Saturday, March 8, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Khianat Samiriy

Nabi Musa dan kaumnya dikatakan sampai di kawasan ini. Jauh juga dari tempat menyeberang laut Merah sewaktu dikejar Firaun dan tenteranya. Lebih 100 kilometer. Allah memerintahkan Nabi Musa untuk mendaki bukit yang dinamakan Bukit Thur di Saina'. Kita menyebutnya Bukit Tursina. Nabi Musa berpesan supaya kaumnya menunggunya selama 30 hari. Nabi Harun diberi tanggungjawab untuk menggantikan Baginda memimpin kaumnya semasa ketiadaannya.

Di bukit itu Nabi Musa berdialog dengan Allah. Al-Quran merakamkan berbagai peristiwa yang berlaku semasa Nabi Musa berada di puncak Tursina.

1   Turunnya Kitab Taurah. Dalam Bahasa Inggeris dinamakan The Ten Commandments. Sekarang tinggal sejarahnya sahaja. Ketulenannya sudah tidak ada. Kitab Bani Israel ini banyak pindaan untuk disesuaikan dengan nafsu mereka sendiri. Nilai murni orang beriman di kalangan mereka sudah tiada lagi. Diganti oleh Allah dengan Injil yang juga dipinda-pinda oleh orang Yahudi. Diganti pula akhirnya dengan al-Quran yang Allah jamin akan kekal hingga Kiamat.
2   Nabi Musa dapat berdialog secara terus dengan Allah tanpa perantaraan malaikat Jibril.
3   Permohonan Nabi Musa untuk melihat wajah Allah tidak sama sekali berkemungkinan kerana  Allah terlalu Agung. Sebagai gambaran Allah memperlihatkan wajahnya kepada sebuah gunung dan apa yang berlaku menyebabkan Nabi Musa pengsan. Gunung tersebut hancur sehancurnya. Hingga ke hari ini masih terdapat sisa kehancuran gunung tersebut. Terdapat serpihan batu yang di dalamnya fossil tumbuh-tumbuhan. Ada yang mengatakan bahawa sebelum Allah menampakkan dirinya kesemua tumbuhan yang ada di gunung itu lari masuk ke dalam batu. Wallahu'alam.
4   Tempoh keberadaan Nabi Musa di puncak Tursina dilanjutkan hingga 40 hari. Ditambah 10 hari lagi. Ujian kepada Nabi Musa dan kepada kaumnya.
5   Kaumnya membuat spekulasi bahawa Nabi Musa sudah menipu mereka. Muncullah Samiriy yang berusaha menimbulkan keraguan di hati kaumnya. Diciptanya patung lembu dari emas. Boleh pula lembu itu berkata-kata. Lalu disembah lembu itu sebagai tuhan mereka. Surah al-Baqarah banyak menceritakan kisah tersebut.  Ditambah lagi dengan ayat-ayat lain dalam sursh-surah yang lain.

Ceritanya panjang lagi. Cuba-cubalah baca tafsirannya untuk memahami bahawa akidah manusia boleh terpesong kerana pandainya seseorang berkata-kata. Kita selalu kalah dengan orang yang bijak bercakap. Malangnya di kalangan mereka yang jahil agama, mudah percaya kepada dakyah atau propaganda. Sedikit pujukan sudah menyesatkan mereka. Percaya kepada sesuatu yang tidak ada kepastiannya. Sedangkan nabi pemimpin mereka masih hidup ketika itu. Apatah lagi kita di akhir zaman ini. Terlalu ramai yang berwatak Samiriy. Sesat dan menyesatkan. Berlaku di semua negara Islam dari dahulu hingga sekarang. Ramai pendakwah yang autentik tetapi ramai yang mencari orang-orang yang tidak diketahui ilmu agamanya. Mereka terjebak ke arah kesesatan.

Rujkuklah al-Quran dan hadith. Carilah guru yang diketahui alimnya. Bukan seorang tetapi seberapa ramai yang boleh. Antara mereka lengkap melengkapi. Harmonikan perbezaaan antara mereka. Sesungguhnya yang hak tetap jelas haknya. Yang batil nampak jelas batilnya. Apabila menemui keraguan cari lagi pakarnya supaya jelas apa yang difahami. InsyaAllah selamat dunia dan akhirat.


Penulis bergambar dengan Tuan Haji Maulan dan bebrapa pelajar negeri Johor.

Isteri penulis bersama pelajar.

Dua gambar berturut ini benar. Yang di belakang ialah Tuan Syed Ahmad.

Mendengar taklimat.

Hampir 100 orang kesemuanya.

Yang wanita.

Bersama Tuan Haji Maulan.

Sendirian.

Ini bukan lembu yang telah dicipta Samiriy. Patung tersebut dikatakan telah dibuang ke laut oleh Nabi Musa. Ada orang kemudian yang telah mengukir batu menyerupai lembu. Mungkin untuk mengingatkan tentang tempat dan peristiwa di sini ribuan tahun dahlulu. Sebenarnya penulis menemui ukiran haiwan lain berhampiran tempat ini. Antaranya menyerupai gajah. Jelas belalainya. 

Sepohon pokok badam berhampiran kawasan ini.

Berlatarbelakangkan bukit bukau.

Bingkisan Dari Kaherah: Makam Nabi Salleh a.s.

Kembara di bumi Anbia seperti mengulangi siri Jejak Rasul . Banyak tempat dan dikatakan ada kaitannya dengan para anbia. Kali ini penulis menjejak makam Nabi Salleh a.s. Al-Quran menukilkan bahawa Nabi Salleh adalah nabi untuk kaum Thamud. Lokasi yang tepat tidak dapat dipastikan tetapi ada dua lokasi yang seperti menepati huraian yang Allah rakamkan dalam al-Quran. Yang pertama di Arab Saudi dan yang keduannya di Petra, Jordam. Bangunan di kedua tempat ini memang dipahat di dinding gunung. gua-gua dijadikan bilik. Malah ada binaan yang berseni mengikut kreativiti mereka. Seperti kaum-kaum yang lain yang terdahulu mereka membangun dari segi fizikal dan prasarana kehidupan mereka.Kemewahan dan kemakmuran ekonomi menjadikan mereka lupakan Allah kecuali segelintir kecil dalam kalangan mereka.

Tugas Nabi Salleh ketika itu adalah untuk membawa balik kaumnya ke jalan Allah. Sebaliknya mereka menjadi terlalu sombong. Bukti-bukti kebesaran Allah yang didatangkan sebagai mukjizat Nabi Salleh mereka tolak kesemuanya. Allah perintahkan Nabi Salleh dan mereka yang beriman menyingkir dari negeri mereka. Lalu Allah musnahkan kaum Thamud seperti yang tercatat dalam al-Quran. Allah musnahkan mereka dengan suatu tempikan yang sangat kuat. Hapuslah suatu kaum yang penuh dengan kesombongan. Seolah-olahnya sewaktu mereka dalam kemewahan mereka tidak perlukan Allah.

Ada beberapa pengamatan yang serupa dalam kisah kemusnahan kaum-kaum yang terdahulu.

1     Mereka dalam kemewahan. Negara mereka maju.
2     Pemimpin-pemimpin mereka menjadi sangat kuat. Kesombongan mendatangi mereka. Lupakan Allah  
       Yang Maha Mencipta segala-galanya. Yang mengizinklan mereka menjadi pemimpin.
3     Pemimpin yang menjerumuskan pengikiynya ke jalan kesesatan.
4     Kemusnahan menyeluruh. Allah mungkin tinggalkan sisa untuk menjadi iktibar kepada orang                          terkemudian.

Papantanda ini berhampiran dengan makam Nabi Salleh. Menarik kerana latabelakangnya yang cerah. Di negara Arab langit selalu cerah.

Di permakaman Nabi Salleh.

Allah takdirkan kami selalu dapat bersama. Anugerah Allah. Banyak sebabnya:
1   Pernah hidup sukar.
2   Menjawat jawatan sederhana tinggi.
3   Menikmati pendapatan yang berpanjangan. Alhamdulillah.
4   Allah lanjutkan usia selepas bersara.
5   Allah kurniakan kesihatan fizikal, mental dan perasaan.
6   Rezeki yang Allah beri dan izin dariNya untuk mengembara di muk bumi milik Allah ini.

Syukur padaMu ya Allah.


Satu lagi makam berhampiran makam Nabi Salleh. Tidak diketahui siapa.

Permakaman ini hanya tinggalan sejarah. Ada yang ingat dan ramai yang tidak lagi mengingatinya. Andainya masih kerap membaca al-Quran pastinya akan mengulang lagi kisah-kisah para anbia seperti Nabi Salleh. Mengambil iktibar darinya bahawa kita sentiasa perlukan Allah.

Bingkisan Dari Kaherah: Masa-Masa Sendiri Yang Perlu Diisi

Ada dua hal mengenai manusia. Pertama manusia sebagai dirinya sendiri. Kedua manusia sebagai insan sosial. Dalam banyak keadaan kita selalu ingin bersama orang lain. Kita berjiran. Bersama rakan sekerja. Menaiki kenderaan awam. Bermuamalah di banyak tempat seperti kedai, pasar dan pejabat. Secara fitrahnya kita lebih sukakan jamaah dari bersendirian. Dengan bersosial kita berinteraksi, berdiskusi dan berkomunikasi. Tidak mungkin kita hidup bersendirian dalam apa keadaan sekalipun. Kita tentunya menjadi lemas dengan sendirinya. Kita pandai bercakap maka kita ingin selalu bercakap. Kita boleh mendengar maka banyak suara orang lain yang ingin kita dengar. Kita boleh melihat maka kita ingin selalu melihat orang lain bersama kita. Apabila kita bercakap tentang psikologi maka kita tidak dapat lari dari sense of belonging. Atau espirit de corp. Begitulah kuatnya ikatan antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Kekuatan itulah yang membina synergy untuk mencipta gandaan atau lonjakan kejayaan pada waktu-waktu tertentu. Mungkin secara terancang atau secara terjadual.

Namun demikian dalam diri manusia terdapat suatu sudut sempit untuk dirinya sendiri. Untuk dia membina peribadinya yang tersendiri. Maka sukar untuk kita melihat manusia ramai yang identical. Tidak mungkin terlalu banyak keserupaannya. Terlalu jarang berlaku. Sifat menyendiri terlalu jauh dari sifat sosialnya. Dalam suatu konteks manusia suka berkhayal atau mengelamun. Ada yang lain suka bermimpi. Malah dalam jaganya kadang-kadang dia bermimpi. Yang paling baik ialah menukar konotasi berkhayal, bermenung dan mengelamun. Kita ada istilah yang lebih baik. Jauh lebih positif. Berfikir. Banyak berfikir untuk memperbaiki keadaan. Mengatasi kelemahan. Menambah kekurangan. Membina semula kegagalan. Atau paling kurang cuba mencongak-congak masa hadapan yang banyak ketidakpastiannya. Tetapi dengan ilmu dan pengalaman  pemikiran kita boleh dibentuk. Disusun prosesnya supaya memberikan kita urutan aktiviti yang saling berkait dan membantu antara satu sama lain.

Apabila kita berkawan maka kita seharusnya memahami bahawa rakan kita perlukan waktu untuk bersendiri. Begitu bagi pasangan yang sudah berumahtangga. Antara mereka berdua perlu juga waktu bersendiri untuk mengimbas kekuatan dan kelemahan perkongsian hidup sesama mereka berdua. Untuk memikir jalan memperbaiki kehidupan untuk masa hadapan keluarga. Mencari jalan keluar kekusutan dalam berbagai hal. Maksudnya dalam apa keadaan sekalipun kita perlu mengizinkan orang lain untuk bersama dirinya sendiri dari masa ke semasa. Jika yang difikirkan ialah hal-hal yang positif maka banyaklah natijah positif yang membantu memperbaiki keadaan.

Di Dahab penulis sempat juga bersendirian bersama isteri. Besiar-siar di pekan kecil pelancongan yang lengang. Zaman kegemilangan pelancongan pra-revolusi belum lagi kembali ke Mesir. Terlalu sedikit berpapasan dengan pelancong dari Eropah atau Amerika Syarikat. Selesa berjalan-jalan atau melihat-lihat di sekitar pantai dan kedai-kedai yang lengang.


Ini dikira pusat bandar Dahab. Terlalu lengang. Di kejauhan sebahagian kedai makan di tepian pantai. Banyak berderetan tetapi hampir kesemuanya merintih menanti pelanggan dan pengunjung. Mereka menjadi terlalu daif.

Kedai banyak tetapi pelanggannya tiada. Entah sampai bila mereka mampu bertahan.

Seorang pejalan kaki di belakang sudah seperti meramaikan suasana.

Di kanan dan kiri gambar adalah kedai-kedai makan dan hotel. Waktu petang-petang sebegini langsung tiada pelanggan yang menjengah.

Iklannya besar dan menggamit. 

Di tepi Teluk Aqaba. Teluk yang dikongsi Mesir, Israel, Jordan dan Arab Saudi. Teluk yang tenang ini menjanjikan kedamaian dan kebahagiaan. Iklim diperlukan untuk menghadirkan yang terbaik dalam banyak hal. Iklim politik  adalah satu antaranya. Kestabilan politik menjamin kesejahteraan negara.