Monday, October 29, 2018

Benarkah Kosong Itu Kosong?




Dalam kehidupan kita banyak hal-hal kosong yang ada di sekeliling kita. Angka kosong atau kosong itu sendiri dianggap tiada apa nilainya. Hanya kosong. Kecil atau besar kosong itu bukan ukurannya. Pada sisi biasa kosong itu memang kosong. Bayangkan situasi ini:

1                     Angan-angan kosong.
2                     Berbual kosong.
3                     Angka kosong.
4                     Mengosongkan tempat atau ruang.
5                     Kosongkan masa.
6                     Fikiran kosong.
7                     Isi kosong.
8                     Perasaan kosong.


Kesemuanya dirasakan negatif. Itupun jika hanya dilihat dari sisi negatif. Bagaimana jika kita melihatnya dari segi positif? Tanpa ilmu angan-angan memang kosong. Tetapi angan-angan mereka yang bijaksana selalu menghasilkan sesuatu yang luar biasa (defies logic). Banyak produk dan servis dalam dunia ini datangnya dari angan-angan yang diterjemahkan menjadi cita-cita. Menjadi azam. Mencetus motivasi. Meluaskan eksperimen. Kosong yang diterjemahkan menjadi isi penuh dan tinggi nilainya.

Mereka yang berfikir pada aras tinggi tidak berbual kosong dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Dalam perbualan ada agenda penting yang diperbincangkan. Ada isi penting yang dibicarakan. Semasa perbualan sedang berlangsung ianya kelihatan kosong. Namun perbualan antara mereka yang bestari membawa hasil yang lumayan. Produk yang bermanfaat. Memberi faedah kepada orang lain. Berbual kosong bergantung kepada siapa yang berbual. Kepada orang biasa memang hanya menghabiskan masa. Kepada mereka yang berfikir pada aras tinggi tiada yang namanya berbual kosong. Kosong yang memberi hasil. Cetusan idea yang merealisasikan keuntungan.

Sepintas lalu mengosongkan tempat atau ruang  adalah untuk diisi dengan sesuatu yang lain. Di bandar besar sesuatu ruang sangat mahal harganya. Tinggi nilainya. Di Kuala Lumpur satu meter persegi mungkin beribu ringgit. Jangan biarkan ruang kosong tinggal kosong. Isilah dengan sesuatu yang berharga. Beri nilai yang tinggi. Perniagaan dan usahawan mengisi ruang kosong itu. Kosong yang diisi dengan produktiviti. Aktiviti yang menguntungkan. Paling kurang yang berfaedah. Kepada mereka yang melihat di sebalik kosong, banyak yang perlu dibuat apabila ada kekosongan. Jika dibiarkan kosongnya memanjang. Apabila diisi kekosongan itu memberi nilai tinggi dari segi ekonomi, sosial, agama atau akahlak.

Kosong masa atau masa kosong dilihat seperti tiada faedahnya. Tetapi dilihat dari sudut lain mengosongkan masa bermakna merancang melakukan aktiviti yang berfaedah. Belajar umpamanya. Mendapatkan maklumat. Mendapatkan ilmu yang lain dan bertambah banyak serta lebih tinggi nilainya. Menambahbaik diri sendiri ke aras yang lebih tinggi. Masa kosong inilah yang selalu dihindar oleh ramai orang. Yang juga selalu diabaikan. Ada konotasi masa kosong. Ada yang malu untuk membangun diri dengan sesuatu yang bernilai. Ada yang malas. Ada pula yang menutup pemikiran dari memikirkan hal-hal masa hadapan yang mungkin mengangkat diri ke arsa yang lebih tinggi. Kerana itu kekallah diri di aras lama. Jumud masa.

Isi kosong sebenarnya jarang berlaku. Dalam banyak tandan buah kelapa mungkin sebiji sahaja yang dinamakan kelapa komeng. Kosong isinya. Buah padi juga tidak banyak yang kosong. Sangat sedikit yang Namanya hampa padi. Isi kosong menjadi suatu pengecualian. Bukan standard. Isi kosong muncul sekali sekala. Itupun dalam skala yang sangat kecil. Peratusannya mungkin 1% atau kurang. Tetapi isi kosong itu menjadi signifikan kerana ianya tidak dijangka. Atau jarang dijangka. Di luar ekspektasi. Dalam banyak hal isi kosong mungkin biasa diabaikan. Kecuali yang kosong itu memberi mudarat. Bertambah banyak dengan kadar yang signifikan. Jika hanya biasa-biasa sahaja tidak ramai orang yang mengambil tahu.

Perasaasn kosong pula adalah luar biasa. Mungkin tekanan yang terlalu sangat. Usaha telah dilakukan untuk menjayakan sesuatu. Percubaan telah dilaksanakan. Kejayaan tidak menampakkan dirinya. Begitu juga apabila kegagalan berulang-ulang, perasaan menjadi kosong kerana kesemuanya telah dicuba. Hasilnya tidak menjadi. Bagi mereka yang cekal hatinya, perasaan tidak pernah menjadi kosong sebenarnya. Setiap masa ada pengisiannya. Ada perancangan untuk terus ke hadapan. Untuk terus mendaki tangga kejayaan. Untuk terus menjadi lebih baik.

 Jangan abaikan angka kosong. Kosong sepertinya tiada apa-apa makna. Perhatikan yang berikut:

0                                        Kosong. Tiada makna. Tetapi matematik memberi makna kepadanya.
10                                      Sepuluh. Nampak nilainya.
100                                    Seratus. Dua kosong yang menambah nilai.
1,000                                 Seribu dengan tiga kosong.
10,000                               Sepuluh ribu. Jika ringgit besar nilainya.
100,000                             Seratus ribu. Wow. Banyak.
1,000,000                          Sejuta. Tidak ramai yang mengalaminya memiliki sebanyak 1 juta.
10,000,000                        Sepuluh juta. Di luar imaginasi bagi mereka yang tidak berniaga.
100,000,000                      Seratus juta. Kebanyakan orang akan pening melihat banyaknya angka                                                      kosong.
1,000,000,000                   Seribu juta. Satu trillion. Mereka yang berniaga bukan semua                                                                  mendapatnya. Tetapi mereka yang tidak berniaga mudah mendapatnya.

Pening juga memikirkannya. Angka kosong yang tidak boleh diabaikan. Angka kosong yang dilihat dengan penuh minat. Dengan penuh erti yang mendalam. Semakin banyak kosong semakin tingga nilainya. Semakin dikira banyak. Maka selepas ini fikirkan dengan teliti sebarang angka kosong atau perkataan kosong. Ia bukan kosong sebenarnya.