Pengkaji ramai yang memahami istilah pecah dan
perintah. Dasar orang Barat ini masih kekal diamalkan oleh orang-orang di bekas
tanah jajahan mereka. Dari Portugis kepada Sepanyol kepada Belanda kepada
British kepada Perancis kepada Itali kepada Jerman kepada Russia kepada Cina. Mungkin
Jepun termasuk dalam kategori ini. Sekali pandang ianya hanya dasar politik.
Ideologi yang berbeza. Cuba kita lihat ke dalam. Ke dasar sanubari nurani
Islam. Apa implikasi dan impaknya kepada
Islam, dunia Islam dan orang Islam. Tanpa membuka mata hati mungkin kita
tidak memahami apa-apapun yang terpapar di hadapan kita. Nampak tetapi kita
tidak melihatnya. Ada tetapi maujudnya tidak memberi apa-apa erti kepada kita.
Sambil belajar bahasa Arab di Mesir ini penulis cuba melihat betapa besar
signifikannya dasar pecah dan perintah orang Barat ke atas Islam itu sendiri.
Sejak dari dahulukala bumi Arab adalah bumi anbia.
Yang mula-mula diduduki manusia keturunan Adam. Masa yang berlalu meninggalkan
sejarah yang berbagai. Antaranya kita melihat pendudukan Yunani dan kemudiannya
Rom. Asia Tengah ini adalah kawasan yang strategik di atas muka bumi.
1
Pertemuan Timur dan Barat.
2
Laluan perdagangan rempah.
3
Laluan perdagangan barangan dari Cina.
4
Mana-mana kuasa yang bertapak di sini
menguasai kesemua di atas.
Sewaktu empayar Yunani dan Rom berada di Jazirah
Arab ini tiada usaha untuk memecahbelahkannya. Orang Arab dan tanah Arab
diperintah secara tunggal. Sejak dari zaman Yunani bumi Syam sangat maju dalam
banyak hal. Menjadi rebutan antara satu sama lain. Berbagai tamaddun berkembang
seperti:
1
Kerajaan Nabi Sulaiman as.
2
Kaun ‘Ad iaitu kaum Nabi Hud as.
3
Kaum Nabi Salleh as.
4
Kaum Nabi Syuib as.
5
Kaum Nabi Luth as.
Apabila Islam berkembang dari Madinah ke seluruh
penjuru alam, manusia di Barat menjadi kelam kabut. Penguasaan mereka ke atas
Jazirah Arab terlerai. Bangsa Arab bukan lagi bangsa yang dijajah. Bersama
agama Islam, orang Islam menerobos ke Barat dan ke Timur. Di bawah Piagam
Madinah daulah Islamiyyah adalah satu. Tunggal. Di bawah kerajaan Ummayyah dan
Abasiyyah daulah Islamiyyah juga satu. Di bawah empayar Uthmaniah daulah itu
masih satu. Barangkali titik tolaknya ialah Perang Salib yang akhirnya
dimenangi oleh orang Islam di bawah pimpinan Sallahuddin al-Ayyubi. Kekalahan
itu menjadi tamparan berat kepada Barat. Sebelum itu mereka berasa hebat kerana
dapat mengusir Islam dari Andalusia yang telah diperintah Islam selama
kita-kita tujuh abad. Kekalahan mereka kepada Sallahuddin menyerlahkan adanya:
1 Dendam
Barat dan Kristian.
2 Dendam
Kesumat Bangsa yang dimurkai
3 Dendam
bangsa yang disesatkan
Rata-rata kepimpinan di Barat mengetahui bahawa
selagi orang Islam kuat maka orang Islam tidak boleh dikalahkan. Selagi orang
Islam berpegang dengan al-Quran selagi itu Islam kukuh. Bukan rapuh. Kerana itu
mereka menggodam Empayar Uthmaniah yang berpusat di Turki. Berbagai perancangan
dan gagasan yang mereka lakukan. Satu demi satu kawasan diduduki, diperintah
dan diperlakukan semaunya atas nama menundukkan Islam. Pemimpin-pemimpin kecil
dibantu untuk menegakkan negara-negara kecil yang lemah. Kerana itu
kebergantungan kepada Barat berkekalan. Barat dianggap sebagai pelindung
kewujudan negara-negara tersebut. Hingga sekarang ada negara Islam yang
kewujudannya betul-betul bergantung kepada ihsan Amerika Syarikat. Kerana itu
apa yang berlaku di Palestin tidak pernah diambil pusing. Rakyat mereka
memikirkannya tetapi kepimpinannya tidak. Tiada negara Islam yang benar-benar
kuat dan digeruni Barat. Dasar pecah dan perintah mereka menenggelamkan suara
orang Islam. Hilang segala maya.
Barat mengasing-asingkan orang Islam sehingga terjadinya
negara-negara kecil yang entah dari mana mulanya. Entah siapa yang menentukan
sempadannya. Siapa pula menentukan haknya. British berada di bumi Syam.
Perancis di utara Afrika. Begitu juga Itali. Sekarang baru kita mengerti.
Rupanya agenda besar menanti kita. Negara Islam yang banyak tetapi kecil
dibezakan dari segi politik. Dari segi ideologi. Dari segi budaya. Kita hanya diperlihatkan perebutan kuasa pada
peringkat zahirnya. Yang kita lihat penjajah berebut-berebut mencari tanah
jajahan. Kita disibukkan dengan hal-hal yang tidak signifikan. Sementara itu
orientalis pula menyibukkan orang Islam dengan perkara furu’ walaupun
mazhab-mazhab yang sudah mantap menjadi ikutan tanpa masalah. Kita disibukkan
dengan hal-hal yang kecil-kecil. Yang remeh temeh. Orang Barat melaksanakan
agenda besar tanpa kita sedar. Agenda mega masih menanti hingga sekarang.
Mereka memerah ekonomi dari bumi Arab untuk menindas orang Islam. Untuk
memiskinkan orang Islam. Untuk melemahkan orang Islam.
Baru kita sedar betapa banyaknya minyak yang
diperlukan Barat. Betapa minyak menjadi alat pembakar yang menghidupkan
generasai Barat. Bayangkan senerio tanpa Barat. Negara Islam menjadi sangat
kaya raya. Ironisnya kekayaan dari negara Islam mengkayakan Barat. Kekayaan
negara Islam disimpan di Barat. Digunakan, digandakan perolehannya untuk
mengkayakan diri mereka. Bukan mengkayakan pemiliknya iaitu orang Islam.
Minyaknya diangkut ke Barat. Wang pembayarannya kekal di Barat. Minyak memaju
dan mengkayakan industri mereka. Harta benda yang kekal di Barat semakin
mengkayakan mereka. Negara Islam kekal majunya hanya merangkak lambat.
Sekarang kita mula melihat penjajahan agama. Orang
Islam tidak bebas memakai pakaian Islam umpamanya. Mereka menggubal
undang-undang untuk menguatkuasakan larangan itu. Masjid tidak boleh dibina sesuka
hati. Terdapat undang-undang di Switzerland yang menghadkan ketinggian menara
masjid supaya tidak melebihi bangunan tinggi di sesuatu kawasan. Seolah-olah
kebebasan beragama berlaku di negara Islam. Toleransi orang Islam sangat
tinggi. Tetapi tidak di sebaliknya. Kita tidak melihat dari dahulu bahawa
perancangan Barat banyak agendanya. Bercapah ke berbagai bidang. Penjajahan
kekayaan antara yang kita sangat jelas hingga kini. Ada sahaja yang mereka
rancang untuk menjadikan orang Islam menjadi lebih miskin.
Penjajahan fizikal sudah lama berlalu. Yang masih
wujud ialah penjajahan minda. Minda kita masih dalam kotak yang sama. Kita tidak
keluar kotak untuk melihat banyak kotak lain di sekeliling kita. Kotak-kotak
itu lebih besar. Lebih universal. Lebih anjal. Lebih memberikan ruang untuk
merubah dan menjadi lebih baik. Kita perlu keluar dari kotak lama yang sama
sahaja bentuknya. Kita tidak lagi hanya boleh melihat bentuk dan saiz. Letak
dan tempat. Kita perlu transgresi. Kita perlu mengapung. Kita perlu mencapah.
Kita perlu menyebar. Kotak lama hanya tapak asas untuk kita mengerti sejarah
yang bermula. Cari kotak lain yang lebih kondusif bersandarkan kepada kesedaran
kita yang baru. Bina kotak yang lebih baik. Kotak yang menjadikan kita membina identiti
dan entiti baru. Untuk makluman banyak negara di Asia yang sudah keluar dari
kotak lama mereka. Kita bila lagi.