Tuesday, March 15, 2011

Jualan Gudang - Warehouse Sale



Kerap juga saya pergi ke jualan gudang di Malaysia. Sebagaimana biasa lokasinya ialah di premis pasaraya besar itu sendiri.  Harganya mungkin didiskaun hingga 70%. Ada beberapa barang diskaunnya hingga 80%. Namun begitu tawaran-tawaran diskaun itu tidak menyeluruh. Walaupun dinyatakan bahawa diskaun secara store wide, realitinya tidak. Banyak barang yang dilabelkan sebagai new arrival. Tiada diskaun untuknya. Terkebil-kebil mata keran melihat cantiknya. Jarang berlaku jualan gudang yang benar-benar memang di gudang lokasinya. Cara berniaga di Malaysia tidak sama dengan Di US atau Canada. Atau di England yang terkenal dengan Harrodsnya di Oxford Street, London.

Mula-mula saya mendengar istilah warehouse sale semacam ada kegilaan di kalangan pelajar Malaysia dan pasangan mereka. Saya banyak memerhati. Banyak mendengar. Banyak mendiamkan diri dahulu. Setelah beberapa kali disebut-sebut akhirnya bertanyalah juga saya. Ingin mengetahui lebih lanjut. Lebih lengkap. Lebih pasti. Jualan gudang memang diadakan di gudang. Diskaunnya hingga 90%. Semua barang yang ada di gudang itu dijual dengan diskaun. Tiada yang terkecuali. Dari yang mahal hingga yang paling murah. Termasuklah perabot, pinggan mangkuk, peralatan melancong dan banyak lagi barang yang ada di gudang itu.

Dari cerita-cerita itu terliur juga saya dan isteri. Tergoda juga dengan cerita murah. Cerita banyaknya pilihan. Cerita kegilaan orang lain. Maaflah. Pelajar di US seperti banyak duit. Sebenarnya banyak barang yang murah. Kami beli sewaktu diskaun. Diskaunnya pula seperti tidak masuk akal. Saya membeli seunit beg sandang. Materialnya tebal dan kukuh. Cuma USD9.90. Kira-kira RM26.00 sahaja. Setelah kembali ke rumah saya belek-belek tanda harganya yang asal. Terkejut saya kerana beg itu harganya USD249.90. Jika ditukar menjadi ringgit nilainya sekira-kira RM654.74. Diskaunnya sebanyak 96%. Tentu orang kata gila jika di Malaysia. Setelah 26 tahun, beg itu masih baik. Masih tahan.

Bila ada jualan  gudang ramailah orang Malaysia yang turut serta meramaikannya. Beli mana yang berkenan. Kumpul barang yang hendak dibawa pulang nanti. Oleh-oleh kerana lama di rantau orang. Satu dua hadiah kena hulur juga kepada sanak saudara. Ramai isteri-isteri yang membeli pinggan mangkuk. Jenama kegilaan ketika itu ialah Noritake. Pinggan Jepun yang jika rajin meninjau di Sogo KL harganya mencecah belasan ribu ringgit untuk set lapan orang. Dalam jualan gudang di US harganya mungkin tidak sampai USD100.  Atau RM260 sahaja.

Paling suka saya beli ialah tuala mandi. Jika di pasaraya harganya antara USD39 hingga USD59. Mengikut saiznya. Besar atau kecil. Digudang harganya antara USD3.90 hingga USD5.90. Diskaun sebanyak 90%. Saya ada strategi membeli tuala banyak-banyak. Pertamanya memang untuk mandi manda. Sampai sekarang masih ada lagi. Keduanya untuk alas membungkus pinggan mangkuk. Alhamdulillah tidak ada yang pecah dalam kapal atau lori. Selamat dari pintu ke pintu. Lagipun saya alas juga dengan diapers anak bongsu saya. Beli banyak-banyak diapers untuk dibawa balik ke Malasyia. Berguna untuk mengalas dan mengampu barang-barang yang mudah pecah. Pinggan mangkuk, gelas, bingkai gambar dan kristal. Cerita tuala ini sangat nostalgik bagi saya. Tualanya besar. Cotton rich. Seronok disentuhkan di kulit. Lembut. Menyerap air. Namun tidak kesemuanya dibuat di US. Ada yang dari Germany. Ada dari Brazil. Yang penting memenuhi piawaian US. Kualiti dan standardnya terpelihara.

Satu lagi yang selalu dikejar orang Malaysia ialah barang-barang perak. Ada yang tulen dan ada yang silver-plated. Yang tulenpun masih sangat murah. Yang silver-plated lagilah murah. Sebenarnya ramai orang Malaysia berbelanja di gudang setiap bulan kerana jualannya secara bulanan. Jika tidak membeli bulan ini boleh tunggu bulan hadapan. Tidak ada masalah. Begitulah dari bulan ke bulan kami merancangkan pembelian. Merancangkan perbelanjaan. Merancangkan bajet. Cukupkan duit yang ada. Duit gaji di Malaysia simpan di bank. Hanya, hanya jika perlu sahaja minta dikirimkan ke US.  Jadi hakikatnya bukanlah pelajar Malaysia suka berbelanja besar. Nilai barang yang dibeli memang tinggi. Mahal. Tetapi dibeli sewaktu diskaunnya banyak. Sewaktu murah. Sanagat murah. Samalah juga ada pelajar Malaysia yang memiliki kereta. Kami tidak hairan kerana kereta terpakai yang mereka beli paling mahal USD500. Sekitar RM1,350 sahaja. Minyak pula cukup murah di sana.

Tidaklah semua barang yang dijual di gudang perlu dibeli. Pilih mana yanag sesuai. Tidak besar saiznya. Tidak sukar dibawa. Harganya menasabah. Cukuplah seada-adanya. Boleh dibawa pulang. Ada kualiti. Boleh dipakai lama. Lazimnya pada hari Jumaat saya membeli akhbar Pittsburgh Times. Melalui akhbar itulah saya membaca iklan jika ada jualan gudang. Berita itu selalu juga disebarkan kepada rakan-rakan yang lain. Pada pagi Sabtu ramailah antara kami yang menuju ke gudang berkenaan. Ada dua gudang yang menjadi tumpuan. Kaufmann atau Hornes. Dua gedung besar di Pittsburgh. Jualan gudangnya setiap bulan. Barang-barangnya berkualiti belaka. Puas mata memandang. Tidak puas tangan membeli. Bagaimanapun tetap alah membeli dan menang memakai.

Pakaian tidak ada jualan gudang. Sale diadakan digedung-gedung perniagaan di tengah bandar atau di mall-mall. Mall ini pula jauhnya sejam perjalanan dari bandar. Kira-kira 45 hingga 60 kilometer jauhnya.  Sama juga seperti di gudang baju kemeja dijual dengan harga USD9.90. Jenamanya Arrow,  Van Heausen, Givency, Pierre Cardin, Yves St Lauren dan banyak lagi. Sudah lama. Banyak yang lupa. Saya memang suka baju kemeja. Banyak juga yang menjadi pilihan saya. Masih ada baki-bakinya tetapi sudah tidak selesa dipakai. Saiz badan sudah berubah.

Yang masih diingat ialah peristiwanya. Kenangannya. Keseronokan kerana terlibat. Mengalami sendiri kegilaan shopping di gudang. Begitulah hidup di perantauan. Kadang-kadang sukar diulang pengalaman yang sama. Setengahnya memang tidak ada di sini. Cukuplah bagi yang mengalami. Sekadar untuk dikongsi. Manfaatnya mungkin tidak ada. Hanya maklumat. Info sepintas lalu. Mungkin menjentik ingatan bagi mereka yang ada pengalaman serupa.