Sunday, October 21, 2018

Bau Rokok Yang Mengerutkan




Minggu lalu penulis terserempak dengan seorang pelajar IPT yang sedang  dalam proses membunuh dirinya dengan merokok. Tempatnya paling hina iaitu di bilik air. Bau asap yang berbaur dengan bau najis yang berlegar dalam bilik air sangat melemaskan.  Walaupun bilik air itu sentiasa dibersihkan, taraf bilik air tidak boleh meningkat seperti bilik di hotel lima bintang. Bilik air tetap bilik air. Bilik tempat syaitan berhimpun meraikan mereka yang tidak arif tentang penggunaan bilik air. Apatah lagi mereka yang menyalahgunakan bilik air.  Maka pelajar yang merokok itu terperangkap dalam jaringan syaitan yang kelihatan secara fizikal dan syaitan yang tidak kelihatan (jin).  Kedua-duanya berpengaruh besar memperngaruhi pemikiran perokok. Secara spiritual dan dan secara fizikal.

Mengapa merokok di bilik air?
Bukankah IPT kawasan larangan merokok?
Orang lain tidak tahan dengan bau asap rokok di bilik air.
Pening kepala saya menghidunya.

Andainya penulis masih lagi menjagi penguasa Hal Ehwal Pelajar, pastinya pelajar tersebut dibawa  dan didakwa di hadapan  Lembaga Disiplin IPT tersebut. Tanpa kuasa itu lagi, penulis hanya mampu menegur yang perlu. Pelajar itu hanya terkedu. Mematikan rokoknya lalu keluar dari bilik air. Ya dia sudah pergi tetapi banyak yang ditinggalkan.
1                     Puntung rokok di bakul sampah.
2                     Abu rokok di mangkuk tandas, di sinki dan di lantai bilik air.
3                     Bau asap yang kuat menyengat.
4                     Penulis berasa sesak nafas, terbatuk kerana tekak perit dengan bau asap.
5                     Bad impression – kesan negatif yang sangat buruk.
6                     Hilangnya sifat dan kepatuhan kepada disiplin di kalangan pelajar yang terlibat.
7                     Mungkinkah pelajar jenis ini akan menajdi hebat setelah menjadi graduan atau terperangkap dalam jaringan pelajar Melayu yang sekadar average?


Seseorang tidak merokok dengan secara tiba-tiba. Ada pengaruh keluarga atau rakan sebaya atau komersil atau meniru gaya orang tertentu. Dalam aspek lain seorang yang menjadi perokok sebenarnya memiliki kelemahan mental, rohani dan psikologi. Ramai perokok mendakwa merokok kelihatan macho tetapi pada hakikatnya mereka adalah lemah. Mengalami inferiority complex – berasa rendah diri. Tidak yakin dengan dirinya sendiri. Merokok menjadi emancipation dan escapism. Lari dari kenyataan kebaikan menuju kepada kenyataan kebuntuan berfikir. Merokok bukan dilahirkan begitu. Bukan naluri dan bukan baka keturunan. Ia adalah tingkah laku yang dipelajari, dicuba, dibentuk dan dijadikan amalan hidup. Cantik pada mata mereka.  Mereka tidak tahu pandangan buruknya pada mata orang di sekeliling.

Sudah lama rokok mengakibatkan mudarat kesihatan tubuh badan. Tekak dan paru-paru khususnya.  Sudah lama juga rokok diharamkan penguasa agama dan negara. Tetapi perokok  tidak melihat rokok seperti najis babi atau anjing atau arak. Rokok dibeli, disimpan di poket, dipegang, dihisap, dijepit di jari dan diulang prosesnya. Mungkin ribuan dan ratus ribuan jika tidak jutaan kali. Setiap kali asapnya disedut saat itulah yang mengurangkan usia lebih cepat dari yang dijangkakan. Allah sahaja yang Maha Mengetahui.  Ironis sungguh, perokok akan merokok sepuas-puasnya sebelum mendirikan solat. Dengan tangan memegang najis rokok. Dengan mulut berbekas najis rokok. Dengan bibir berpalit najis rokok. Mungkin pada fikitran mereka itulah rokok terakhir. Itulah hisapan terakhir. Sedutan terakhir. Hembusan terakhir.

Mungkin ramai perokok menyakinkan diri mereka sendiri bahawa merokok adalah urusan peribadi mereka sendiri. Tiada urusan dengan orang lain. Tunggu dulu. Buat pengamatan betul-betul. Bukankah terlalu banyak hal-hal negatif yang berada di sekeliling anda yang merokok. Rokok dari pokok yang daunnya dibuat rokok dan cerut. Ada yang dikunyah sebagai tembakau.  Merokok menjadi lambang sosial kaum Red Indian. Yang merokok bersama-sama dianggap sahabat. (Di sana ada hadith yang mafhumnya, tembakau adalah dari air sungai kecil iblis). Di sana terdapat pula kilang rokok, pemborong rokok, peruncit rokok dan pembelinya. Jangan lupa orang di sekeliling anda yang dipaksa menghidu asap rokok yang anda hisap. Yang dipaksa turut menghidap berbagai penyakit akibat asap rokok. Malang sungguh kerana mereka tidak merokok. Tidak merelakan sesiapa merokok. Tidak redha ada yang merokok di skeliling mereka.

Perlu lagikah ladang tembakau yang diusahakan oleh orang  Islam sendiri?
Perlukah kilang rokok yang pekerjanya orang Islam? Yang sahamnya dimiliki oleh orang Islam?
Perlukan pemborong rokok?
 Perlukan peruncit rokok?
Perlu lagikah untuk merokok?
Perlu lagikah undang-undang yang lesu dari penguatkuasaan?

Bukankah rokok haram. Maka mereka yang terlibat syubahat dengan haramnya. Besar nilai dosanya.  Tidak bolehkah kesemuanya diharamkan? Bebaskan negara ini dari tembakau dan rokok. Langkah positif menghentikan penyakit  dari rokok. Bau mulut mereka yang merokok sukar diterima manusia. Bagaimanakah mereka tergamak berhadapan dengan Allah dengan mulut berbau rokok. Dengan mulut berpalit rokok. Dengan mulut  yang  bersentuhan benda haram itu. Sedeloknya  mereka bertaubat. Allahuakbar!