Monday, November 19, 2012

Bau Durian Mengharum Toronto


Tidak ramai orang putih yang makan durian. Kepada kita durian wangi baunya. Kepada orang putih durian berbau busuk. Siapa yang betul? Sebagai ujian, apa yang menghurung durian apabila dibelah dan ulasnya terserlah pada pangsanya?  Lalat dan langau. Pernahkah pembaca melihat langau menghurung minyak wangi? Mana ada. Langau tidak sersai dengan yang wangi. Pilihannya pasti yang busuk. Durian termasuk dalam kategori busuk mengikut ujian itu.  Tidak mengapalah. Durian wangi pada persepsi kita. Hidung kita yang menjejak kewangaiannya. Kita tidak perlu pandangan orang lain hingga kita mensia-siakan rezeki yan ada. Kepada kita durian tersangatlah lazatnya. Tidak boleh nampak kelibatnya. Kecur air liur. Silap-silap gugur setitik dua. Malu sendir mengesat lelehannya.

Untuk renungan kita semua, ramai anak-anak muda kita tidak lagi menggemari durian. Mereka lebih memilih buah-buahan import. Seorang sepupu saya membawa pulang ke rumah beberapa biji durian. Tiba-tiba anak lelakinya mengeluarkan kata-kata protes. “Abah ni, buah busuk bawak balik!” Terbeliak mata sepupu saya. Mahu ditamparnya anaknya itu. Itulah manifestasi zaman yang berubah. Pilihan juga berubah. Kebiasaan kita yang kekampungan dahulu sudah dilenyapkan oleh perubahan. Zaman berubah. Citarasa berubah. Hal-hal yang kritis dalam masyarakat berubah aspeknya. Tidak memahami hal-hal seeprti itu hanya mengundang konflik perasaan. Mungkin konflik sosial.

Saya menemui durian di Pittsburgh, USA. Di kedai seorang yang berasal dari Vietnam.USD2.50 seulas. RM7.50. Bagi yang tidak ada pokoknya, perjalanan yang jauh, sistem penyimpanan yang direka khas, harga bukan faktor.  Bila datang selera semuanya bukan masalah. Di Toronto Canada durian dijual mengikut biji. Bukan ulas. Sekilogram Canadian Dollar 4.90. Kira-kira RM11.50. Masih tidak mahal berbanding dengan yang di US. Minta maaf. Durian itu sedap. Durian itu wangi. Sayangnya durian itu bukan kita yang punya. Durian Siam. Dari Thailand. Hebat usaha Thailand merentaskan produknya ke luar negara. Ke merata ceruk rantau yang tersampai. Bukan sedikit. Berlonggok-longgok. Orang putihkah yang memakannya. Tidak mungkin. Orang Asia ramai di sana. Sebut sahaja. Ada Cina, India, Thais, Vietnam, Taiwan, Indonesia dan Filipina. Orang Malaysia sahaja yang tidak pernah ramai. Kita jarang berhijrah.

Bukan orang kita yang tidak selesa berhijrah, malah produk kita juga malu berhijrah. Rasanya Thailand banyak mengatasi kita dalam banyak hal. Beras dari Thailand kita import selamanya sejak dari dahulu lagi. Sudah terlalu lama. Kita terus bergantung kepadanya. Mangga Siam berlambak di pasaran. Berganti jenisnya. Anggur juga dibiakkan. Sampai juga ke Malaysai. Tidak berapa manis. Cukup menghilang rasa teringin. Menghilang rasa kecur di mulut. Malah buah laici ada di Thailand. Di Toronto barangan kulit buatan negara itu banyak dijual. Cumanya mereka gemar menciplak jenama terkenal dunia. Tampal pada produk mereka. Harganya jauh lebih rendah. Setengah produk kualitinya tinggi. Sukar dibezakan yang asli dengan yang bukan.

 Thailand bukan jauh. Di seberang sempadan. Banyak yang boleh dipelajari daripada mereka. Industri tani mereka cukup maju. Kita masih mengabaikan pertanian walaupun negara lain mewah dengan eksport barangan pertanian mereka. Ada sesuatu barangkali yang boleh dilakukan. Selama ini kita sibuk dengan laungan dan slogan satu kampung satu industri. Tidak perlu fikir lama. Tidak perlu fikir besar-besar. Lihat sekeliling kita. Orang kampung rumahnya dikelilingi pohon buah-buahan. Rumpunan pisang sentiasa ada. Kenapa yang tersedia itu tidak dinaiktaraf? Diberi nafas baru. Didik mereka menukar baka yang baik. Mangga baik. Durian baik. Rambutan baik. Pisang baik. Belimbing baik. Cempedak baik. Nangka baik. Tanam yang baik-baik. Cari bakanya. Buat penyelidikan. Kita bukan bercakap satu kampung satu industri bahkan sebuah rumah sebuah industri.

Ambil iktibar bagaimana penanam kurma di Madinah mendebungakan pohon-pohon kurma mereka. Hasilnya lumayan setiap tahun. Semakin dibayar zakat semakin lebat buahnya. Fikirkan jika boleh pohon buah-buahan kita didebungakan setiap masa yang berjadual. Hasilnya barangkali lebih lumayan. Tuaiannya menimbun. Hasil yang melambak-lambak nanti. Fikirkan selangkah atau dua langkah ke hadapan. Industri hiliran yang mesti diwujudkan. Buah-buahan dalam tin. Jus. Kuih muih. Jem. Kaya. Gula-gula. Biskut. Aiskrim. Minuman. Banyak lagi. Kreatif. Inovatif. FAMA harus jauh ke hadapan. Persatuan Peladang mesti terbang jauh. Persatuan Pengilang berlari pantas. Politik mendepani dasar dan peraturan yang membangun. Bukan hanya mengawal dan mengekang.

Kita mengimport buah-buahan dari banyak negara. Dari Mesir ada. Tunisia ada. India ada. Turki ada. Iran ada. Malah dari negara seperti Azabaijan, Karzystan, Cina, Korea, Pakistan. Bukan negara-negara tradisi seperti USA,Australia, New Zealand dan Afrika Selatan sahaja. Tidak ada negara maju yang fokus hanya kepada industri perkilangan sahaja. Kesemua negara itu masih mengekalkan imbangan pertaniannya. Makanan untuk rakyatnya. Tukaran asing untuk negaranya. Situasi yang menang-menang. Manfaat dan maslahah umum rakyat difikirkan. Ekonomi, teknologi dan pendidikan disegerakkan. Agama mengawal dosa dan pahalanya. Syariat tidak boleh dikesampingkan. Akhir kita tetap menemui Allah. Kita kembali kepadaNya. Buatlah yang terbaik di dunia. Ganjarannya yang terbaik di akhirat.

Al-Quran cukup memberi panduan untuk berjaya di dunia dan di akhirat. Iman kita dipupuk supaya sentiasa segar dan bertambah kukuh. Usaha secara syariat dengan niat kerana Allah tentulah lebih baik dari hanya kerana dunia semata-mata. Ayuhlah kita sama-sama keluar dari kepompong kita. Keluar dari kotak kecil yang memerangkap kita. Keluar dari ruang yang menghimpit pemikiran yang bertaraf rendah. Masa masih banyak. Sentaisa banyak. Jika setiap seorang dari kita memajukan diri dalam bidang maing-masing tentu kita boleh lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kita mesti cemerlang dalam bidang kita. Lain orang lain bidang kecemerlangannya. Untuk maju bukan satu bidang sahaja yang dibangunkan. Semua aspek yang berkaitan hendaklah dibangunkan. Tidak ada yang lebih utama dari yang lain. Jika ada yang terabai maka akan berlaku kepincangan. Yang pincang itu mencacatkan. Menurunkan darjat kesemuanya.

Kita ada mata, hendaklah melihat jauh menembusi sebarang hijab dan tabir. Kita ada telinga untuk mendengar yang tersirat. Kita ada hidung untuk menghidu yang asing dari yang lain. Firasat kita dibangunkan untuk merangka hal-hal yang berkemungkinan di masa hadapan. Kita tidak lagi boleh hanya bertahan dengan keadaan yang ada. Banyak jalan yang boleh dilalui. Banyak simpang yang perlu dilintasi. Berfikiran positif banyak menyelesaikan masalah yang terpendam. Allah sentiasa membimbing kita ke arah yang benar. Kita diberi pilihan membuat yang terbaik. Doa, tawakal tentulah setelah berusaha. Janji Allah adalah sesungguhnya benar. Mereka yang beriman sentiasa beruntung.