. Ya, untuk menyambut
Ramadhan. Hanya Ramadhan tiada yang lain kecuali Ramadhan. Tidak ada walau
sepatah perkataanpun yang menyebut Hari Raya. Eid al-fitr. Tidak ada. Muslim di
sini berhadapan dengan Ramadhan. Menanti Ramadhan. Rindukan hadirnya Ramadhan. Ramadhan
karim. Ramadhan yang diredhai Allah. Bulan yang mendapat pengampunan Allah. Bulan
yang sangat mulia.
Yang utama kepada Muslim di sini ialah berbuat
kebajikan sebanyak mungkin. Selain dari ibadat khusus seperti solat, membaca
al-Quran, hadir ke kuliah-kuliah Subuh dan Asar, mereka berusaha menjamu mereka
yang berpuasa dengan meyediakan jamuan
berbuka puasa. Masjid dan surau melimpah ruah dengan makanan. Mereka yang
berada menyediakan makanan untuk sesiapa sahaja yang difikirkan perlu
menikmatinya. Mereka berhabisan kerana Ramadhan. Kerana Allah memuliakan
Ramadahan. Kesempatan itu diambil untuk sama-sama mendapat meghfirah dan redha
Allah. Keuntungan yang tiada nilai dunia. Suasananya memperlihatkan bahawa
ukhwah antara yang di atas dengan yang di bawah sangat dekat. Sangat rapat
antara yang berada dengan yang tidak berada. Bagi pelajar umpamanya, mereka
kenyang dalam bulan ini. Pergilah ke mana-mana masjid pastinya berbuka puasa
dengan sekenyang-kenyangnya. Kenyang hingga sahur.
Ramadhan tahun ini pada musim panas. Siangnya panjang
dan malamnya pendek. Berbuka antara pukul 7.00 pada awal Ramadhan dan pada
pukul 7.30 pada akhir Ramadhan. Solat tarawih mungkin hingga pukul 11.00 malam.
Sahur pada kira-kira pukul 2.00 pagi. Fajar menjelang pada kira-kira pukul 3.00
pagi. Ramadhan adalah bulan yang sangat sibuk (hectic). Kepada Muslim di sini
kesibukan itu bukan ibadat khusus semata-mata. Antara waktu-waktu tertentu
mereka membaca al-Quran atau berwirid. Beriktiqaf di masjid. Memikirkan untuk
menambah kebajikan. Selepas tarawaih ada juga yang kunjung-berkunjung ke rumah
ibu dan bapa dan ke rumah saudara-mara. Pada masa tersebutlah mereka memakai
pakaian baru. Pakaian menghormati meriahknya kehadiran Ramadahan. Berbagai juadah
disediakan untuk tetamu.
Bukankah kegembiraan mereka yang berpuasa ialah
apabila mereka berbuka puasa? Benarlah mereka di sini merayakan puasa mereka
selepas berbuka. Setiap hari dirayakan tetapi dalam bulan Ramadhan sahaja. Bukan
seperti kita yang berhari raya selepas tamat Ramadhan dan melepaskan geram
semahu-mahunya. Muslim di sini meningkatkan ibadat mereka sesama Muslim di
siang hari dan sebahagian malam. Pada sebahagian waktu yang lain mereka
meningkatkan ukhwan sesama ahli mereka. Keluarga dan saudara-mara. Hubungan dengan
Allah diperbanyakkan. Hubungan dengan manusia ditingkatkan. Kebanyakan rumah
terang benderang. Menanti dan meraikan tetamu seperti dituntut agama. Menanti juga
datangnya laitulqadar. Penantian yang disediakan berbulan-bulan lamanya.
Tentu berbeza antara menanti datangnya hari lebaran. Hari
raya selepas tamat Ramadhan. Kita menangis tidak dapat bersama ibu dan bapa. Tidak
dapat bersama keluarga. Tidak dapat bersama saudara-mara atau sahabat-handai. Kita
menangis selepas hilangnya Ramadhan. Tidak ramai yang menangis kerana perginya Ramadhan.
Tidak ramai yang memikirkan bahawa Ramadhan kali ini adalah Ramadhannya yang
terakhir. Di negara Arab mereka teruja menantikan Ramadhan. Berbuat kebajikan
sebanyak-banyaknya. Bertemu ibu dan bapa sekerap mungkin. Menziarahi saudara-mara
serta ahli keluarga dan sahabat yang lain. Menjamu selera tetamu yang
bertandang ziarah. Meriahnya Ramadhan. Bukan meriahnya hari raya. Mereka
merayakan puasa mereka dalam Ramadhan. Mereka menangis bersama Ramadhan. Mereka
gembira bersama Ramadhan. Mereka teruja berada dalam bulan Ramadhan.
Di negara kita agama dikomersilkan. Mereka yang bukan
Islam membaca herotan konsep agama yang kita amalkan. Kerana itu hari raya
menjadi fokus dan bukannya Ramadhan. Ramadhan diramaikan dengan jualan Ramadhan.
Dengan bazaar Ramadhan. Dengan pameran Ramadhan. Dengan buffet Ramadhan. Soalnya,
mengapa dan kenapa? Kita berhabis tetapi tidak berniaga dengan Allah. Kita berhabis
tetapi tidak mendapat keuntungan yang Allah janjikan. Paling kita takut ialah
bulan Ramadhan tidak menjadi bulan maghfirah kepada kita. Tidak juga menjadi
bulan yang Allah meredhai kesemua perbuatan kita. Oleh itu makanlah di rumah. Masaklah
seberapa banyak. Hulurkan kepada jiran. Gembirakan mereka dengan ibadat yang
kita lakukan. Mudah-mudahan terhindar dari keraguan antara halal dan haram. Antara
bersih dengan tidak. Antara suci dengan tidak. Antara Allah redha dengan tidak.
Bukan sahaja di hotel kira menyimpan keraguan malah makanan yang dijual di
bazaar Ramadhan belum tentu dipelihara kesuciannya. Maaf. Lazimnya penjual
makanan di bazaar Ramadhan terlepas solat Asar. Malah ada yang terlepas solat
Maghrib. Bagaimana kedudukan kita yang membeli makanan mereka? Sama-sama kita
renungkan.